Membiarkan saja Anwar, BA disembelih media!
Ahmad Lutfi Othman
Thu | May 03, 07 | 04:50:35 PM Hakikatnya,
tidak ramai berminat mengikuti perdebatan tentang isu kebebasan media. Ramai
sudah bosan mendengarnya. Dalam dunia praktis di Malaysia, pemerintah Umno-BN
yang rakus itu terus mahu menguasai semutlaknya media perdana, sekali gus
mengongkong akhbar alternatif, termasuk lidah pembangkang seperti Harakah.
Tadi, selepas makan malam di Restoran Haslam, saya menjenguk kedai majalah di
sebelahnya. Taukehnya, seorang India Muslim, pernah mengusahakan sebuah gerai
akhbar di kampung saya, Tunjang, Kedah.
Melihat Harakah ada dijual, saya bertanya: "Banyak lagi Harakah? Tak laku?"
Dia menjawab pantas: "Susah jual Harakah, kelmarin tiga orang polis ugut saya,
kalau jual Harakah lagi, kami saman. Jadi saya kena letak Harakah di bawah."
Dalam kempen pilihan raya Ijok misalnya, terserlah kerakusan tidak bersempadan
itu. Tarian ringkas Anwar Ibrahim ketika disambut dalam satu majlis ceramah di
kawasan pengundi India diulang tayang berkali-kali, semata-mata mahu memberi
imej buruk buat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Soalnya, seperti kata Anwar, apa kesalahan dan dosa yang dilakukannya, hanya
kerana mahu menghormati tradisi kaum India. "Apakah saya bunuh orang, kacau
anak isteri orang, atau terbabit dalam skandal seks seperti yang berlaku kepada
sesetengah pemimpin Umno? Atau, apakah saya peluk pelakon wanita terkenal?"
tanya Anwar dalam satu pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.
Yang peliknya, kata Anwar, orang seperti Menteri Penerangan, Zainudin Maidin,
yang diketaui umum sikapnya terhadap agama, boleh mengeksploitasi hal itu
melalui RTM. Khabarnya stesen tv lain pun turut terikut-ikut dengan taktik
kotor itu selepas menerima arahan Zam.
Begitu juga dengan kes calon KeADILan, Abdul Khalid Ibrahim yang tersasul
ketika menutup satu ceramahnya semasa berkempen, beberapa hari sebelum
mengundi. Masakan orang yang bertungkus-lumus berkempen, siang malam,
menghabiskan duit dan tenaga, tiba-tiba meminta pengundi menyokong lawannya.
Soalnya, beretikakah stesen tv seperti TV3 mengulang-tayang insiden tidak
disengajakan itu semata-mata mahu membantu kempen BN secara tidak bermoral?
(Tapi, mungkin ramai bertanya balik, bila pula TV3 memegang prinsip moral dalam
operasinya? Bukankah selama ini, setiap kali musim pilihan raya, bilik
operasinya bertukar menjadi bilik gerakan kempen BN?)
Keprihatinan saya dalam hal ini ialah bagaimana media, khususnya televisyen
dan akhbar harian, diperalat semahunya demi kepentingan politik pemerintah, dan
segalanya seperti berlalu begitu saja. Bagi sebahagian besar kita, fenomena itu
sudah terlalu biasa dan diterima sebagai kelaziman. Malah ada yang menempelak:
"Masa Anwar TPM dulu pun, semua media terkongkong di bawah dagunya!"
Justeru, usaha membebaskan media menjadi usaha terpisah dan tidak diperhatikan
sangat. Ketika saya kecoh dan heboh mengangkat "keranda Detik", ada kawan-kawan
menyindir bahawa saya menjadi begitu bersemangat hanya kerana Detik yang
diharamkan KDN itu membabitkan perniagaan saya. Terkedu juga saya mendengarnya.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang agak ramai di Dewan Rakyat ketika itu juga
seperti tidak berminat menimbulkan hal ini. Bagaimanapun, Ketua Pembangkang,
Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah membincangkan isu pengharaman Detik dan
Wasilah, sebelum beliau sendiri mengungkitkan perkara itu dalam ucapannya di
Parlimen.
Saya lebih suka mahu tumpuan difokuskan kepada sikap dan keprihatinan
pembangkang sendiri, daripada pemimpin atasan sehingga penyokong akar umbinya.
