Azmi Khalid menghina imam                                             
Ibrahim Othman      
         Wed | May 09, 07 | 03:35:43 PM                         Saya ingin 
mencadangkan kita membawa imam-imam masjid atau mereka yang mengendalikan 
masjid ke hotel tidak kiralah tiga atau empat bintang. Tunjukkan kepada mereka, 
inilah yang dikatakan bersih selain daripada cara-cara menjaga kebersihan.

 

Kata-kata ini adalah kata-kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato' Seri 
Azmi Khalid yang baru melawat Jepun, kononnya negara yang mempunyai rakyatnya 
berperangai Muslim tetapi mereka tidak Islam, sebaliknya perangai orang Muslim 
tidak di negara-negara Islam.

 
Dalam satu wawancara dengan menteri yang pernah dikatakan 'bodoh' oleh rakan 
senegerinya, Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad kerana menawarkan hadiah kereta 
kepada mereka yang bertuah kerana menukarkan kad pengenalan lama kepada MyKad 
ini sudah semakin melalut.

 
Apa tidaknya, cara dia bercakap, seolah-olah imam-imam dan pengendali masjid 
tidak tahu penanda aras bersih. Yang bersih, kononnya hotel. Maka, salah 
imamlah kerana masjid kotor!

 
 Di hotel, ada pekerja pembersihan. Ada jadual tugasan mereka. Setiap setengah 
jam, tandas mesti dicuci.

  
Di masjid, Azmi mahu imam-imam membersihkan tandas? Apakah imam-imam mesti 
melawat tandas setiap setengah jam seperti pekerja pembersihan di hotel membuat 
tugasan mereka?

 
Azmi kelihatan mahu merubah 'dunia'. Mahu mendidik kanak-kanak sejak dibangku 
sekolah, malah sejak di tadika lagi supaya mengetahui apa itu bersih.

 
 Katanya lagi, dia sudah berbincang dengan Menteri Pelajaran, Dato' Seri 
Hishammuddin Tun Hussein.

 
 Kenyataan Azmi ini bolehlah dianggap suatu kenyataan lucu yang terbaik tahun 
ini. Azmi cuba berlagak mahu menjadi menteri yang ‘mencintai bersih’ bermula 
dari mengatakan kempen Cintai Sungai Kita yang dianjurkan kerajaan sejak 10 
tahun dahulu, gagal.

 
Apakah Azmi sedar ketika bercakap? Apakah Azmi tahu bahawa dia kalah dalam 
pemilihan untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana perwakilan 
Umno tahu siapa Azmi ini sebenarnya.

 
 Pembaca mungkin boleh mempelawa Azmi ke sekolah-sekolah rendah di sekitar 
Kuala Lumpur.

  
Tanya dengan guru-guru besar sekolah-sekolah di sekitar Kuala Lumpur ini, sejak 
mereka menjadi guru besar di sekolah itu, berapa kali wakil rakyat (sama ada 
Parlimen atau pun Adun) datang ke sekolah mereka?

 
 Pimpin tangan Azmi, ajak dia menjenguk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) 
Sungai Kertas, dalam kawasan Parlimen Gombak.

  
 Ada sekitar 1,300 murid. Ada sekitar 80 guru. Di sebelah SMK ini, terdapat 
tempat pembuangan sampah 'haram'.

  
Bau busuk sentiasa menusuk hidung murid-murid dan guru-guru, selain dari 
penduduk sekitar. Sudah banyak kali aduan dibuat. Khabarnya kepada wakil-wakil 
rakyat (Parlimen dan Adun), PBT dan pihak-pihak terbabit, namun tiada tindakan.

 
Sebelum sampai d SMK ini, Azmi melalui Sekolah Kebangsaan Sungai Tua Baharu, 
juga terletak di bawah kawasan Parlimen Gombak. Ada sekitar 1,600murid di sini 
dan hampir 100 guru.

 
 Terdapat cuma tiga tandas sahaja di sekolah ini untuk kegunaan semua 
murid-murid ini. Apakah 'bersih' yang diharapkan dengan kemudahan seperti ini?

