PKR: Tol Batu Tiga, Sg Rasah dimansuh jika bentuk kerajaan pusat

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
28 April 2013 
SHAH ALAM - Susulan syor pemansuhan tol yang digariskan dalam manifesto Pakatan 
Rakyat (PR), PKR akan mencari jalan untuk memansuhkan tol di kawasan Batu Tiga 
dan Sungai Rasah di sini jika diberi mandat sebagai kerajaan pusat.
Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail berkata, sudah tiba masanya tol di 
kawasan tersebut dimansuhkan.

"Ini bukan gimik. Insya-ALLAH kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan. Pada 5 
Mei nanti, pemimpin-pemimpin yang diberikan mandat akan duduk berbincang bagi 
memikirkan bagaimana tol ini akan diberhentikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mendesak BN menjelaskan kewajaran melanjutkan konsesi 
tol terhadap Plus di tol Batu Tiga dan Sungai Rasah sehingga tahun 2038.

"Pada tahun 2011, ada semakan yang saya nampak betul-betul menyusahkan penduduk 
sekitar, di mana ia akan tamat pada 2018 tapi konsesi Plus itu telah disambung 
sehingga 2038.

"Jadi, kita nak tahu rasional di situ. Secara keseluruhan, ia melibatkan 50 
tahun kutipan tol di lebuhraya persekutuan kedua ini," katanya kepada Sinar 
Harian Online ketika ditemui, hari ini.

Beliau mendakwa BN tidak berani dalam mendedahkan jumlah kutipan tol tersebut.

"BN tak berani mendedahkan berapa sebenarnya kutipan yang telah dibuat dan 
adakah kutipan tersebut sudah pun mencapai sasaran yang ditentukan.

"Jadi, kita mahu BN menjawab persoalan ini iaitu apa kewajaran mereka 
menyambung konsesi itu sehingga 2038?" katanya.

Menurutnya, rakyat tak pernah didedahkan sama ada kutipan tol tersebut sudah 
mencapai sasaran atau tidak.

"Kita tak pernah didedahkan dengan data-data sama ada tol itu sudah pun 
mencapai sasaran kutipan sewajarnya. Sudah 25 tahun rakyat membayar, ada baki 
lima tahun lagi.

"Kita yakin tol ini sudah sampai masanya, ditutup. Sebab itu saya mendesak, 
selaku wakil rakyat Batu Tiga," katanya.

http://www.sinarharian.com.my  tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan 
dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan 
peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan 
pendirian kami. /

<<"">>

Kirim email ke