Pencemaran Kisah-Kisah al-Quran
Oleh Mohd Asri Zainul Abidin
Al-Quran adalah kitab yang agung, bersih dari nilai-nilai cemar yang mengoyak kejelasan risalah suci yang terkandung di dalamnya. Al-Quran bukannya buku atau majalah lucu, yang membawa watak khayal dan lucu. Al-Quran adalah risalah Allah untuk umat manusia.
Namun kesilapan dan kurang memahami manhaj ilmu dengan baik telah menjerumuskan sebahagian penulis dan penceramah ke lembah kekarutan dalam menggambarkan watak-watak cerita di dalam al-Quran. Tulisan ini saya hidangkan untuk sahabah-sahabah sebagai satu muqaddimah awal dalam gerak kerja kita membersihkan anasir-anasir cemar ini di dalam pemikiran umat.
Diharapakan para pembaca mendo`akan agar Allah S.W.T merezekikan keikhlasan hati kepada penulis,
juga thabat (tetap) di atas jalan petunjuk sehingga ke akhir hayat.
Penceramah dan Pencemaran al-Quran
Seorang penceramah berceramah untuk orang ramai mengenai Nabi Allah Ayyub a.s., antara katanya: "Nabi Ayyub a.s. telah ditimpa penyakit yang dahsyat sehingga keluar ulat dari tubuhnya. Ulat-ulat tersebut yang jatuh ke darat menjadi lebah, sementara yang jatuh ke laut menjadi gamat...". Seterusnya beliau berkempen kelebihan madu lebah dan air gamat yang dijualnya.
Seorang penceramah yang lain pula menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. Kesimpulan dari kisah yang dibawanya, beliau mengajar orang ramai do`a agar wajah kelihatan kacak dan cantik, yang entah dari mana direkanya, diikuti dengan petua bahawa sesiapa yang hendak mendapat anak lelaki maka hendaklah banyak menyebut nama "Yusuf!, Yusuf!, Yusuf" dan
sesiapa yang hendak mendapatkan anak perempuan, maka hendaklah membanyakkan sebutan "Maryam!, Maryam!, Maryam!".
Ini adalah dua contoh yang saya bawa daripada entah ribu bentuk dan
Kisah-Kisah Al-Quran Hilang Fungsi
Akhirnya kita dapati kisah-kisah al-Quran menjadi sudah tidak indah lagi. Ianya dicemarkan oleh para penceramah atau penulis yang menghiasi kisah-kisah tersebut dengan watak-watak dan adegan-adegan tambahan yang kadang-kalanya memandulkan tujuan kisah-kisah al-Quran. Nabi Sulaiman a.s umpamanya, telah dicemari kisahnya, hilang peranannya sebagai seorang nabi yang berjuang dan berdakwah seperti yang hendak ditonjolkan
oleh al-Quran. Tinggallah hanya kisah-kisah ajaibnya semata-mata. Nabi Yusuf a.s. pula umpamanya, yang berdakwah dalam dan luar penjara kepada tauhid, yang menduduki kerusi kewangan negara dan mentadbir dengan keadilan dan kebijaksanaan, hilang ditelan kisah kekacakannya sahaja. Lebih
Nabi Nuh a.s. pula, telah berdakwah dengan tidak putus asa kepada kepada tauhid dalam tempoh yang panjang, bersama dengan pengorbanan dan kesabaran, ini semua hilang dari pemikiran sebahagian umat. Bahkan ada yang hanya mengenang Nabi Nuh a.s. dengan menyedia bubur asyura, dengan dakwaan palsu bahawa demikianlah bubur Nabi
Nuh a.s. ketika di dalam kapal. Seakan-akan Nabi Nuh a.s. itu datang hanya sebagai pemberi resipi khayalan tersebut. Maka robohlah keagungan anbiya ditelan kedangkalan kita terhadap tujuan kedatangan dan pengutusan mereka. Ini semua kadang-kala menjadikan generasi moden yang kurang faham terhadap agama bertambah keliru dan akhirnya mungkin menganggap agama sebagai dogengan semata.
