Umat Islam Belum Bebas

"Tanggal tiga puluh satu, bulan lapan lima puluh
tujuh, hari yang mulia, hari bahagia, sambut dengan
jiwa yang merdeka!" Begitulah antara senikata salah
sebuah lagu patriotik yang kerap berkumandang di
corong-corong radio di sepanjang bulan ini (Ogos) -
bulan yang lebih dikenali sebagai 'Bulan Kemerdekaan'.
Di samping itu berbagai acara akan dianjurkan oleh
pihak kerajaan mahupun swasta untuk meraikan bulan
keramat ini. Bermula dengan kempen Kibarkan Jalur
Gemilang yang bermula pada malam 17hb Ogos 2005 yang
pelancarannya telah dilakukan di Danga Bay, Johor
Bahru. Upacara ini telah dirancakkan dengan kehadiran
Mawi (juara AF3) yang berduet bersama diva popular
tanah air, Siti Nurhaliza bersama para pemimpin
negara. Ia akan berakhir pada pagi 31hb Ogos 2005
dengan upacara Perarakan Hari Kebangsaan Yang Ke-48 di
hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Di pihak swasta pula, masing-masing akan mengambil
kesempatan dari mood perayaan ini dan Karnival
Membeli-Belah untuk melariskan jualan dan meningkatkan
keuntungan dengan mengadakan pelbagai promosi jualan
sebagai strategi pemasaran mereka.

Namun perlu diingat, suasana yang ingin diwujudkan
sepanjang bulan ini, melalui kempen-kempen yang
dianjurkan itu, sekiranya tidak sejalan dengan sebuah
pemikiran mendasar (akidah Islam) akan mengakibatkan
kita tenggelam dalam semangat patriotisme dan
nasionalisme yang asing bagi Islam dan hanyut dalam
realiti yang penuh kepalsuan. Semoga Allah
menyelamatkan umat ini dari perkara tersebut.

Sayaingin mengajak pembaca untuk membicarakan erti
kemerdekaan secara kritis supaya realiti apa yang
dipanggil sebagai 'kemerdekaan' itu dapat kita fahami
secara benar. Semoga kefahaman dan persepsi yang benar
terhadap kemerdekaan ini akan menjadi penampan kepada
kita dalam menghadapi suasana hidup yang rosak (kerana
tidak diatur oleh Islam) dewasa ini.

Evolusi Penjajahan Dari Fizikal Kepada Mental.

Penjajahan pada mulanya berlaku dalam bentuk fizikal
yang kerap kali dimanifestasikan dengan kekerasan
keatas penduduk tempatan di mana mereka (penjajah)
mengerahkan kekuatan untuk membunuh dan merompak
kekayaan yang ada. Penjelajahan dan penjajahan pada
waktu itu didominasi oleh tujuan untuk mendapatkan
kekayaan, kemuliaan dan penyebaran agama Kristian.
Slogan mereka di kala itu adalah 'Gold, Glory, and
Gospel' (Kekayaan, Kebesaran, dan Agama Kristian).
Perkara inilah yang dibayangkan oleh sejarawan
Amerika, Dagobert Runes, yang berkata;

"Penjajah-penjajah pada abad ke 15, 16 dan 17
menamakan diri sebagai pembawa berita gembira
(Misionari) dan penjelajah, sebenarnya mereka adalah
perompak-perompak buas dan serakah yang menggunakan
bendera salib pada haluan kapal serta tengkorak orang
kulit hitam di atas tiang kapal. Para penjajah abad
ke-18 dan 19 adalah pemburu hamba sahaya dan
cita-citanya adalah untuk menyedut kekayaan dan
berlumba-lumba memperolehi pasaran baru, mineral baru
dan ladang baru dengan cara yang tidak
berperikemanusiaan" [Crosscut Through History].

