MELAYU... KE ARAH KEBANGKITAN SEBENAR..
Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu pernah
cemerlang. Tidak dinafikan bangsa Melayu memang
memiliki asas jati diri yang kuat, berdaya tahan utuh,
mempunyai unsur keupayaan untuk bersaing, mampu
menyesuaikan diri dan menyumbang kepada survival
bangsa serta kesinambungan kuasa pemerintahan. Orang
Melayulah yang memainkan peranan utama dalam
menubuhkan Kerajaan Sri Wijaya di Palembang dan orang
Melayu jugalah yang mempelopori Kerajaan Langkasuka,
Majapahit dan Gangga Negara. Orang Melayulah yang
mula-mula menyahut seruan Islam di Melaka. Orang
Melayulah juga yang menerajui kegemilangan Kerajaan
Melayu Melaka, Demak, Acheh, Ligor dan Champa; menjadi
pejuang di barisan depan yang menentang penjajah dan
berjaya mencapai kemerdekaan. Orang Melayu pernah
bangkit dengan berani menidakkan kata-kata kuasa besar
dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan
kebenaran. Walhal, tercatat dalam sejarah, bahawa
banyak bangsa lain yang telah tenggelam ditelan zaman
dan pengaruh pihak penjajah - Aztec dan Maya di
Amerika Selatan, Gipsi di Eropah, Red Indian di
Amerika dan pribumi Aborigines di Australia dan
Kepulauan Pasifik. Inilah hakikat sejarah bangsa
Melayu.
Ketika merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan
Wanita, Pemuda dan Puteri dengan tema Kesinambungan
dan Perubahan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
Kuala Lumpur, Najib Tun Razak mengatakan
kita perlu
berubah daripada sikap sambil lewa kepada sikap
bersunguh-sungguh, daripada sikap berlebih kurang
kepada sikap lebih tepat, daripada kepercayaan karut
marut kepada kepercayaan saintifik dan daripada
pemikiran beremosi kepada pemikiran rasional, daripada
tumpuan taktikal kepada pemikiran strategik dan
seterusnya daripada pemikiran bercelaru kepada
pemikiran yang mementingkan keutamaan [Harian Metro
17 Julai 2005]
Menurutnya lagi, ...untuk menjadi satu bangsa yang
perkasa dan berjaya, orang Melayu harus berusaha untuk
berada pada satu tahap yang lebih baik daripada bangsa
lain. Inilah masa terbaik untuk memulakan usaha ke
arah memastikan kejayaan bangsa Melayu dengan
melakukan perubahan....
Dalam pada itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika
berucap menutup Konvensyen Umno Johor 2005 mengatakan.
Perjuangan bangsa dan tanggungjawab untuk
menjayakannya adalah melalui perpaduan kukuh dan teguh
yang boleh dicapai melalui tiga prinsip penting iaitu
mesti serius dalam apa yang dilakukan, mempunyai
perasaan penyayang serta ihsan selain bersikap adil
dan saksama. Isu membangkitkan orang Melayu
sememangnya akan menjadi antara agenda utama setiap
kali menjelangnya Perhimpunan Agung Umno. Namun
melihat realiti orang Melayu yang masih dihimpit
kemiskinan, dilemma siswazah mengganggur, peningkatan
kes buli & bunuh, rasuah politik wang yang terus
subur, gejala penagihan dadah, peningkatan kes HIV,
kerenah birokrasi dalam melayan keperluan rakyat dan
seribu satu macam masalah seakan-akan terus menghambat
dan melengahkan usaha ke arah itu. Sepertimana ucapan
di atas, orang Melayu digesa untuk mengubah sikap dan
pemikiran usang mereka ke takuk yang baru. Memang
benar orang Melayu boleh berubah dan bergerak menuju
era kebangkitan. Namun yang menjadi persoalannya,
apakah memadai perubahan itu dilakukan dalam rangka
memperbaiki status quo orang melayu semata-mata atau
perubahan secara menyeluruh untuk membangkitkan umat
mengikut ukuran Islam? Sautun Nahdhah kali ini
mengajak pembaca budiman untuk merenung apakah bentuk
kebangkitan yang sebenar.