Tujuan Kisah-Kisah Al-Quran
Sebenarnya, dalam al-Quran ada banyak kisah-kisah silam yang dimuatkan. Namun al-Quran bukanlah sebuah buku cerita yang semata-mata untuk bercerita tanpa arah tuju yang jelas. Kata al-Syeikh al-Imam Muhammad Abu Zahrah dalam kitabnya al-Mu'jizah al-Kubra al-Quran : "Sesungguh al-Quran bukanlah sebuah buku cerita, tidak juga seperti riwayat-riwayat kisah yang menyebut
peristiwa-peristiwa khayal atau sebenar. Sebaliknya, kisah-kisah al-Quran adalah kisah peristiwa-peristiwa yang benar, yang membawa pengajaran, memberikan bandingan, menjelaskan tempat golongan yang sesat dan kedudukan golongan yang mendapat pertunjuk, akibat kesesatan dan kesudahan hidayah. Ianya menerangkan apa yang ditentang oleh para nabi dan seluruh para penyeru kebenaran di belakang mereka. Ianya kisah-kisah untuk pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang berlaku, bukan untuk sekadar sedap didengari dan bacaan semata. Untuk itu Allah ta`ala berfirman pada akhir kisah Nabi Allah Yusuf a.s. (Surah Yusuf, ayat 111)
(maksudnya): "Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka ada pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Ianya (al-Quran) bukanlah cerita yang direka-reka, tetapi membenarkan (kitab-kitab) sebelum daripadanya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum beriman". (rujukan al-Mu'jizah al-Kubra: al-Quran, m.s.149-150, cetakan: Dar
al-Fikr al-`Arabi, Mesir)
Memahami Disiplin Tafsir
Untuk mengelakkan daripada pencemaran kisah-kisah al-Quran, seseorang yang ingin menafsirkan al-Quran perlulah membezakan antara apa yang disebut di dalam al-Quran dengan apa yang disebut dalam riwayat-riwayat di dalam sebahagian kitab-kitab tafsir atau selainnya yang belum pastinya ketulinan dan kesahihannya. Banyak penulis juga penceramah yang terkeliru dalam hal ini.
Dalam ertikata lain sesorang yang hendak membicarakan mengenai al-Quran mestilah mengetahui
disiplin-disiplin ilmu tafsir. Dalam rencana ini saya ingin menekan mengenai apa yang disebut sebagai "Al-Israiliyyat". Kata seorang tokoh mufassir semasa, Dr. Solah `Abd al-Fattah al-Khalidi, dalam Ma`a Qasas al-Sabiqin fi al-Quran : "Telah berlaku kesalahan sebahagian daripada pengkaji, penulis dan penceramah dari kalangan muslimin dalam melihat kisah-kisah umat yang lalu di dalam al-Quran. Sekalipun dengan niat yang baik, namun mereka telah menyanggahi manhaj (metodologi) yang betul dan lurus dalam mengkaji kisah-kisah tersebut. Mereka telah mempersembahkan kepada para pembaca dan pendengar timbunan daripada berbagai pendapat, kisah, riwayat dan pendetilan kisah. Kesemuanya tidak lebih dari kisah-kisah karut, batil, palsu yang mereka ambil daripada sumber-sumber yang diselewengkan lagi batil, ianya adalah al-israilliyyat dan kisah-kisah ahli kitab.
Israiliyyat
Pada asalnya apabila disebut Israiliyyat ianya merujuk kepada khabar-khabar yang dibawa oleh Bani Israil atau kaum Yahudi. Dalam erti kata lain ianya merujuk kepada cerita-cerita umat yang lalu yang bersumberkan daripada golongan Yahudi. Namun begitu, para ulama meluaskan maksud Israiliyyat sehingga ianya meliputi khabar atau cerita yang bersumberkan golongan Yahudi, juga Kristian. Kata al-Syeikh Muhammad Hussain al-Zahabi di dalam Al-Tafsir wa Al-Mufassirun: "Perkataan al-Israiliyyat walaupun pada zahirnya menunjukkan maksud corak Yahudi dan pemikiran mereka secara jelas kepada tafsir al-Quran, namun kita maksudkan dengan israiliyyat apa yang yang lebih luas dan merangkumi; iaitu corak Yahudi dan Kristian kepada tafsir, juga apa yang mempengaruhi tafsir al-Quran dari pemikiran Yahudi dan Kristian. (rujukan: Muhammad Hussain al-Zahabi, Tafsir wa al-Mufassirun, jld. 2, m.s. 165 cetakan muallif, Kaherah).
Bagaimana Israilliyyat boleh masuk ke dalam tafsir al-Quran?
Apabila Islam berkembang pesat, maka golongan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Kristian turut menganut Islam. Mereka ini membawa masuk bersama mereka pengetahuan lama mereka yang mereka ambil daripada daripada Taurat dan Injil. Apabila mereka mendengar al-Quran menceritakan sesuatu peristiwa umat zaman dahulu, mereka pun menyebut apa yang mereka tahu daripada kitab mereka. Sedangkan sebahagian isi kandungan kitab-kitab mereka telah diubah dan dicemari oleh kisah-kisah karut yang mencemarkan ketulenannya. Ini seperti yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran:
(maksudnya): Sesungguhnya segolongan mereka (Yahudi) mendengar firman Allah, lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedangkan mereka mengetahui" (Surah al-Baqarah, ayat 75).
Firman Allah
juga:
(maksudnya): "Mereka menulis kitab dengan tangan mereka, lalu mereka menyatakan, ini daripada Allah (surah al-Baqarah, ayat 79).
Sebagai satu perbandingan, hal yang sama dapat kita lihat apabila sebahagian orang melayu yang dahulunya beragama hindu, apabila Islam datang lalu mereka menganut Islam. Namun dalam masa yang sama mereka membawa masuk ke dalam Islam adat-istiadat yang bersumberkan ajaran hindu seperti bersanding, tepung tawar, beras kunyit yang akhirnya mencemarkan tauhid Islam yang bersih. Demikianlah sebahagian riwayat Israiliyyat mencemarkan tafsir.
Tidak dinafikan kemungkinan ada riwayat Israiliyyat yang betul. Namun oleh kerana pembohongan terhadap fakta agama adalah tabiat kaum Yahudi terdahulu, juga Kristian, maka kita hendaklah berhati-hati dalam mengambil daripada mereka.
Pembahagian Israiliyyat
Secara umumnya cerita-cerita Israiliyyat ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:
Pertama: Cerita-cerita Israiliyyat yang kebenarannya disokong oleh dalil-dalil daripada hadith yang sabit. Ini seperti kisah Khidir dengan Nabi Musa a.s. yang diceritakan oeh surah al-Kahf. Al-Quran tidak menyebut nama Khidir secara jelas melain menyatakan:
(maksudnya) "hamba dari kalangan hamba-hamba kami (Allah) yang kami berikannya rahmah dan kami ajarkannya ilmu di sisi kami" (Surah al-Kahf, ayat 65). Riwayat Israiliyyat menyatakan namanya ialah Khidir. Ini disokong pula oleh hadith yang sahih, antara yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Tafsir di dalam Sahihnya. Riwayat seperti ini kita akui kebenaran kerana ianya dibukti oleh hadith yang sabit.
Kedua: apa yang
diketahui ianya bertentangan dengan syariat kita, ataupun ianya bertentangan dengan akal yang waras dan memahami ruh Islam yang sebenar. Riwayat yang seperti ini ditolak sama sekali. Ini seperti riwayat dusta ketika menafsir surah Qaf yang menyebut bahawa Qaf adalah bukit yang mengeliling langit dan bumi. Ini adalah dusta dan khurafat yang bertentangan dengan akal yang waras. Memalukan agama dihadapan para pengkaji alam yang terdiri dari kalangan orang kuffar. Al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah di dalam Al-Israiliyyat wa al-Maudu`at fi Kutub al- Tafasir menyatakan ianya adalah khurafat dan dusta Bani Israil, tidak harus meriwayatkannya. (m.s. 302, certakan:Maktabah al-Sunnah, Kaherah). Demikian juga cerita bahawa kapal Nabi Nuh a.s. tawaf ka'bah dan bersolat di makam Ibrahim dua raka`at. Ini semua adalah dusta. Tidak masuk akal. Nuh a.s. wujud sebelum Ibrahim a.s.. Di mana ka`abah dan makamnya ketika itu?.
