Bingkasan dari Yaman: Wanita 'berpakaian telanjang' jangkiti Yaman
Imran Al-Malizi
Mon | Oct 27, 08 | 12:19:10 pm MYT
Setelah sekian lama menyewa rumah di luar, pada hari Jumaat minggu lalu
(17 Oktober), saya kembali ke asrama pelajar Abu Luhum yang terletak di
Jalan Sittin berhadapan Universiti Sana'a. Ketika pengajian tahun
pertama dan kedua, di situlah tempat saya berteduh dan berlindung
daripada kesejukan malam yang menggigit.
Iklan
Menziarahi pelajar-pelajar di situ paling sesuai pada hari Jumaat kerana
cuti dan tiada kuliah pengajian.

Khutbah Jumaat di situ kebiasaannya disampaikan oleh salah seorang ulama
terkenal di sini iaitu Syeikh Hasan as-Syafie, pensyarah dalam bidang
tafsir al-Quran di Universiti al-Iman dan cukup dikenali sebagai khatib
yang berwibawa. Namun pada hari itu mungkin beliau masih bercuti. Maka
mimbar Jumaat telah dinaiki oleh seorang pemuda yang tidak kurang
lantangnya.

Isu yang dilontarkan kepada sidang jemaah pada minggu lalu adalah
berkaitan pasca-Ramadan dan Aidilfitri. Juga disentuh tentang sikap kita
terhadap agama Islam sebagai agama fitrah sebagaimana firman Allah SWT
yang bermaksud: "Maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad dan para
pengikutmu) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (ikutlah) agama
ciptaan Allah, iaitu agama yang Allah fitrahkan manusia untuk
menerimanya..." (Surah ar-Rum: 30).

Ditegaskan agar para jemaah beriltizam penuh dengan seluruh ajaran Islam
setelah kita semua kembali kepada keadaan fitrah suci daripada dosa-dosa
(hakikat Aidilfitri).

Dalam tempoh setengah jam khutbah yang disampaikan itu, ada satu 'point'
yang saya sangat tertarik untuk mengulasnya. Khatib telah menyentuh
tentang fesyen berpakaian yang digayakan oleh gadis-gadis Arab Yaman
yang kini sedang menuju ke arah kefasadan. Apakah yang dimaksudkan
dengan 'fasad' di sini? Adakah seperti gadis-gadis remaja Malaysia yang
berpakaian seluar ketat atau singkat atau londeh mempamerkan jenama
seluar dalam? Atau T-shirt singkat 'nampak pusat' atau sendat
menampakkan bentuk dada? Atau mewarnakan rambut dengan 'kaler berkarat'?

Tidak sama sekali! Apa yang menjadi kebimbangan beliau ialah fesyen
jubah yang berpotongan mengikut bentuk badan sudah mula menular. Sebelum
ini jubah yang biasanya dipakai oleh Muslimah di Yaman ialah yang
bersaiz longgar dan berwarna hitam atau gelap. Tudung mereka labuh
sempurna menutup dada.

Lebih daripada itu, golongan wanita di Yaman keseluruhannya memakai
niqab menutup wajah mereka ketika berada di luar rumah.
Sekurang-kurangnya begitulah suasana yang pernah saya rasai pertama kali
menjejakkan kaki ke Yaman lebih empat tahun lalu. Cuma baru setahun
kebelakangan ini, golongan yang tidak berniqab ini semakin bertambah dan
zahir dalam masyarakat. Saya tidak ingin membahaskan hukum memakai niqab
ini dari sudut fekah. Kerana itu termasuk isu khilafiyah dan kolum ini
hanyalah bingkisan santai bukan gelanggang ilmiah.

Yang menjadi subjek di sini ialah masyarakat Yaman memandang bahawa
potongan jubah yang mengikut bentuk badan itu adalah satu jalan yang
terbentang luas untuk menuju kepada kefasadan atau kerosakan dalam
masyarakat (bagi orang Melayu pula, berbaju kebaya itu biasalah�
dikira masih sopan dan 'tak berdosa' pun).