KEBANGKITAN SEBENAR UMAT
Asas kepada kebangkitan umat ialah dengan meningkatkan
kualiti pemikiran. Kebangkitan bermula dengan
terbentuknya pemikiran, yang dengannya, terbentuk
mafhum (kefahaman) mengenai realiti yang ada disekitar
kita. Bermula dari proses berfikir yang benar,
mengikut jalan berfikir yang dijelaskan di dalam
Al-Quran, akan terbentuk aqidah (keyakinan) yang
luhur. Seterusnya daripada aqidah tersebut akan
terbentuk qaidah fikriyyah (kaedah berfikir) yang
digunakan untuk membuat keputusan (kesimpulan) yang
disertai dengan kesedaran penuh akan hubungan diri
dengan Allah swt. Kaedah berfikir ini akan menjadi
landasan dalam memahami satu-satu permasalahan. Dengan
kaedah berfikir Islam yang benar ini segala
permasalahan yang timbul akan difahami dengan jelas,
sesuai dengan sudut pandangan dan ruang lingkup Islam.
Seterusnya kefahaman yang Islami ini akan mempengaruhi
muyul (kecenderungan) atau sikap seseorang individu
ini berlaku apabila dorongan keperluan jasmani dan
naluri manusia diikat dengan mafhum yang Islami.
Inilah kebangkitan yang sebenarnya - kebangkitan yang
diasaskan kepada pemikiran dan aqidah Islam.
Apa yang kita saksikan hari ini mengenai apa yang
sedang berlaku di dalam dunia Islam umumnya dan di
negara kita khususnya menjadi bukti yang amat jelas
bahawa apabila Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di
dalam kehidupan, maka timbullah bermacam-macam
permasalahan. Masalah bangsa Melayu sering
diterjemahkan melalui ungkapan Melayu Mudah Lupa,
Melayu Layu, Melayu Malas, Melayu Makin Mundur dan
sebagainya dan ini tidak dapat dipisahkan dari sikap
orang Melayu sendiri yang tidak mahu berfikir secara
serius mencari jawapan yang menghantar kepada
penyelesaian masalah mereka. Apakah bangsa Melayu
Islam rela generalisasi sebegini terus-menerus
dilabelkan pada diri mereka tanpa berusaha untuk
mencari punca dan penyelesaiannya? Apakah bangsa
Melayu tidak ingin melihat aspirasi untuk membentuk
bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang
terealisasi? Sangatlah menyedihkan apabila
langkah-langkah yang disarankan untuk membangkitkan
bangsa Melayu hanyalah berkisar di sekitar peningkatan
taraf perekonomian, penyemaian nilai-nilai murni,
memperkasakan sistem pendidikan atau meningkatkan
penguasaan bahasa asing tanpa penekanan yang serius
kepada peningkatan taraf berfikir umat.
Perlu diingatkan bahawa perjuangan yang hanya
disandarkan kepada unsur assobiyyah bangsa Melayu
semata-mata tidak akan membawa kita ke mana-mana,
sebaliknya, perjuangan dan kebangkitan orang Melayu
haruslah dibincangkan di dalam konteks bangsa Melayu
sebagai penganut Deen Islam. Hari ini,
pemimpin-pemimpin Melayu yang sering melaungkan slogan
perubahan pada hakikatnya telah gagal menerapkan
perubahan yang menyeluruh di dalam diri mereka dan
negara ini. Hakikatnya, sejak kemerdekaan Malaysia
pada tahun 1957, kita, sebagai bangsa Melayu Muslim
masih lagi berpegang kepada idea sekularisme; tiada
perubahan mendasar yang dapat diperhatikan dalam
menerapkan sistem Islam secara menyeluruh di dalam
negara. Sewajarnya, para pemimpin Melayu Muslim yang
melaungkan slogan-slogan perubahan ini haruslah
mengorak langkah untuk memaparkan contoh perubahan
yang mereka laungkan namun hakikatnya mereka hanyalah
pandai beretorik tentang perubahan. Keadaan negara
tetap sama; sistem yang diterapkan tetap sahaja sistem
yang tidak Islami - yang tidak akan dapat
menyelesaikan masalah-masalah yang wujud akibat dari
tiadanya Islam di dalam kehidupan.
