Faisal Tehrani merupakan seorg penulis muda yg berbakat. Menyampaikan dakwah dalam bidang penulisan. Cubalah baca karya beliau.

http://www.ujanailmu.com.my/cat_faisal.cfm

1. Judul : Tunggu Teduh Dulu
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Penerbitan Selain
Genre : Novel dewasa
Mukasurat : 678  halaman
Cetakan Pertama : 2004

PROLOG - TUNGGU TEDUH DULU

TUHAN mencipta bumi, langit, syurga, bintang-bintang, bulan dan hujan. Tuhan mencipta manusia. Tuhan mengatur semua. Jalur hidup insan, warna cerah atau kelam, hujan atau teduh.

Seorang mahu menjadi manusia. Saya selalu melaung di puncak bukit kecil tempat kami bertiga selalu bermain. “Saya manusia, mahu menjadi hamba.”

Usia lima belas tahun, saya sudah pandai bermain bahasa. Seorang akan tercabar dan lekas mengejek, katanya, “Saya yang akan jadi penyair besar.”

Seorang lagi akan berfalsafah seperti biasa, “Hidup akan dicorak oleh kita. Puncak bukit ini akan jadi tempat bertemu semula.”

Kami sering menyanyi bersama lagu “Dalam Kenangan”. Suara halus kami tertebar ke seluruh langit, di bawa angin menderu ke bawah bukit, lalu hilang ditelan tanah-tanih subur di bawah sana.

Kemudian puncak bukit disirami hujan. Gerimis berderai halus menjadi curahan lebat. Kami semua berteduh di bawah bangsal kecil.

Seorang akan mengaku menjadi pelangi, “Selepas hujan teduh, pelangi akan bersinar untuk kamu, Salsabila.” Seorang lagi akan lebih mengusik, “Tetapi setelah hujan teduh, pelangi akan muncul lalu mesti ada matahari, dan akulah matahari untuk kamu.”

Tiga remaja. Saya masih ingat usia sangat pucuk, tetapi cita-cita sudah melangit tinggi. Lam Ping Hai, dia mahu memeluk Islam dan melamar saya nanti. Kamil Zahidi, katanya dia mahu menjadi pelangi, kerana seorang suami itulah tanggungjawabnya, memberi warna kepada isteri.

Saya tidak pernah tahu, mereka hanyalah satu singgahan dalam hidup. Lama kemudian saya mengerti rencana dan jalur yang ditentukan Tuhan bahawa mereka ibarat teduh sementara, ada teduhan lain yang bakal saya susuri.

Setahun kemudian, kami bertemu di puncak bukit lagi. Mata bertakungan air mata. Lam Ping Hai harus pergi, tetapi katanya dia akan tetap kembali. Keluarganya memutuskan untuk memulakan hidup baru di Kuching. Kamil ke sekolah berasrama penuh. Dia berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh dan akan pulang lagi. Kemudian dengan wajah duka dan air mata masih berjujuhan kami bubar.

Persahabatan kami sandarkan penuh di tangan Tuhan. Persahabatan itu akan datang kembali, kemudian bubar lagi. Seperti saya katakan, apakah yang boleh dijangkakan pada masa hadapan?.

Puncak bukit sunyi sejak itu. Tiada lagu “Dalam Kenangan” bersipongang. Alam terasa muram.

Kalau nanti bertemu, akan saya katakan apa kepada mereka? Apakah Kamil sudah menjadi penyair? Apakah Lam Ping Hai telah mengucap dua kalimah syahadah dan beriman, langsung tasdik di hati terserlah pada kata-kata serta perbuatan? Andai benar-benar yang seorang mahu menjadi pelangi dan seorang lagi menjadi mentari, akan dipilih siapa?.

