Detikdaily
Penamaan calon di UIAM: Memang kerja "gila nak mampus"
Posted on Friday, September 28 @ 18:36:24 EST by reformis
Seluruh mahasiswa UIAM mesti didedahkan dengan situasi sebenar di kampus
mereka sendiri. Biar mereka tahu tentang segala "kebusukan" yang berlaku.
Kepada semua calon yang sudah mendaftar, usah termakan umpan provokasi murahan
ini. Tidak timbul isu pilihan raya kampus perlu diboikot kerana itulah yang
dimahukan pihak universiti.
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Harakah sudah mendedahkan pelbagai taktik muslihat Hal Ehwal Pelajar (HEP)
institusi pengajian tinggi awam kita - yang sepatutnya bertindak sebagai
pengendali pilihan raya kampus yang adil, bersih dan tidak memihak - bagi
menggagalkan percubaan calon-calon bukan Aspirasi-Umno, termasuk menafikan hak
mereka untuk bertanding dalam PRK.
Macam-macam peraturan "gila dan tidak munasabah" digubal, melalui pertemuan
sulit yang dianjurkan sejak beberapa tahun ini, membabitkan Timbalan-timbalan
Naib Canselor dan Dekan HEP bersama wakil pelajar Aspirasi-Umno dari semua
kampus di seluruh negara, hanya dengan motif bagi memastikan kumpulan yang
mereka anggap sebagai pro-pembangkang tidak mendapat tempat dalam majlis
perwakilan pelajar (MPP).
Komplot KPT, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Aspirasi
Pada hari Isnin 17 September lalu, 4 hari sebelum MPP dibubarkan, pegawai khas
Menteri Pengajian Tinggi, Ahmad Ikmal Ismail, yang juga anggota Exco Pemuda
Umno mengadakan pertemuan dengan Timbalan-timbalan Naib Canselor HEP bersama
wakil pelajar-pelajar Aspirasi-Umno, di pejabat KPT, membincangkan perkembangan
terakhir persiapan PRK.
Aneh (sebenarnya jelek) sekali, pihak "Suruhanjaya Pilihan Raya" mengadakan
diskusi bersama calon-calon yang mewakili satu kelompok (parti) bagi
mengalahkan satu kelompok yang lain, yang akan turut bertanding! Cuba
bayangkan, SPR mengadakan perbincangan rasmi dengan calon-calon Umno-BN,
bertujuan untuk mengalahkan calon-calon PAS dan KeADILan misalnya.
Boleh dikatakan perancangan jahat HEP-Umno itu berjaya apabila semua MPP -
kecuali satu - dikuasai calon-calon Aspirasi-Umno, walaupun hakikat sebenarnya
ramai juga calon yang dikira dari kumpulan Aspirasi-Umno, terutama dari
kampus-kampus baru, mempunyai prinsip perjuangan berbeda dengan aliran politik
pemerintah.
Pilihan raya kampus yang bermula kelmarin, 26 September, dengan proses penamaan
calon, juga tidak sunyi daripada kontroversi ini. Beberapa peraturan yang
sepatutnya diikuti, tetapi oleh kerana ia melibatkan kumpulan Aspirasi-Umno,
maka pihak HEP boleh bertolak ansur melepaskan mereka. Bagaimanapun, jika
calon-calon bukan Aspirasi tidak dapat melengkapi syarat-syarat yang
ditentukan, pastinya mereka tidak dibenarkan bertanding.
"Kerja gila HEP UIAM"
Apa yang berlaku di kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
satu-satunya universiti yang belum dikuasai Aspirasi-Umno, lewat petang
semalam, membuktikan "ketamakan kuasa" mengatasi segala pertimbangan waras.
Proses penamaan calon yang sudahpun berakhir tiba-tiba dibuka semula.
