PAS bantu mangsa kebakaran di Langkawi
Helmi Khalid
Tue | Feb 27, 07 | 07:59:34 AM LANGKAWI, 27
Feb (Hrkh) - PAS Kedah menggesa pihak kerajaan menyediakan penempatan yang
lebih sempurna sekalipun bersifat sementara kepada semua mangsa kebakaran di
Bukit Malut, Ulu Melaka, di sini.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak ketika melawat mangsa
tersebut berkata, penempatan sementara kepada lebih 1,300 mangsa di bawah
khemah terbuka (canopy) seperti yang disediakan amat tidak wajar.
"Cuba kita fikir bagaimana keadaan malam di sini, suasana sejuk, khemah ini
sesuai untuk majlis kenduri saja, kenapa tak guna khemah tentera atau
sebagainya yang ada dinding, amat sedih kita lihat keadaan mereka," tegas
beliau.
Ustaz Azizan diiringi Yang DiPertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad bersama
pimpinan PAS Kawasan serta Pemuda ketika meluangkan masa hampir sejam bersama
mangsa.
PAS Kedah dan Kawasan Langkawi juga turut menyampaikan sumbangan beras dan
makanan ringan kepada Ketua Kampung Bukit Malut, Ali Bakar.
Terdahulu, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah yang dipengerusikan Dr
Mohd.Hamdan Khalib turut membuka kaunter khidmat kesihatan percuma kepada
mangsa.
Pihaknya juga mengagihkan air minuman dan makanan ringan untuk kalangan
kanak-kanak yang disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Langkawi, Ustaz
Salehudin Said.
Menariknya dalam lawatan itu, rombongan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri
Mahdzir Khalid juga tiba waktu yang sama.
Kedua-dua pimpinan ini turut berbual mesra dan Mahdzir mengalu-alukan
sumbangan dari pihak PAS sementara Ahli Parlimen Langkawi, Dato' Bakar Taib
berterima kasih kepada PAS kerana telah beberapa kali menghulurkan sumbangan
kepada mangsa sejak kejadian yang berlaku pada Rabu, 21 Februari lalu.
Dalam kebakaran jam 12 tengah hari Rabu lalu, 327 rumah setinggan yang
sebahagian besar penghuninya bekerja sebagai nelayan musnah dalam kebakaran
menyebabkan sebahagian besar daripada mangsa tinggal sehelai sepinggang.
Kerugian dianggarkan RM2.5 juta. - mks.
Harakahdaily buka ruang komentar untuk pembaca
Harakahdaily
Tue | Feb 27, 07 | 08:40:24 AM KUALA LUMPUR,
27 Feb (Hrkh) - Bagi meraikan pembaca-pembaca setia Harakahdaily.net, pihak
pengurusan Harakahdaily mengalu-alukan sebarang komentar dari pembaca untuk
berita, artikel dan kolum terpilih dalam sebuah blog khas yang disediakan.
Begitupun pengunjung yang ingin menyatakan pendapatnya tentang berita-berita
yang dimuatkan dalam Harakahdaily perlulah melayari blog
http:/hdailyblog.blogspot.com bermula dari tarikh pengumuman ini disiarkan./wann
Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang
boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM
(564070000336)
---------------------------------
Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy
and free. Do it now...