Darul Fuqaha Maahad tahfiz untuk anak yatim

Oleh: ZUARIDA MOHYIN


HUBUNGAN akrab jelas terpancar di wajah anak-anak ini dengan Mohd Khairuddin yang dianggap bapa mereka.

SEMENJAK alam persekolahan lagi, bapa muda kelahiran Seberang Takir, Terengganu, Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, 32, telah menyimpan impian untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam suatu hari kelak.

 

Apatah lagi dengan pengalaman belajar di pondok, ditambah peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara, sedikit sebanyak menyuntik semangat dan keazamannya untuk menjadikan impian tersebut satu kenyataan, bukannya angan-angan Mat Jenin.

 

Lantaran itu, tanggal 16 Februari 2004 merupakan tarikh penuh bermakna bagi pemegang Sarjana Bahasa Arab dari Universiti Aal Al-Bayt, Jordan serta isteri beliau, Anili Ramli, 30, apabila berlangsungnya Forum Perdana ad-Din dengan kerjasama Radio IKIM.fm, sekali gus menandakan rasminya penubuhan Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha di Sungai Merab Luar, Bangi, Selangor.

 

"Saya sendiri tidak menyangka cita-cita zaman kecil saya berjaya direalisasikan, biarpun pada peringkat awal terdapat beberapa kekangan terutamanya dari segi kewangan. Pun begitu, Allah s.w.t. itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semua ini adalah dengan kuasa-Nya.

 

"Alhamdulillah bermula dengan tiga orang pelajar pada awal pembukaannya, sehinggalah kini, jumlah pelajar kami seramai 27 orang.

 

''Kesemuanya kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 14 tahun dari seluruh Semenanjung Malaysia. Kriteria anak-anak di sini ialah anak yatim, miskin atau anak-anak ibu tunggal yang miskin.

 

"Malah jumlah penggerak dan tenaga pengajarnya juga telah bertambah. Kami bermula dengan mengambil seorang guru tahfiz, Zamzuri Yaakub, manakala isterinya, Mahani Majid sebagai guru akademik.

 

"Kini, Maahad mempunyai enam guru yang terdiri daripada tiga guru akademik, seorang guru tahfiz dan guru agama. Isteri saya pula sebagai Pengetua. Guru-guru di sini berkelulusan ijazah dari Al-Azhar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya. Selain itu, terdapat juga seorang pembantu tadbir dan seorang tukang masak," terang Mohd Khairuddin, Pengerusi Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha.

 

Mengimbau sejarah awal penubuhan Maahad, kata Mohd Khairuddin yang juga tutor di UKM, sungguhpun niat awalnya sudah lama terpendam tetapi pertemuan dengan seorang hamba Allah dari Kuwait sewaktu menyampaikan ceramah di masjid As-Syakirin, KLCC merungkai segalanya.

 

Lebih-lebih lagi, tanah yang dibelinya di Sungai Merab untuk tujuan membina kediaman sendiri, mempunyai tanah kosong di sebelahnya seluas dua lot.

 

"Idea asalnya, membina sekolah tahfiz sahaja tetapi dinaikkan taraf menjadi maahad tahfiz, khusus buat anak-anak yatim. Peringkat awal, segala usaha ini akan dibiayai oleh warga Kuwait tersebut tetapi beliau menarik diri pula.

 

"Pun begitu, saya tetap meneruskan usaha dan tidak mahu ia terhenti separuh jalan. Alhamdulillah, pada masa sama, memperoleh pembiayaan daripada seorang usahawan kita yang dermawan. Beliau menyumbang sebanyak RM60,000.

 

"Wang tersebutlah saya gunakan untuk membaik pulih bangunan yang telah diwakafkan, selain membiayai pelbagai hal lain. Di tingkat atas bangunan inilah ditempatkan asrama, kelas dan surau.

 

Selepas beberapa bulan beroperasi, barulah dibina bangunan baru dua tingkat pada bulan Julai tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Mei 2005 dengan kos hampir RM350,000, daripada hasil derma menerusi ceramah-ceramah yang disampaikan di merata tempat.

 

"Bangunan surau di tingkat atas, di bahagian bawah ada bilik perpustakaan, pejabat, bilik guru dan kelas. Sementara asrama kanak-kanak ini di sebuah bangunan lain," jelas Mohd Khairuddin yang berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan, sama ada dari segi material dan sokongan selama ini kepada pihak Maahad.

 

Akui pasangan sehati sejiwa yang belajar di universiti sama di Jordan dan berkahwin di sana pada 1994, kini dikurniakan tiga cahaya mata, latar belakang anak-anak di Maahad Tahfiz ada yang terbiar selepas kematian ibu atau bapa mereka, mendapat pendidikan sekadar darjah tiga dan empat, dan ada juga yang langsung tidak tahu membaca.

