Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari
Oleh Dr Shafie Abu Bakar

Friday, February 18 @ 14:38:30 MYT


Pendahuluan

BUKU Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari (HIBIH) karangan Presiden Pas, Yang Berhormat Tuan Guru Dato� Seri Haji Abdul Hadi Awang, pertama kali dilancarkan pada 30 Januari 2005 di Markas Tarbiyah Pas, Taman Melewar Gombak Selangor.

Kelahiran buku ini setelah satu setengah tahun konsep `Islam Hadhari` diumumkan pada September 2003 pada tahap nasional oleh Dato� Seri Abdullah Badawi sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri (NST, Jun 26, 2004: 11).

Pada masa pelancaran itu dijanjikan buku Islam Hadhari akan dilancarkan pada Julai 2004, tapi bila masa berlalu buku tersebut tidak muncul, sebaliknya timbul janji baru bahawa buku tersebut akan dilancarkan pada bulan Ogos 2004 (NST, Julai 25, 2004: 8).

Namun hingga buku HIBIH dilancarkan gagasan Islam Hadhari itu tidak pernah muncul dalam bentuk buku. Karya yang ditunggu-tunggu ini baru diterbitkan, tapi hanya dalam bentuk risalah (booklet) yang hanya baru dilancarkan pada 8 Februari 2005 (The Star 9 Februari 2005: 2).

Sebelum dari itu ada pihak lain jauh lebih awal mengambil kesempatan semasa Islam Hadhari masih keawang-awangan menerbitkan buku, iaitu Nakhaie Haji Ahmad mengarang atas judul `Masyarakat Islam Hadhari` diterbitkan oleh Yadim 2004 dan terbaru Ashaari Muhammad bekas pemimpin Arqam dan pengarang Aurad Muhammadiyyah yang diharamkan merasa amat sesuai Islam Hadhari dengan citarasa dan seleranya dan turut mengarang dan mengeluarkan buku berjudul Islam Hadhari Menurut Ustaz Hj. Ashaari Muhammad yang diterbitkan oleh Rufaqa` Corporation 2004.

Sudah tentulah dengan berlainan pengarang berlainan pulalah perspektif, pendekatan dan kandungan. Tanpa penyelarasan maka jadi bercelarulah Islam Hadhari. Ini belum termasuk Islam Hadhari ala Terengganu yang mendahului dua buku Islam Hadhari di atas.

Adalah menjadi pertanyaan bagaimanakah Islam Hadhari gagasan Umno yang ideanya lebih awal dijual dan dijaja bukan saja di dalam negeri tetapi hingga keluar negara dapat berdiri secara ilmiah, intelektual dan bertanggungjawab tanpa dokumen di dalam bentuk buku atau sekurang-kurang dokumen tertulis yang sewajibnya bersifat ilmiah?

Sebagai catatan Islam Hadhari disampaikan Perdana Menteri di dalam ucapannya di Oxford Centre of Islamic Studies Magdallen College, University of Oxford, England (UM 2 Oktober, 2004: 6), kemudian disampaikan di Jamiah Milliah Islamiyyah di New Delhi (NST,22 Disember, 2004: 6).

Kandungan kedua-dua ucapan bersifat sentuhan dan tidak sepenuhnya tentang Islam Hadhari. Sebelum ini gagasan Islam Hadhari bersifat ucapan dan hanya dapat diikuti dari laporan-laporan akhbar dan bersifat fragmented. Usaha bagi mendapatkan bahan tambahan dari kursus-kursus yang diwajibkan pegawai-pegawai hadir juga sukar, kerana pensyarah-pensyarah ditugaskan enggan menurunkannya secara berkertaskerja kerana kabur oleh ketiadaan buku (tiada rujukan) pegangan dan takut menjadi bahan kritikan.

Mereka berceramah sekadar `cari makan` bagi mendapat rezeki tambahan durian runtuh dari peruntukan Islam Hadhari yang begitu besar.

