Ku Nan: Cara kempen Husam tidak gugat kempen BN
28 April 2013 
Tengku Adnan (kanan) dan Husam bersalam selepas menyerahkan borang penamaan 
calon pagi tadi. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
PUTRAJAYA - Calon Barisan Nasional (BN) Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan 
Tengku Mansor tidak merasa tergugat dengan pendekatan kempen pihak lawannya. 
Beliau merasakan dengan membawa penyokong dari kawasan luar, semata-mata untuk 
memperlihatkan kehebatan bukanlah satu tindakan bijak.

"Kita tak nak menang sorak kampung tergadai. Biarlah kalau dia nak bawa 
penyokong luar, tapi harap janganlah cuba timbulkan kekacauan di kawasan 
Putrajaya.

"Janganlah cabut dan tanggalkan poster serta kain rentang yang BN punya," kata 
Tengku Adnan kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama 
warga Kemas.

Beliau mengulas pertanyaan wartawan mengenai tindakan calon PAS Datuk Husam 
Musa yang dikatakan membawa penyokong luar dalam ceramahnya.

Menurut Tengku Adnan, beliau lebih selesa berkempen dari rumah ke rumah dan 
mengunjungi kawasan tumpuan orang ramai secara santai daripada mengadakan 
ceramah.

Sementara itu, Tengku Adnan menyokong tindakan penulis blog Kickdefella, Syed 
Azidi Syed Abdul Aziz mencabar Husam buktikan apa yang didedahkan dalam buku 
"Kenali Husam: Politik Wang dan Kronisme" adalah tidak benar.

"Kalau apa yang ditulis dalam buku itu tidak benar kenapa perlu takut.

"Selalunya 'Siapa yang makan cili dialah rasa pedas", kata Syed Azidi yang juga 
dituduh turut mengedar buku berkenaan. 

Sebelum ini, Husam membuat laporan polis terhadap Tengku Adnan berhubung 
penyebaran buku tersebut. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my  tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan 
dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan 
peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan 
pendirian kami. /

<<"">>

Kirim email ke