Ketiga: Riwayat yang tidak ada dalil yang menyokongnya, juga tidak ada dalil yang meyanggahnya dari segi nas ataupun akal. Bagi riwayat bahagian ketiga ini kita tidak menyatakan ianya betul atau salah. Selagi ianya tidak mencemar agama kita boleh meriwayatkannya, namun kita tidak menyatakan secara putus kebenarannya. Ini seperti
nama-nama ashab al-Kahf.Kisah lembu dalam surah al-Baqarah yang diperincikan oleh riwayat Israiliyyat melebihi apa yang disebut oleh al-Quran.
Sekalipunpun bahagian ketiga ini boleh diriwayatkan tetapi hendaklah dengan berhati-hati, dengan tidak menyatakan ianya benar ataupun dusta, sekadar menyebutnya dengan menyatakan ianya israiliyyat. Di samping itu hendaklah kita sedar bahawa apa yang diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran adalah memadai. Al-Quran adalah kitab petunjuk yang terbaik daripada Allah yang pasti ketulenan semua faktanya. Adapun riwayat-riwayat itu dipenuhi dengan keraguan.
Israiliyyat Dalam Kitab-Kitab Tafsir
Adalah mendukacitakan apabila sebahagian kitab-kitab tafsir dipenuhi dengan israiliyyat yang kebanyakannya mencemarkan keindahan agama. Walaupun begitu para penulis dahulu dimaafkan, kerana
kebanyakan mereka menyebut daripada siapa kisah-kisah tersebut diriwayatkan atau kita katakan mereka meriwayatkan secara menyatakan sanad iaitu rangkaian nama para perawi yang membawa kisah.
Israiliyyat Mencemar Islam
Di saat dunia semakin canggih dan moden. Kepercayaan sebahagian manusia terhadap kebanyakan agama semakin tercemar disebabkan karut-marut yang telah membaluti kebanyakan kepercayaan. Hanyalah Islam, agama yang menolak khurafat, tahyul dan karut-marut yang tiada asasnya. Ini membuktikan hanya Islam sahaja, yang dapat menghadapi perkembangan tamadun kebendaan. Tamadun yang bersedia mempertikaikan apa sahaja termasuklah ketuhanan.
Islam yang tulin tetap utuh, kerana mesej dan tujuannya jelas tidak dicemari oleh kekarutan. Inilah mesej al-Quran dan Sunnah yang sahih. Malangnya ada di kalangan umat, terutama para pendakwah dan penceramah yang kurang berhati-hati mencemarkan al-Quran dengan kisah-kisah israiliyyat dan rekaan yang mencemarkan agama. Kedangkalan mereka mengenali disiplin ilmu telah merosakkan agama dari dalam. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: "Sesungguhnya antara yang mencemarkan warisan ilmu kita, terutamanya di
Di kesempatan ini, saya menyeru kepada diri saya dan semua para penceramah dan pendakwah di masjid, radio dan TV, jauhilah kisah-kisah yang mencemarkan Islam. Tatkala dunia sedang memerangi Islam, dan menuduh Islam dengan berbagai tuduhan, termasuk jumud dan ketinggalan zaman, janganlah kita tambahkan lagi derita agama ini disebabkan kejahilan kita terhadap disiplin ilmu Islam. Islam yang tulin bersih dari kisah-kisah yang bersifat kekartunan dan melucukan. Jangan menconteng wajah al-Quran ini
dengan kisah-kisah tempelan yang tiada asas kebenarannya. Hendaklah kita sedar, kekarutan yang dilakukan golongan agama, kesannya ditanggung oleh Islam. Dalam kata lain tangan kita yang menyincang, malangnya bahu Islam yang menanggung.
Yahoo! Asia presents Meetic - where millions of singles gather
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".
---- LSpots keywords ?> ---- HM ADS ?>
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "hidayahnet" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