Setelah Revolusi Perancis meletus, perubahan paradigma
telah berlaku yang meletakkan Barat selangkah ke
hadapan berbanding dengan negeri-negeri di belahan
dunia yang lain. Peningkatan taraf berfikir mereka ini
telah mencetuskan Revolusi Perusahaan pada awal abad
ke 19, seterusnya telah membawa Barat menganuti sebuah
ideologi yang memotivasikan mereka untuk mengembangkan
idealisme dan pengaruhnya. Penjajahan fizikal dan
mental telah diterapkan di tanah-tanah jajahan mereka.
William Jevons mengungkapkan tentang dominasi British
pada tahun 1865. Katanya,

"Tanah Amerika Utara dan Russia telah menjadi ladang
jagung kita, Chicago dan Odessa adalah jelapang
bijirin kita, Kanada dan Baltik hutan kita, Australia
mengandungi kawasan ternakan biri-biri kita, Argentina
dan bahagian Barat Prairie Amerika Utara terdapat
kumpulan kerbau kepunyaan kita, Peru mengirim peraknya
dan emas dari Afrika Selatan dan Australia mengalir ke
London; orang Hindu dan Cina menanam teh untuk kita,
sementara kopi, gula dan ladang rempah kita kesemuanya
berada di kepulauan Hindia. Sepanyol dan Perancis
merupakan ladang anggur kita, dan Mediterranean
menjadi dusun buah-buahan kita, dan ladang kapas kita,
yang selama ini berada di Amerika Selatan, kini
diluaskan di mana-mana jua rantau dunia" [Paul
Kennedy, Rise and Fall of Great Powers].

Penyebaran agama Kristian tidak penting lagi bagi
mereka. Apa yang dipikul selepas itu adalah ideologi
Kapitalis. Di setiap tanah jajahan, para imperialis
Barat akan berusaha menerapkan budaya yang dilahirkan
oleh ideologi ini kepada anak negeri jajahan mereka.
Ideologi inilah yang dijadikan sebagai kepimpinan
pemikiran (qiyadah fikriyah) yang mampu untuk memimpin
pemikiran anak-anak tanah jajahan. Di negeri-negeri
kaum Muslimin misalnya, Barat telah berjaya
mempopularkan pendapat yang melihat bahawa Islam itu
hanya sekadar ajaran yang berkisar kepada hubungan
manusia dengan Allah (kerohanian) semata-mata.
Sehingga dengan berpandangan sedemikian, Islam itu
tidak layak dijadikan tuntunan dalam kehidupan.
Sebelum pandangan dan pendapat sesat seperti ini dapat
diterima, anak-anak tanah jajahan ini perlu dipisahkan
dari kekayaan pemikiran yang diwariskan oleh generasi
sebelum mereka. Strategi yang dilakukan terhadap
pemikiran ini ialah ia perlu diburuk-burukkan dengan
menanam benih-benih yang mengandungi sifat-sifat yang
negatif terhadap pemikiran tersebut. Disamping itu,
pemikiran yang dibangunkan berdasarkan ideologi
kapitalisme ditonjolkan sebagai pemikiran yang ideal
dan sesuai dengan zaman moden. Kedatangan kaum Barat
ke negeri-negeri jajahan digambarkan sebagai pembawa
rahmat kemodenan kepada anak-anak tanah jajahan.
Britain adalah salah satu negara penjajah yang pakar
dalam kaedah ini. Sehingga kini, negeri-negeri yang
pernah berada di bawah jajahan British masih
menyayangi bekas tuan mereka ini. Buktinya dapat kita
saksikan melalui sokongan dan penglibatan mereka dalam
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara
bekas jajahannya yang digelar sebagai Negara-Negara
Komanwel.

Kemerdekaan Negara Bangsa Sebagai Kesinambungan
Penjajahan.

Jika umat Islam menggunakan ketajaman fikiran mereka
dalam menatap lembaran sejarah, nescaya mereka akan
dapat mengesan rancangan musuh-musuh mereka (Barat)
yang memperalatkan kalimah keramat 'kemerdekaan'.
Slogan ini dilaungkan tidak lebih hanya sebagai topeng
untuk menutup kelicikan politik supaya dapat
mengekalkan hegemoni mereka di negeri-negeri umat
Islam.