Di dalam hal ini kita menghormati Tun Dr. Mahathir yang menulis buku dahulu bagi menyampaikan ideanya ke tengah masyarakat, Antara yang penting dan menggemparkan ialah `Malay Dilemma` di samping buku-buku lain bagi mencabar orang Melayu memperbaiki nasib mereka. Ianya walaupun kontroversi, menjadi dokumen yang mantap, releven yang dijadikan kajian dan rujukan.

Islam Hadhari

Bagi rakyat negara ini tentulah merasa bangga jika Perdana Menteri benar-benar mau memperkasakan Islam di negara ini, tetapi bersifat terbuka dan tidak pula menyekat rakyat dari memberi pandangan, cadangan dan kritikan terhadap sesuatu yang difikirkan perlu (BH, 4 Februari, 2005: 1).

Atas semangat ini dan tanpa berniat memperlekehkan gagasan Islam Hadhari, tapi oleh kerana Islam merupakan pegangan dan anutan umat dari dahulu hingga kini yang mempunyai prinsip, aqidah, falsafah (aqliyyah), syariah, nilai rohaniah, amaliah, akhlakiah, peradaban dan tamadun secara mantap dan sempurna, maka sebarang pembicaraan terhadap Islam yang menyentuh sensitiviti umat pasti mendapat respond dan kritikan penganut demi mempertahankan kesucian Islam.

Pengambilan Istilah `Islam` dan digandingkan dengan hadhari, maka `Islam Hadhari` menimbulkan implikasi dari segi kata, bahasa, makna, nahu (tatabahasa), logik, worldview, aqidah, falsafah dan nilai. Islam Hadhari yang diperkatakan mempunyai asas permasalahan yang bukan setakat biasa, tetapi serius yang melibatkan umat yang perlu dibincang, dikritik, diperbaiki dan diperbetulkan.

Kelahiran buku HIBIH

Kelahiran HIBIH adalah kena dan tepat pada masanya. Kehadirannya lebih bersifat islah dan sesuai dengan tuntutan al-Qur`an yang bermaksud:

``Serulah ke jalan Tuhan Engkau dengan secara hikmah dan nasihat yang elok. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terlebih baik (al-Nahl, 16: 125).

Dari sudut ini kalau kita melihat kepada judul HIBIH adalah mengambil pendekatan lembut dan bertujuan untuk memperbaiki sesuatu yang dianggap kurang betul dan mengelirukan. Agar kebenaran dapat ditegakkan. Sesungguhnya kebenaran adalah sesuatu yang betul dari segi hakikat termasuklah realiti.

Kebenaran tidak boleh dirubah oleh kerana kedudukan, pangkat dan kuasa. Juga tidak boleh dirubah dengan banyaknya suara sokongan yang diwawancara dan sebagainya. Tujuan buku HIBIH dikarang menurut pengarangnya:

``merupakan salah satu usaha untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada dirubah bentuk samada dari segi asas atau istilahnya, atau amali dan teorinya`` (HIBIH, hlm. V).

Menurut penerbitnya (Nufair Street Sdn. Bhd.), ``Kami menerbitkan buku ini atas dorongan dan rasa tanggungjawab supaya umat Islam khususnya di Negara ini dipandu dan dicetuskan kesedaran tentang kebenaran Islam yang hakiki, � bagaimana insan harus meletakkan paksi akidah mereka di atas landasan yang syumul`` (HIBIH: III-IV).

Buku HIBIH yang setebal 206 halaman terdiri dari 12 bab. Memulakan pembicaraan bagi bab pertama sebagai muqaddimah dan bab kedua bertolak dari pembicaraan mengenai istilah yang sepatutnya digunakan ialah Hadharah Islamiyah (Tamadun Islam) dan bukannya Islam Hadhari (Islam Tamadun), kerana ia boleh membawa kepada implikasi negatif dan mengelirukan.

Pembicaraan awal ini penting kerana kata-kata judul adalah pancaran minda, akar dan pangkalan persoalan yang darinya diolah secara syarah dan hasyiah. Timbulnya istilah Islam Hadhari tidaklah begitu rumit untuk disusurgalur. Istilah ini dipopularkan oleh Ibn Khaldun (m.808H./1406M.) di dalam bukunya yang berjudul Al-Muqaddimah bersama istilah yang lain yang lebih popular antaranya Madani, Misri, Badwi.

Semasa Dato� Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia beliau pernah membawa wawasan membina masyarakat Malaysia sebagai `Masyarakat Madani` (Masyarakat Madani, 1998: 220 hlm.).

Apabila beliau disingkirkan, maka atas pertimbangan politik sempit, maka segala yang berkaitan dengannya dihapuskan, walaupun ternyata baik, termasuk gagasan Masyarakat Madani. Kata orang sekali bah sekali pantai berubah, setiap pimpinan baru naik, maka ianya mau menonjolkan jatidiri dengan gagasan sendiri.

Islam Hadhari adalah gagasan salah nasihat yang bersifat ikut-ikutan dari penasihat yang bertujuan mau menggerhanakan masyarakat Madani dan digantikan dengan Islam Hadhari (sepatutnya Masyarakat Hadhari).

Implikasi Islam Hadhari

Meneliti `Islam Hadhari` tidak betul dari segi tanggapan makna terhadap Islam. Kedudukan dari segi nahu `Hadhari` ialah nisbah. (Ibn `Aqil, Juz` 2, Misr, 1961: 383-396) Islam Hadhari ialah Islam yang dinisbahkan kepada Hadhari, dengan ini dari segi semantiknya terkeluar dan menafikan aspek-aspek Islam yang lain dari itu yang Islam sepatutnya bersifat syumul.

Logiknya memperlihatkan world view pendukungnya bahawa ada Islam Mundur. Ini mencemarkan akidah. Hakikatnya hadhari dan madani secara Islam wujud sejak dari Awal diutuskan Rasulullah s.a.w. dan berterusan hingga kini dan akan datang. Yang turun naik maju atau mundur ialah masyarakat umatnya yang menurut atau tidak menurut ajaran Islam. Islam tidak boleh dinisbahkan misalnya Islam sosialis, Islam Ash`ari, Islam Mu`tazili dan sebagainya kerana Islam adalah kebenaran yang sempurna dan tidak boleh ditempelkan dengan mana-mana aliran fikiran yang nisbi sifatnya (Sayid Qutb, Masyarakat Islam, 1975: 24).

Penyebutan yang betul dari segi istilah, nahu, makna, logik dan akidah ialah ungkapan Al-Hadharah al-Islamiyyah atau Hadharah Islamiyyah atau Tamadun Islam berkedudukan dari segi nahu ialah sifat dan yang disifatkan, hadharah yang disifatkan kepada Islam atau hadharah yang menurut acuan Islam. Za`ba menyebutnya sebagai sifat nama `Islamiyyah` pada `Hadharah` atau `Islam` pada tamadun `Tamadun Islam` (Za`ba, Pelita Bahasa Melayu I, 1961: 153).

Lihat juga: (Ibn `Aqil, Juz` 2, Misr, 1961: 150-162). Penerangan ringkas dalam ruang yang terhad ini diharap dapat membantu memperjelaskan maksud `Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari`. Implikasi Islam Hadhari bukan setakat bahasa, makna dan logik, tetapi lebih besar masalah dari segi falsafah, aqidah dan amali yang tercermin pada realiti.

Mempersoalkan kejujuran Umno memperjuangkan Islam

Dalam bab tiga pengarang mempersoalkan kejujuran Umno dengan menokok tambah Islam, implikasi Islam Hadhiri, bahawa Islam yang sebelum dari Islam Hadhari adalah jumud dan tidak selari dengan kemahuan Umno, sebab itu perlu diubah menurut kemajuan dan kekinian.

Perjuangan Islam Umno selama ini tidak istiqamah, kabur, menyeleweng, malah berisiko menyesatkan. Tidak ada kesungguhan untuk mendaulatkan Islam. Pendekatan keislaman Umno diakibatkan oleh tekanan politik lawannya dan tidak ada keikhlasan.

Pergerakan ke arah keislaman melalui transisi berhelah yang panjang dan penghujungan kininya tak tiba kepada noktah perjuangan keislaman sebenarnya.

Dalam transisi pentahapan berhelah ini dapat dilihat pada awal sejak penubuhan Umno 1946, tidak memberi perhatian pada perjuangan keislaman, sehingga segelintir dari ahli keluar menubuhkan Parti Islam (1951) bagi melanjutkan perjuangan parti Hizbul Muslimin yang diharamkan British.

Apabila Malaya mencapai kemerdekaan, perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan Islam dalam artikal dua sebagai agama rasmi Malaya (kini Malaysia) hanya menghadkan kepada yang bersifat upacara dan adat istiadat, sedangkan Malaysia tetap negara sekular.

Apa yang lucu pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri ini loteri menjadi sebahagian dari hasil Negara dan hasil loteri ini antaranya diperuntukkan untuk membina masjid. Ada masjid yang dibina dari duit loteri ini dibiarkan oleh rakyat hingga runtuh dan tidak makmur. Contoh masjid di Air Tawar, Kuala Besut Terengganu (runtuh) dan masjid Selising, Kota Bharu, Kelantan (tidak makmur). Ada rancangan untuk membina masjid Negara dari wang loteri, tapi dibantah.

Sebuah muzakarah ulama-ulama diadakan di Kuala Kangsar memutuskan bahawa wang loteri haram, apalagi digunakan untuk masjid (Qalam, Bil. 126 Rejab 1380/Januari 1961 hal. 2). Mufti negeri Kelantan juga menegah dari menggunakan masjid dan surau yang menerima peruntukan dari Loteri Kebajikan Masyarakat (Funston, 1980: 57).

Pandangan Umno tentang Islam berhubung dengan politik amat jauh menyimpang. Undang-undang Islam tidak boleh dicampurkan dengan undang-undang negera, kata Tengku Abdul Rahman:

``Undang-undang Tuhan jangan dicampurkan dengan undang-undang Negara. Masya Allah Tengku. Sekali lagi masya Allah. Tengku seterusnya menyambung, bahawa kalau undang-undang Tuhan digunakan, Negara akan kacau bilau dan permusuhan di antara rakyat dalam negeri ini akan berlaku``. (Qalam Bil. 127, Sya`ban 1380/ Februari 1961: hlm. 2).

Apabila Tun Razak menjadi Perdana Menteri selepas berlakunya rusuhan 13 Mei, 1969 dan selepas Negara di bawah pemerintahan MAGERAN, Negara agak reda dari politicking, apabila BN ditubuhkan dan Pas sama menjadi pengasas dan sama menjadi parti pemerintah (1973-1977).

Hasil dari dakwah dan atas cadangan PAS ada beberapa perubahan perjalanan kerajaan ke arah menghormati nilai-nilai Islam. Misalnya pengharaman loteri Kebajikan Masyarakat, penukaran logo Kementerian Kesihatan dari lambang Red Cross kepada lambing Bulan Sabit, Penukaran pakaian jururawat ke arah lebih menutup aurat, penukaran dari menghormati tugu pada hari pahlawan kepada doa, mengadakan majlis membaca yasin dan tahlil bagi hari penghormatan dan peringatan dan sebagainya.

Selepas PAS dipecat dari BN (1977) pada zaman Tun Hussein Onn, maka tuduhan dan kecaman terhadap Pas menyala semula, khususnya selepas kenaikan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri (16 Julai1981). Ada ungkapan-ungkapan Dr. Mahathir berhubung dengan Nabi mengelirukan.

Isu pindaan perlembagaan berhubung dengan kekuasaan Raja-Raja Melayu dipersoalkan. Perpecahan di dalam parti Umno terutama antara Dr. Mahathir dengan Dato� Musa Hitam, dengan Tengku Razaleigh yang membawa kepada kelahiran Parti Semangat 46 yang memperkukuhkan Pas dan pemecatan Dato� Seri Anwar Ibrahim yang memperteguhkan BA termasuklah PAS adalah warna-warna politik pada zaman Dr. Mahathir.