Oleh itu, perubahan yang sewajarnya ditempuh adalah
dengan mendirikan pemerintahan Islam dan ianya
mestilah dibangunkan di atas landasan pemikiran Islam.
Bagi mencapai tujuan ini, umat, terutama kaum Melayu
perlulah ditanamkan dengan pendidikan dan pemikiran
Islam yang luhur, yang dibina di atas landasan aqidah
Islam yang murni. Dengan demikian, kesedaran umat,
khasnya golongan Melayu untuk terikat dengan seluruh
perintah, larangan dan hukum-hukum Allah akan dapat
diwujudkan. Jika ini dapat dilakukan oleh umat, maka
akan tercapailah kebangkitan yang pasti. Contoh
terbaik yang dapat dijadikan teladan adalah
sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah Saw.
Tatkala Allah membangkitkannya dengan risalah Islam,
baginda menyeru umat manusia kepada aqidah Islam. Ini
tidak lain bererti menyeru kepada suatu pemikiran
pemikiran yang mendasari pandangan hidup seseorang.
Dan tatkala penduduk kota Madinah dari kalangan
kabilah Aus dan Khazraj dapat disatukan dengan aqidah
Islam, yakni dengan pemikiran ini, mereka mula
memiliki arah tertentu yang memimpin kehidupan mereka.
Di sinilah pemerintahan Islam mula dibina di atas
dasar aqidah.
Rasulullah saw pernah bersabda Aku diperintahkan
untuk memerangi manusia sampai mereka mengatakan Laa
ilaha illallah Muhammad Rasulullah, Apabila mereka
mengucapkannya, maka terpeliharalah darahnya dan
hartanya kecuali ditumpahkan dan diambil dengan cara
yang haq (benar). Hadis ini pada hakikatnya menyeru
kepada satu pemikiran, satu aqidah yang akan menjadi
asas kepada kebangkitan umat. Setelah pemerintahan
diraih di kota Madinah maka pemikiran Islam, yang
merupakan dasar kebangkitan umat mula tersebar ke
kawasan lain di didalam jazirah Arab. Akhirnya dalam
beberapa tahun selepas kewafatan Rasul bangsa-bangsa
lain mula memeluk Islam dan meyakini pemikiran ini.
Dalam beberapa tahun telah termanifestasi kebangkitan
umat kebangkitan sebenar yang didasari oleh aqidah
dan pemikiran Islam.
Jalan atau thariqah (landasan yang telah ditentukan
oleh syara) untuk mencapai kebangkitan itu adalah
dengan menegakkan pemerintahan yang didasarkan kepada
pemikiran, bukan didasarkan kepada peraturan,
perundangan ataupun hukum yang dipaksakan. Hakikat ini
sebenarnya berlaku bukan sahaja untuk Ad-Deenul Islam
tetapi juga bagi ideologi-ideologi dunia lain.
Kebangkitan suatu umat atau bangsa hanya akan dapat
direalisasikan sekiranya ia didasarkan kepada
pemikiran/aqidah yang dianuti oleh umat/bangsa
tersebut. Penegakkan negara yang didasarkan kepada
perundangan dan hukum yang dipaksakan tidak mungkin
mencapai kebangkitan. Bukti kenyataan ini cukup
banyak. Antaranya adalah seperti apa yang telah
dilakukan oleh Mustafa Kamal di Turki. Beliau
menegakkan pemerintahan di atas dasar dan perundangan
Barat yang dipaksakan keatas rakyat. Kemudian, di
atasnya dibangunkan pemerintahan. Beliau
melaksanakannya dengan sepenuh usaha melalui strategi
pemaksaan, ugutan dan sebagainya.
Meskipun demikian, Turki tetap saja tidak mampu meraih
kebangkitan yang diinginkan. Turki tetap tidak mampu
bangkit malah mengalami kemunduran demi kemunduran.