Wahai kaum muslimin,

Episod pilu sejarah keruntuhan Negara Khilafah
Uthmaniah seharusnya mendedahkan kepada kita bagaimana
liciknya Barat mempergunakan seruan 'kemerdekaan'
kepada rakyat negeri-negeri yang bernaung di bawah
Kekhilafahan Uthmaniyah. Ini adalah bagi menjayakan
cita-cita mereka untuk menghancurkan institusi
Khilafah yang merupakan benteng akhir umat Islam dalam
melindungi agama dan kepentingan kaum muslimin.
Seterusnya, di atas puing-puing keruntuhan Khilafah
tersebut, mereka berebut-rebut menancapkan dominasi
mereka ke atas wilayah kaum muslimin yang telah
bercerai-berai itu. Cebisan-cebisan wilayah yang kaya
dengan sumber alam ini akhirnya menjadi pembekal bahan
mentah kepada Barat untuk melicinkan jentera industri
mereka dan sebagai lokasi pasaran untuk dilonggokkan
barangan yang dihasilkan oleh industri mereka.

Umat Islam adalah umat yang satu - bebas dari
(pengaruh dan kekuasaan) umat yang lainnya. Begitulah
ungkapan indah yang termaktub dalam Piagam Madinah
yang dimeterai oleh Rasulullah Salallahu 'alaihi
wasallam bersama-sama penduduk Madinah al Munawarah.
Dikala British dan Perancis ingin menghancurkan Daulah
Islamiyah, mereka telah memecahkan kesatuan ini
melalui doktrin pecah dan perintah (divide & rule)
dengan meniupkan semangat nasionalisme dan patriotisme
kepada rakyat Daulah Uthmaniah. Di Semenanjung Arab
melalui agen mereka, T E Lawrence, mereka mengobarkan
semangat nasionalisme Arab. Mereka menyebarkan
persepsi bahawa bangsa Arab adalah lebih mulia
berbanding bangsa Turki. Oleh itu kekhilafahan
seharusnya berada di tangan mereka. Maka tampillah
Syarif Husain, gabenor Mekah, ke hadapan untuk
mengetuai pemberontakkan memerdekakan Semenanjung
Tanah Arab dari Khilafah Uthmaniyah dengan dokongan
British. Di kalangan bangsa Turki pula melalui
golongan Turki Muda, yang mana kebanyakkan para
pemimpin mereka adalah merupakan ahli Freemason,
disebarkan fahaman nasionalisme Turki sehingga dengan
semangat tersebut bangsa Turki melihat bahawa mereka
sepatutnya hanya mengambil berat terhadap kepentingan
bangsa mereka sahaja dan meminggirkan kepentingan kaum
muslimin yang lain. Oleh itu, institusi Khilafah yang
merupakan payung kepada seluruh umat Islam tanpa
mengira bangsa itu tidak perlu dipertahankan lagi.

Fahaman pemisahan (kemerdekaan) juga dihembuskan oleh
negara-negara Barat melalui idea nasionalisme ke
negeri-negeri Balkan (seperti Serbia, Montenegro,
Bosnia-Herzegovina, Crotia, Albania, Kosovo, Bulgaria,
Hungari, Romania, dan Cyprus) sehingga akhirnya
wilayah tersebut berjaya di'MERDEKA'kan (dipisahkan)
dari Khilafah Uthmaniyah. Akhirnya akibat dari
bersemaraknya api nasionalisme yang ditiupkan oleh
Barat, maka Khilafah menjadi lemah kerana pemisahan
(bagi Barat ini dipanggil 'kemerdekaan')
wilayah-wilayah ini dari tubuh Khilafah. Babak
kesengsaraan Khilafah Uthmaniyah yang malang kerana
rakyatnya dirasuk fahaman asing yang dibawa oleh
Barat, seperti nasionalisme, liberalisme, dan
demokrasi, diakhiri dengan keruntuhan institusi
tersebut yang secara rasminya telah dimakamkan oleh
Mustafa Kamal pada 3hb Mac 1924. Berkenaan dengan
peranan Barat dan kebodohan para pengkagum mereka yang
membawa malapetaka kepada umat dan institusi Khilafah
yang memayungi mereka, Sultan Abdul Hamid II
(1842-1918 M), yang menulis ketika pengasingan baginda
setelah dilucutkan jawatan Khalifah Kaum Muslimin oleh
musuh-musuh politiknya mengatakan:

