Fenomena luar biasa -- Beratus-ratus timun laut ditemui terdampar di Port 
Dickson
Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM, LAUPA JUNUS dan SUWARNI MOKHTAR


 
--------------------------------------------------------------------------------
 


PORT DICKSON 5 April - Beratus-ratus ekor timun laut yang hanya hidup di 
celah-celah batu karang ditemui terdampar dan mati di tepi beberapa pantai 
utama di sini semalam - fenomena yang setakat ini masih membingungkan pakar 
marin.

Fenomena itu sungguh aneh dan tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut 
penduduk di sini yang menyaksikan kejadian tersebut.

Bagaimanapun, pakar marin biologi yang ditanya adakah kematian timun laut ini 
boleh dijadikan tanda amaran akan berlakunya tsunami dalam masa yang terdekat 
memberitahu tiada kajian saintifik yang boleh mengaitkannya.

Pertanyaan itu dibuat ekoran fenomena sebelum ini mendapati populasi ikan 
menjadi banyak di laut Kuala Kedah tiga hari sebelum tsunami 26 Disember lalu 
dan kehadiran ikan lumba-lumba di perairan yang sama sebelum gempa kuat 29 Mac 
lalu.

Timun laut atau nama saintifiknya bohadschia-marmorata sepanjang antara 15 dan 
35 sentimeter itu mulai ditemui oleh orang ramai di tepi pantai Tanjung Gemuk, 
Glory Beach Resort, Teluk Kemang dan Linggi kira-kira pukul 5 petang semalam.

Hidupan laut itu kebiasaannya hidup dalam dasar laut berlumpur sedalam antara 
lima dan 15 meter.

Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Affendi Yang Amri 
pula berkata, fenomena itu mungkin ada kaitan dengan kejadian gempa bumi yang 
berlaku di Pulau Nias, Sumatera, 29 Mac lalu.

Katanya, gempa yang berlaku mungkin telah menyebabkan lumpur berasid yang 
berada di dasar laut telah naik ke permukaan dan mengganggu habitat hidupan itu 
hingga menyebabkan kematian dalam kuantiti yang banyak.

``Bagi hidupan laut yang lain seperti ikan, apabila berlaku keadaan sebegini, 
mereka akan melarikan diri dari kawasan itu, tetapi pergerakan timun laut yang 
terlalu lambat mungkin menyumbang kepada jumlah kematian yang banyak,'' katanya 
ketika dihubungi hari ini.

Timun laut itu mempunyai nilai komersial tinggi dalam perubatan alternatif 
terutamanya dalam perubatan tradisional Cina.

Ia bukannya Gamat seperti yang ditemui di Pulau Langkawi walaupun daripada 
jenis keluarga spesies yang sama.

Menurut seorang pakar yang terlibat dalam penyelidikan timun laut sejak 20 
tahun lalu, Prof Dr. Ridzwan Hashim, hidupan itu merupakan spesies yang tahan 
lasak kepada tekanan persekitaran melainkan, keadaan pencemaran yang berlaku 
terlampau teruk.

Menurut Ridzwan, biasanya spesies organisma bentik (hidup di dasar) itu ditemui 
selepas berlaku ombak.

``Saya dapati fenomena ini berlaku semasa menjalankan kajian di Semporna, 
Sabah,'' katanya yang juga Timbalan Dekan Akademik, Kulliyah Sains, Universiti 
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Seorang lagi pakar penyelidik hidupan marin, Dr. Razali Kemp Mohamad Rais 
menyokong pendapat Ridzwan itu.

Beliau berkata, ia mungkin dibawa oleh ombak besar yang berlaku di perairan itu 
sejak dua hari lalu. Affendi bagaimanapun menolak pendapat itu kerana jika 
benar ia akibat ombak besar, hidupan laut lain seperti tapak sulaiman akan 
turut dibawa arus ke pantai.

Ahli Biologi Marin Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kee Alfian Abdul Adzis 
juga berpendapat, kejadian ombak besar mungkin ada kaitan dengan fenomena itu.

Apabila ditanya adakah kematian timun laut ini boleh dijadikan tanda amaran 
akan berlakunya tsunami dalam masa yang terdekat, Kee Alfian berkata tiada 
kajian saintifik yang boleh mengaitkan kedua-duanya.

Dalam pada itu, menurut Razali, kejadian itu adalah biasa kerana timun laut itu 
memang ada di dalam dasar laut Port Dickson terutamanya di kawasan batu karang 
yang berlumpur dan berlumut serta mempunyai rumpai laut.

``Lumut dan rumpai laut yang terlekat pada batu-batu karang memang merupakan 
makanan utama hidupan ini.

``Timun laut ini memang banyak terdapat dalam dasar laut di sini tetapi ia 
terlalu jarang ditemuinya terdampar di dasar laut,'' katanya yang juga Pengarah 
Urusan Akademi Kembara Nusantara Sdn. Bhd. ketika dihubungi di sini.

Katanya, beliau percaya fenomena itu berlaku berpunca kerana sistem ekologi 
hidupannya dirosakkan oleh manusia.

``Apabila rumah mereka telah diceroboh menyebabkan sistem ekologinya terjejas 
dan keadaan bertambah teruk lagi apabila berlaku ombak besar baru-baru ini yang 
telah mengheretnya ke tepi pantai.

``Ini bukan masalah bencana alam tetapi akibat angkara manusia yang tidak 
bertanggungjawab,'' katanya.



 
--------------------------------------
'Sambutan 100 Tahun Universiti Malaya'
http://www.um.edu.my





------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Would you Help a Child in need?
It is easier than you think.
Click Here to meet a Child you can help.
http://us.click.yahoo.com/0Z9NuA/I_qJAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke