Dilekakan dengan lauk pauk, kuih, langsir ketika Ramadan, raya
Thursday, September 22 @ 15:46:31 MYT


ASSALAMUALAIKUM. Salam Perkenalan. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995) mendefinisikan ‘gosip’ sebagai; pergunjingan, cerita burung/negatif, desas-desus dan obrolan.

Bagaimanapun melalui ruangan ‘Gosip’ mulai keluaran ini (22 September 2005) kami cuba memaparkan pelbagai kisah termasuk nasihat dan panduan untuk golongan wanita yang sering dikaitkan dengan gosip.

Kata sesetengah orang gosip (sok-sek?) dengan wanita itu tidak dapat dipisahkan. Jadi kami memberi peluang kepada penulis wanita untuk memaparkan ‘gosip’ mereka.

Bagi keluaran sulung ini, kami utarakan tulisan RATU MERPATI. Apakah beliau membawa ‘gosip baik’ atau sebaliknya. Selamat membaca. – Pengarang

DUA minggu lagi umat Islam akan menjadi tetamu Allah, tetamu di bulan Ramadan bulan penuh rahmat. Bulan yang terbuka luas peluang dan ruang untuk menambahkan amal ibadat kepada-Nya. Malangnya, hanya sebahagian hamba-Nya mengetahui keistimewaan ini manakala sebahagian yang lain bukan tidak tahu tetapi buat-buat tidak tahu.

 

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud; "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkahan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah orang yang tidak mendapatkan rahmat Allah pada bulan ini”.

 

Dua bulan sebelum menjelang Ramadan banyak kain rentang di tepi-tepi jalan yang mempelawa orang ramai untuk berniaga di pasar Ramadan. Penulis mendapat maklumat daripada seorang kawan, awal September lalu premis di pasar Ramadan di Greenwood dan kawasan sekitarnya sudah penuh. Alamak! Kawan penulis menepuk dahi sambil mulut mucung berkata: "Melepas tak dapat nak niaga. Hai, barang-barang dahlah naik harga, nak raya pula kalau tak dapat tempat nak niaga macam mana nak sambut raya?"

 

Apabila difikir luahan hati kawan tu memang ada betulnya. Tentu fikiran mak bapak sekarang ni tengah laju berputar terutama mereka yang bekerja swasta dan sendiri. Mana nak cari duit lebih dalam suasana semua barang-barang naik harga.

 

Nak buat kuih mesti guna telur, majerin, tepung jagung, tepung beras, coklat, lepa susu (butter), susu dan sebagainya. Kalau tak guna barang-barang ni boleh, tapi kuih atau kek tu jika dilempar ke dinding, bukan kuih tu yang bersepai tapi dinding tu yang pecah.

Inilah yang memeningkan kepala emak bapak hari ini. Orang sibuk nak beramal ibadat, kita sibuk fikir mana nak cari duit lebih. Maka terpaksalah `overtime' dan partime' semata-mata nak cari duit lebih nak sambut raya.

 

Meminjam kata-kata Mawi (pemenang Akademi Fantasia AF3), dunia-dunia juga… akhirat jangan lupa! Ha, penulis ubah slogan itu, `raya-raya juga jangan sampai lupa tarawikh, tadarus dan qiamulail.'

 

Setiap tahun menjelang Ramadan, jarang sekali penulis melihat kain rentang yang mengiklankan `marilah tarawikh beramai-ramai, tadarus beramai-ramai dan qiamulail di masjid atau surau'. Sepatutnya kain rentang seperti ini perlu diadakan barulah sesuai diisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Ini asyik-asyik kain rentang; `kunjungilah kedai emas..., belilah kain langsir...,belilah kuih raya..dan bermacam-macam lagi iklan yang semata-mata mahu memenuhi kehendak nafsu.