"Sekarang aku akan memperhatikan hal yang lebih
menghairankan lagi: generasi baru Uthmaniyah dan
organisasi Turki Muda yang sentiasa mengunjungi
negara-negara besar (Barat) yang memiliki cita-cita
untuk mencabik-cabik dan menghancurkan negara
Uthmaniyah. Dari sini dapat dipastikan bahawa para
pemuda tersebut adalah agen-agen negara-negara besar!!
Andai mereka melaksanakan keinginan negara-negara
tersebut, maka itulah yang akan mengakhiri perjalanan
negara Uthmaniyah!! Dan apabila pendengaran mereka
tidak sejalan dengan ucapan negara-negara besar
tersebut, maka itu pulalah yang menjadi penghancur
negara Uthmaniyah!!!" [Dr. Muhammad Harb, Catatan
Harian Sultan Abdul Hamid II]

Di belahan dunia sebelah sini pula, kemerdekaan yang
diberikan oleh British kepada Tanah Melayu adalah
untuk mengekang pengaruh Amerika Syarikat dan
negara-negara Sosialis, seperti China dan Soviet
Rusia. Pada masa yang sama, melalui kelicikan politik,
mereka memastikan Tanah Melayu tidak sekali-kali
terlepas dari pengaruh mereka. Perlu kita sedari
bahawa pada pasca Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat
dan negara-negara Sosialis berusaha giat untuk
merampas dominasi negara-negara Penjajah Lama
(British, Perancis, dan negara Eropah yang lainnya) ke
atas tanah-tanah jajahan. Pada penghujung Perang Dunia
Kedua telah timbul kesimpulan yang jelas kepada
orang-orang yang memahami percaturan politik dunia
iaitu pejajahan mesti dihapuskan lantaran serangan
Rusia ke atas sistem Kapitalis yang mereka nyatakan
sebagai "puncak tertinggi Kapitalis adalah
penjajahan". Rusia telah memulakan serangan keatas
sistem Kapitalis dan imperialisme Barat, memotivasikan
penduduk tempatan untuk menggerakkan revolusi
menentang penjajah dan merancang berbagai peristiwa
yang cukup melemahkan Barat. Dalam masa yang sama,
Amerika yang menjadi semakin licik dalam aktiviti
politiknya mula menggunakan idea 'kemerdekaan' dalam
memotivasi wilayah yang berada di bawah pengaruh
British (yang merupakan saingan politiknya yang utama
pada masa itu) untuk melepaskan diri mereka.
Wilayah-wilayah ini setelah merdeka akan berada
dibawah pengaruh Amerika dalam usahanya untuk
mengambil alih kedudukan Inggeris sebagai pemimpin
ideologi Kapitalisme dan dunia bebas (free world).
Dalam senario percaturan politik kuasa-kuasa besar
inilah akhirnya Persekutuan Tanah Melayu diberi
kemerdekaan oleh Inggeris, pada 31hb Ogos 1957,
setelah dapat dipastikan bahawa ia akan terus berada
di bawah pengaruhnya.

Kemerdekaan Islam Kemerdekaan Hakiki.

Kemerdekaan adalah sesuatu yang mulia dan dituntut
oleh Islam. Kedatangan Islam itu sendiri membawa misi
untuk memerdekakan manusia dari ketundukan kepada
makhluk kepada ketundukkan secara mutlak kepada al
Khaliq. Inilah yang menjadi jatidiri para sahabat
radiAllahu 'anhum yang telah diasuh oleh Rasulullah
Sallallahu 'alaihi wa Sallam. Inilah juga yang
digambarkan dalam jawaban yang dikemukakan oleh Rab'i
bin Amir, Hudzaifah bin Mihshin, dan Mughirah bin
Syu'bah ketika ditanya oleh Panglima Rustum secara
bergantian pada hari yang berbeza di Peperangan
Qadisiyah. Rustum bertanya, "Apa yang menyebabkan
kalian datang ke sini?" Mereka menjawab, "Allah telah
mengutus kami untuk membebaskan siapa sahaja yang mahu
dari penghambaan kepada hamba menuju penghambaan hanya
kepada Allah semata, dari kesempitan dunia menuju
keluasannya, dan dari kezaliman agama-agama selain
Islam menuju keadilan Islam...." [Tarikh at-Thabari,
II/401, Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, Beirut]
Misi Islam untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan
menuju cahaya juga tergambar secara jelas dalam firman
Allah Subhanahu wa Taala:

"Allah Pelindung orang-orang yang beriman. Dia
mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju cahaya.
Adapun orang-orang kafir, pelindung-pelindung mereka
ialah setan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya
menuju kegelapan" [TMQ al-Baqarah [2]: 256]

Ayat ini menunjukkan bahawa syariat yang diturunkan
oleh Allah akan membebaskan manusia dari kegelapan
menuju cahaya; dari kegelapan kekufuran ideologi dan
sistem Kapitalisme-sekular mahupun Sosialisme-komunis
menuju cahaya iman, iaitu ideologi dan sistem Islam.
Inilah kemerdekaan yang sebenar - kembalinya Umat
Islam ke pangkuan Sistem Islam sepenuhnya, bukannya
mengabdikan diri kepada sistem buatan manusia,
perlembagaan kufur dan dasar-dasar kufur. Secara
fizikalnya kita nampak umat Islam merdeka dari
penjajahan tetapi sebenarnya pemikiran mereka masih
lagi dijajah. Oleh itu, umat ini memerlukan
kemerdekaan pemikiran. Setelah itu, barulah
kemerdekaan sebenar dapat dicapai.

Inilah kemerdekaan hakiki yang akan diwujudkan oleh
Islam. Sesungguhnya, Islam sahajalah yang akan
membebaskan manusia dari penghambaan kepada manusia
menuju penghambaan hanya kepada Allah semata, dari
kesempitan dunia menuju kelapanganNya, dan dari
kezaliman agama dan ideologi selain menuju keadilan
Islam. Kemerdekaan hakiki inilah yang semestinya kita
usahakan untuk diwujudkan, yang mana untuk meraihnya,
perlulah dipastikan perkara-perkara berikut dapat
direalisasikan oleh kita semua:

Pertama: Meletakkan kedaulatan hanya milik Allah
semata, iaitu milik syariah, bukan di tangan manusia.

Kedua: Menerapkan syariat Islam. Kedaulatan milik
Allah itu hanya akan terwujud secara praktik dengan
terterapnya syariat Islam. Penerapan syariat Islam di
tengah-tengah kehidupan akan membebaskan manusia dari
segala bentuk penjajahan. Oleh kerana itu, semua pihak
sewajarnya meletakkan penerapan syariat Islam secara
kaffah sebagai agenda utama mereka. Mengamalkan
syariah dalam kehidupan peribadi, masyarakat, dan
negara merupakan kewajiban setiap individu Muslim
sekaligus merupakan bentuk kemerdekaan yang hakiki.

Ketiga: Membakul-sampahkan ideologi dan sistem
Kapitalisme-Sekular mahupun Sosialisme-Komunis, yang
merupakan ideologi buatan manusia dan ini sekaligus
akan menolak segala bentuk penjajahan. Kita juga mesti
mencampakkan akidah sekularisme dan semua pemikiran
yang dilahirkannya seperti liberalisme, pluralisme,
demokrasi dan sebagainya sejauh-jauhnya. Kita juga
mesti menolak segala bentuk campur tangan dan
penjajahan asing dalam mengatur kehidupan kita dan
berusaha untuk mewujudkan kemandirian di dalam segenap
bidang.

Wahai kaum Muslim,

Sudah tiba masanya kita memerdekakan diri. Sudah
saatnya kita bangkit dan bersatu menerapkan syariat
Islam. Juga sudah sampai ketikanya kita mewujudkan
kepemimpinan yang Islami dengan menegakkan kembali
institusi Islam, iaitu Khilafah Islamiyyah. Khilafah
Islamiyyah inilah yang akan membawa kita menuju
kemerdekaan yang hakiki, menghambakan diri kita hanya
kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semata.

Diharapkan selepas ini apabila kita diajukan
pertanyaan; "Malaysia sudah merdeka…..kenapa tak
percaya?" Berdasarkan petunjuk Islam, InsyaAllah, kita
akan dapat menjawabnya dengan penuh keyakinan. Wallahu
a'lam bi ash-shawab.

_________________
Janganlah engkau menilai kebenaran itu dari orangnya,
tetapi kenalilah kebenaran itu, maka engkau akan
mengenal orang yang menyampaikannya.
(Saidina Ali r.a)






                
___________________________________________________________ 
To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo! 
Security Centre. http://uk.security.yahoo.com





------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke