Abdullah perlu letak jawatan atau pecat Mahathir!                         
                    Azamin Amin      
         Thu | May 10, 07 | 10:44:27 AM                         KUALA LUMPUR, 
10 Mei (Hrkh) - Selain daripada mandat rakyat, Tun Dr Mahathir Mohammad juga 
bertanggunjawab meletakkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada kedudukan 
sekarang, sebagai Perdana Menteri Malaysia.

 

Justeru, Abdullah kini berhadapan dengan krisis kepercayaan dan kewibawaan 
apabila orang yang menyerahkan kuasa kepadanya iaitu Tun Mahathir sendiri sudah 
tidak percaya dengan kepimpinan beliau, malah memberi mesej jelas untuk rakyat 
'menghukum' kepimpinan Abdullah dan barisan kabinetnya pada pilihan raya umum 
akan datang.

 
Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,Mahfuz Omar berkata selain Tun, 
dua bekas Menteri Kewangan iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh 
Hamzah juga turut mengkritik beliau dan ini secara tidak langsung menjejaskan 
tanggapan dunia terhadap negara ini lebih-lebih lagi dari sudut ekonomi.

 
"Kritikan kedua-dua tokoh ini turut menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur dalam 
dan luar negara terhadap kemampuan Abdullah dalam memulihkan ekonomi negara 
yang kini kian meruncing," katanya ketika menghubungi Harakahdaliy sebentar 
tadi.

 
"Akibat daripada ekonomi yang semakin teruk, yang mendapat bahana dan kesannya 
adalah rakyat secara keseluruhannya," katanya lagi.

 
Jelasnya lagi, dua perkara yang perlu dilakukan Abdullah dengan segera iaitu 
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan demi 
menyelamatkan negara yang kian parah ini atau memecat Tun Dr Mahathir sekiranya 
terbukti ucapan dan kritikan beliau selama ini hanyalah bersifat pengacau dan 
tiada asasnya.

 
 "Dengan cara itu, Abdullah boleh menyatakan bahawa jawatan beliau sudah tiada 
kaitannya dengan Tun," katanya.

 
"Atau memberi mandat sekali lagi kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya 
dengan segera untuk membuktikan bahawa beliau masih layak lagi menjadi Perdana 
Menteri atau sebaliknya," gesa beliau.

 
Selain itu, rakyat juga perlu menilai ucapan dan kritikan Tun itu sebagai 
isyarat untuk mereka menterjemahkan pilihan pimpinan sebenar yang boleh membawa 
masa depan negara dengan lebih terjamin iaitu menukar kerajaan Barisan Nasional 
(BN) pada pilhan raya umum ke-12.

 
 Tun Mahathir hargai peranan pembangkang
"Pandangan Tun terhadap pembangkang sudah lagi tidak prejudis dan ekstrim lagi 
malah PAS dianggap sebagai pilihan untuk 'mengajar' BN yang semakin merosakkan 
dan untuk menyelamatkan negara daripada menjadi lebih teruk," katanya.

 
Sikap Tun ini katanya secara tidak langsung mendidik dan menyedarkan rakyat 
tentang kepentingan politik untuk negara tetapi bukannya untuk mengekalkan 
kuasa dan menambahkan kekayaan diri sendiri.

 
Justeru, rakyat perlu menilai hujah Mahathir berhubung pilihan raya kecil Ijok 
yang lalu betapa pentingnya mengundi secara bijaksana dan bukan membabi buta 
terhadap parti tertentu sahaja, jika tidak negara 'musnah' dan rakyat jua 
akhirnya dipersalahkan.

 
Sebelum itu Tun menyampaikan syarahan bertajuk, "Cabaran Kepimpinan Melayu Di 
Era Globalisasi: Memperkasakan Bangsa dan Kedaulatan Negara" di satu majlis 
anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sebuah hotel di Kelantan.

 
Hadir sama pada program tahunan anjuran MTRK itu, pemimpin-pemimpin veteran 
Umno termasuk Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Hussien Ahmad, Tan Sri Abdullah 
Ahmad dan Dato’ Mustapha Yaakob.

 
 "Terpulang kepada mereka untuk memberi kemenangan kepada PAS dan tidak memberi 
kemenangan kepada BN," kata Tun ketika ditemui pemberita.

 
 Menurutnya rakyat Kelantan bertanggungjawab terhadap nasib mereka sendiri 
untuk menentukan masa depannya.

  
"Atau kalau mereka hendak pilih pemimpin yang pandai berjanji hendak beri RM3 
bilion kepada mereka itu terpulang. Sedangkan kita mahu dipimpin oleh pemimpin 
yang baik,"katanya.

 
   Lebih banyak pembangkang lebih bagus
Tahun lalu,Tun telah pun mengiktiraf peranan pembangkang sewaktu berucap pada 
'Forum Krisis dan Risiko: Pendekatan Hadhari, Penjelasan dan Relevannya kepada 
Cabaran-Cabaran Global Kontemporari'.

 
Beliau secara panjang lebar mengulas dan menghargai peranan pembangkang sewaktu 
menyampaikan ucapan bertajuk, 'Krisis Kepimpinan dan Teknik-Teknik Komunikasi 
Strategik' pada forum 13 April itu yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman 
Islam Malaysia (IKIM).

 
Tun dilaporkan berkata peranan parti pembangkang dalam sistem demokrasi sangat 
penting kerana mereka dapat bertindak bagi `memeriksa' kerajaan dalam 
tindakan-tindakannya.

 
Pembangkang katanya boleh menjadi `cermin' kepada kerajaan bagi menilai sama 
ada tindakan kerajaan itu memberi manfaat atau keburukan kepada rakyat dan 
negara.

 
"Kalau parti pembangkang itu banyak, lagi bagus kerana ia dapat memberi kesan 
yang lebih baik kepada kerajaan bagi menilai keputusan dan tindakan yang 
dibuatnya," kata beliau yang dipetik daripada laporan akhbar.

 
Dr Mahathir dilaporkan berkata, pembangkang juga akan memastikan kerajaan tidak 
menyalahgunakan kuasa, memperalatkan penyokongnya serta memastikan kerajaan 
tidak 'menjual' negara ini kepada pihak luar. - mks.


       
---------------------------------
 Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.

Kirim email ke