 

Penulis sering mendengar pada bulan puasa ni, bapak syaitan, anak syaitan, cucu syaitan semua diikat. Kalau betul diikat, kenapa ada di kalangan sebilangan besar umat Islam yang kena tangkap kerana tak puasa? Kenapa masih ada lagi anak-anak gadis dan teruna yang duduk di celah-celah pokok dilindungi sinaran neon? Mak-mak pulak sibuk menjahit baju, langsir, membuat kuih sehingga tak sempat nak tarawikh, tadarus dan qiamulail. Bapak-bapak pula `dok' sibuk cat rumah, cari buluh nak buat meriam, nak pasang lampu dan bermacam lagi aktiviti sempena hari raya.

 

Kalau pergi tarawikh pun cari yang imam masjid baca surah pendek dan cepat, kalau buat solat lapan rakaat lagi bagus. Apabila seminggu lagi menjelang Syawal batang hidung pun tak nampak. Alasan tak sempat sibuk atau konon nak jaga `air muka' kita buat tarawikh di rumah.

Inilah rentetan kisah atau sandiwara yang selalunya berlaku menjelang Ramadan dan Syawal. Bagi isteri yang bekerja datang pejabat bukan terus buat kerja tapi seronok berbual. Sahur tadi makan apa?, alamak saya tak bangun sahur la terlupa nak kunci jam, baju raya berapa helai, kuih raya dah buat ke…dan bermacam-macam lagi dialog menjelang Hari Raya. Jarang sekali mendengar; "Allah, saya tak habis lagi baca Quran raya dah nak dekat, semalam saya tak sempat nak bagi lauk dekat jiran."

 

Inilah antara dialog yang sering berlaku di pejabat-pejabat kerajaan, swasta, sekolah dan di mana-mana sahaja. Kenapa dan mengapa perkara ini berlaku? Penulis yakin jawapan mesti ada dalam diri setiap individu yang bangga menjadi umat Islam. Bangga menjadi rakyat dalam negara yang diistiharkan sebagai negara Islam dan mengamalkan Islam.

 

Cari dan kejar Lailatul Qadar

Ustaz-ustaz sering mengingatkan kita, carilah 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan. Apa yang nak dicari kalau tak buat persediaan pada awal Ramadan. Nak tarawikh pun fikir dua tiga kali, ni nak cari malam Lailatul Qadar.

 

Cuba kita bayangkan, setahun ada 365 hari. Apa salahnya jika 29 hari kita kurangkan tidur. Kalau 29 hari kita kurang tidur kita masih cukup tidur selama 355 hari. Tak cukup lagikah itu?

Setakat ini tidak ada orang yang mati kerana berjaga malam menunggu ketibaan Lailatul Qadar dan bertadarus kecuali dengan keizinan-Nya.

 

Kebanyakan 10 hari terakhir masjid dan surau yang mengunjunginya hanya orang tua. Orang muda lelaki dan perempuan sibuk buat kerja nak sambut raya. Tarawikh dah la tak buat, tadarus jauh sekali inikan pula nak tunggu Lailatul Qadar..(mimpi di siang hari la jawapnya).

Ada yang berfikiran, orang tua yang patut menunggu malam Lailatul Qadar, orang muda lambat lagi nak mati. Kalau Allah nak cabut nyawa seseorang itu tak kira muda ke tua.

Sebagai contoh, buah kelapa ada yang dah terlalu tua tapi tak jatuh-jatuh. Tapi yang putik tu jatuh dulu…(renung-renungkanlah).

 

Ketibaan Ramadan penuhilah dengan amal ibadat. Peluang untuk melakukan amalan pada bulan ini begitu terbuka luas. Seumpama rumah Allah di muka bumi ini yang sentiasa terbuka untuk hamba-hamba-Nya sepanjang masa.

 

Bukan mudah untuk mendapat rahmat Allah pada bulan mulia ini. Rahmat umur yang diberikan oleh-Nya wajar dipergunakan semaksimumnya pada saat ini. Kerana kita tidak mampu meramal bilakah berakhirnya penghujung usia. Tahun ini (insya-Allah tidak beberapa hari lagi), umur kita masih ada untuk sambut Ramadan, tahun depan siapa tahu? Demikian, gunakanlah kesempatan itu sebelum ‘game over’ (masa sudah habis)!


Yahoo! Messenger NEW - crystal clear PC to PC calling worldwide with voicemail


--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke