Tanpa kesedaran agama, rasuah politik terus menangkan BN                  
                           Maslan Yusoh      
         Wed | May 09, 07 | 03:52:22 PM                         KUALA KRAI, 9 
Mei (Hrkh) –  Tiada asas agama yang kukuh adalah di antara punca rakyat mudah 
terpengaruh dengan umpan kebendaan parti pemerintah setiap kali berlangsung 
pilihan raya.

   

Biar pun mereka terpaksa menanggung bebanan kehidupan yang tinggi ekoran harga 
barangan sering meningkat, namun apabila dihulur wang ringgit mereka terus 
pangkah Barisan Nasional (BN) pada kertas undi.

 
 Akhirnya BN terus bertakhta pada persada politik negara ini.

  
Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Hajah Siti Zailah Mohd Yusof berkata, 
fenomena seperti ini berlaku di mana-mana sekarang. Selagi rakyat tidak 
mempunyai benteng agama dan aqidah yang kuat mereka mudah hanyut dengan umpan 
diberi BN.

 
“Rakyat mudah terpengaruh biar pun pada awalnya mereka cukup terdesak dengan 
polisi kerajaan sekarang, di mana harga tol meningkat dan barangan keperluan 
harian mahal."

 
“Namun apabila dihulur wang ringgit yang tidak seberapa nilainya mereka terus 
keliru dan akhirnya BN lagi yang dipangkah,” katanya di sini, baru-baru ini.

 
Sedangkan kata beliau kehidupan pemimpin utama negara cukup mewah, boleh 
terbang ke mana sahaja di seluruh dunia dengan jet dibeli daripada wang rakyat.

 
Menurutnya, kemewahan tersebut tidak mampu dikecapi mereka kalau rakyat tidak 
menyokong melalui kertas pada setiap pilihan raya yang diadakan.

 
“Kesilapan yang berlaku adalah berpunca daripada kita sendiri. Kalau kita marah 
kerajaan membazirkan begitu banyak duit rakyat membeli jet baru, sedangkan 
ketika pilihan raya pemimpin yang sama terus disokong."

 
“Selagi tiada kesedaran dalaman bertunjang agama, situasi politik di negara ini 
sukar diubah. Lihat sahaja apa yang berlaku di Ijok baru-baru ini. RM36 juta 
dicurah dalam sekelip mata semata-mata untuk menarik sokongan rakyat,” katanya.

 
Bekas pemimpin Umno Bahagian Gua Musang berhujah kesedaran politik rakyat di 
negara ini masih terkebelakang berbanding negara Asean lain termasuk Thailand 
dan Indonesia.

 
Katanya, rakyat di negara ini hanya memikirkan apa yang hendak mereka makan 
hari ini sahaja dan bukannya untuk hari esok atau lusa.

 
Menurut beliau, kerajaan BN boleh lakukan apa sahaja kerana mereka tahu rakyat 
mudah lupa, hanya sekadar diberi RM100 sebelum keluar mengundi, isu penderitaan 
mereka dilupakan begitu sahaja.

 
 “Sedangkan jumlah sebanyak itu kalau dihitung untuk tempoh lima tahun berapa 
sen sahaja nilainya. Namun rakyat tidak sedar.

 
“Saya tidak nampak rakyat terutamanya orang Melayu boleh berubah kecuali 
melalui kesedaran agama. Hanya melalui cara itu sahaja mampu merubah minda 
rakyat yang kini masih dibelenggu pemikiran kuno,” katanya yang enggan 
mendedahkan identitinya. 


       
---------------------------------
 Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for 
your freeaccount today.

Kirim email ke