Senator Wan Ubaidah: Merdekakan rakyat, hapus pelbagai akta zalim         
                                    Nyza Ayob      
         Wed | May 09, 07 | 05:36:39 PM                           KUALA LUMPUR, 
9 Mei (Hrkh) - Senator Wan Ubaidah Omar mengharapkan kerajaan dapat menimbang 
untuk menghapuskan pelbagai akta yang menyekat rakyat seperti Akta Hasutan, 
Akta Keselamatan Dalam Negeri supaya rakyat benar-benar dapat menyatakan 
pendapat walaupun mempunyai pandangan yang berbeza dengan sistem kerajaan yang 
memerintah.

 

     Beliau berkata demikian sewaktu perbahasan menjunjung kasih Seri Paduka 
Baginda Yang Dipertuan Agung di Dewan Negara hari ini.

 
"Tanpa halangan daripada sebarang akta ini akan dapat membawa negara ke arah 
yang kita kehendaki seperti 'world class' atau 'first class mentality'. 
Seharusnya rakyat dimerdekakan dan tidak mengikat mereka dengan pelbagai akta 
seperti ini," katanya.

 
Bagaimanapun kenyataan Wan Ubaidah itu disangkal oleh Dr Mohd Puad Zarkashi 
yang menyatakan ISA bukan akta yang zalim serta digunakan sewenang-wenangnya 
oleh kerajaan.

 
"Sebagai sebuah negara yang melalui fasa pertama merdeka, apakah merdeka ini 
membenarkan kita sebebas-bebasnya. Dahulu sewaktu PAS dalam Barisan Nasional 
sokong ISA. Pembangkang juga boleh sewenang-wenangnya bercakap apa sahaja dalam 
ceramah di Ijok. Begitu juga dengan fitnah oleh 'bloggers' di internet."

 
"Pembangkang kata zalim sedangkan perkataan zalim ini mempunyai maksud yang 
luas. Mengumpat orang serta mengata kerajaan juga zalim namanya. Dalam bab ini 
mereka mengatakan mereka bukan zalim kerana kerja mereka adalah 
berceramah,".katanya.

 
Dalam pada itu, jelas Wan Ubaidah jika ISA bukan akta yang zalim, tetapi 
tangkapan yang dibuat ke atas anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli, tidak ada 
satu bukti yang menunjukkan beliau bersalah.

 
"Setiap kali bercakap mengenai ISA, kita mengharapkan kerajaan mengadili 
sebagaimana yang didakwa kesalahan-kesalahan mereka. Apabila saya sebutkan 
mengenai keadilan, saya mengharapkan kerajaan benar-benar melaksanakan 
keadilan. Pembangkang seharusnya diberi ruang di dalam media."

 
"Apa yang ada pada kita hanya mulut dan air liur. Sebab itu pembangkang tidak 
ada pilihan lain selain ceramah. Mujurlah ada alternatif lain sekarang ini. 
Bagaimana pun kerajaan melihat 'bloggers' ini sebagai satu ancaman serta 
mencadangkan diwujudkan akta bagi menyekat kehadiran 'blog' ini," katanya.

 
Sementara itu, Senator Ismail Kasim yang sependapat dengan Mohd Puad juga cuba 
membangkitkan isu tindakan pembangkang menahan bas yang dikatakan membawa 
'pengundi hantu' sewaktu pilihan raya Ijok berlangsung.

 
"Tindakan menahan bas ini menyalahi undang-undang. Setelah diperiksa mereka 
yang di dalam bas ini tidak terlibat sebagaimana didakwa pembangkang. Mereka 
berada di balai polis dan siasatan dijalankan dengan adil oleh polis," katanya 
yang turut mendakwa Wan Ubaidah hanya mengenali Nik Adli daripada luaran tanpa 
mengetahui mengenai perkara berkaitan ancaman keselamatan yang hanya diketahui 
kerajaan.

 
Menjawab kenyataan ini jelas Wan Ubaidah, untuk 'memerdekakan' rakyat 
sekurang-kurangnya harus mempunyai bukti yang jelas bagi kesalahan yang didakwa 
supaya keluarga mereka yang ditangkap mengetahui apakah punca penagkapan 
tersebut.

 
"Mengenai Ijok, itu menunjukkan satu tindakan yang adil. Polis telah mengadili 
sebaik-baiknya mereka yang disyaki dalam bas tersebut."

 
 "Bagaimanapun pengundi di Ijok telah ditakut-takutkan dengan kehadiran polis 
simpanan persekutuan (FRU)," jelasnya yang mengharapkan kerajaan melalui SPR 
dapat mengadili pilihan raya dengan seadilnya supaya wujud demokrasi yang 
sebenar di Malaysia. - mks. 


       
---------------------------------
 Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for 
your freeaccount today.

Kirim email ke