Kemelut politik, kepimpinan negara kini tidak diyakini                    
                         Wan Nordin Wan Yaacob      
         Sat | Mar 24, 07 | 01:37:55 PM                        KUALA LUMPUR, 24 
Mac (Hrkh) - Kemelut demi kemelut melanda kepimpinan Perdana Menteri, Dato' 
Seri Abdullah Ahmad Badawi, dari sekecil-kecil isu hinggalah kepada yang 
membabitkan golongan elit, semuanya seperti sukar untuk di kesampingkan dari 
pentadbiran Abdullah.

 

   Bermula dengan isu pertikaian beberapa kelompok kumpulan NGO terhadap 
perkara 121 (A) yang membabitkan sensitiviti umat Islam, hinggalah hari ini 
beliau dihadapkan dengan isu dakwaan rasuah membabitkan Ketua Pengarah BPR, 
Dato' Seri Zulkipli Mat Nor dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, 
Dato'Johari Baharom semuanya tidak ditangani Abdullah dengan objektif yang 
jelas.

 
Seawal Abdullah memerintah negara dengan semangat 'Islam Hadhari' dan kata-kata 
hikmah 'aku mencari bukan harta melimpah, tetapi aku cari Al-Ghazali dan 
Al-Shafie", kelihatan pemimpin yang diberikan jolokan 'Mr Clean' ini mampu 
untuk mengubah suasana 'gusar' yang ditinggalkan Perdana Menteri terdahulu, Tun 
Dr Mahathir Mohamad yang dilihat lebih liberal.

 
 Ketika itu 'mood' rakyat juga dilihat beralih kepada Abdullah dan sokongan 
terjelma dalam Pilihan Raya Umum 2004 yang meyaksikan Barisan Nasional (BN) 
yang diterajui beliau menang besar, malah kubu PAS sendiri banyak yang tergadai 
kepada Umno dan BN.

 
Namun, kelemahan sebenar Abdullah seperti yang pernah disuarakan pembangkang 
akhirnya terserlah dalam dua tahun kebelakangan ini bila mana pentadbiran 
beliau gagal melunaskan banyak janji manisnya termasuk tidak mampu meletak 
Islam sebagai 'mercu tanda'kepada dasar pemerintahan negara.

 
Justeru episod 'mencari al-Ghazali dan al-Shafie' yang dinyatakan Abdullah 
dilihat semakin menyepi malah ada yang secara sinis menyebut PM bukan lagi 
bertemu al-Ghazali atau al-Shafie, sebaliknya 'Michelle Yeoh' yang ditemui'.

 
Nada-nada tidak puas hati dengan kepimpinan Abdullah mula berlegar di 
ruang-ruang media, malah dari kalangan tokoh masyarakat sendiri mula 
menyuarakan soal kurang yakin dengan kepimpinan yang ada.

 
 Skima tidak yakin dengan kepimpinan negara
Hal yang sama (rasa tidak yakin) juga turut dinyatakan dalam sidang meja bulat 
NGO-NGO Islam yang bersidang di KK Club (dahulunya Century Paradise) Taman 
Melawati hari ini.

 
Dalam menjawab soalan wartawan, Pengerusi Sekretariat Kongres Umat Islam 
Malaysia (Skima), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak yakin dengan 
kepimpinan yang ada hari ini dalam membantu menyelesaikan masalah akhlak 
masyarakat kini seperti yang diagendakan Skima.

 
Turut hadir dalam program anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Jemaah 
Islah Malaysia (Jim) itu ialah, Mufti Perak, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr 
Harussani Zakaria; Naib Presiden Jim, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Gerakan 
Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor; Pengerusi Persatuan 
Linguistik Malaysia, Awang Sariyan dan wakil-wakil NGO lain seperti Impak, 
Abim, Macma, PKIPIM, Isra serta Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

 
Mengulas lanjut Mohd Azmi berkata, dengan segala permasalahan, kelemut politik 
dan kepincangan yang ada pihaknya tidak meletak harapan kepada kepimpinan 
negara untuk mempertahankan maruah Islam, sebaliknya Skima akan menggerakkan 
kesedaran di kalangan rakyat untuk menyedari permasalahan yang dihadapi hari 
ini.

 
"Kita tidak yakin dengan faktor sedia ada sama ada pihak berkuasa, kerajaan dan 
kepimpinan politik dalam melakukan tindakan yang mantap.Sedangkan Skima sendiri 
dilihat oleh pihak berkenaan suatu yang negatif," katanya tegas.

 
Bagaimanapun Skima telah menyerahkan 'Dokumen Tekad' yang dipersetujui oleh 
jawatankuasa Skima yang berhimpun dalam Kongres Umat Islam sebelum ini kepada 
Abdullah sebagai satu dokumen yang perlu dipandang serius oleh kerajaan.

