Bapa Altantuya kecewa, keputusan cemar imej kehakiman
M Khaleel Kas
Fri | Oct 31, 08 | 12:34:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) -Tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah
Alam yang membebaskan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda
daripada tuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu telah mengecewakan bapa
mangsa berkenaan.
Iklan
Dalam satu maklum balas kepada wartawan sebentar tadi,Dr Shaariibuu
Setev melahirkan kekecewaan dengan keputusan yang dibuat oleh Hakim
Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd. Zaki Md. Yasin.

Walaupun dua tertuduh lain iaitu Cif Inspektor, Azilah Hadri, 32 dan
Korporal Sirul Azha Umar, 37,yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas
(UTK) diperintah untuk membela diri dalam kes pembunuhan tersebut,namun
keputusan tersebut masih tidak memuaskan hatinya.

Katanya, keputusan tersebut bakal mencemarkan imej sistem kehakiman
negara ini di peringkat antarabangsa kerana kes itu menjadi tumpuan
dunia.

Tambahnya,beliau akan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa
kehakiman dan Kementerian Luar Mongolia untuk membuat rayuan keputusan
kes hari ini.

Dalam keputusan pagi tadi, memutuskan terdapat kes prima facie terhadap
tertuduh pertama, Azilah dan tertuduh kedua, Sirul.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang
dibaca bersama Seksyen 34 kanun itu yang mana jika disabitkan kesalahan,
boleh dihukum gantung sampai mati.

Azilah yang mula berkhidmat dalam UTK sejak 8 Januari 2003, mempunyai
kepakaran dalam body-guarding atau teknik mengawal orang kenamaan
penting (VVIP) sama ada secara berjalan kaki mahupun berkenderaan.

Manakala, Sirul yang menyertai UTK sejak 23 Januari 1996 pula bertugas
dalam Unit Komunikasi.

Sementara itu, pihak pendakwa dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap
pembebasan Razak Baginda.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara ini bermula apabila mayat
model Mongolia tersebut ditemui di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim
Bukit Raja, Selangor.

Altantuya dipercayai telah ditembak sebelum badannya diletupkan dengan
menggunakan bahan letupan dua tahun lalu.

Azilah dan Sirul didakwa secara bersama dalam pembunuhan Altantuya dan
Razak Baginda pula telah didakwa bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian seluruh negara ini
berlarutan selama 151 hari sejak November 2006, yang menyaksikan pihak
pendakwa mengemukakan 84 orang saksi. - mks._ _

Kirim email ke