Tangkapan Jawi: Sikap pemimpin memalukan
Monday, February 14 @ 12:38:29 MYT


Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Sikap pemimpin dan tokoh masyarakat yang mempertahankan remaja yang ditangkap baru-baru ini oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) adalah dianggap memalukan.

Ini berikutan dengan tindakan Jawi menahan lebih 100 remaja Melayu di pusat hiburan baru-baru ini telah mencetuskan rasa tidak senang sesetengah pemimpin kerajaan dan Sisters In Islam (SIS).

Sejak berita mengenai isu tersebut dilaporkan dalam akhbar, banyak pihak yang memberi respons negatif terhadap tindakan Jawi itu termasuk Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dato' Seri Shahrizat Jalil; Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim dan Presiden SIS, Zainah Anwar.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan dan membelakangi hak individu yang berkunjung ke sana.

Malangnya kesemua pihak yang mengkritik itu tidak memberi hujah yang berlandaskan nas dan hadith malah tersasar jauh dari prinsip Islam itu sendiri.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mazlan Aliman menyifatkan kesemua pihak yang terbabit sebenarnya lebih kepada membela remaja yang bermasalah.

Kata Mazlan, sepanjang penelitian Pemuda PAS ke atas beberapa pusat hiburan mendapati akhlak remaja Melayu yangmengunjungi pusat tersebut amatlah 'menjijikkan'.

Beliau berkata demikian pagi tadi ketika mengulas isu penahanan lebih 100 remaja Melayu termasuk seorang pelakon di sebuah pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

Kes itu mendapat perhatian kabinet Malaysia berikutan terdapatnya beberapa aduan yang dibuat remaja yang ditahan terhadap kelakuan penguasa Jawi yang didakwa kasar terhadap mereka sewaktu penahanan.

"Gelagat mereka selepas mabuk amatlah buruk termasuk mereka sanggup berzina, bersekedudukan dengan pasangan bukan muhrim, bergaduh dan menanggalkan pakaian serta muntah-muntah,"kata Mazlan.

Bagi Pemuda PAS kenyataan Sharizat, Mashitah dan Zainah yang mengecam tindakan penguasa Jawi yang dikatakan bersikap kasar terhadap remaja terbabit adalah memalukan.

Pemuda PAS berpendapat, perlu kepada penguasa Jawi ketika itu bersikap sedikit kasar kerana maklumat sumber Pemuda PAS memberitahu gelagat remaja yang ditahan Jawi ketika itu 'menjijikkan'.

Bagaimanapun Pemuda PAS kesal kerajaan terutamanya beberapa menteri mempertahankan aduan remaja sementara menyalahkan tindakan Jawi yang dikatakan kasar terhadap orang yang ditahan.

Mengulas lanjut isu itu Mazlan berkata, kerajaan perlu mengimbas semula tindakan pihak berkuasa Polis terhadap beberapa aktivis reformasi sewaktu mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato''Seri Anwar Ibrahim ditahan.

Katanya, ketika itu tindakan kasar polis telah mengakibatkan beberapa peserta reformasi jalanan mengalami kecederaan, ditelanjangkan, dan disepak.

Bagaimanapun ketika itu pihak kerajaan mempertahankan tindakan kasar pihak berkuasa polis atas alasan tindakan itu perlu bagi mengekang sikap kasar peserta reformasi.

Malangnya dalam isu penahanan 100 remaja oleh Jawi itu, beberapa pemimpin kerajaan membuat kenyataan yang tidak menyebelahi Jawi sementara mempertahankan remaja yang ditahan.

Ujar Mazlan, Pemuda PAS sendiri pernah membuat tinjauan di beberapa buah pusat hiburan di Bangsar, Bukit Bintang dan Jalan P.Ramlee mendapati akhlak remaja Melayu yang masuk ke tempat tersebut sememangnya buruk.

Katanya, remaja terbabit masuk ke pusat hiburan bukan semata-mata untuk menari malah minum arak, menelan pil khayal, dadah dan berzina.

"Inikah akhlak yang perlu dipertahankan oleh kerajaan Islam Hadhari,"soal Mazlan lagi.

Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS tetap menyokong tindakan penguasa Jawi dan mahu pihak Jawi memperhebatkan usaha memerangi tabiat remaja Melayu ke pusat hiburan.

Untuk tujuan itu katanya, pihak Pemuda PAS akan menghantar surat terbuka kepada kabinet Malaysia dan beberapa menteri termasuk Shahrizat untuk menyatakan kekesalan terhadap kenyataan biadap mereka menyebelahi pesalah.

Selain itu Pemuda PAS juga akan menghantar surat tahniah kepada Jawi di atas tindakan cemerlang pihak berkuasa itu menyerbu pusat hiburan dalam usaha membendung gejala sosial di kalangan remaja Melayu Islam. - mks.


ALL-NEW Yahoo! Messenger - all new features - even more fun!

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".



Yahoo! Groups Sponsor
ADVERTISEMENT


Yahoo! Groups Links

Kirim email ke