Cukupkah sekadar meluahkan rasa jengkel dan protes terhadap kebiadaban media
milik BN itu? Dan apa yang kita dapat selepas pembangkang melancarkan boikot
dan pernah akhbar-akhbar harian utama itu dibakar?
Pilihan raya sudah dekat, malah dekat sangat. Tidak lama dulu saya pernah
memberikan tempoh 200 hari, dengan ingatan kita sudah terlewat untuk membuat
persiapan. Saya tak pasti apakah tempoh itu sudah melurut sehingga mungkin
berbaki 100 hari lagi.
Peranan berkesan Anwar di Ijok tentu membuatkan pilihan raya umum ke-12 nanti
diadakan sebelum edah Anwar sebagai "bekas banduan" berakhir, yakni menjelang
April 2008. Agak ramai menelah Parlimen mungkin dibubarkan selepas Bajet 2008
dibentangkan, sekitar Oktober dan November.
Maknanya tarikh itu dekat sangat dah. Peluang membentuk kerajaan baru, atau
lebih tepat jumlah kerusi Parlimen yang akan dikuasai, dan negeri-negeri
tertentu yang dapat ditawan, banyak ditentukan oleh persiapan yang dilakukan
pembangkang hari ini. Bagaimana dengan bekalan kewangan, tenaga kerja, strategi
kempen, pembentukan manifesto, persefahaman pembangkang, keutamaan isu, dan
pendekatan untuk membuatkan rakyat tertarik dengan tawaran pembangkang nanti?
Kita terbukti arif untuk menyalahkan media, tetapi sejauh mana media sedia
ada, termasuk yang berpotensi untuk diusahakan, dimanfaatkan sebaiknya. Memang
benar Harakah kini tinggal 15 hari sekali dengan edarannya hanya tinggal
separuh daripada era September 1998 - Fabruari 2000, tapi apakah dengan itu
segalanya sudah berakhir, dan kita hanya bijak memprotes dan meluahkan amarah?
Dahulu puluhan laman web pro-reformasi yang mendedahkan seribu satu keburukan
pemerintah, khususnya PM Dr Mahathir Mohamad dilayari. Kandungan tulisannya
juga bernas, walaupun banyak juga yang berselirat antara benar dan palsu, fakta
dan khayalan. Ia difotokopi dan beredar ke seluruh pelosok negara. Semua
penjuru, kota mahupun desa, diasak bahan-bahan internet ini. Impaknya, orang
ramai begitughairah untuk mendapatkan apa saja isu terkini jika sumbernya
internet!
Media alternatif selain Harakah yang ketika itu terbit dua kali seminggu,
seperti Detik dan makalah politik tidak berkala, mendapat sambutan luar biasa.
Tamadun keluaran Oktober 1998 misalnya pernah diulang cetak sehingga 150,000
naskhah, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam penerbitan majalah.
Ramai yang tidak akan lupa fenomena 1998-99 itu. Ya, amat sukar dan mungkin
mustahil untuk mengulangi episod itu dalam usia kita. Segalanya sudah berlalu.
Sekarang, kita mesti memulakan semula, dengan keringat dan air mata aktivis
sendiri. Massa kini lebih suka memerhati daripada turut menyinsing lengan.
Semasa era reformasi, ramai individu bekerja keras untuk membantu pembangkang,
dan di antara mereka ada yang sehingga kini langsung tidak dikenali. Begitu
juga dengan web master, mereka bekerja siang malam tanpa mengharapkan upah
walaupun risikonya cukup berat. Penerbit makalah politik juga begitu, mungkin
sambutan pembeli membuatkan mereka menarik nafas lega.
Suasana yang berubah hari tidak harus menyebabkan pemimpin pembangkang masih
mahu mengharapkan sokongan semulajadi itu. Mereka harus mendorong dan
menggerakkan kembali suasana 1998-99 itu, sudah pasti memerlukan dokongan
tenaga dan dana. Yang bulat tidak lagi datang menggolek.
Justeru, cabaran hari Kebebasan Akhbar Sedunia buat pembangkang ialah
bagaimana untuk mewujudkan satu permainan sama rata, dengan inisiatif sendiri,
bukan lagi merintih dan mengeluh, apatah lagi apabila keluhan dan rintihan itu
tidak pernah bertukar menjadi satu laungan yang membingitkan telinga penguasa.