Pada masa yang sama, Lenin (1917M) yang muncul pada
zaman yang hampir sama dengan Mustafa Kamal (1924M)
mampu membangkitkan Rusia sehingga menjadi negara yang
kuat. Sebabnya tiada lain kerana Lenin mendirikan
pemerintahannya di atas landasan pemikiran yang secara
umumnya dianuti oleh bangsanya, iaitu pemikiran
Komunisme. Dari pemikiran ini muncul
penyelesaian-penyelesaian terhadap masalah kehidupan
sehari-hari, yang berupa peraturan dan perundangan
yang menjadi penyelesaian terhadap segala permasalahan
dalam bentuk hukum yang bersandar kepada pemikiran
tersebut. Dengan kata lain, dari pemikiran ini
dibangunkan pemerintahan dan seterusnya ia membawa
kepada kebangkitan suatu umat/bangsa. Eropah, sebagai
contoh yang lain, tatkala mengalami kebangkitan, ia
didasarkan pada suatu pemikiran - pemisahan urusan
agama dengan negara dalam kehidupan (sekularisme) dan
kebebasan. Begitu juga dengan Amerika, tatkala
mengalami kebangkitan, ia didasarkan pada pemikiran
yang sama, iaitu sekularisme dan kebebasan.
Walaubagaimanapun, kebangkitan yang didasari oleh
suatu pemikiran/aqidah ini tidak secara automatik
membawa pengertian bahawa kebangkitan tersebut adalah
kebangkitan yang benar. Kebangkitan yang berlaku di
Eropah, Amerika dan Rusia ini merupakan kebangkitan
yang bathil (salah) kerana tidak di dasari oleh asas
ruhiyah (kesedaran akan hubungan manusia dengan
pencipta iaitu Allah Swt). Kebangkitan yang sahih
(benar) adalah kebangkitan yang didasari oleh asas
ruhiyah dan hanya Islamlah ideologi yang membekalkan
umatnya dengan asas ini. Bangsa Arab, tatkala
mengalami kebangkitan, didasarkan kepada pemikiran
Islam. Di atas landasan aqidah Islam, pemerintahan dan
kekuasaan Islam ditegakkan.
Bangsa Arab bangkit tatkala mereka meyakini dan
berpegang teguh kepada pemikiran Islam dan di atasnya
dibangunkan pemerintahan dan kekuasaan. Semua ini
menjadi bukti yang pasti bahawa jalan untuk mencapai
kebangkitan adalah dengan menegakkan pemerintahan di
atas suatu pemikiran dan bukannya di atas dasar
perundangan atau hukum yang dipaksakan keatas sesuatu
umat atau bangsa.
POTENSI KEBANGKITAN DALAM DIRI UMAT ISLAM.
Ketika penghuni Eropah mula meniti jalan kebangkitan,
maka muncul beberapa nama yang membincangkan tentang
kebangkitan (renaissance) - Immanuel Kant, Montesque,
Adam Smith, John Stuart Mill dan lain-lain intelektual
barat yang lain yang tidak mampu kami paparkan
semuanya. Pada waktu itu, karya-karya mereka dikaji
berulang-ulang oleh mereka yang dahagakan kebangkitan.
Apa yang jelas dari penulisan-penulisan ini adalah
pemahaman bahawa kebangkitan = anjakan paradigma. Pada
zaman itu, bagi mereka, apa yang harus dilakukan
adalah meletakkan akal manusia sebagai piawai dan
menolak dogma gereja sejauh-jauhnya.
Hakikat ini diulangi oleh seorang pakar motivasi
masyhur, Stephen R. Covey yang menggambarkan bahawa
Manusia berubah berasaskan konsep. Tamadun Barat
yang berusia kurang dari 300 tahun ini baru sahaja
menemukan jawapan untuk kebangkitan, sedangkan Islam,
lebih 1400 tahun yang lepas telah mengajar erti sebuah
kebangkitan. Islam telah mampu membangkitkan manusia
dan telah mengajarkan bahawa sebuah kebangkitan hanya
boleh dikecapi melalui perubahan konsep yang
menyeluruh dalam hidup. Ini tertuang di dalam Al-Quran
dimana Allah swt berfirman
Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan yang
ada pada suatu kaum, sehingga kaum itu sendiri
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.