Saya bermula dengan kisah ringkas diri ini. Saya Salsabila Fahim telah banyak menderita. Tetapi jangan salah faham kerana saya tidak pernah menyalahkan. Tuhan telah memberi jalur dan warna tertentu untuk kita, kata saya terdahulu. Dia Yang Maha Esa telah mencipta bumi, langit, syurga, bintang-bintang, bulan, dan hujan. Tuhan mencipta manusia. Dan manusia tak berada di dunia tiba-tiba. Sebagai hamba kita akan diduga, diberi bahagia, diberi peta. Kadang ada bahagian yang boleh kita lakar, selalunya ada bahagian cuma kita merencanakan dan Dia lebih menentukan. Peta itu ada sudut sudah digores, ada bucu masih kosong menanti masa terlukis.

Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan ada sesiapa mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu membaca cerita orang lain? Tak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu.

Selepas ayah meninggal kata saya terdahulu, tanah-tanah di puncak bukit jadi milik saya. Akan saya apakan tanah seluas lima hektar? Saya tidak punya pekerjaan. Barangkali sekarang, kelulusan baik sahaja tidak memadai. Majikan menuntut pengalaman.

Sepuluh tahun terlalu lama, terlalu banyak musim telah datang jua telah pergi dalam tempoh selama itu. Tapi saya kira saya sedikit hairan, kenangan selama sepuluh tahun masih berputar-putar dalam kotak fikiran. Album-album gambar belum lusuh. Mungkin sedikit kepam, agak berdebu, kuning dimamah waktu, tetapi dalam jiwa ia segar sampai bila-bila. Sudah bertahun ia tersimpan kekal dlam nurani, tentu sahaja ia akan kekal selama-lama dalam nubari.

Kemudian datang Teh Sofia, anak Tan Sri Abdul Rahman yang gila-gila orangnya. Kami sama-sama menuntut di Amerika. Dia perempuan yang sukakan cabaran.

“Orang tak boleh padang kita lemah. Kita perempuan Islam yang ada kekuatan dan maruah.”

Teh Sofia bilang tanah dan bumi ini milik Tuhan dan kita harus memulangkan kepada-Nya dengan keyakinan. Dengan ketekunan. Berbakti kepada bumi, kepada tanah, ibarat berbakti kepada Tuhan, juga kepada diri.

Saya merenung ke tanah rendah di bawah bukit. Meski di kaki bukit, air tidak bertakung. Bukit pula menghalang angin deras daripada melanda dan pancaran cahaya matahari sentiasa penuh.

Maka saya memberitahu Teh Sofia.

“Pia, kita jadi petani dan usahawan. Kita akan gunakan kurnia Tuhan.”

Teh Sofia tersenyum manis. Tidak saya tahu dia nanti terlalu berlabuh dalam hidup saya.

Saya membalas, “Pada tanah arwah ayah, apa kata kita tanamkan betik, kita bangunkan papaya?”

Di situlah ia bermula. Kerana niat murni saya itu, kerana tanah-tanah ayah akan diterangkan dan ditanami buah-buah papaya manis, maka saya bertemu mereka semula. Kamil Zahidi dan juga Lam Ping Hai.

Seorang mahu menjadi pelangi, yang seorang mengaku matahari. Dan saya cuma mahu menjadi seorang manusia, menjadi hamba, akan saya pilih siapa setelah teduh nanti?

Bukankah pelangi akan pergi apabila basah hujan kering di bumi, dan matahari akan terbenam apabila senja mendatangi?

Namun, biar saya mengingatkan, cerita ini bukan cerita cinta tiga segi. Ia lebih daripada itu. Ia cerita pengorbanan manusia kepada Tuhan, cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap. Ini kisah saya, bukan kisah mereka sahaja. Ini cerita bagaimana saya menunggu teduh dalam ribut. Ini cerita mengenai hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Penciptanya. Ini cerita bahawa hakikat seluruh alam semesta ini berasal daripada Allah dan akan kembali kepada-Nya, tidak dapat tidak. Itulah titik hubungan kita di muka bumi ini, titik hubungan kita dengan insan lain dan juga segala tindakan.

Kisah ini kecil. Moga-moga ada manfaat bersama dalam kecilnya.

2. Judul : Advencer Si Peniup Ney
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Genre : Novel
Mukasurat : 243
Cetakan Pertama : 2005
ISBN :9676117625

Hedonis. Begitu definisi kaum di negeri jauh itu. Landas hidup hanya untuk berseronok-seronok, bermewah-mewah, lazat, lazat, lazat. Berpantang arah tujuan, terlarang segala fikiran. Ya, aliran hedonisme menjunjung kelazatan dan puja-pujaan, emm... cita rasa, cita rasa!

40 remaja berawajah amat berseri-seri mengundang Sulaiman Hilmi yang bermata biru hijau berbalam, yang berwajah cahaya. Bersama mereka menunggang awan, memacu ombak menuju ke negeri jauh, membawa salam kesejahteraan. Demi menyahut panggilan Cinta. Menyerah buat dibakar api Cinta. Merawat duka rawan rindu kepada Cinta. Bahawa yang paling seronok, paling mewah, paling lazat ialah kelazatan menunaikan janji abadi :

Bahawa Dia itu Satu. Tempat bergantungnya segala sesuatu. Tumpuan hidup dan mati dan hidup lagi sesudah mati.

Dia Sumber Cinta, Pencipta Segala Rasa.

"Karya ini berjaya menarik perhatian panel apabila secara sinis menempelak gaya hendonisme anak muda yang tercemar akhlaknya lantaran asyik dengan hiburan yang bertentangan dengan Islam.

Karya ini merunut kehebatan kesenian Islam yang telah melahirkan tokoh-tokoh sufi dan falsafah selain menyerlahkan nama-nama seperti Ibnu Misjah, Ibnu Suraj, Ata Abi Rabah, Yunus Kateb, Ibnu Farabi, Ibnu Sina dan Yunus Emre.

Faisal juga berjaya mengolah naratif keseluruhan karyanya dengan memberi penegasan bahawa kesenian dan Islam bukanlah sesuatu yang terpisah daripada konsep keimanan." - Mingguan Malaysia 29 Mei 2005

3. Judul : Detektif Indigo
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Genre : Novel
Mukasurat : 188
Cetakan Pertama : 2005

Mereka super.
IQ luar biasa dan deria keenam menjadikan mereka detektif indigo. Cheng-chung yang hafiz, Faruk "Si Tahukah Anda" dan Mihrimah pakar sains forensik si perawan tembun dianugerah kuasa telepati - pelengkap radas saintifik. Bersama-sama Ruzbihan yang tajam deria baunya, Zaitun si ahli kimia dan Isamu Nakamura yang mahir entomologi, mereka menyelesaikan kes rumit mengelirukan : Pencerobohan, bom, letupan...

Dalam lingkungan kristal azurite dan lapis lazuli mereka ditubi untuk mengoptimumkan IQ dan deria keenam, demi keamanan sejagat. Ya, keamanan ialah hak sejagat. Dan jagat sudah hilang batas bangsa, budaya, politik.

Mereka dilatih bukan semata-mata untuk memperalat ilmu dan teknologi bahkan menjelmakan adab dan akhlak diterasi iman dan takwa.

"Dalam novel Detektif Indigo yang memenangi tempat kedua pula Faisal memilih untuk bercerita tentang keganasan yang berlaku di Asia Barat, di Barat dan di rantau Asia yang dianggap mencemari ketamadunan Islam dan penganutnya.

Novel ini menolak sikap Melayusentrik sebaliknya membawa impak kesejagatan yang melenyapkan sempadan bangsa, budaya dan politik melalui watak enam remaja indigo.

Detektif Indigo dinilai oleh panel hakim sebagai karya yang bukan sahaja menaikkan martabat remaja Islam, tetapi menunjukkan juga bahawa remaja juga dapat memberi sumbangan ke arah kedaulatan ummah." - Mingguan Malaysia 29 Mei 2005

utk maklumat lanjut, sila lawati ---> www.ujanailmu.com.my



Get an advanced look at the new version of MSN Messenger.


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




Yahoo! Groups Links

Kirim email ke