 
 Sebagai menteri, kesenangan hidup mereka menyebabkan mereka tidak ada masa 
untuk turun ke bawah.

  
Wakil-wakil rakyat hanya ada kelapangan jika diundang menyampaikan ucapan, 
tetapi mereka tidak punya masa membuat lawatan secara sukarela ke 
sekolah-sekolah ini.

 
Bila murid-murid tidak tahu mengamalkan 'kebersihan' cikgu-cikgu pula disindir 
Azmi dengan kata-kata ‘Sebab guru-guru sendiri tidak didedahkan tentang apakah 
yang boleh diajar kepada para pelajar mereka’.

 
 Kalau menjadi menteri, sekadar mahu melayan syarikat-syarikat besar dengan 
proposal mereka sahaja, sampai bila pun rancangan kerajaan tidak akan berjaya.

 
 Memetik kata-kata-kata Naib Presiden Akademi Sains Malaysia, Dato' Seri Dr. 
Salleh Mohd Nor 'Sebagai pembayar cukai, saya kecewa. Sepatutnya kerajaan perlu 
memastikan setiap rancangan mereka berjaya.'

 
Kebanyakkan proposal ke arah menguntungkan syarikat dan memberi 'sesuatu' 
kepada menteri. Sesuatu yang dimaksudkan mungkin ‘publisiti’ dan mungkin juga 
hal-hal lain yang menyeronokkan menteri.

 
Azmi boleh sahaja meneruskan hasratnya untuk membuat kempen-kempen baru yang 
mungkin menelan belanja lebih dari RM10 juta, belanja yang sudah lesap tetapi 
kempen gagal.

 
 Selepas ini, jika ada menteri bau menggantikannya, akan ada kenyataan baru 
yang memberitahu kempen ini pula gagal dan perlukan kempen baru lagi. Duit 
kerajaan ada, jadi, peduli apa dengan berjaya atau tidak setiap kempen yang 
dijalankan.

 
Cuma, untuk memulakan kempen baru dengan bajet baru, kenalah buat kenyataan, 
kempen terdahulu gagal dan satu kempen baru mahu dimulakan. Strategi itu sudah 
betul, kemudian boleh buat heboh melalui media massa – barulah nampak menteri 
bekerja.

 
Kerajaan sebenarnya tidak serius melakukan sesuatu. Bila gagal, mereka akan 
menyalahkan rakyat. Kononnya sikap individu perlu diperbetul.

 
 Hakikatnya, apa yang menteri cadangkan itu tidak semestinya betl dan berkesan. 
Kalau tidak, takkan boleh ada sekitar sejuta pendatang asing tanpa izin di 
Malaysia (PATI) dan ada sekitar 50 ribu warga China tidak dapat dikesan selepas 
tamat visa lawatan mereka.

 
Tidak mustahil, jika kempen ‘bersih’ yang Azmi perkenalkan selepas ini berjaya, 
Azmi mungkin boleh digelar ‘menteri paling bersih’ yang pernah dilahirkan di 
negara ini.

 
 Walaupun dia memulakan langkah dalam politik dengan ‘mencetuskan masalah’ 
kepada Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh dan Allahyarham Azmi Jusoh di Kangar, 
tetapi kemuncak kerjayanya – menerima ‘gelaran’ yang amat luar biasa dari Radzi 
dan rakyat Malaysia.

 
 Cuma, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih ‘memerlukan’ 
khidmat Azmi – kerana kepakarannya barangkali. Walaupun kini Azmi bukan lagi 
Ketua Umno Bahagian Padang Besar di Perlis dan tewas MT.

 
 Rakan-rakannya yang lain, Dato' Dr. Shafie Salleh dan Dato' Seri Abd Kadir 
Sheikh Fadzir terkeluar dari cabinet sebaik sahaja tewas MT, walaupun 
masing-masing ada jawatan di peringkat bahagian.

 
 Dr. Shafie adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Langat manakala Kadir 
adalah Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baru – selain dari jawatan Timbalan 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah. - mr


                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke