Ustaz Hadi: Bukan semua pengundi boleh dibeli
Intan Abdullah
Thu | May 10, 07 | 07:22:38 PM Presiden
PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tampak yakin, pilihan raya kecil Dun
Ijok boleh dijadikan asas bagi mengukur kecenderungan rakyat untuk menolak BN.
Walaupun BN melimpahkan peruntukan yang besar serta pelbagai sekatan dan
ugutan, hakikatnya bagi beliau bukan semua orang boleh dibeli! Ikuti wawancara
wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH dengan beliau di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja
Laut pada 7 Mei lalu.
Adakah Ijok menjadi ukuran kepada prestasi PAS dan BA untuk menghadapi
pilihan raya yang akan datang?
Ia tidak boleh menjadi ukuran kepada prestasi kita kerana ia hanyalah sebuah
pilihan raya kecil sahaja. Lagipun pada masa sama, kita berada di padang yang
tidak sama rata.
Itu pun, terdapat peningkatan yang memuaskan. Bahkan BN tidak boleh berbangga
dengan kemenangan mereka yang tidak setara dengan wang yang dilaburkan. Ia
sekali gus membuktikan a rakyat boleh berubah kerana tidak semua orang boleh
dibeli dengan wang dan kebendaan Kita telah menghadapi banyak pengalaman
pilihan raya kecil seperti di Pendang, selepas kematian Almarhum Dato' Fadzil
Noor, kita berjaya di Anak Bukit.
Jadi, Ijok tidak boleh menjadi kayu pengukur kekuatan mahupun prestasi BA
secara keseluruhannya.
Namun begitu, saya yakin dengan semangat pengundi Ijok yang berjaya
meningkatkan undi KeADILan dan ia akan dapat dipertahankan dalam keadaan
isu-isu terkini yang mendedahkan kelemahan dan penyelewangan Umno-BN.
Rakyat akan melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang. Saya juga
melihat prestasi jentera BA adalah lebih baik dan ia telah meningkat dalam
pilihan raya kali ini.
BN merasakan keputusan Ijok boleh menjadi petunjuk bahawa mereka akan menang
besar dalam pilihan raya umum nanti?
Saya berpandangan pilihan raya kecil Ijok tidak boleh menjadi asas kepada
kenyataan tersebut. Kita melihat tidak ramai penduduk tempatan hadir ke majlis
ceramah kerana mereka diugut dan dihalang. Ini kerana jentera media BN iaitu
RTM, TV3 dan semua saluran penyiaran telah masuk ke setiap rumah rakyat di
negara ini. Namun begitu, saya percaya perubahan akan berlaku dalam pilihan
raya umum ananti. BN tidak mungkin dapat menjalankan strategi sebagaimana di
Ijok.
BN turut babitkan polis untuk menyekat pembangkang, komen Tuan Guru?
Polis tidak berhak mempertikai aktiviti kempen parti yang bertanding dalam
pilihan raya dengan mengatakan ia memerlukan permit untuk mengadakan ceramah
dan aktiviti kempen yang lain. Bahkan kita dimaklumkan untuk mengadakan ziarah
rumah ke rumah pun perlu mendapatkan permit. Ini satu perkara yang tidak wajar
dibangkitkan polis jika dinilai dari sudut undang-undang. Polis hendaklah
berperanan secara adil dan telus kerana mereka jentera kerajaan yang
bertanggungjawab menjaga keamanan semua pihak, bukan BN sahaja.
Pandangan terhadap SPR?
SPR tidak menjalankan tugas yang sepatutnya. Jika mereka tidak menunaikan
tanggungjawab dengan baik, ia memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara.
Orang yang diamanahkan menerajui SPR harus ingat bahawa mereka tidak akan
memegang jawatan itu selama-lamanya.
Justeru, mereka sepatutnya meninggalkan nama yang baik sepertimana yang
diamalkan sebahagian negara bukan Islam apabila bersikap berani menjunjung
amanah rakyata walaupun berbeda pandangan dengan pemerintah.
SPR di Malaysia sewajarnya bersikap berani untuk mengemukakan cadangan serta
melakukan reformasi dalam pengurusan pilihan raya. Sebelum ini SPR pernah
menyatakan bahawa peraturan pilihan raya kita telah lapuk dan perlu diubah
tetapi keberanian itu telah hilang. Alangkah baiknya jika sikap ini diteruskan
SPR.
Apakah PAS boleh pertahankan Kelantan dan merampas semula Terengganu?
Insya Allah kita akan dapat pertahankan Kelantan dan selepas menjalankan
post-mortem pilihan raya umum lalu, kita dapati PAS kalah di Terengganu bukan
disebabkan sokongan rakyat yang beralih arah.
Faktor kekalahan kita di Terengganu disebabkan pertambahan undi secara
'ekstrem' pada saat akhir pengundian. Di samping itu, Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN) serta SPR turut membantu memenangkan BN dan Umno.
Kita juga dapati pengundi Terengganu masih menyokong kita dalam pilihan raya
umum lalu. Disebabkan penyelewengan terhadap amalan demokrasi, maka rakyat akan
bangkit semula pada pilihan raya akan datang.
Kita akan meneruskan perlaksanaan di peringkat negeri, seperti pengecualian
cukai pintu, menyelesaikan masalah geran tanah dan penduduk setinggan yang
telah menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan BN hari ini.
Rakyat juga dapat membezakan antara pemerintahan PAS selama empat tahun
berbanding BN sebelum dan selepasnya. Ia adalah satu hujah yang kukuh bagi
membuktikan keadaan ini.
Di Kelantan pula, kita mendapat sokongan daripada ahli-ahli Umno yang baru
menyertai PAS dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul
Aziz Nik Mat akan meneruskan kejayaan yang pernah dicapai seperti sebelum ini.
Saya sangat yakin, PAS akan dapat pertahankan Kelantan.
Harapan Tuan Guru kepada pengundi luar Kelantan dan Terengganu?
Saya ingin menyeru kepada pengundi luar yang telah disalahgunakan sebagai
pengundi hantu, yang merupakan alat BN. Dalam hal ini, kita perlu terus
menghayati amalan demokrasi secara telus. PAS memberi amaran kepada mereka
(pengundi hantu), "jangan datang ke tempat kami, jika tidak, anda akan menerima
akibat yang besar."
Petugas PAS juga tidak akan tunduk kepada mereka dan bersedia untuk bertindak
bagi menghadapi mereka.
Seruan kepada pengundi yang tinggal di luar kawasan apabila tiba pilihan raya
nanti?
Saya menyeru kepada seluruh pengundi di luar kawasan agar pulang ke kampung
masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab mereka kerana ini merupakan satu
kewajipan. Pilihan raya merupakan tanggungjawab untuk memilih sebuah kerajaan
Islam yang menjalankan dasar amar makruf nahi mungkar.
---------------------------------
Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy
and free. Do it now...