Usah harapkan kemunculan bloggers sebagai fenomena baru yang dapat mengulangi
fungsi dan pengaruh laman web dulu. Usahakan sendiri media berpengaruh,
terutama bahan bercetak, dengan menekankan soal kualiti dan sikap tanpa
kompromi dari segi profesionalisme. Fikirkan juga bagaimana mahu merakyatkan
segala bahan dalam internet supaya proses pendemokrasian maklumat dan idea
dapat diserapkan ke akar umbi.
Idea ini pernah saya lontarkan kepada teman-teman rapat. Sepantas kilat salah
seorang daripadanya memintas: "Jangan cakap banyak Lutfi, kau sendiri patut
memulakan usaha besar ini. Segalanya ada di tangan, gerakkan sebelum terhormat.
Tingkatkan harakahdaily, kemaskan mutu beritanya, cari penganalisis hebat, buat
laporan khas, dan jangan lupa sisipkan wawancara eksklusif."
Ooops, aku pula yang terkena kali ini.
POSTING AWAL
Apa yang mahu dirayakan pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia?
Hari ini 3 Mei, diiktiraf sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Namun begitu,
bukan saja majoriti rakyat mungkin tidak mengetahuinya, malah pengamal media
sendiri tidak menghiraukan, apatah lagi merayakannya. Maaf, saya juga hampir
kehilangan stamina untuk berbicara tentang topik ini, yang bagi kebanyakan
teman-teman media, sudah dianggap basi!
Lagipun, apa yang mahu dirayakan pada hari ini? Kualiti kebebasan media di
negara ini terus merosot. Peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad, yang
pernah dianggap seteru utama akhbar, kepada Abdullah Ahmad Badawi langsung
tidak memberi nafas lega buat penguasaha media alternatif.
Harakah, misalnya, terus ditimpa keperitan. Selepas kekerapannya dipancung,
daripada seminggu dua kali kepada 15 hari sekali, kandungannya pula dicemburui.
Pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mahu mengasak Harakah sekadar
menjadi surat berita. Apa pun, tafsiran tentang maksud newsletter itu juga akan
menimbulkan polemik baru.
Saya kira, khususnya pengamal media alternatif, perlu menggembleng tenaga dan
buah fikiran, termasuk bloggers dan pengendali laman web, memacu usaha lebih
sistematik dan bersungguh-sungguh, bagi menggerakkan kembali proses memaknakan
hari kebebasan akhbar ini.
Memang ia memenatkan, juga mengundang risiko, namun menyerah kalah hanya akan
memberikan "kemenangan percuma" buat musuh-musuh kebebasan akhbar yang mungkin
kini bersalin kulit dan pendekatan.
Saya tidak mahu mengulas panjang hal-hal yang telah saya timbulkan sejak awal
tahun 2000 lagi. Untuk menghormati hari bersejarah ini, 3 Mei, diterbitkan
semula beberapa artikel yang saya dan kawan-kawan dalam Kumpulan Aktivis Media
Independen (KAMI), khususnya Fathi Aris Omar, pernah usahakan, ketika kami
merayakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada malam 3 Mei 2001, di sebuah hotel,
di Kuala Lumpur.
Banyak fakta kes tentang pencabulan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia,
bermula Mei 2001 hingga Mei 2007, boleh dimasukkan kemudian!
I. Tiada siapa rugi jika media bebas
KEBEBASAN akhbar tidak sepatutnya menakutkan mana-mana pihak, termasuk pemimpin
parti pemerintah, malah ia dapat membantu kerajaan yang demokratik, adil dan
pro-rakyat.
Kebebasan akhbar adalah hak kita semua untuk menikmatinya. Benar sekali kata
bistari, kebebasan akhbar mungkin disalahgunakan dan boleh membawa keburukan,
tetapi tanpa kebebasan akhbar, natijahnya hanyalah keburukan semata-mata.
Namun, bagi pemerintah yang takut-takutkan bayang-bayang sendiri, kebebasan
akhbar adalah igauan ngeri. Segala saluran maklumat dimonopoli dan dibelenggu.
Khalayak diperbodohkan dengan bahan berita dan sudut pandangan yang ditapis
oleh kacamata pemimpin pemerintah.
Maklumat yang benar dan analisis yang berwibawa sukar diperolehi. Akhirnya,
khabar angin lebih dipercayai berbanding khabar rasmi media arus perdana.
Dengan perkembangan teknologi maklumat yang pesat dan perubahan drastik
lanskap politik tanahair, isu-isu kebebasan bersuara yang selama ini
terpinggir, mula dibahaskan secara terbuka dan menarik minat ramai. Tuntutan
agar segala akta kolot, usang dan ketinggalan zaman dimansuhkan -- misalnya
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri -- semakin
lantang disuarakan.
