Maruah rakyat Malaysia begitu murah - Ezam
Mohd Sabri Said
Tue | May 08, 07 | 03:18:35 PM KEPALA BATAS, 8
Mei (Hrkh) - Maruah rakyat Malaysia kini tiada nilai sehingga kerajaan yang
ternyata zalim dapat membelinya dengan harga paling murah kata Pengerusi
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Mohamad Ezam Mohd Nor.
Menurutnya, rakyat Malaysia hanya mampu melihat dan berpeluk tubuh sambil
tersenyum walaupun kadang-kadang rakan sendiri merana ekoran penindasan yang
berterusan.
"Maruah sepatutnya dijual dengan harga paling tinggi baru kerajaan akan
berfikir kenapa hak itu sukar diperolehi. Tetapi, apakan daya rakyat tak tahu
nilai sehingga dirobek begitu dahsyat oleh pemerintahan yang korupsi, "
tegasnya ketika berceramah di Markas Tarbiyah PAS Negeri di Pongsu Seribu Ahad
lepas.
Sebelum itu, pada sebelah petangnya beliau membentangkan kertas kerja
bertajuk, 'Memerangi Rasuah Agenda Rakyat' sempena Hari Pekerja Kebangsaan
ke-2 di Travel Lounge, Butterworth.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS jelasnya, terasa hairan kenapa pengundi
melayu di Ijok contohnya tidak mengambil aktibar bagaimana kerakusan Menteri
Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo ketika mengarahkan perkampungan Berembang
dimusnahkan demi menyifarkan setinggan di kawasan bandar.
"Orang Melayu masih jauh ketinggalan untuk memahamkan betapa pentingnya harga
maruah dipergandakan berbanding kaum Tionghua yang lebih prihatin senario yang
menimpa negara. Buktinya di Ijok di mana ramai pengundi tionghua berubah
arah, cuma Melayu saja masih sayangkan Umno kononnya pemberi rezeki pada
mereka," katanya dengan nada tinggi.
Cuba tengok jelasnya, peristiwa yang berlaku di sebuah bandar di Korea pada
tahun 1982 di mana dalam satu demokrasi pertama yang mengakibatkan kematian
seramai 133 menentang kerajaan zalim.
Akhirnya sampai hari ini Korea Selatan terpaksa membayar pampasan berjuta-juta
setiap tahun kepada penduduk bandar itu.
"Saya tak suruh orang Kepala Batas ke, Permatang Pauh ke mati, tapi kita kena
letak harga diri setinggi-tingginya. Mereka bangkit sehingga anak Presiden,
menantu Presiden atau Presiden sendiri jika bersalah akan disumbat ke
penjara. Bukan macam Malaysia buatlah salah banyak mana mereka tetap kebal,"
terangnya di hadapan hadirin.
Sikap itu serunya, tidak ada pada rakyat kita sehingga boleh dibuli semahunya
dalam pilihan raya samada kecil ataupun umum.
Kemerdekaan ke-50 tahun sambung Ezam, patut dinilai di mana tahap kedaulatan
negara dan ke mana arah tuju di samping melihat kecenderungan pemerintah
adakah teruskan penyelewengan, rasuah dan penipuan.
Ceramah bertemakan, Pekerja Penggerak Kebangkitan Rakyat itu turut dibarisi
oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Koordinator Pengerak Demokrasi, Anuar
Shaari. - mks.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.