[TMQ Aradu 13: 11]
Dari ayat di atas, umat harus mengubah keadaan yang
ada pada diri mereka melalui peningkatan taraf
berfikir yang didasarkan pada asas ruhiyah. Contohnya,
apabila mengamalkan sistem ekonomi, umat Islam tidak
menjadikan asas manfaat sebagai ukuran, malah sentiasa
menjadikan aqidah Islam dan keterikatan dengan hukum
Allah, kesan dari kesedaran akan hubungannya dengan
Allah, sebagai ukuran. Umat Islam harus yakin bahawa
potensi kebangkitan dalam diri mereka sentiasa
terbuka.
Yang jelas, jika kebangkitan yang dijana tidak
berdasarkan Islam, maka kebangkitan itu berjalan di
atas dasar yang salah. Inilah realiti musuh-musuh
Islam seperti Amerika dan sekutunya. Mereka mampu dan
boleh mengisytiharkan negara mereka sebagai negara
maju, namun taraf berfikir bangsanya masih primitif
dan bersifat haiwaniyah. Pemikiran rendah ini
termanifestasi ketika mereka memerlukan sumber alam
yang tidak atau kurang terdapat di negara mereka.
Mereka dengan sewenang-wenangnya menjajah Iraq,
membunuh rakyatnya dan merampas kekayaan minyaknya
tanpa memperdulikan aspek moral/ruhiyyah dalam
melaksanakan tindakannya itu. Ini jelas bertentangan
dengan kebangkitan yang didasarkan kepada Islam.
KHATIMAH
Hakikatnya, di dalam rahim umat Islam sudah lahir
berjuta-juta Muslim yang memiliki potensi besar, baik
sebagai ulama, ilmuan, saintis, teknokrat, ataupun
usahawan. Malah kekayaan sumber alam yang melimpah
ruah di sebahagian besar wilayah negara-negara Islam
mampu menjana kebangkitan yang diinginkan. Sayangnya,
ibarat penyapu yang lidinya bertaburan, sumber umat
Islam tidak dapat difokuskan agar boleh digunakan
secara efektif. Ketahuilah, umat ini telahpun
mempunyai modal yang cukup kuat untuk bangkit. Yang
perlu dilakukan adalah menggiatkan dawah agar umat
Islam kembali kepada Islam, dengan menjadikan syariat
Islam sebagai tolok ukur (miqyas) dalam menyelesaikan
setiap permasalahan kehidupannya. Jika umat telah
bangkit taraf berfikirnya, tentu saja mereka
menginginkan agar Islam mengatur kehidupannya. Marilah
kita merenung hadis Rasulullah
Masa kenabian akan hadir di tengah-tengah kalian
selama Allah menghendaki. Allah kemudian mencabutnya
apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya. Muncullah
kemudian Khilafah yang tegak di atas manhaj kenabian
yang akan tetap ada selama Allah menghendakinya. Allah
lalu mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk
mencabutnya. Muncullah kemudian kekuasaan yang zalim
selama Allah menghendakinya. Allah kemudian
mencabutnya apabila Dia berkehendak untuk mencabutnya.
Selanjutnya, muncullah kembali Khilafah yang tegak
diatas manhaj kenabian. Setelah itu, Rasulullah saw
diam [HR Ahmad]
Allah swt. berjanji bahawa umat Islam akan bangkit
semula dengan menegakkan kembali kepimpinan Khilafah
menurut minhaj kenabian. Inilah manifestasi
kebangkitan sebenar bagi umat Islam. Dan bagi bangsa
Melayu, inilah perubahan dan kebangkitan yang kita
inginkan selama ini. Dengan kebangkitan Islam
sahajalah, tidak Melayu hilang di dunia!!
Wallahualam
www.mykhilafah.com
"Senyum"
____________________________________________________
Start your day with Yahoo! - make it your home page
http://www.yahoo.com/r/hs
--------------------------------------------------------------------------
All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved
otherwise.
If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the
title "change to daily digest".
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/