Tangan yang dicium ketika akad
Oleh: ZUNAIDAH ZAINON

 
ANAK-anak yang masih belum mengerti ragam kehidupan.
--------------------------------------------------------------------------------
 


IJAB dan kabul, termaktub dalam undang-undang Islam
untuk memelihara kesucian agama dan keturunan umat
Rasulullah s.a.w. 

Namun, mengingkari ijab kabul perkahwinan yang halal,
adalah satu panorama biasa dalam kehidupan moden hari
ini. 

Ke manakah hilangnya taklik yang dilafazkan di hadapan
kadi? Dan ke manakah perginya perasaan kasih dan cinta
kepada isteri yang dinikahi secara sah? 

Wajarkah wanita sahaja yang perlu memikul hukum dunia
apabila bergelar ibu tunggal? Padahal hampir saban
hari menjadi mangsa kerakusan sifat ganas suami yang
tidak ubah seperti binatang!

Bukan sahaja tangan yang dicium ketika akad menghentam
tubuh yang tidak bermaya, malah sanggup menodai darah
daging sendiri tanpa belas kasihan. 

Apakah kuasa talak yang diberikan kepada lelaki boleh
`digunakan' sesuka hati? Membiarkan isteri digantung
tidak bertali tanpa nafkah zahir dan batin, adakah ia
merupakan ajaran agama Islam? 

Persoalan membingungkan. Tetapi itulah beban yang
terpaksa ditanggung, hanya kerana cinta sanggup
dipinggirkan segala derita. Namun, sampai bila semua
ini akan berakhir?

``Itulah dilema yang perlu dihadapi oleh wanita.
Hendak tinggalkan suami, tidak sanggup kerana
memikirkan anak-anak yang tidak berbapa. 

``Jika minta cerai, hukumnya berdosa. Akhirnya, terima
apa saja perlakuan buruk suami,'' ujar Pengasas Rumah
Titian Kasih, Sharifah Adlan, 49, dengan membahasakan
dirinya Mak Pah.

Menurut Mak Pah, idea untuk menubuhkan rumah ini
didorong oleh perasaan tanggungjawab untuk membantu
orang yang memerlukan, setelah beliau bergelar ibu
tunggal dan ditinggalkan suami tanpa khabar berita
sejak lapan tahun lalu. 

Ini menyebabkan Mak Pah berusaha untuk mendapatkan
perlindungan di rumah Baitulmal. 

Pada awalnya, beliau merasakan hidupnya terlalu malang
kerana `dicerai' tanpa talak.

Bagaimanapun, setelah melihat kepayahan seorang ibu
tunggal yang mengalami masalah mental bersama lima
orang anaknya yang ditemui di rumah tersebut,
membuatkan beliau terfikir bahawa hidup perlu
diteruskan.

``Hingga saat ini, saya tak dapat lupakan wanita
tersebut. Dia didera suami sendiri hingga disahkan
sakit mental. 

``Cuba kita bayangkan, perempuan mana yang tak gila
jika dalam keadaan mengandung, perut ditendang
berkali-kali dan dipaksa pula beranak,'' luah Mak Pah
sebak. 

Hasil usaha Mak Pah untuk menubuhkan Rumah Titian
Kasih tidak sia-sia kerana mendapat sokongan daripada
rakan-rakannya. Ia bermula dengan modal beserta
sumbangan yang kecil. 

Mak Pah mengakui, rumah yang disewa sekarang pada
kadar RM2,000 sebulan tidak mampu menampung jumlah
penghuninya yang semakin bertambah. Lagipun, kemudahan
yang ada juga terhad untuk kegunaan mereka.

``Kebanyakannya hanya ditempatkan sementara di sini
sebelum memperoleh rumah sewa lain dan mampu
berdikari. Mak Pah sentiasa memastikan, mereka
mendapat kemahiran seperti menjahit baju dan membuat
kuih muih sebelum berpindah keluar,'' katanya penuh
prihatin.

