Sempena Hari Ibu: Perjalanan terakhir mak
Ahmad Lutfi Othman
Thu | May 10, 07 | 03:39:02 PM Apabila isteri,
Siti Hawa Samsam, mengejutkan saya jam 5.20 pagi, Sabtu, 1 Mei 1999, saya rasa
ia hanya untuk mengingatkan waktu Subuh telah dekat. Tetapi melihatkan raut
mukanya yang pucat, matanya yang berair, bibirnya terketar-ketar, jantung saya
berdegup kencang. Saya hanya menunggu, seperti seorang pesalah menanti hukuman.
"Mak ...," katanya terputus-putus. "Liza telefon tadi ... mak dah tak ada,
bang."
Sepi. Pilu. Sebak. Bagaikan segala pergerakan terhenti. Saya hanya mampu
menarik nafas, cuba mententeramkan diri. Tidak perlu lagi saya bertanya, apa
sakit mak, bila mak meninggal, di mana mak menghembuskan nafas terakhir. Segala
persoalan bertukar menjadi jawapan. Yang penting, mak sudah tak ada.
Kosong sekeliling
Saya terpaku di katil hampir lima minit, memandang kosong sekeliling.
Terbayang wajah kudus mak, bicara manja mak, nasihat bermakna mak, kelembutan
tangan mak, syahdu suara mak mengaji al-Quran, tekunnya mak menjagaku hampir
sebulan ketika sakit, gelisahnya mak bila diberitahu SB selalu menganggu
kehidupanku, dan sepinya dunia yang terasa menghimpit dan menggigit.
Terdengar isteri sibuk mengejutkan anak-anak. Yang kecil, Umar Mukhtar
merengek. Selepas menyusun kembali tarikan nafas, saya turut membangunkan
anak-anak lain. Luqman Hakim kebingungan bila diminta cepat bersiap balik
kampung: "Buat apa balik kampung. Abang nak periksa besok."
Adiknya, Nurul Syafiqah dan Ikmal Syafiq, mengeliat kiri dan kanan, maklumlah,
malam tadi mereka tidur selepas 12 tengah malam.
Tanpa menunggu anak-anak bangun, saya ke bilik air. Di samping wajah ibu
memenuhi ruang rumah, sekilas ingatan buat bapa, yang meninggal dunia hampir 20
tahun lalu, menyentuh kalbu. Pandangan tertumpu kerusi di anjung rumah, tempat
mak selalu berehat dan berbual mesra denganku bila datang KL.
Kesedihan rupanya cukup menyakitkan.
Lemas dan sesak
Pancuran air panas tidak dapat menghilangkan kedinginan Subuh. Siramannya
hanya dari dada ke bawah. Jika bermula dari kepala, terasa lemas dan sesak.
Semasa membentang sejadah, sebak di dada memuncak.
Pipiku panas menahan larian air mata. Di bilik sembahyang itulah mak selalu
mengurut badanku sambil bercerita pahit manis kisah silam dan gelagat
cucu-cucunya di kampung, memicit kepalaku sambil mengingatkan pantang larang
sakit yang kutanggung.
Selalunya bila mak datang, mak akan 'melaporkan' segala perkembangan di
kampung, siapa yang akan naik haji, siapa yang berkahwin, siapa yang meninggal,
apa khabar saudara di kampung, sihatkah Teh, Tok Su, Tok Jam, Wa, Pak Su.
Sambil berteleku memohon doa, kurasakan perjalanan hidup ini terlalu singkat.
Baru beberapa minggu lalu, mak ceria bersama cucu-cucunya, bergembira bersama
menantunya, langsung tidak menampakkan sebarang penyakit serius yang
ditanggungnya.
Usah terlewat membalas jasa ibu bapa
Sejak Umar lahir enam bulan lalu, sudah empat kali mak ke KL, menguruskan
isteriku, menemaniku di hospital, dan kali terakhir "nak tengok rumah baru Mad
(panggilan untuk diriku)".
Selepas pak meninggal, saya selalu menghayati kata-kata nasihat yang cukup
bermakna: "Selalunya, apabila kita teringat untuk membalas jasa ibu dan ayah,
kita sudah terlewat."
Saya genggam sungguh-sungguh tuntutan di sebaliknya. Janganlah ada apa-apa
tindakan dan kata-kata yang boleh menumpahkan air mata mak. Berbaktilah semasa
mereka masih segar bugar, jangan ditunggu lagi. Menunggu bermakna kita pasti
terlewat, percayalah.
Mak mungkin tak tahu banyak tentang pergolakan semasa, tetapi maklah yang
menjadi pendorong dan sumber inspirasi selama ini. Bermula selepas dipecat UTM,
ditangkap ISA, disusahkan kerjaku sebagai penulis, mak amat memahami perasaan
dan kehendak anak kelimanya ini.
Kedegilanku untuk terus mencabar, sejak zaman kampus, mungkin menggusarkannya
tetapi sedikitpun tidak pernah dihalangnya, dan saya langsung tidak merasakan
mak tidak selesa dengan apa yang saya lakukan.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Raja, Kubang Pasu, cukup lama dan
panjang sekali.
Sebelum bertolak, isteri sempat membisikkan, "inilah saatnya yang paling takut
ditempuh, pulang ke kampung, tanpa mak yang menunggu ... akhirnya detik itu
datang juga."
Wajah mak di mana-mana
Melalui lebuh raya, pandangan dilemparkan di kejauhan mencari makna sisa-sisa
hidup di sebalik wajah mak yang melintas di mana-mana.
Abang sulungku, Dinsman, rupanya masih belum tiba, ketika kami sampai. Dia
dalam perjalanan dari Kota Bharu. Kak Ton, Kak Na, Bang Ludin, Adik Ishak
menyimpan kesedihan. Alhamdulillah, mereka di sisi mak ketika mak nazak,
kesempatan paling bermakna buat seorang anak.
Sambil menahan air mata, wajah syahdu mak kukucup:"Semoga Allah mengasihinya,
sebagaimana mak mengasihiku di masa aku kecil hinggalah ke detik ini."
Buat pembaca, mohon maaf kerana catatan ini terlalu bersifat peribadi.
Al-Fatihah buat Aishah Megat Hamzah.
* Tulisan ini disiarkan pertama kalinya oleh majalah Detik keluaran 15 Mei 1999
(yang kemudiannya diharamkan KDN). Beberapa nama yang disebutkan dalam artikel
ini seperti puteriku, Nurul Syafiqah; nenek, Tok Jam; nenek saudara, Tok Su;
dan mak saudara, Wa, juga telah meninggal dunia.
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.