Dalam masa yang sama, iaitu sejak 1970an gerakan keislaman baik pada peringkat tempatan dan juga peringkat antarabangsa memuncak, Umno yang selama ini berpegang bahawa Islam terpisah dari politik dan apabila melihat orang Melayu lebih mendukung Islam hasil dari dakwah dan penerangan PAS, maka Umno terpaksa berubah dan menerima hakikat politik adalah sebahagian dari Islam, maka Umno terpaksa menyesuaikan diri bagi mendapat sokongan orang Melayu.

Maka antara puluhan slogan politik Dr. Mahathir, maka diungkapkan slogan `penerapan nilai-nilai Islam`. Ini mencerminkan Umno memang mengelak dari menerima Islam sepenuhnya. Tidak ada kesan nyata daripada penerapan nilai-nilai Islam.

Oleh kerana PAS memperjuangkan negara Islam dan dilihat orang-orang Melayu makin memberi sokongan terhadap perjuangan Islam, maka Umno terpaksa berubah lagi untuk menarik sokongan mereka, maka Umno melalui Dr. Mahathir di dalam satu perhimpunan Parti Gerakan Malaysia di Kuala Lumpur pada tanggal 29 September 2001 mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.

Pengisytiharan luaran tanpa perubahan dalaman ini disifatkan oleh YB Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz sebagai menjenamakan kereta lembu dengan jenama Mercedes. Pertukaran pimpinan parti Umno dan pemerintahan Negara dari Dr. Mahathir kepada Dato� Seri Abdullah Badawi membawa satu lagi perubahan, kepada pertukaran slogan yang mengelirukan, iaitu Islam Hadhari.

Ini membuktikan bahawa Umno tidak ikhlas dan tidak mau meletakkan kedaulatan Islam pada tempatnya, sebaliknya sentiasa berhelah dan mengelirukan dengan Islam Hadhari.

Di dalam Islam semuanya lengkap dan syumul baik dari segi ibadat, pemerintahan, kemajuan, sejarah peradaban dan ketamadunan sebagaimana diterangkan oleh pengarang di dalam bab-bab 4 � bab 7.

Kejatuhan umat bukan kerana kelemahan dari segi prinsip dan dasar Islam, tetapi kerana kelalaian dan pengabaian umat terhadap ajaran Islam dan silau terhadap pengaruh barat yang membawa kepada terjajah dan terbelenggunya pemikiran umat dan membawa kepada kelemahan (bab 8 -9). Sebab itu umat Islam perlu kembali kepada Islam yang sebenarnya berpandukan kitab Allah dan Sunnah Rasulnya s.a.w. (bab 10 � 12).

Rumusan dan cadangan

Kita menyokong usaha memajukan negara berdasarkan Islam, tapi tidak perlu kepada penukaran label Islam kepada Islam Hadhari, kerana ini boleh mengelirukan, menyelewengkan, bahkan mencemarkan akidah. Islam sendiri sudah lengkap dan syumul.

Kita menganggap keengganan pihak Umno menarik balik Islam Hadhari kepada Islam secara benar kerana mempertahankan maruah yang tidak sewajarnya dipertahankan. Ini samalah dengan sikap pihak RTM mempertahankan istilah infortainmen yang dikritik oleh masyarakat dan pakar-pakar bahasa termasuklah dari DBP, tetapi tetap berkeras menggunakannya.

Sudah 15 abad Islam berkembang, ramai lahir ulama dan intelektual di dalam berbagai-bagai bidang. Selama ini tidak ada seorang daripada mereka memandai-mandai menokok tambah pada istilah Islam, kerana mereka tahu Islam adalah agama yang diakui Allah sempurna. Apakah hak mereka menambah Islam kepada Islam Hadhari ?

Dari segi logiknya Islam hadhari menganggap Islam sebelum ini mundur, sewajarnya kita jangan bersifat angkuh terhadap kemajuan yang telah dicapai sejak 15 abad yang lepas. Peradaban, tamadun dan Persuratan yang telah terhasil di dalam Islam di dalam berbagai-bagai bidang tidak terpemenai banyaknya. Tidakkah kita malu dengan sekelumit fikiran kita secara angkuh merendahkan peradaban dan ketamadunan Islam yang telah memberi kemajuan kepada umat Islam dan manusia sejagat ?