Alhamdulillah, mutakhir ini, keresahan dan kegelisahan pengamal media arus
perdana tidak dapat dibendung lagi. Selain memorendum yang dihantar oleh lebih
1,000 orang wartawan kepada Timbalan Perdana Menteri, para editor kanan juga
membangkitkan soal sekatan ini dalam satu pertemuan dengan seorang menteri
ekoran tragedi di Kampung Medan.
Justeru, sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 2001 selayaknya diraikan
bersama oleh seluruh pengamal media, tidak kira dari media arus perdana ataupun
media alternatif. Kita sebenarnya mempunyai cita-cita luhur yang sama, manakala
perbezaan pandangan dalam beberapa isu lain tidak seharusnya mengasingkan kita
dari menuntut dan memperjuangkan agar kebebasan media dikembalikan seberapa
segera yang boleh.
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan Harakah cuba merintis jalan
membina persefahaman lebih kental di kalangan seluruh warga media,
sekurang-kurangnya bagi mencetuskan iklim lebih selesa buat kita menulis dan
berkarya. Diharapkan selepas ini, idea dan tuntutan kebebasan media akan
dibincangkan oleh khalayak yang lebih besar.
II. Usaha sistematik menindas media
SEMUA akhbar dan stesen penyiaran arus perdana di Malaysia dipunyai atau
dikawal pemerintah, BN. Sementara itu penerbitan dan pengedaran akhbar-akhbar
bebas dihalang dan diharamkan, khususnya selepas pilihan raya 1999.
Wartawan yang terus menerbitkan tanpa mengikut syarat permit menurut Akta
Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang dikuatkuasakan Kementerian Dalam Negeri
(KDN) diugut, diserbu, dirampas dan didakwa di mahkamah.
Dua syarikat penerbitan, satu di Jalan Pahang, Kuala Lumpur dan satu lagi di
Gombak, Selangor diserbu dua kali sepanjang tahun 2000. Difahamkan ramai
pencetak yang berani telah diugut polis, dan kerana takut permit dibatalkan,
mereka tidak lagi bersedia untuk mencetak bahan-bahan yang tidak selari dengan
pemerintah. Pegawai-pegawai KDN juga merampas bahan-bahan terbitan. Seorang
kakitangan syarikat Penerbitan Pemuda didakwa di mahkamah pada November 2000.
Sementara dua syarikat percetakan di Selangor, satu di Shah Alam dan satu
lagi di Sungai Buloh, juga diserbu KDN. Selain itu, operasi merampas dan
menangkap pengedar-pengedar penerbitan bebas dijalankan -- beberapa kali di
Wisma Yakin, Kampung Baru di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Shah Alam (Selangor)
dan beberapa negeri lain.
Dalam rampasan ini, kaset, video cakera padat (VCD), majalah dan tabloid
dirampas. Pengedar juga ditahan di balai-balai polis untuk tempoh beberapa jam
hingga hampir 24 jam.
Kerajaan Selangor juga mengeluarkan pekeliling mengharamkan sebarang
penerbitan pembangkang dan anti-kerajaan diedar dan dijual di bangunan
miliknya, termasuk yang di bawah PKNS. Akibat tekanan yang berterusan tidak
semua pengedar sanggup meneruskan jualan dan hasil pengedaran sedikit sebanyak
menurun.
Mac 2000, akibat ketewasan mengejut Umno dan kehilangan pengaruh yang besar
di kawasan-kawasan pengundi Melayu, kerajaan mengurangkan penerbitan akhbar
pembangkang berpengaruh Harakah kepada dua kali sebulan, daripada lapan kali
sebelumnya.
Januari tahun yang sama, kerajaan mengheret editor Harakah, Zulkifli Sulong,
dan syarikat percetakannya ke mahkamah berasaskan sebuah rencana yang
diterbitkan pada 1999. Syarikat percetakan itu mengaku bersalah dan dikenakan
denda.
Zulkifli, jika sabit kesalahan di bawah Akta Hasutan, boleh dipenjara selama
tiga tahun. Kerajaan cuba menutup mulut kami, katanya.
