Kerajaan dibidas tidak iktiraf kecemerlangan Siti Fatimah                 
                            Roy Rasul      
         Mon | Apr 02, 07 | 05:22:50 PM                          KUALA LUMPUR, 
2 April (Hrkh) – Ismail Noh (PAS – Pasir Mas) membidas kerajaan pusat kerana 
tidak mengisytihar kecemerlangan Siti Fatimah Mukhtar yang menjadi pelajar 
terbaik SPM 2006 semata-mata kerana pelajar tersebut adalah pelajar dari  
Sekolah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Bharu, Kelantan.

  

  Beliau berkata Siti Fatimah mendapat 17 A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran 
Malaysia 2006 dan merupa pelajar terbaik di negara ini.

 
  “Jangan disebabkan kamu marah kepada satu kaum atau satu puak maka kamu tidak 
berlaku adil, sepatutnya hendaklah kamu bertindak adil kepada mereka kerana  
adil itu membawa ketakwaan kepada Allah Taala,” katanya sambil membaca sepotong 
hadis dalam ucapan menjunjung kasih titah Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan 
Zainal Abidin di Dewan Rakyat hari ini.

 
 Katanya, tidak adil kecemerlangan Siti Fatimah tidak diisytihar disebabkan 
pelajar berkenaan adalah daripada  Sekolah Agama Yayasan Kelantan.

 
 Katanya yang hak mesti dikata hak dan katakanlah walaupun pahit.

 
 “Jangan marah, kerana PAS memerintah negeri Kelantan maka tidak diisytiharkan 
Fatimah sebagai pelajar terbaik. Ini tidak adil,  di mana ketelusannya,” 
katanya.

 
 Tambahan pula katanya, dalam titah ucapan Seri Paduka Yang DiPertuan Agong 
ketika merasmikan mesyuarat pertama, penggal keempat, parlimen ke-11 pada 19 
Mac lalu mengajak masyarakat supaya muhasabah.

 
 Selain itu beliau turut menyentuh mengenai banjir luar biasa yang berlaku di 
Johor pada penghujung tahun lepas yang mana katanya sepatutnya banjir tersebut 
melanda negeri-negeri sebelah Pantai Timur termasuk Kelantan.

 
 Oleh kerana itu katanya, rakyat tidak boleh berangan-angan tinggi sangat  
sebaliknya mesti akur dengan ketentuan Allah SWT. - mks.


                
---------------------------------
 All New Yahoo! Mail – Tired of unwanted email come-ons? Let our SpamGuard 
protect you.

Kirim email ke