Tidak dapat dinafikan Islam Hadhari boleh membawa kepada tanggapan mengelirukan bahawa, Umno membawa Islam baru, mazhab baru, aliran baru dan agama baru. Usaha Umno menurunkan Islam kepada 10 prinsip yang bersifat kehidupan keduniaan tanpa bertunjangkan kepada al-Qur`an, hadith, rukun iman, Islam, ihsan, penekanan pada perundangan, kerohanian dan keakhiratan bagi mensesuaikannya bagi penerimaan masyarakat Malaysia, seolah-olah ada kesamaan dengan usaha pemerintah India, Akbar The Great (1542-1605) yang menukarkan Islam yang dianggap ortodox dan mundur kepada prinsip Islam �devine� Ilahi untuk mendekati semua agama di India.

Untuk mengelak dari tercebur ke implikasi dan komplikasi sedemikian sewajarnya dikembalikan prinsip-prinsip positif bukan setakat 10 prinsip sahaja kepada Islam semata-mata dan bukannya Islam Hadhari.

Islam tidak wajar diperturunkan ke taraf kemahuan pihak tertentu semasa dan dipaksakan dengan prinsip-prinsip yang dikehendaki ke atasnya secara rasional akal semata-mata, sebaliknya dari Islamlah diperturunkan prinsip, falsafah, akidah, perundangan, nilai, keakhlakan, budaya dan kemasyarakatan sebagaimana dilakukan oleh ulama dan tokoh-tokoh intelektual Islam.

Umat Islam seharusnya mengelak diri dari terjebak kepada fikiran sekular dan rasional akal semata-mata dan melihat Islam dari segi kepentingan kehidupan lahiri semata-mata dan mengenepikan persoalan rohani dan keakhiratan. Aliran ini sesungguhnya sedang berkembang di dalam masyarakat yang dapat dilihat dari sikap golongan anti Hadith, pihak yang menentang kononnya wujudnya ketidakadilan Islam terhadap kaum wanita dan kalangan yang tidak setuju melihat sesuatu malapataka contohnya bencana Tsunami dihubungkan dengan penyelewengan dan kejahatan manusia dengan kekuasaan Allah dan pertanda-pertanda hari kiamat.

Ada pertanda Islam Hadhari tidak saja berlandaskan rasional dan kepentingan semasa, tetapi juga menuju ke arah falsafah liberal dan mengabaikan perundangan agama. Contoh tangkapan-tangkapan yang dilakukan JAWI menurut peruntukan yang diperuntukkan kepadanya dikecam dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari pemerintah.

Ada kes-kes yang terang-terang salah dari segi perundangan Islam tidak diambil tindakan. Ada penulis upahan yang sengaja dilindungi dan membiarkannya menyebarkan kekeliruan mengenai Islam di dalam ruangan-ruangan yang dikhaskan kepadanya di dalam akhbar dan majalah. Islam Hadhari nampaknya tidak memberi perhatian terhadap perkembangan kegiatan judi dan berbagai-bagai gejala maksiat di negara ini.

Kita bimbang dalam jangka panjang umat Islam di Malaysia akan dipandang serong dan terpisah dari negara-negara Islam lain, kerana ianya membawa satu aliran baru atau mazhab baru yang berlainan dari pegangan negara-negara Islam.

Dalam hal ini ada sahabat penulis membuat lelucon, bila seorang pengikut Islam Hadhari mati. Apabila munkar dan nakir menyoal si mati di dalam kubur. Apa agama engkau ? Lalu dijawab, ``Islam Hadhari !`` tentulah dipukul oleh munkar dan nakir, kerana selama ini orang Islam diajar agar menjawab `Islam agamaku`, bukan Islam Hadhari agamaku !, kerana jawapan sedemikian salah.

Secara serius timbul pertanyaan, apakah bersama rangkaian konspirasi Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya untuk merosakkan Islam secara berkonfrontasi dari luar, di sana ada pula terdapat konspirasi yang diatur secara halus bersifat dalaman untuk merosak dan memecahbelahkan Islam dari dalam ?

