Anak kembar cacat: Pemuda PAS bantu ringan beban keluarga Solleh                
                             Mohd Sabri Said      
         Mon | Apr 23, 07 | 12:43:20 PM                              PERMATANG 
PAUH, 23 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat  menyumbangkan RM3,700 kepada 
keluarga Solleh Ahmad, 42, untuk  membantu pembiayaan membeli kerusi roda khas 
bagi kegunaan  anak kembar cacatnya, adik Noor Shafawani dan Shaqilah yang  
kini berusia enam tahun.

  

  Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS  Negeri Pulau 
Pinang, Azizi Ayob ketika mengadakan lawatan ke  kediaman mereka di Kuaters 
Hospital Seberang Jaya, Pulau  Pinang petang semalam.

 
 Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri,  Ustaz Hafiz Nordin; 
Exco Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz  Yusni Mat Piah; Ketua Dewan Pemuda PAS 
Kawasan Permatang  Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah dan beberapa orang Jawatankuasa  
Pemuda peringkat kawasan.

 
 Menurut Azizi, sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak  dapat membantu 
meringankan penderitaan keluarga Solleh dan  isterinya, Zauyah Abdullah Hadi, 
42, yang terpaksa  bergilir-gilir menjagai kedua anak cacatnya.

 
 Selain mempunyai anak kembar cacat berusia enam tahun iaitu  adik Noor 
Syafawani yang cacat anggota tangan dan kaki  akibat menghidap penyakit kejang 
otot (cerebral palsy) dan  Noor Shaqilah tiada sebarang pergerakan sejak lahir 
kerana  menghidap penyakit kepala berair (hydrocephalus) mereka juga  mempunyai 
seorang anak lelaki sulung normal, adik Mohd  Syazwan, 10.

 
 "Awal pagi lagi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayob  menghubungi 
memberitahu kisah seorang bapa merayu kerusi  roda khas untuk kembar cacat 
terpampang di muka depan  akhbar.  Beliau meminta kami wakilkan daripada Pemuda 
PAS  Pusat bagi menghulurkan bantuan, " ujar Azizi.

 
 Sementara itu, Solleh Ahmad ketika menceritakan kisah  penjagaan anaknya 
menambah, beliau yang bekerja petang di  Pejabat Pos Butterworth akan mengasuh 
kedua kembar cacat  pada sebelah pagi sehingga pukul 4.30 petang setiap hari.

 
 Tugas itu akan disambung oleh anak sulungnya kira-kira  setengah jam sebelum 
isterinya yang bertugas di bahagian  pemulihan cara kerja, Hospital Seberang 
Jaya pulang pada jam  5.00 petang.

 
 Setelah berita mengenai kisahnya tersiar dalam akhbar ramai  individu dari 
pelusuk tanah air menelefon bertanyakan  masalah anaknya serta menghulurkan 
bantuan.

 
 Menurut isterinya, semasa berurusan dengan Pejabat Kebajikan  Masyarakat (JKM) 
dan Pusat Urus Zakat (PUZ) mereka terasa  dipermainkan.

 
 "Saya rasa terkilan dengan JKM kerana menolak permohonan  untuk mendapatkan 
bantuan kerusi roda khas dengan alasan  pendapatan suami saya RM900 dan saya 
RM898 sebulan telah  melebihi kelayakan Yayasan Kebajikan Malaysia, " terangnya.

 
 Sedangkan sambungnya, hasil pendapatan berdua baru RM1798  tidak tolak kos 
membeli lampin, perubatan, keperluan hidup  serta pendidikan anak sulungnya.

 
 Namun begitu, beliau sekeluarga tidak mahu membesar-besarkan  isu ini 
sebaliknya menerima sahaja keputusan yang telah  dibuat oleh kedua-dua agensi 
itu.

 
 Bukan apa tambah Zauyah, keperluan memiliki kerusi roda khas  itu semata-mata 
untuk membawa kedua anaknya ke hospital  empat kali sebulan.

 
 Sekarang ini ujarnya, keduanya telah besar dan sukar untuk  kami mendukung 
kerana berat Syafawani 10 kilogram manakala  adiknya Noor Shaqilah meningkat 26 
kg.

   
 Walau bagaimanapun, beliau bersyukur Dewan Pemuda PAS Pusat  kerana prihatin 
untuk membantu membeli kerusi roda khas yang  berharga sekitar RM3,600.

 
 "Apa pun kami sekeluarga berterima kasih pada Dewan Pemuda  PAS Pusat 
khususnya YB Salahudin Ayob dan kepimpinan Pemuda  PAS Negeri yang sudi 
menyumbangkan peruntukan tersebut, "  tegasnya gembira.- mks. 

       
---------------------------------
 Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.

Kirim email ke