http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
Aktiviti Dakwah Perkhidmatan Iqra/Al-Quran
Syukur EduTraining and Consultancy menyediakan perkhidmatan tutor
Iqra/al-Quran dan tajwid bagi pelajar, individu, keluarga dan kumpulan dari
rumah ke rumah bagi kawasan Taman Melawati, Taman Melati, Hulu Klang, Setapak,
Gombak, Taman AU, Setiawangsa, Shah Alam, Bangi, Klang, serta kawasan-kawasan
berhampiran.
Sila hubungi Syukur (019-2103267) atau Zila (019-2186108) atau layari laman
web www.syukurtraining.com dan e-mel: [EMAIL PROTECTED] untuk maklumat lanjut.
Bengkel Kecantikan
Bengkel kecantikan dan kesihatan Nisa 2007 pada 28 April (Sabtu) pukul 8 pagi
hingga 1.30 tengah hari di Auditorium Kompleks Taman Seni Islam, Seksyen 10,
Shah Alam, Selangor.
Panel ialah Datuk Sarimah Ahmad (seniwati terkenal) dan Dr. Fatimah Ahmad
(pengamal perubatan natural terapi). Sebarang pertanyaan boleh menghubungi
Anie: 017-3056549 dan Ida: 019-3614335.
Holiday camp anak mithali
Dandara Murni Training & Consultancy akan menganjurkan Holiday Camp Anak
Mithali bagi anak-anak berumur 10-15 tahun pada 29-31 Mei di Kem Bina Negara
Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan. Keterangan lanjut sila hubungi 012-332 1552
(Rozita) dan 017-245 9282 (Faridah) atau e-mel : [EMAIL PROTECTED]
Kursus penyusuan susu ibu
Kursus Penyusuan Susu Ibu Keluarga Bahagia akan diadakan pada 5 Mei pukul 8.30
pagi hingga 3 petang di Dewan Asrama DArk, Senawang, Negeri Sembilan anjuran
Dandara Murni Training & Consultancy.
Terbuka kepada bakal suami isteri, bakal ibu dan ayah serta ibu mengandung
dan suami. Yuran peserta RM60 seorang / RM95 sepasang. Pertanyaan lanjut sila
hubungi 012-332 1552 (Rozita) atau 012-380 3926 (Zaimah) atau e-mel [EMAIL
PROTECTED]
Bengkel bahasa Arab
DARUL Imtiyaz Resources akan menganjurkan Bengkel Bahasa Arab PMR dan SPM 2007
bagi memberi motivasi dan pendedahan kepada calon-calon PMR dan SPM untuk
cemerlang dalam subjek tersebut.
Bengkel sehari yang akan diadakan pada 19 Mei dan 26 Mei depan itu akan
berlangsung di dewan seminar Kolej Pendeta Zaaba, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Calon-calon PMR dan SPM yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut
dengan menghubungi Darul Imtiyaz di talian 012-9637287 atau 03-87368905 atau
e-mel [EMAIL PROTECTED] Tarikh tutup penyertaan ialah 16 Mei.
Breakfast talk
The Little Khalifah Shop akan mengadakan Breakfast Talk bertajuk, Bagaimana
Menguruskan Orang Sakit dan Nazak Mengikut al-Quran dan Sunah pada 29 April
2007 pukul 9 hingga 11 pagi di The Little Khalifah Shop 2750 A, Jalan Changkat
Permata, Taman Permata, Ulu Klang. (Berhampiran Giant Taman Permata).
Penceramah pensyarah di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Dr. Azhar Yaakob. Yuran
penyertaan sebanyak RM25 (termasuk sarapan pagi dan buku). Pertanyaan hubungi
Roslinah Daud 03-41472626 atau 012-2576269.