 
Dokumen yang sama yang mempunyai 17 agenda Skima yang mendaulatkan Islam dan 
maruah umat Islam ini terdiri dari pelbagai aspek termasuk antaranya 
undang-undang Syariah, politik, ekonomi, akhlak, penghayatan Islam, media, 
keselamatan dan pentadbiran ini juga diserahkan kepada Presiden PAS, Tuan Guru 
Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang untuk tindakan selanjutnya, kata Mohd Azmi.

 
 Rakyat perlu tentukan apa yang perlu dibuat
"Kalau ada perkembangan massa yang memperlihatkan bahawa Melayu Islam mahu apa 
yang dituntut ini adalah wajar selari dengan sambutan sempena 50 tahun merdeka 
kita nak ukur, kita rasakan rakyat perlu tentukan apa yang perlu dibuat, kerana 
kita tidak yakin bahawa kerajaan boleh buat," katanya lagi.

 
Selain memperkasakan gerakan masyarakat, Skima juga akan menuntut Majlis 
Raja-raja Melayu yang telah dihakis kuasanya, untuk tidak perlu menunggu kepada 
PM dalam mempertahankan agenda umat Islam sebaliknya menggunakan kuasa yang ada 
dalam perlembagaaan mempertahankan kedudukan Islam, katanya.

 
 Terdahulu sebelum sidang media, Mufti Negeri Perak yang dijemput khas dalam 
program tersebut telah merasmikan 'Dokumen Tekad' yang memuatkan resolusi 
Kongres Umat Islam Malaysia yang bersidang pada 23 hingga 24 Disember 2006 di 
Bukit Mertajam.

 
Dalam dokumen itu menyebut bahawa sudah sampai masanya kerajaan secara serius 
melihat kepada masalah yang melanda umat Islam hari ini dengan gejala seks 
bebas, keruntuhan akhlak, dadah, HIV/Aids, lumba haram, dan beberapa isu lain.

 
 Tolak hujah liberal
Dokumen itu juga secara jelas menyatakan penolakan terhadap hujah-hujah liberal 
tentang tidak perlunya 'moral policing', sebaliknya menjadi tanggungjawab 
kepada pihak berkuasa mengawal akhlak masyarakat.

 
"Hujah 'moral policing' yang sentiasa dikritik oleh pihak-pihak ini jelas 
bertentangan dengan tuntutan Islam yang menetapkan bahawa soal akhlak adalah 
juga skop tanggungjawab pemerintah untuk memastikan rakyat mengamalkan sikap 
dan gaya hidup berakhlak tinggi," kata Mohd Azmi ketika membacakan isi dokumen 
itu dalam kenyataan medianya.

 
Walaupun tidak menolak pendekatan pendidikan perlu diutamakan, Skima turut 
menuntut agar penguatkuasaan undang-undang adalah satu aspek penting dalam 
memastikan proses pembinaan masyarakat dan mencegah masyarakat dari keruntuhan 
akhlak, kata Mohd Azmi lagi.

 
Kerajaan juga digesa bersikap tegas kepada semua penganjuran acara-acara atau 
program bersempena dengan pelbagai sambutan ulang tahun dan keraian di negara 
ini agar tidak ada lagi pesta liar dan yang melanggar etika yang membawa kepada 
keruntuhan akhlak, katanya.

 
Skima juga menegaskan agar kerajaan memperkasakan institusi yang 
bertanggungjawab melaksanakan hukum-hukum Islam di negara ini, ujarnya.

 
Sehubungan dengan pelancaran dokumen itu juga Skima akan terus menjadi wadah 
penting kepada umat Islam dalam melaksanakan semua tindakan sususlan dari 
resolusi Kongres Umat Islam Malaysia dan pelaksanaan agenda yang digariskan.

 
 Umno dan rasuah
Dalam pada itu Pengerusi Gerak semasa ditemui di luar dewan persidangan 
menyatakan komitmennya terhadap usaha Skima ini terutamanya dalam 
memperjuangkan isu menentang rasuah dan penyelewengan dalam negara ini.

 
Ezam yang ditemani bekas tahanan ISA, Abdul Ghani Haroon menyatakan bahawa 
beliau akan menggunakan mana-mana platform bagi mengketengahkan isu-isu rasuah 
yang kian membarah dalam negara.

 
"Saya akan gunakan mana-mana platform sekalipun Umno yang menjemput saya.Tetapi 
saya rasa Umno tidak akan berbuat demikian kerana Umno itu sendiri diselubungi 
rasuah dan penyelewengan," katanya tegas. - mks.


                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke