MT Umno gusar kerana Ijok beri implikasi negatif kepada BN
Harakahdaily
Tue | May 08, 07 | 12:03:12 PM KUALA LUMPUR, 8
Mei (Hrkh) - Walaupun Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan
Ijok sudah berakhir 28 April lepas namun masih banyak faktor yang menghantui
Barisan Nasional di sebalik apa yang didakwa sebagai 'kemenangan besar' mereka.
Hasil Ijok dilaporkan begitu menggusarkan Majlis Tertinggi Umno yang
bermesyuarat pada 30 April lepas, dilaporkan menghentam dan mengkritik Dato'
Seri Anwar Ibrahim serta menzahirkan kegusaran mereka menghadapi serangan Anwar
dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Anwar yang ditemui Harakah baru-baru ini juga tekejut beliau menjadi sasaran
kecaman puak-puak Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, sekaligus MT membuat
keputusan tidak menerima kehadiran Anwar ke dalam Umno.
"Saya pelik, saya tidak pernah memohon masuk Umno, malahan saya tegaskan banyak
kali bahawa saya tidak berminat langsung dengan mereka, tetapi mengapa
tiba-tiba nama saya disebutkan," tegas Anwar.
Bagaimanapun bagi Anwar kecaman terhadapnya oleh Najib dan kuncu-kuncunya dalam
Umno boleh dijangka, kerana Timbalan Perdana Menteri jelas tidak senang duduk
dengan serangan Anwar terhadap beliau.
Bagi Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali pula, hasil Ijok cukup
menyerlahkan betapa BN begitu gentar dan gusar dengan kehadiran Anwar
sepanjang sembilan hari kempen berlangsung.
Bercakap dalam temubual bersama Harakah, Azmin memberitahu, antara faktor
yang membimbangkan BN, di sebalik curahan RM100 juta di Ijok, KeADILan
berjaya menaikkan 13 peratus undi secara keseluruhan.
"Kita dapat melihat sokongan pengundi muda kepada KeADILan melalui keputusan
pilihan raya kali ini, di mana kami mendapati sokongan mereka ini meningkat
berdasarkan kemenangan di saluran 3 dan 4 di banyak peti undi," katanya.
Katanya, KeADILan amat berterima kasih kepada pengundi muda di Ijok kerana
walaupun mereka dibuai dengan kemewahan yang dicurahkan oleh BN, mereka tidak
terkesan dengan rasuah sementara tersebut.
Menurutnya, sokongan tersebut diberikan kerana pengundi muda boleh menilai
kemampuan dan kewibawaan Anwar untuk menguruskan hasil mahsul negara pada
masa akan datang.
"Manakala mengenai sokongan pengundi cina kepada KeADILan pula, jika dilihat
di kawasan majoriti pengundi cina di Pekan Ijok yang mengandungi 67.3
peratus, undi KeADILan telah bertambah sebanyak 278 undi berbanding 306 undi
semasa PRU 2004 yang lalu," ujarnya.
Menurut Azmin, hasil Ijok merupakan satu petanda yang menakutkan BN khususnya
MCA dan Gerakan sehingga Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi
sendiri menegur kedua-dua parti tersebut akibat kelalaian mereka.
Dalam temubual tersebut, Azmin juga menyenaraikan 10 salahlaku BN di Ijok
yang disifatkannya sebagai kemenangan BN dalam curahan rasuah, kemenangan
tidak bermoral dan tidak beretika.
10 salahlaku adalah seperti berikut:
Pertama
Menteri Besar Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM36 juta untuk
melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang perlu disiapkan dalam tempoh
dua minggu.
Persoalannya bagaimana tender-tender ini diagih-agihkan? Sudah tentu ianya
bukan tender yang terbuka tetapi secara rundingan terus.
Saya yakin penerima tender ini adalah kroni-kroni Umno/BN dan oleh kerana
mereka melaksanakan segalanya dalam keadaan tergesa-gesa, maka kerja-kerja
seperti menurap jalan raya terpaksa dilakukan selama 24 jam bagi memastikan
ia siap berdasarkan jadual.
Oleh itu, kualiti jalan tersebut tidak dapat dipertahankan serta kos akan
meningkat kerana pekerja-pekerja terpaksa dibayar tiga kali ganda yang
meningkatkan kos RM1 juta menjadi RM3 juta.
Kedua
Timbalan Perdana Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM 3.2 juta. Ia
merupakan satu tindakan yang tidak bermoral di kalangan pemimpin BN yang cuba
membeli undi dengan menggunakan projek-projek pembangunan kerana tindakan ini
tidak berlaku di mana-mana negara di dunia ini melainkan di Malaysia sahaja.
Ketiga
TPM meluluskan peruntukan sebanyak RM 500 ribu untuk setiap masjid di Ijok.
Terdapat lapan masjid di Ijok yang tidak diperbaiki dan di selenggarakan
sebelum ini.
Keempat
TPM meluluskan peruntukan sebanyak RM 50 ribu untuk setiap surau di ijok
yang berjumlah 19 surau yang semua sekali berjumlah RM 950 ribu.
Kelima
TPM meluluskan dewan SRJK Yuk Hwa sebanyak RM 1 juta
Keenam
Rumah berhala untuk penganut Hindu dan Buddha
Ketujuh
Pemberian geran tanah yang diluluskan kepada masyarakat India. Surat
kelulusan ini ditandatangani oleh Pegawai Daerah yang juga bertindak sebagai
pegawai pengurus pilihan raya. ini telah bertindih, di mana keadilan dan
kebebasan yang sebenarnya?
Kelapan
Pemberian 200 unit mesin jahit untuk pengundi-pengundi di Tuan Mee sedangkan
di sana ada 1030 pengundi.
Kesembilan
Puteri-puteri Umno yang tinggal di rumah-rumah di kawasan-kawasan Melayu
menyediakan barang-barang dapur seperti beras dan gula setiap hari dalam tempoh
dua minggu (guna merasuah pengundi).
Kesepuluh
Memberi sogokan dalam bentuk wang tunai kepada pengundi melayu dengan kadar
RM 200 hingga RM 1500 seorang semasa kempen. - mr
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.