Tahun 2000, majalah-majalah Detik (bermula Disember, 1999) serta Al-Wasilah
(Ogos 2000) dan tabloid mingguan Eksklusif (April 2000) dibatalkan permit
penerbitannya oleh KDN tanpa sebab yang kukuh dan meyakinkan. Malah, permit
Detik sebenarnya telahpun diperbaharui KDN dan bayaran RM500 telah dijelaskan,
tetapi ia ditarik balik atas arahan Pak Lah.
Februari 2001, sebuah majalah politik bulanan, Gosip, tidak diperbaharui
permitnya dan hingga kini terus tergantung. Menjadi kelaziman KDN, mungkin
untuk membendung protes terbuka, dengan melambat-lambatkan proses pengharaman
sesuatu permit penerbitan.
Di kalangan wartawan yang bertugas dengan organisasi media arus perdana
yang dikawal ketat syarikat kroni dan KDN -- mereka mengamalkan penapisan
sendiri sebagai budaya semula jadi akibat tekanan kerajaan dan ketua-ketua
pengarang mereka.
Wartawan di negara mendapat bayaran terbaik di rantau Asia Tenggara, tetapi
kebebasan sangat terhad atau tidak ada sama sekali. Pendek kata wartawan arus
perdana berjaya dijinakkan. Seorang dua yang tidak sabar akan meninggalkan
kerjaya itu atau mencari pekerjaan dengan syarikat-syarikat media luar negara.
Selain syarikat media, pertubuhan rasmi wartawan untuk wartawan -- misalnya
NUJ, Persatuan Wartawan Melayu dan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama)
-- semuanya dikawal oleh golongan yang bertugas dengan media arus perdana.
Kawalan yang ketat ini diteruskan dalam organisasi-organisasi ini -- tugas
utama menjaga kebajikan, gaji dan sosial wartawan.
Sebagai contoh NUJ, dan begitu juga beberapa organisasi wartawan tadi,
berdiam diri apabila kerajaan menutup tiga penerbitan Melayu berpengaruh itu.
Bagaimanapun, sekumpulan wartawan arus perdana yang digerakkan wartawan kanan
di The Star dan New Straits Times (dengan sokongan hampir 1,000 rakan mereka)
menghantar memorandum agar KDN menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
Usaha ini diteruskan sejak 1999 lagi.
Kumpulan ini juga menemui Menteri Dalam Negeri, yang juga Timbalan Perdana
Menteri Abdullah Ahmad Badawi, pada April 2000 dan sempat membincangkan
beberapa idea progresif, misalnya penubuhan Majlis Akhbar yang bebas dan
dikawal selia oleh wartawan sepenuhnya.
Selepas menghadapi tekanan yang semakin serius, sekumpulan wartawan Melayu
akhirnya bergabung dan menghantar memorandum tujuh perkara kepada Suhakam pada
awal Oktober.
Gabungan longgar beberapa aktivis dan wartawan media bebas itu menggelarkan
diri mereka Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI). Kumpulan ini akhirnya
bergerak lebih cergas untuk menahan arus tekanan yang semakin kuat dan
membangkitkan kesedaran pelbagai pihak bahaya tekanan kerajaan ini.
Ekoran itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad sendiri sudah tahun
berturut-turut sejak 1999 diisytiharkan seorang dari 10 pemimpin negara yang
dianggap musuh utama akhbar di peringkat antarabangsa.
Senarai 10 nama ini diterbitkan beberapa organisasi di peringkat
antarabangsa, seperti Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang beribu
pejabat di New York (Amerika Syarikat)dan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang
berpangkalan di Paris (Perancis), pada 3 Mei setiap tahun, sebagai bantahan
masyarakat antarabangsa terhadap pemimpin politik dan kerajaan yang menindas
kebebasan akhbar.
Sejak Februari dan Mac, kerajaan secara rasmi melarang wartawan sebuah akhbar
web harian, Malaysiakini.com, daripada menghadiri acara-acara rasmi dan sidang
akhbar kerajaan. Media-media arus perdana juga menyiarkan kecaman-keceman
menteri dan pegawai kerajaan terhadap akhbar ini.
Malah Perdana Menteri sendiri menganggap akhbar web ini sebagai pengkhianat
negara dan sesiapa yang sayangkan negara ini tidak harus menyokongnya (akhbar
web tersebut) dalam isu kontroversi apabila Malaysiakini.com cuba dikaitkan
kononnya menerima sumbangan George Soros.
