"Kami akan pastikan MB Selangor dipenjarakan"                             
                Intan Abdullah      
         Sat | May 12, 07 | 04:29:55 PM                        RAWANG, 12 Mei 
(Hrkh) - Amarah rakyat Selangor memuncak lagi. Kali ini mereka mahu 
memenjarakan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo yang dikatakan 
merupakan dalang kepada masalah mereka ini.

 

 Kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pekerja dan ahli Kesatuan 
Pekerja-pekerja Kelab Semenanjung (CEUPM) berpiket di pintu masuk Peransang 
Templer Golf Club, Templer Park Resort, Rawang pada pagi ini untuk membantah 
tindakan pihak pengurusan yang memecat seramai 72 orang pekerja Perangsang 
Templer Golf Club, yang merupakan salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri 
Selangor dengan alasan pihak kelab mengalami masalah kewangan.

 
Mereka menggesa untuk memecat MB sebagai 'key person' juga merupakan penaung 
kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kerana gagal mengawal orang-orang 
bawahannya dan menganggap MB biadap kerana tidak menghormati undang-undang 
negara.

 
 Mereka menyifatkan kerajaan negeri Selangor tidak prihatin terhadap 
undang-undang yang diakui oleh perlembagaan, dengan bersikap zalim pada 
rakyatnya sendiri sehingga tidak memberi peluang kepada mereka untuk 
menyelamatkan kelab tersebut.

 
  Seramai 72 orang pekerja telah dipecat secara serentak oleh Presiden KDEB 
iaitu Dato' Abdul Karim Munisa, pada 30 April yang lalu berkuatkuasa dalam 
tempoh 24 jam tanpa sebarang notis diberikan serta perbincangan awal bersama 
mereka, dan hanya diberi pampasan berjumlah RM 20 ribu, bahkan pihak kelab 
telah pun mengambil 60 orang pekerja asing bagi menggantikan mereka dalam 
tempoh terdekat ini.

 
Dato' Abdul Karim juga dikatakan menganggap masalah yang pernah diutarakan 
kepada beliau ini sebagai satu isu dan beliau juga telah menyalahgunakan 
kuasanya dengan melantik beberapa individu di jawatan tertinggi seperti CEO 
iaitu Mohamad Shah Abdul Aziz, yang dipertikaikan kelayakannya untuk menerajui 
kelab itu.

 
 Menurut Setiausaha Kesatuan Pekerja-pekerja Kelab Semenanjung (CEUPM), 
Abdullah Sani Abdul Hamid, 45, sekiranya MB tidak memanggil mereka untuk 
berbincang, maka beliau tidak akan teragak-agak untuk memfailkan kes ini ke 
Mahkamah Tinggi untuk mendakwa dan memenjarakan MB atas tindakan yang telah 
dibuat oleh orang bawahan beliau.

 
Beliau mendakwa tindakan pemecatan tersebut menunjukkan bahawa pihak pengurusan 
mempunyai niat jahat atau 'mala fide' terhadap pekerja, bahkan mereka telah 
melanggar seksyen 60M Akta Pekerja 1955 yakni Larangan menamatkan pekerja 
tempatan untuk pekerja asing, seksyen 60N Akta Pekerja 1955 iaitu menamatkan 
pekerja oleh sebab lebihan pekerja.

 
 Katanya, pemecatan ini juga tidak mengikut prosedur kerana mereka hanya 
merujuk kepada Jabatan Buruh sahaja.

 
 Sementara itu, pihak kelab juga dikatakan telah melanggar seksyen 12 dengan 
memberi notis 24 jam pada tarikh pembuangan kerja pada 30 April, sehari sebelum 
Hari Pekerja dirayakan di seluruh negara.

 
  Pihak pengurusan kelab dianggap tidak bijak dalam menangani masalah kelab 
dengan mengambil tindakan tidak membuat perancangan yang konkrit untuk 
menyelamatkan kelab, sebaliknya pembaziran duit dibuat dengan membatalkan 
kontrak buggy bahkan kemudian membeli buggy yang baru tanpa tujuan yang jelas.

 
Abdullah Sani turut mendedahkan penyata kewangan yang merekodkan bahawa kos 
menaiktarafkan kelab tersebut yang dibuat secara tidak menyeluruh dengan jumlah 
RM3 Juta.

 
CEUPM juga dikatakan pernah berkompromi dengan MB untuk menyelamatkan kelab di 
Shah Alam pada tahun 2003 dan 2004 apabila keadaan kewangan yang merudum dengan 
memotong gaji pegawai-pegawai kanan dan pekerja serta kesannya kelab berjaya 
diselamatkan bahkan memperolehi keuntungan yang besar.

 
   Ketua pekerja, Maintainance Supervisor Kelab tersebut,Abdul Rahman Bakar, 42,
pula berkata pelbagai usaha telah dibuat sebelum ini termasuk perbincangan 
dengan Umno kawasan tersebut, iaitu Dato' Ahmad Bahari yang berjanji akan 
mengetengah kan hal ini kepada MB tetapi setakat ini masih belum ada sebarang 
maklum balas.

 
CEUPM katanya akan terus mengumpulkan maklumat, seterusnya akan menyalurkannya 
kepada Badan Pencegah Rasuah bagi mengenalpasti penyalahgunaan kuasa yang 
berlaku, dengan tidak menolak kemungkinan wujudnya agenda-agenda tertentu pihak 
tertinggi pengurusan yang mengamalkan kronisme untuk menjaga kepentingan suku 
sakat mereka di dalam pengurusan.

 
Mereka juga menghantar surat kepada Menteri Besar, Perdana Menteri,Timbalan 
Perdana Menteri, Menteri Sumber Manusia, serta exco-exco kerajaan negeri 
Selangor tetapi masih belum mendapat sebarang respon dan akan turut memaklumkan 
hal ini kepada Sultan Selangor. - mks. 


       
---------------------------------
 Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for 
your freeaccount today.

Kirim email ke