Memang ada alasan dan rasional (sebenarnya langsung tak masuk akal) daripada
pihak HEP, tetapi motifnya jelas, yakni untuk, sedaya mungkin, menimbulkan
kekecohan dan provokasi, seterusnya bagi memberi laluan sukar kepada kumpulan
Pro-Mahasiswa, yang secara rasmi telahpun menang tanpa bertanding pada 9
kerusi.
(Malah, saya yakin UIAM mahu membatalkan proses pilihan raya kampus itu sendiri
bagi membolehkan mereka sendiri membuat perlantikan anggota MPP. Ini disebabkan
kumpulan Aspirasi-Umno terbukti tiada jalan lagi untuk mengalahkan
Pro-Mahasiswa di UIAM).
Sebenarnya kumpulan Pro-Mahasiswa menambahkan lagi penguasaan kerusi tanpa
bertanding apabila seorang calon Aspirasi-Umno Kuliah Kejuruteraan menarik
diri. Sebelum ini hanya tiga calon mendaftar, dua lagi daripada Pro-Mahasiswa.
Dengan itu, kerusi yang dimenangi sebelum hari mengundi meningkat kepada 11
kerusi.
"Malang" bertindan-tindih kepada kumpulan Aspirasi-Umno yang dikaitkan dengan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu apabila dua lagi calonnya telah
melanggar peraturan kempen. Mereka mempamerkan poster calon tanpa mendapat
kebenaran pihak HEP. Mengikuti rekod ada calon yang terbatal kelayakan mereka
selepas melakukan kesalahan serupa.
Maka, kumpulan Pro-Mahasiswa memperolehi dua lagi kerusi di Kuliah Ekonomi
kerana Aspirasi hanya menghantar seorang calon di situ bagi merebut dua kerusi.
Secara keseluruhan Pro-Mahasiswa "senang-senang" dapat meraih 13 kerusi dan
peluangnya untuk menguasai MPP amat cerah memandangkan mereka hanya perlu
menang satu kerusi sahaja lagi pada hari mengundi, 2 Oktober nanti. Majoriti
mudah ialah menang 14 kerusi daripada 27 kerusi yang ditawarkan.
Sepatutnya Pro-Mahasiswa sudah menang 13 kerusi tanpa bertanding
Lantaran itu mungkin pihak UIAM menghadapi tekanan teruk daripada "taukeh
politik" mereka kerana membiarkan Pro-Mahasiswa menang mudah sebelum hari
mengundi lagi. Perlu ditegaskan bahawa orang di belakang kumpulan Aspirasi di
UIAM ialah Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican, iaitu Setiausaha
Politik Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri.
Dengan notis baru itu, semua calon yang diisytihar menang tanpa bertanding,
tidak boleh menarik nafas lega kerana jika pada hari penamaan calon kedua
nanti, 30 September, ada pelajar lain yang menawarkan diri, maka kemenangan
tanpa bertanding itu akan terbatal secara automatik. Ini bermakna calon-calon
hanya mempunyai sehari setengah untuk berkempen kerana hari mengundi pada 2
Oktober tidak pula ditunda.
Bayangkan dalam waktu sesuntuk itu bagaimana calon-calon dapat berkempen dan
memberi penjelasan tentang visi dan misi mereka kepada masyarakat kampus? Dari
segi lain, calon-calon yang mendaftar pada 26 September kini dihukum bukan
disebabkan kecuaian mereka, tetapi berpunca daripada "ketempangan" pengurusan
UIAM sendiri mengatur pilihan raya kampus. Jelas, ia satu "lawak-jenaka"
demokrasi yang patut dimasukkan dalam senarai rekod Malaysia Boleh!
Saya tidak fikir calon-calon yang menang tanpa bertanding itu gentar untuk
menghadapi proses pemilihan, malah pertandingan akan menjadi lebih rancak dan
bertambah sihat jika semakin ramai pelajar yang berminat untuk mengetengahkan
bakat kepimpinan masing-masing. Bukankah kampus merupakan gelanggang paling
sesuai untuk anak-anak muda kita menyuburkan potensi diri khususnya bagi
mencedok pengalaman berorganisasi dan menyelami dengan lebih dekat ragam
"percaturan politik" menara gading?