Bukankah pimpinan negara pernah terjebak menyekat perkembangan sekolah-sekolah agama rakyat dan sama menganggapnya sarang militan angkara hasutan Amerika ? Tidak mustahil sekarang kita sedang terjebak ke dalam konspirasi musuh Islam yang berusaha merosakkan Islam secara dari dalam ?

Walau bagaimanapun kita melihat oleh kerana Islam Hadhari lebih bersifat slogan politik Umno yang tidak ikhlas mau memperjuangkan Islam dan Islam Hadhari diletak di bawah Jakim setaraf dengan unit zakat, wakaf dan lain-lain di bawahnya, maka kita menjangka dan mengharapkan Islam Hadhari tidak ke mana-mana. Kedudukannya di bawah Jakim bersifat duplikasi.

Bukankah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berfungsi untuk memajukan Islam, jadi Islam Hadhari (sepatutnya Jabatan Hadharah Islamiyyah) juga kononnya untuk memajukan Islam ? Apa bezanya dari segi untuk memajukan ?

Sejauhmanakah Jakim dapat memajukan Islam dalam politik, pentadbiran, ekonomi dan sebagainya ? Ianya terikat kepada perkara-perkara agama. Islam Hadhari di bawah Jakim akan bersifat terhad atau mungkin lebih bercelaru ?

Kesan dari penerbitan HIBIH

HIBIH dihasilkan atas kesedaran untuk mempertahankan kemurnian Islam dan buku tersebut dihasilkan secara teliti dan bersifat ilmiah. Sebelum diterbitkan disemak oleh ulama-ulama yang berwibawa. Yang Berbahagia Dato` Dr. Harun Din (Profesor dalam Pengajian Islam), Timbalan Murshidul Am dan Ketua Penerangan PAS Pusat mencatat: ``Keunggulan Islam dan keagungan tamadunnya tiada tolak banding. Justeru buku ini memperjelaskan fikrah sebenar dan menyanggah kekeliruan Islam Hadhari. Patut menjadi tatapan dan renungan, bukan saja bijak pandai Islam, malah orang-orang yang cintakan kebenaran``.

Mantan Mufti Selangor, Al-Fadil Dato`Ishak Baharum yang turut meneliti buku ini berpendapat, ``Satu penjelasan yang mantap untuk menidakkan kecelaruan fahaman Islam yang terpesong ciptaan Umno``.

Sesungguhnya kelahiran buku ini menggelisahkan pimpinan Umno hingga terpaksa dipanggil sidang khas Umno bagi menyerang pengarang buku yang mempertahankan Islam sebenar dan Umno cuba menegakkan Islam Hadhari (UM 4 Februari, 2005: 2) antaranya dengan menginterviu tokoh-tokoh agama Umno (UM, 5 Februari, 2005: 10).

Ekoran dari pelancaran buku HIBIH dan perhimpunan di atas Umno secara tergesa-gesa menyiapkan risalah Islam Hadhari dan melancarkannya pada 8 Februari 2005 (NST, 9 Februari 2005: 2). Apa pun adalah berkewajipan bagi setiap orang yang cintakan kebenaran mempertahankan kesucian agama Islam.

Firman Allah bermaksud: ``Sesungguhnya Agama di sisi Allah ialah agama Islam``. (Ali Imran 3: 19).

FirmanNya lagi bermaksud: ``Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku lengkapkan ke atas kamu nikmatku dan aku redakan bagi kamu ISLAM sebagai agama kamu. (al-Ma`idah 5: 3).

Daripada Saydatina Aishah r. `anha berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa mengada-ngadakan perkara baru dalam urusan agama kami ini yang bukan daripada urusannya nescaya ia ditolak. (Hadith riwayat Bukhari).

Bersama-samalah menolak Islam Hadhari dan tegak maju bersama Islam (hakiki).

Wa Allahu a`lam.


ALL-NEW Yahoo! Messenger - all new features - even more fun!

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".



Yahoo! Groups Sponsor

Get unlimited calls to

U.S./Canada



Yahoo! Groups Links

Kirim email ke