 

Ini merupakan cabaran besar, terutamanya guru-guru di sini. Namun, berkat usaha ikhlas semua pihak, telah nampak perubahan pada kanak-kanak ini. Hakikatnya, asas hafazan al-Quran ini mustajab dalam membentuk akhlak dan keperibadian, apatah lagi ia diterapkan peringkat usia muda.

 

Kata beliau lagi, ''Matlamat mereka bukan semata-mata cemerlang dari segi akademik tetapi yang penting, berakhlak atau ringkasnya, 'jadi orang'. Alhamdulillah, kebanyakan kanak-kanak ini telah nampak perubahan selepas membaca al-Quran. Sebelum ini, ada yang menghisap rokok, degil tetapi telah berubah ke arah kebaikan, malah masalah disiplin sudah tidak ada sangat berbanding tahun lalu.

 

"Kami di sini, memiliki tiga sukatan pelajaran utama, iaitu bidang akademik yang mengikuti piawaian Kementerian Pelajaran Malaysia, pengajian agama dan Tahfiz Darul Fuqaha. Rutin harian anak-anak ini bermula seawal solat Subuh, diikuti hafazan al-Quran sehingga 7.30 pagi. Pada pukul 8.30 hingga 10.30 pagi pula disambung lagi dengan hafazan.

 

"Tepat 10.30 pagi hingga pukul 5.00 petang, mereka mengikuti kelas-kelas akademik. Di sebelah petang mereka berpeluang bersukan ataupun acara bebas, seperti mentelaah di perpustakaan atau mengikuti latihan kompang dan nasyid.

 

"Selepas solat Maghrib berjemaah, mereka menyambung hafazan al-Quran dan berhenti untuk solat Isyak, sebelum meneruskan hafazan atau mengulangkaji akademik.

 

"Kebiasaannya mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan mengikuti dua aktiviti ini secara bergilir-gilir, setiap hari," kata Mohd Khairuddin.

 

Menjelaskan program-program lain yang berlangsung di Maahad, di antaranya pada setiap Isnin malam Selasa akan diadakan bacaan kitab tafsir, fikah, hadis dan multad al-Badarin. Manakala, Jumaat minggu ke dua dan ke empat, diadakan kuliah hadis di bawah pengendalian Shauki Osman dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini terbuka kepada masyarakat kejiranan dan luar.

 

Selain itu, di sini juga tidak terlepas daripada penganjuran pelbagai bentuk seminar dan diskusi ilmu daripada tokoh ulama terkemuka,

Syeikh Nuruddin al-Banjari. Tegas beliau lagi, boleh dikatakan Maahad ini juga berperanan sebagai pusat ilmu untuk masyarakat luar.

 

Ditanya perancangan masa depan, kata Mohd Khairuddin yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ph.D. di UKM, pihaknya sedang mengusahakan untuk memperoleh tanah lebih luas yang telah dikenal pasti juga di Sungai Merab seluas dua ekar.

 

"Di atas tanah inilah akan dibina pondok warga emas untuk kaum wanita, akademik pengajian Islam untuk orang awam, kolej pengajian Islam khas buat pelajar yang ingin mendalami bidang agama.

 

"Saya mensasarkan dalam tempoh dua tahun ini akan terbina

Kompleks Ilmu Darul Fuqaha. Lantaran itu, kami berharap sumbangan ikhlas daripada masyarakat Islam.

 

"Mereka yang ingin membantu bolehlah menderma ke akaun Bank Islam no: 12029010045684 ataupun menerusi cek atas nama, Dana Pembangunan Darul Fuqaha ataupun menghubungi saya, 013-3621 236 atau 03-8926 7762," kata beliau yang bercita-cita mewujudkan gergasi pendidikan Islam yang bertapak di Sungai Merab, Bangi.

 

Yang cantiknya, ia adalah percuma sama seperti yang diterapkan

ke atas Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha.

 

Selain itu, pihak pengurusan Maahad juga merancang pembiayaan para pelajar yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bidang agama untuk melanjutkan pelajaran mereka hingga ke institusi pengajian tinggi.

 

Menjawab persoalan mengapa di Sungai Merab? Jawab beliau, terdapat beberapa faktor, di antaranya ia berhampiran dengan tempat beliau bertugas iaitu di UKM, kediaman tetapnya, laluan mudah ke Putrajaya, lokasinya yang begitu strategik seperti dikelilingi pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), pusat pendidikan orang cacat, pusat latihan, bank, aneka kedai, penempatan, pejabat kerajaan dan swasta.

 

Hakikatnya, kata Mohd Khairuddin, Sungai Merab sedang rancak membangun dan tidak mustahil suatu hari nanti ia bergerak maju seiring dengan pembangunan negeri Selangor


New and Improved Yahoo! Mail - 1GB of free storage!

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke