Oleh Norwani Ahmat
Seremban, Negeri Sembilan
Pertamanya tahniah kepada pihak TV3 kerana berjaya menyiarkan
dokumentari berkenaan Ilmuan Islam yang pada pandangan saya merupakan
satu program yang begitu menarik dan bermanfaat.
Pelbagai
maklumat dapat diperolehi terutamanya mengenai khazanah ilmu yang
dipelopori seawalnya oleh cendiakawan Islam. Begitu juga dengan program
"Bersamamu" yang jelas menggambarkan keprihatinan TV3 dalam membantu
insan yang memerlukan pertolongan.
Sejak kebelakangan ini juga, pelbagai isu masyarakat setempat kerap
dipaparkan dan mendapat pembelaan menerusi ruangan "Buletin Utama".
Sekali lagi keprihatinan TV3 yang seharusnya mendapat pujian!
Namun berbeza sekali dengan siaran yang dipaparkan sepanjang bulan
Ramadhan ini. Saya menjangkakan TV3 akan lebih prihatin dengan susun
atur program terutamanya filem-filem yang ditayangkan sepanjang bulan
puasa.
Nampaknya sangkaan saya meleset sama sekali apabila hari Isnin yang
lepas, TV3 menyiarkan sebuah filem Cina yang bertemakan perjudian.
Filem tersebut hanya berkisar tentang isu perjudian, pergaduhan,
keseronokan, keadaan orang yang mabuk dan gadis-gadis berpakaian bikini
di paparkan tanpa tapisan.
Bagi saya filem sebegini tidak sesuai di tayangkan di Malaysia
lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan. Jelas sekali TV3 tidak
sensitif dengan keadaan semasa dan majoriti orang Melayu beragama Islam
di Malaysia.
Apa salahnya disiarkan filem yang membawa mesej yang baik dan teladan
kepada semua. Jika sebelum ini berpuluh filem Hollywood, Bollywood,
Korea dan lain-lain negara lagi mampu dibawa masuk ke Malaysia, apa
salahnya jika filem-filem berunsur Islam seperti dari Negara Iran, Sudan
dan Mesir turut dibawa masuk ke Malaysia.
Bukannya selalu filem-filem berunsur Islam ini ditayangkan dan dalam
setahun boleh di hitung dengan jari. Mungkin sebulan puasa ini boleh di
manfaatkan oleh TV3 dengan menayangkan filem-filem berunsur kebaikan
untuk menjadi panduan kepada semua penonton terutamanya orang Melayu
beragama Islam di Malaysia.
Sikap prihatin TV3 sewajarnya terletak kepada semua perkara dan
bukannya perkara-perkara tertentu sahaja. Ia mungkin sejajar dengan
konsep Islam Hadhari yang menyeru kepada perubahan ke arah kebaikan umat
sejagat. - um