Seminar tokoh-tokoh hadis
Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains
Malaysia dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis akan mengadakan satu
seminar mengenai Tokoh-tokoh Hadis Pasca Kurun ke-13 Hijrah: Kesarjanaan dan
Sumbangan pada 28 dan 29 Ogos pukul 8.30 pagi hingga 5 petang di Dewan Budaya,
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Maklumat lanjut boleh didapati di dalam laman web seminar iaitu di alamat:
www.usm.my/hadith . Brosur seminar pula boleh dilihat di:
www.usm.my/hadith/brosurhadith.pdf
Kelas pengajian Perkim
Pertubuhan kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengadakan kelas pengajian Islam
pada setiap Sabtu dan Ahad. Sebarang pertanyaan hubungi Ustaz Amran Abdullah
012-254 3964.
-----------------------------------------
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Artikel: Pentingnya keberkatan dalam rezeki
Oleh ASMADI ABDUL RAHMAN
Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah s.w.t.
Dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, kita mengetahui bahawa kehidupan
kita tidak hanya terhenti di dunia sahaja.
Sebaliknya kita mempercayai bahawa terdapat kehidupan yang lebih indah
menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan
keberkatan serta perkenan dari Allah s.w.t.
Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta
mentaati setiap perintah Allah seperti yang telah digariskan-Nya di dalam
al-Quran mahupun hadis.
Di antara perintah Allah s.w.t yang penting bagi mencapai keberkatan di dunia
ini adalah berkaitan dengan punca rezeki yang diperolehi oleh setiap hambanya.
Boleh dikatakan bahawa punca rezeki di sini adalah pendapatan kita untuk
menyara kehidupan sendiri ataupun untuk keluarga.
Punca rezeki ataupun pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu
pendapatan yang berpunca dari sumber yang jelas halal seperti bekerja sebagai
guru, berniaga barang yang halal ataupun melakukan pelaburan yang dihalalkan
oleh syariat untuk mendapat keuntungan.
Pendapatan yang kedua adalah pendapatan yang bersumberkan kepada perkara yang
haram seperti menjual arak, mencuri, membuat pelaburan ditempat perjudian dan
pelacuran, sumber pendapatan seperti ini adalah jelas hukumnya adalah haram.
Sumber yang ketiga dikenali sebagai syubhat iaitu meragukan. Kebanyakan
perkara syubhat tidak diketahui oleh orang ramai, tetapi hanya diketahui oleh
pengamal agama. Seperti isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu
berkaitan dengan pelaburan Internet sebagai sumber pendapatan, pelaburan ini
telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana terdapat unsur syubhat di
dalamnya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya
yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, di antara perkara halal dan haram
dinamakan syubhat yang tidak diketahui oleh ramai. Sesiapa yang menjauhi dari
perkara syubhat sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehidupannya,
barang sesiapa yang melakukan perkara syubhah sesungguhnya dia telah melakukan
perkara yang haram. (riwayat Bukhari dan Muslim].
Hadis ini jelas menerangkan tentang halal dan haram sesuatu sumber sama ada
sumber makanan ataupun sumber pendapatan. Justeru, amat tepat apabila Majlis
Fatwa Kebangsaan memfatwakan pelaburan Internet adalah haram. Ini kerana
terdapat unsur-unsur syubhat di dalamnya yang perlu dihindari bagi
menyelamatkan agama dan kehidupan orang Islam sendiri.
Menurut Abu Darda R.a : Kesempurnaan takwa adalah taatnya hamba kepada
perintah Allah s.w.t sehinggakan apabila didapati keraguan sebesar zarah
terhadap perkara yang halal, maka ditinggalkan perkara tersebut. Maka apabila
terdapat unsur yang jelas tentang keraguannya, sewajarnya kita mengelakkan diri
daripada terlibat dengannya seperti mana yang yang telah difatwakan tentang
pelaburan di Internet.
Kemuliaan seseorang individu adalah berpunca daripada sumber pemakanan yang
halal. Menurut al-Syafie : Terdapat lima perkara untuk memelihara hati iaitu
membaca al-Quran dan menghayatinya, sentiasa mengosongkan perut (berpuasa),
menghadiri majlis ilmu dan bersama orang-orang soleh, mendirikan solat malam,
serta sentiasa memohon pertolongan Allah s.w.t.
Namun begitu punca kepada kemuliaan hati adalah makan makanan yang berpunca
dari perkara halal. Menurut beliau lagi makanan adalah benih kepada perbuatan,
apabila makan sumber yang halal akan lahirlah perbuatan yang mulia, apabila
makan makanan berpunca dari sumber yang haram, maka lahirlah perbuatan yang
tercela.
Daripada sumber makanan yang bersih maka golongan yang akan dibangkitkan oleh
Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera seperti mana firman Allah s.w.t yang
bermaksud: Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang
selamat sejahtera. (Al-Syu'ara':89].
Ayat ini menjelaskan bahawa di hari pembalasan nanti, tiada apa yang dapat
membantu atau menyelamatkan kita dari seksaan Allah s.w.t kecuali sesiapa yang
datang kepada Allah dengan hati dan jiwa yang sejahtera iaitu golongan-golongan
yang sentiasa memelihara diri mereka dari melakukan perkara yang dilarang dan
sentiasa menjauhi diri dari perkara-perkara yang syubhat.
Selain itu, Rasulullah s.a.w ada meriwayat hadis yang menerangkan tentang
syarat-syarat amalan yang diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t baik, tidak menerima apa perkara
kecuali perkara yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kepada
semua golongan mukmin, seperti mana diperintahkan kepada para rasulnya.
Hadis ini menjelaskan kepada kita sesungguhnya, Allah s.w.t tidak menerima
amalan hambanya kecuali melakukan dengan jiwa yang tulus suci, Allah s.w.t juga
tidak menerima sedekah kita jika bersumberkan punca yang haram atau syubhat.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Wahai Rasul-rasul, makanlah dari
benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya
Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Mukminun: 51].
Bagaimanakah Allah s.w.t ingin menerima ibadah kita jika kita mencari rezeki
dengan bersumberkan perkara yang terdapat keraguannya, memakan makan yang
berpunca dari pendapatan yang tidak pasti halalnya. Setiap perkara yang haram
atau syubhat akan merosakkan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.
Apabila seseorang itu tidak menitikberatkan soalan soal halal dan haram dalam
kehidupan, maka doa yang dipohonnya sukar diterima oleh Allah s.w.t. Seperti
mana yang dijelaskan dalam sebuah hadis, apabila Said Bin Abi Wuqaz meminta
agar Rasulullah s.a.w mendoakannya supaya Allah s.w.t memperkenankan doanya,
maka Rasulullah s.a.w bersabda: Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu
dimakbulkan.
Justeru, marilah kita bersama-sama muhasabah diri masing-masing agar
mensucikan diri daripada perkara yang syubhat, agar Allah s.w.t memperkenankan
setiap doa yang kita pohon kepadanya, khususnya dalam perkara yang berkaitan
dengan pendapatan kita yang sudah semestinya digunakan untuk keperluan harian
kita.
Bagi mereka yang mempunyai simpanan hasil dari pendapatan yang syubhat,
gunakanlah untuk bersedekah agar dapat digunakan oleh orang ramai, seperti mana
yang diceritakan oleh Malik Bin Dinar, beliau bertanya kepada Ato Bin Abi
Rabah bagaimana ingin menguruskan harta yang tidak bertuan dan harta yang
haram, lalu beliau menjawab: bersedekahlah. Pendapat ini turut disokong oleh
Ibn Rajab.
Semoga Allah s.w.t memberi kita kekuatan untuk terus mencari keberkatan dalam
setiap punca rezeki yang kita perolehi, dan membangkitkan kita dalam golongan
hati yang sejahtera.
* ASMADI ABDUL RAHMAN ialah Pensyarah Kolej Shahputra Kuantan, Pahang.
---------------------------------
Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.