Peranan Prof Syed Arabi Idid
Walau bagaimanapun, tujuan pentadbiran UIAM membuka semula pencalonan itu tidak
sukar untuk diteka motif jahatnya. Ia adalah rentetan taktik kotor yang
dirancang sejak sekian lama, dan tambah menjadi-jadi dengan perlantikan rektor
barunya, Prof Syed Arabi Idid. Sekurang-kurangnya pegawai-pegawai kanan UIAM
mahu menunjukkan kepada Umno bahawa mereka telah melakukan apa juga strategi
dan kaedah bagi menyekat kumpulan pelajar yang dianggap tidak selari dengan
pemerintah daripada terus menguasai MPPUIAM.
Bukankah sekarang musim pegawai-pegawai kanan universiti, khususnya di
peringkat timbalan-timbalan naib canselor dan dekan HEP ghairah berlumba-lumba
menunjukkan "jasa-bakti" mereka kepada elit politik di Kementerian Pengajian
Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri sendiri?
Di UIAM, perancangan busuk itu dikatakan bermula di pejabat Rektor sendiri
apabila Timbalan Rektor HEP, Ustaz Hamidon Abdul Hamid dicurigai berupaya
melaksanakan konspirasi jelik. Menurut sumber, banyak pertemuan sulit TTNC HEP
yang membabitkan semua IPTA mengecualikan Timbalan Rektor HEP UIAM itu, mungkin
untuk mengelak kebocoran "maklumat", walaupun hakikatnya ia sering bolos ke
bilik berita Harakah dengan perantaraan tertentu.
Peristiwa "penggantungan" MPP UIAM sessi lalu selama lebih 4 bulan merupakan
rakaman sejarah politik kampus terburuk yang harus selalu diungkit. Pada hemat
saya, tindakan itu perlu dikutuk, bukan sahaja kerana menafikan suara majoriti
mahasiswa UIAM, tetapi juga melambangkan sikap memihak pentadbiran universiti
dalam "ribut di cawan kopi" sesama pelajar.
Semua pihak mesti bantah penamaan calon semula
Ia juga menunjukkan Rektor mahu terus menjalankan fungsinya dahulu (sebelum
bertugas di UIAM) sebagai "petugas Umno" dan ini melanggar amanah negara untuk
membina modal insan bertaraf dunia.
Saya menggesa semua pihak yang prihatin dengan perkembangan demokrasi di negara
ini, khususnya parti-parti politik pembangkang dan NGO hak asasi menyuarakan
bantahan rasmi terus langsung kepada UIAM. Apa yang berlaku di sana begitu
menjolok mata, tak masuk akal dan sengaja mahu mencetuskan provokasi agar
mahasiswa berang dan "bangun memberontak", seterusnya mudahlah pihak universiti
membatalkan pilihan raya kampus berkenaan.
Seluruh mahasiswa UIAM mesti didedahkan dengan situasi sebenar di kampus mereka
sendiri. Biar mereka tahu tentang segala "kebusukan" yang berlaku. Kepada semua
calon yang sudah mendaftar, usah termakan umpan provokasi murahan ini. Tidak
timbul isu pilihan raya kampus perlu diboikot kerana itulah yang dimahukan
pihak universiti.
Apa pun mereka wajar sekali merakamkan bantahan sekeras-kerasnya, bukan sahaja
kepada "abdi Umno di UIAM" itu, tetapi juga kepada Perdana Menteri, KPT dan
juga Suhakam.
Maklumat perlu disebar-luaskan. Inilah masanya rakyat dimaklumkan
sejelas-jelasnya tentang taktik keji golongan desperado yang sanggup melakukan
apa saja kaedah bagi memenuhi nafsu serakah mereka.
---------------------------------
Be a better Globetrotter. Get better travel answers from someone who knows.
Yahoo! Answers - Check it out.