"Kami ke Pakistan guna duit sendiri" - Misbah Johari Jaafar Fri | Oct 31, 08 | 11:50:59 am MYT IPOH, 31 Okt (Hrkh)- "Kami pergi ke Lahore, Pakistan tidak menggunakan wang kerajaan atau parti, sebaliknya menggunakan wang kami sendiri". Iklan Demikian ditegaskan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki, ketika menjawab pertanyaaan daripada banyak pihak mengenai perbelanjaan beliau bersama rombongan mengiringi Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ke Lahore, Pakistan baru baru ini.
"Ramai yang hantar mesej pada saya, dan ada juga yang kemukakan soalan dalam blog saya apabila berita Menteri Besar Perak dan saya menyertai ijtimak Jamiat Islami di Lahore, Pakistan, mereka bertanya siapa yang membiayai perbelanjaan tambang dan segala kos di sana," katanya sewaktu ditemui di pejabatnya semalam. Beliau menegaskan sekali lagi bahawa kos tambang beliau di sana tidak dibiayai oleh parti dan kerajaan tetapi mengunakan wang sendiri, kerana itu orang ramai tidak perlu bimbang . Menurutnya, beliau diberitahu oleh pegawai di Pejabat Menteri Besar, sekiranya Menteri Besar ada jemputan rasmi dari pihak penganjur di Pakistan, Menteri Besar boleh menggunakan peruntukan kerajaan, boleh naik pesawat kelas pertama atau 'business class'. "Saya sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar yang mengiring MB juga boleh mengunakan peruntukan tersebut, malah sepanjang di Pakistan, boleh tuntut elaun harian dan elaun-elaun lain, tetapi saya tidak berbuat begitu," tegasnya. "Saya bertanya kepada pegawai berkenaan di Pejabat MB, kami pergi mewakili parti, boleh guna peruntukan kerajaan ke? [Image] "Pegawai itu kata kalau ada jemputan rasmi sebagai Menteri Besar mewakili kerajaan Perak, boleh guna peruntukan tersebut," katanya. Menurutnya lagi beliau boleh berbuat demikian dengan meminta penganjur supaya keluarkan surat rasmi daripada Jamiat Islami menjemput Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang mewakili kerajaan Perak bukan mewakili PAS, tetapi beliau tidak mahu berbuat demikian kerana perbuatan ini tidak amanah. Malah Menteri Besar menggalakkan mana-mana Exco, Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat supaya naik kelas ekonomi sahaja apabila menaiki pesawat ke mana-mana destinasi kerana ia adalah antara langkah menjimatkan duit kerajaan. Beliau berharap penjelasan tersebut akan dapat mengikis salah tanggapan terhadap Menteri Besar Perak dan pegawai-pegawainya. - mns_