Projek perumahan rakyat 'hilang', penduduk tuntut janji Adun              
                               Zaili Muhammad      
         Sat | May 12, 07 | 02:43:39 PM                           JASIN, 12 Mei 
(Hrkh) -  Pada pilihan raya umum 2004, beliau datang dengan seribu janji manis. 
Tampil gah merasmikan rumah contoh yang kononnya untuk rakyat. Tapi kini, tapak 
perumahan tersebut masih kosong, seolah semua projek yang diuar-uarkan semasa 
pilihan raya lalu hilang ditelan bumi. Apa yang berlaku?

 

   
Rumah contoh yang gah semasa dirasmikan pada pilihan raya umum lalu.

Itulah yang dipersoalkan oleh para penduduk di sekitar Dun Serkam yang meminta 
Adun  Serkam yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Jasin, Dato' Wira Ahmad  
Hamzah agar menunaikan janjinya ketika beliau merasmikan rumah contoh perumahan 
rakyat  Taman Serkam Jaya Fasa 1 pada pilihan raya 2004 yang lalu.

  Projek perumahan yang terletak bersebelahan Sekolah Rendah Serkam Darat  itu 
masih tiada sebarang kerja dilakukan walaupun setelah hampir tiga  tahun 
berlalu dan kini mula terbiar serta dipenuhi semak -samun selain  dijadikan 
padang ragut oleh perternak lembu.

 
 Seorang penduduk yang ditemui, Mat Nor Modeng, 38, menyatakan  bahawa setelah 
dirasmikan rumah contoh itu ketika kempen pilihan raya lalu,  tiada tindakan 
susulan dari pihak pemaju bahawa projek perumahan akan  dibangunkan.

 
 "Kami pun hairan kenapa setelah begitu lama, hanya rumah contoh saja  yang 
dibina dan lagi papan tanda projek itu tidak menyatakan tarikh mula  projek 
serta tarikh siap projek dijalankan," kata Mat Nor.

 
 Harun Abu, 43, pula menyifatkan tindakan itu mungkin hanya  sebagai gimik 
kempen pilihan raya oleh Umno yang ingin menunjukkan kepada  pengundi bahawa 
Umno membawa banyak projek pembangunan kepada rakyat.

 
 
Papan tanda projek yang membuktikan segala janji manis BN.

"Sebenarnya apa yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya itu hanyalah  helah 
bagi memancing undi dan akan diulang lagi pada pilihan raya yang  akan tiba 
tidak lama lagi."

  "Kami di Dun Serkam yakin akan menolak Umno pada pilihan raya kali ini  
kerana banyak janji dan permasalahan penduduk tidak diperdulikan oleh  Yang 
Berhormat Ahmad Hamzah," katanya dengan nada kecewa.

 
Sementara itu, dalam tinjauan Harakahdaily mendapati, papan tanda projek 
bersebelahan rumah contoh itu menyebut bahawa,"Cadangan membina dan menyiapkan 
perumahan kos rendah 99 unit dan rumah kos sederhana 125 unit di atas 
sebahagian lot 2909 dan 2266 mukim Serkam dan lot 738 mukim Tedong untuk Majlis 
Agama Islam Melaka (MAIM)" dan pemajunya ialah MRCB Utama Sdn Bhd, Shah Alam, 
Selangor.

 
 Projek seluas 74 ekar itu adalah bertujuan membina rumah kediaman dan  lot 
kedai adalah usahasama MAIM dengan MRCB Sdn Bhd & Delima Tegoh Sdn  Bhd.

 
 Namun, yang musykil setelah tiga tahun berlalu tiada sebarang kerja atau 
penanaman cerucuk besi pun  dilakukan dan ini menimbulkan tanda tanya di 
kalangan penduduk setempat. - mks. 


       
---------------------------------
 Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Tryit now.

Kirim email ke