Telah ramai juga gadis-gadis Yaman yang melilit tudung mereka paras
leher dan sekali gus menampakkan dada. Khutbah Jumaat juga memberi
amaran tentang golongan ahli neraka yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.
dalam satu hadis: "...dan orang-orang perempuan yang berpakaian (tetapi)
bertelanjang, berjalan dengan bergaya (melenggang-lenggok),
kepala-kepala mereka seperti bonggol-bonggol unta (mereka meninggikan
gumpalan rambut mereka dengan berhias-hias), mereka tidak akan masuk
syurga dan tidak akan mendapati baunya..." (Sahih Muslim).

Begitulah keprihatinan dan kepekaan masyarakat Yaman pada isu-isu agama.
Mereka tidak menunggu sehingga keadaan menjadi parah seperti di Mesir,
Syria, Lubnan, Jordan dan negara-negara Arab yang lain. Sehingga keadaan
wanita mereka benar-benar menyerupai apa yang digambarkan dalam hadis di
atas. Sesungguhnya ini merupakan satu mukjizat Nabi s.a.w. Memang benar
pada akhir zaman ini begitu ramai golongan wanita yang 'berpakaian
telanjang'.

Para ulama memberikan beberapa definisi berkenaan maksud hadis ini.
Antaranya adalah: Pertama, dikatakan mereka berpakaian daripada nikmat
Allah tetapi 'bertelanjang' daripada mensyukurinya iaitu tidak
bersyukur. Kedua, dikatakan ia membuka sebahagian anggota tubuhnya dan
mendedahkannya secara zahir. Ketiga, dikatakan ia memakai pakaian yang
nipis sehingga menampakkan warna kulitnya atau pakaian yang ketat
menampakkan bentuk badannya.

Pada zaman ini, kita dapat melihat kebenaran yang dikhabarkan oleh Nabi
s.a.w. dalam hadis ini. Barangkali agak sukar untuk digambarkan keadaan
tersebut pada zaman itu. Kerana Nabi s.a.w. menyatakan dalam hadis yang
sama: "...aku belum pernah melihat mereka ini." Ertinya pakaian seumpama
itu belum ada pada zaman jahiliah Arab dan para sahabat juga tentu tidak
dapat membayangkan keadaan tersebut. Berpakaian telanjang? Bagaimana
boleh disatukan dua perkataan yang berlawan maksudnya ini?

Perkara ini memang sewajarnya dijadikan peringatan untuk masyarakat
Yaman dan sebagai satu renungan untuk masyarakat Islam di Malaysia. Di
tanah air kita, yang menyedihkan ialah golongan wanita ini mengaku diri
sebagai Muslimah. Sama ada mereka berpakaian dengan mendedahkan terus
anggota tubuh atau pun mereka mengenakan pakaian yang sempit dan ketat
sehingga menampakkan bentuk tubuh. Kedua-duanya adalah bertentangan
dengan akhlak Islam di mana seorang Muslimah dituntut supaya menutup
aurat dengan sempurna.

Sebahagiannya pula merasakan sudah memadai dengan memakai tudung atau
menutup kepala itu sudah dikira menutup aurat. Mereka mendedahkan
anggota tubuh yang lain seperti leher, dada, lengan, kaki atau
berpakaian ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh seperti buah dada,
pinggang, punggung, paha dan betis. Inilah yang dikatakan
'bertelanjang'!

Kejahilan adalah faktor utama yang menyebabkan mereka tak dapat memahami
keutamaan dalam memelihara aurat. Sesungguhnya aurat yang zahir daripada
anggota tubuh tersebut adalah lebih berperanan untuk menarik perhatian
lelaki dan menaikkan nafsu syahwat berbanding dengan hanya menutup
rambut atau kepala.

Perbuatan mendedahkan bahagian tubuh ini adalah lebih keji daripada
mendedahkan rambut atau kepala. Bagaimanapun ini bukanlah hujah untuk
membenarkan golongan wanita mendedahkan rambut atau bahagian kepalanya
serta memperlekehkan wanita lain yang bertudung. Jumhur ulama
berpendapat kesemua anggota tubuh perempuan adalah aurat dan wajib
ditutup kecuali bahagian muka dan dua telapak tangan. - lanh _

Kirim email ke