Selain diberi perlindungan, mereka juga bertindak
sebagai sukarelawan dengan membantu rakan-rakan lain
yang senasib dan sama-sama berkongsi kemahiran yang
ada. 

Mak Pah menceritakan, ibu-ibu tunggal yang pernah
menetap di sini datang daripada pelbagai latar
berbeza. Ada yang membabitkan pihak mahkamah dan
polis. 

Salah satu kes menyayat hati ialah seorang ibu yang
bukan sahaja didera suami, malah anak-anak
perempuannya yang belum berusia 12 tahun turut menjadi
mangsa nafsu bapa sendiri. 

Keadaan tersebut memaksanya lari daripada kawalan
suami setelah talak dijatuhkan. 

``Ada satu kes tetapi tidak melibatkan ibu tunggal.
Seorang remaja cacat yang pernah mengandung tetapi
gugur kerana dirogol bapa sendiri. Sekarang, dia
mengalami tekanan mental.

``Mak Pah tak tahu apa nasib mereka, jika tidak datang
ke sini. Bayangkan, dah cacat, dirogol pula dan
mengandung, ke mana dia nak pergi dalam keadaan
begitu?,'' ujar Mak Pah. 

Ketika penulis mengajukan pertanyaan, mengapa
bersungguh-sungguh membantu walhal tiada langsung
pertalian darah?

Jawabnya mudah, semakin dirinya bersemangat
meringankan beban orang lain, semakin hilang derita
dan pahit kehidupannya. 

Itulah yang Mak Pah rasakan, ganjaran daripada Allah
s.w.t. kepada hamba-Nya yang prihatin terhadap masalah
orang lain. 

Persoalan yang sama penulis ajukan kepada Norlaila
Shamsudin atau Kak Lela, 36, juga salah seorang ibu
tunggal yang baru menetap di situ dua bulan lalu.

``Saya dah rasa semua sepak terajang suami, maki hamun
dan kata-kata yang menyakitkan hati. Tapi saya sabar
kerana anak-anak. 

``Bahagian mana di badan saya tak pernah lebam, tak
pernah cedera. Kepala saya pernah berjahit. Tangan
saya juga pernah patah,'' luah Kak Lela menunjukkan
lengannya yang berparut panjang. 

Menurutnya, perkahwinan atas dasar cinta seawal usia
17 tahun, hanya bahagia selama dua tahun. 

Selepas memperoleh anak kedua, suami mula buat
perangai. Dan ia terus berlarutan hinggalah mendapat
anak keempat pada tahun 2000. 

``Saya tak sangka dalam diam dia ada orang lain.
Paling teruk dia menjalinkan hubungan dengan seorang
wanita yang ada HIV. 

``Bermula dari situlah, saya nekad mencari pekerjaan
memandangkan nafkah anak-anak, suami tak ambil
peduli,'' ujarnya mengenang sikap suami yang pernah
dicintainya 18 tahun lalu. 

Keputusannya keluar bekerja di kilang berhampiran
kampung, menyebabkan sikap marah suaminya semakin
bertambah hingga menuduh Kak Lela menyimpan lelaki
lain. Sampai satu tahap Kak Lela dipukul dan dimaki
sesuka hati. 

``Bukan nak buruk-burukkan dia. Tapi setelah
diceraikan penghujung tahun lepas, rasa macam bebas
daripada azab derita. 

Apabila datang ke sini dan berjumpa Mak Pah, akak
semakin bersemangat untuk teruskan hidup dan membantu
orang lain yang senasib,'' cerita Kak Lela yang
mengajar kelas menjahit kepada ibu-ibu tunggal yang
lain. 

Entah di mana silapnya. Suami Kak Lela bukan orang
yang tidak memahami agama, malah merupakan anggota
kumpulan tabligh yang sering berkelana mengikut
aktiviti agama di masjid. 

Tetapi dari segi tanggungjawab, dia menidakkan hukum
Tuhan dan menganggap isteri tidak lebih seperti orang
suruhan. 

