Bahasa 

    Husam yakin sambung kemajuan Putrajaya seperti dibawa Dr M
    ----------------------------------------------------------

Oleh Md Izwan
April 29, 2013
Calon PAS bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa membidas penyandang 
kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana gagal 
menguruskan kawasan parlimen tersebut dengan baik. — Gambar failKUALA LUMPUR, 
29 April — Calon PAS bagi kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa 
mengatakan mempunyai kemampuan dan idea untuk menyambung kemajuan di pusat 
pentadbiran negara itu seperti yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr 
Mahathir Mohamad.
Husam berkata tidak tersinggung dengan kritikan oleh Dr Mahathir semasa turun 
berkempen untuk Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, sebaliknya mengganggapnya 
sebagai satu pengiktirafan.
“Tun M, saya ucap terima kasih kepada dia, bila dia datang ia satu 
pengiktirafan kepada saya.
“Dan cara dia pukul pun macam seorang datuk bergurau dgn cucu dia, saya tak 
rasa apa-apa tersinggung,” kata Husam apabila ditemui The Malaysian Insider di 
Ibu Pejabat PAS hari ini mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyuruhnya 
menjaga Kelantan terlebih dahulu daripada berfikir untuk menawan Putrajaya.
Naib presiden PAS itu kemudiaan membidas penyandang kerusi Parlimen Putrajaya 
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana gagal menguruskan kawasan parlimen 
tersebut dengan baik.
“Saya yakin Tun M tahu saya adalah orang yang boleh meneruskan idea-idea Tun M 
yang baik khususnya di Putrajaya.
“Selepas Tun M bersara, banyak perkara tidak diuruskan dengan baik, harga rumah 
tinggi, kos sara hdup naik kerana sewaan tinggi, tiada kemudahan sekolah agama, 
kelas KAFA pun menumpang surau,” katanya lagi.
Husam walau bagaimanapun melahirkan rasa kecewa dengan lawannya kerana gagal 
membawa perbahasan sihat sepanjang berkempen dan hanya banyak menyerang 
peribadinya berbanding memberikan kaedah penyelesaian kepada penduduk Putrajaya 
yang majoritinya kakitangan kerajaan.
“Konsep saya bertanding di Putrajaya adalah untuk berkongsi idea dan 
membincangkan idea negara secara komprehensif dan fakta.
“Sehingga hari ini, malangnya lawan saya hanya membangkitkan isu-isu tidak 
berasas dan berbentuk peribadi, tidak ada perbahasan sihat terhadap apa yang 
saya cadangkan,” katanya lagi.
Mengulas tentang peluangnya di Putrajaya, Husam berkata daripada sokongan 
sepanjang tempoh berkempen, beliau merasakan angin perubahan semakin kuat dan 
tidak menolak kejutan mungkin berlaku.
Sepanjang berkempen di Putrajaya, sambutan yang diterima ke atas Husam sangat 
mengejutkan, kemuncaknya adalah semasa lawatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul 
Aziz Nik Mat Sabtu lalu untuk memberikan sokongan kepadanya yang menyaksikan 
ribuan orang ramai hadir pada ceramah itu.
Pencalonan Husam pada awalnya dilihat sebagai gimik dan tidak akan mengugat 
kerusi yang disandang oleh Tengku Adnan kini menjadi kerusi panas, malahan Dr 
Mahathir juga dijemput turun dalam satu program untuk menandingi kempen Pakatan 
Rakyat (PR) di situ.
Dalam Pilihan Raya 2008 lalu, BN memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 
2,734 undi selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.
Seramai 13,268,002 rakyat yang layak mengundi dalam PRU 13 kali ini.
Kedua-dua parti politik di negara ini, BN dan PR akan bertarung untuk merebut 
sebanyak 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN.
Pilihan Raya 2013 dijangkakan paling sengit dalam sejarah walaupun BN seperti 
diramalkan oleh ramai pihak akan terus menerajui negara selepas itu.
Walau bagaimanapun, PR tidak mustahil untuk membuat kejutan kerana buat pertama 
kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.

<<"">>

Kirim email ke