Walaupun sering mengecam secara umum media-media luar negara, kerajaan
sebelum ini belum mengambil sebarang tindakan. Pada akhir Februari dan
berlanjutan sehingga Mac 2001, kerajaan melambat-lambatkan pengedaran dua
majalah mingguan terkenal, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review (FEER)
sehingga sampai tiga minggu. Kerajaan juga menubuhkan jawatankuasa bersama
antara Kementerian Luar dengan Kementerian Penerangan kononnya untuk memantau
laporan-laporan negatif media asing.
Awal Mac 2001, polis merampas komputer pengendali laman web Kempen Bebaskan
Anwar (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin untuk siasatan berhubung kes hasutan
dan pada 11 April 2001, beliau ditahan di bawah ISA bersama sembilan lain.
Turut ditahan ISA, penulis kolum Malaysiakini.com, Hishamuddin Rais.
Pertengahan April pula, kerajaan mengeluarkan kenyataan untuk mengetatkan
undang-undang berhubung media, khususnya undang-undang internet dan akta
penerbitan (PPPA).
Walaupun belum ada langkah konkrit diambil setakat ini, tetapi kenyataan yang
semakin serius untuk memantau penerbitan dan pengedaran media bebas, selain
kejayaan media ini mendedahkan isu-isu penting negara, usaha kerajaan ke arah
mengawal internet dan media cetak (terbitan syarikat persendirian) dijangkakan
akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan tahun ini juga.
II. Nyatakan sokongan terbuka untuk kebebasan akhbar 3 Mei
PADA 3 Mei, seluruh dunia akan menyambut Hari Kebebasan Akhbar. Hari ini
telah diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mulai
1993 tetapi sambutannya di peringkat antarabangsa telah dimulakan sejak 1991.
Menurut PBB, 3 Mei adalah hari untuk:
1. menggalakkan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar
2. menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia
3. mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk
menghormati kebebasan akhbar
4. menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas
5. mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan
mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan
6. mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia
7. menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa
tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan akhbar.
Memandangkan pencabulan dan kawalan semakin meningkat terhadap media bebas
(cetak), penerbit dan pengedarnya, media web (Internet), media luar negara dan
juga media pembangkang di negara ini, KAMI menggesa supaya sambutan Hari
Kebebasan Akhbar pada 3 Mei 2001 (Khamis)diadakan secara besar-besaran.
Sambutan ini sejajar dengan matlamat yang telah digariskan oleh PBB dan
juga perjuangan organisasi-organisasi wartawan peringkat antarabangsa seperti
UNESCO (sebuah agensi PBB), WAN (Persatuan Akhbar Sedunia) dan IFEX (Rangkaian
Kebebasan Bersuara Antarabangsa) adalah untuk:
(a) mengingatkan kerajaan Malaysia agar menunjukkan iltizam untuk menghormati
kebebasan akhbar, dan
(b) menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa
tindakan-tindakan kerajaan Malaysia untuk menghalang, atau menghapuskan,
kebebasan akhbar.
Keputusan untuk menegaskan kepentingan perjuangan kebebasan media telah
dicapai di kalangan aktivis media bebas KAMI dengan kumpulan-kumpulan
penerbitan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada pertengahan
bulan ini.
Oleh itu, KAMI menggesa semua syarikat penerbitan bebas di negara ini,
penulis-penulis sambilan, laman-laman web reformasi dan biro-biro penerangan
(serta penerbitan) parti-parti politik agar menyiarkan berita, rencana,
wawancara, surat, pandangan dan kenyataan ke arah memupuk dan mempertahankan
kebebasan akhbar di negara ini mulai hari ini hingga 3 Mei, 2001.
KAMI juga menggesa parti-parti politik Barisan Alternatif dan anggota-anggota
Dewan Rakyat BA membawa isu ini dalam ceramah-ceramah mereka di seluruh negara
dan juga dalam sidang dewan yang sedang berlangsung sekarang.
Sebagai sekumpulan wartawan bebas, KAMI sedar parti-parti pembangkang dan NGO
negara ini telah dinafikan hak untuk bersuara dan mendapat liputan media yang
adil dan saksama daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar-akhbar
arus perdana.
Oleh itu, kepada segenap lapisan rakyat sebagai pengguna maklumat, KAMI
menggesa rakyat agar bersatu tenaga bagi menyekat tindakan-tindakan
anti-demokrasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
----- Tulisan-tulisan ini dipetik daripada
http://www.detikdaily.net/detik2002/
---------------------------------
Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy
and free. Do it now...