Islam sendiri pun mengangkat martabat wanita dan
meletakkannya di tempat yang paling tinggi.

Bagi Esah Alias pula, perkahwinan yang pada mulanya
diharapkan berpanjangan, akhirnya terputus di tengah
jalan setelah mengetahui sifat sebenar suaminya. 

``Mak Esah kahwin lambat. Masa umur 29 tahun. Entah
macam mana jumpa dia terus ambil keputusan berkahwin.
Ini disebabkan sikapnya yang prihatin dan penyayang,''
katanya mengenang kisah 19 tahun lalu. 

Rahsia yang disimpan suaminya terbongkar seminggu
sebelum perkahwinannya. Rupanya Mak Esah bukan isteri
pertama tetapi keempat! 

Perkara ini diketahui sendiri daripada ibu saudara
sebelah suaminya. 

``Tapi kenduri terpaksa diteruskan sebab persiapan dah
dibuat. Keluarga pun dah hilang punca. Walaupun kecewa
tetapi Mak Esah terima dengan hati yang tabah,'' ujar
Mak Esah yang tidak mempunyai masalah dengan
madu-madunya.

Mak Esah tidak menafikan, suaminya tidak pernah
memukulnya, jauh sekali mengeluarkan kata-kata kesat
tetapi sikapnya yang suka meminta duit dan tidak
memberikan nafkah kepada keluarga menyebabkan Mak Esah
hilang sabar. 

Sudahlah terpaksa menanggung malu kepada keluarga dan
adik-beradik, ada suami pun tidak bertanggung jawab
dan kadang-kadang menghilangkan diri dua atau tiga
minggu. 

Mujur Mak Esah mempunyai pendapatan sendiri dan
kemahiran yang ada membolehkannya membesarkan anak
tunggalnya. 

Setelah dibebaskan, Mak Esah berusaha membina
kehidupan dan melupakan suaminya. Namun, pertalian
antara anak dan bapa tidak akan dipisahkan hanya
kerana perceraian.

``Paling kasihan, anak tunggal Mak Esah. Dia menerima
ejekan daripada kawan-kawan dan dipulaukan. 

``Mak Esah selalu pesan pada dia, elakkan diri dengan
pergaulan yang luas. Walaupun dia tidak jahat, tetapi
sebab tidak disukai, orang boleh tuduh dia yang
buat,'' Mak Esah menceritakan antara dugaan yang perlu
dihadapinya. 

Walaupun bekerja syif malam di kilang tersebut, Mak
Esah masih berkesempatan menjalankan kerja-kerja
sukarela pada sebelah petang. 

Katanya, dia gembira dengan kehidupan sekarang kerana
tidak perlu bergantung pada sesiapa. 

Tidak diduga, sebalik senyuman mesra menyambut
kedatangan penulis dan jurugambar, mereka sebenarnya
menanggung derita dan pahit kehidupan sepanjang
bergelar isteri. 

Bukan hendak menyalahkan sesiapa, tetapi penulis
merasakan sesuatu perlu dilakukan. Masih kurang
lagikah pendidikan agama di sekolah? 

Teringat kata-kata seorang ustazah yang penulis temui
dua minggu lalu. Katanya, jika seorang kanak-kanak
kecil sanggup menyepak dan memijak kucing, apakah yang
akan dilakukan jika kanak-kanak tersebut meningkat
dewasa? 

Penulis menerima ejekan daripada teman-teman kerana
menyiarkan isu pemeliharaan haiwan yang dianggap remeh
dari sudut masyarakat. 

Hakikatnya, isu kecil jika tidak ditangani, ia boleh
membesar dan menjadi satu masalah kepada negara.
Fikirkan!



                
__________________________________ 
Meet your soulmate!
Yahoo! Asia presents Meetic - where millions of singles gather
http://asia.yahoo.com/meetic






------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
In low income neighborhoods, 84% do not own computers.
At Network for Good, help bridge the Digital Divide!
http://us.click.yahoo.com/hjtSRD/3MnJAA/i1hLAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke