Saudara Pengarang,

 

Respon kepada laporan Harakahdaily berjudul "Layan seks dalam bas cemar imej Islam" bertarikh 22 Oktober 2005 (rujuk : http://harakahdaily.net/article.php?sid=16534&mode=thread&order=0) menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit komentar dan pembahasan mengenai permasalahan tersebut.

 

ZINA : Pencegahan dan Penyelesaian dari persepektif Islam

 

ZINA bukan lagi suatu perkataan asing dewasa ini. Malah perbuatan keji tersebut telah menjadi sebahagian norma masyarakat dunia, terutama dibahagian barat. Penyakit sosial tersebut berkembang melalui penjajahan (imperialisme) secara langsung mahupun melalui serangan psikologi yakni kemajuan teknologi komunikasi, multi-media dan maklumat.

 

Tak ketinggalan, orang timur juga kini terjebak dengan wabak tersebut hasil penjajahan barat sejak berabad lama. Prinsip kebebasan (liberalisme) yang ditinggalkan penjajah, diterapkan dalam sebahagian besar dasar pemerintahan kerajaan-kerajaan timur, juga memberi peluang besar untuk penularan budaya haiwani tersebut. Di Malaysia sahaja simtom-simtom gejala itu mudah didapati didada-dada akhbar mahupun buletin berita-berita sensasi media massa setiap masa.

 

Wabak zina bukan sahaja terkena kepada sekelompok masyarakat, bahkan ia turut membabitkan umat Islam. Itu yang membimbangkan sebahagian kita yang sensitif serta perihatin kepada permasalahan tersebut. Misalnya dalam Berita Minggu bertarikh 31 Julai 2005 yang lalu. Profesor Madya Dr Lekhraj Rampal dari Universiti Putra Malaysia, mengetuai satu kajian risiko perlakuan yang boleh membawa kepada jangkitan HIV pada tahun lepas mendapati 75 peratus atau 14,121 daripada 18,805 responden yang ditemui adalah aktif seks, di samping menunjukkan 8.4 peratus pernah mengadakan hubungan seks ketika berusia 15 tahun. Dan bagi mereka yang berusia 16 hingga 18 tahun, 34 peratus mengaku mempunyai pengalaman seks.

 

Apa yang menjadi kekhuatiran bagi sesetengah umat Islam adalah sejauh manakah bermaharajalelanya penzinaan dikalangan umat hingga mencapai maksud hadis Nabi SAW berikut,

 

“Apabila zina dan riba telah berleluasa di suatu negeri, maka rakyat di negeri itu sama saja telah menghalalkan dirinya untuk menerima azab Allah.” [HR. ath-Thabrani, al-Hakim dari Ibnu Abbas, dalam kitab Fathul Kabir, jilid I, hal. 132].

 

Selain daripada menerima kehinaan secara fizikal, natijah daripada penyakit sosial tersebut, umat Islam yang lainnya juga menerima ancaman (kedosaan) azab seksa dari Allah SWT atas kelalaian mereka menangani masalah serta menyelesaikannya berdasarkan tuntutan dan perintah dari-Nya.

 

“..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir/zalim/fasik” [Qs. al-Maaidah [5]: 44/45/47]

 

Tulisan ini cuba menjelaskan secara ringkas mengenai kedudukan Sistem Pengadilan (Sanksi) yang disebut Nizhamul ‘Uqubat sebagai pencegah dan penebus dosa bagi setiap kesalahan hadd (batas-batas akhlak) termasuk ZINA.

 

Fungsi ‘Uqubat Dalam Islam

 

Salah satu kunci keberhasilan sistem syari’at Islam –dalam bidang peradilan- adalah tegas dan adilnya sanksi-sanksi yang dijatuhkan, baik bagi terdakwa mahupun pihak pendakwa. Perkara yang bersangkutan sanksi inilah yang dikenal di dalam khazanah hukum Islam dengan ‘al-Uqubat’.

Untuk menilai sebuah hukum, khususnya sanksi (uqubat) yang merupakan produk hukum syari’at, hendaknya di tinjau secara objektif dan menyeluruh sesuai dengan fungsi dan hukum itu bagi keamanan dan ketenteraman masyarakat manusia. Bagi kaum muslimin yang mukmin kepada Allah Yang Maha Bijaksana dan Yang Paling ‘Arif tentang apa yang paling manusiawi bagi manusia, sikap yang paling tepat adalah menerima keputusan hukum dari Allah SWT dalam nash-nash syara’ tanpa pengecualian sedikit pun, sesuai dengan firman-Nya :

 

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata” (Qs. al-Ahzab [33]: 36).

 

‘Uqubat Sebagai Pencegah Kemaksiatan


Sanksi (‘uqubat) di dalam Islam, dalam catatan sejarah, telah terbukti mampu mencegah kejahatan, menjamin keamanan, keadilan dan ketentraman bagi masyarakat. Sanksi-sanksi yang dijatuhkan kepada pelaku jenayahl berfungsi sebagai “zawajir” (pencegah) sangat efektif (berkesan) mencegah orang-orang yang hendak melakukan perbuatan dosa dan kejahatan. Fungsi tersebut dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya :


”Dalam qisas (hukuman mati bagi pembunuh sengaja) itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, wahai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa.” (Qs. al-Baqarah [2]: 179).

Memang, pembunuh yang diqisas itu tidak akan hidup. Namun, bila ia menyedari sebelum membunuh bahawa ia nantinya akan dibunuh juga, niscaya ia tidak akan melakukannya. Sehingga calon korbannya tetap hidup, ia pun tetap hidup. Masyarakat yang menyaksikan penerapan hukum qisas akan lebih tinggi kesedaran hukumnya dan tidak akan mudah membunuh, sehingga kelangsungan hidup masyarakat akan terjamin. Konsep ini boleh dibandingkan dengan hukuman penjara bagi pembunuh yang ternyata melahirkan persepsi masyarakat yang menganggap bahawa nyawa manusia begitu murah sebagaimana kita saksikan dalam berita media-massa setiap hari.


Kesucian kehormatan manusia juga dilindungi oleh hukum syara’ yang benar-benar efektif dalam mencegah terjadinya pelanggaran kehormatan dengan menjilid (sebat) atau merejam para penzina dengan disaksikan oleh masyarakat (Qs. an-Nûr [24]: 2). Boleh dibandingkan dengan kesan sanksi hari ini sehingga meningkatkan kadar jenayah syari’ah seperti pelacuran, seks bebas, rogol dan pencabulan seksual.


’Uqubat
Sebagai Penebus Dosa


Yang menarik dalam sistem hukum Islam, uqubat yang diterapkan oleh Khalifah kepada para pelanggar hukum yang menyedari segala kekhilafan dan kesalahannya itu, akan menjadi “jawabir” (penebus) dosa dan siksaannya di akhirat kelak. Rasulullah SAW menjelaskan hal ini dalam sabdanya :


“Kalian berbai’at kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anakmu, tidak membuat-buat dusta yang kalian ada-adakan sendiri dan tidak menolak melakukan perbuatan yang ma’ruf. Siapa saja menepatinya maka Allah akan menyediakan pahala; dan siapa saja yang melanggarnya kemudian dihukum di dunia maka hukuman itu akan menjadi penebus (siksa akhirat) baginya. Dan siapa saja yang melanggarnya kemudian Allah menutupinya (terlepas dari hukuman dunia), maka urusan itu diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkehendak maka Dia akan menyiksanya; dan jika Dia berkehendak maka akan memaafkannya.” [HR Bukhari dari ‘Ubadah bin Shamit].


Dimensi kehidupan dalam pandangan Islam adalah dunia dan akhirat, dimana dunia itu adalah ladang bagi akhirat. Siapa di dunia menabur kejahatan di dunia akan menuai azab nereka yang pedih tiada terhingga di akhirat. Namun, sebelum mati, Islam masih memberikan kesempatan kepada orang-orang yang gagal di dunia dengan kejahatannya itu untuk mendapat kejayaan di akhirat dengan cara taubat nasuha. Bukti kukuh dari taubat nasuha seorang pelanggar hukum dalam Islam adalah kesediaanya menerima ‘uqubat yang dijatuhkan kepadanya. Oleh karena itu, tidak hairan kalau para pelanggar hukum di masa Rasulullah SAW umumnya datang sendiri mengakui kesalahan dan minta disucikan dari dosa mereka. Sebagai contoh ‘uqubat sebagai penebuh dosa adalah seperti yang terkandung didalam matan hadis Nabi SAW dalam kes zina Ma’iz Bin Malik ra :


“…taubat Maiz sepenuh taubat manusia seluruh dunia…Bahawa sesungguhnya sekarang Maiz sedang berenang di sungai-sungai di syurga.” [HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan at-Tirmidzi].

Nah, sekarang mari kita bandingkan manakah yang lebih baik, penjahat yang menebus dosa dan meninggalkan dunia sehingga masyarakat pun menjadi aman dan ia selamat di akhirat ataukah penjahat yang menjalani hukuman penjara dengan wang (prinsip kapitalis) dan kembali ke masyarakat, (mungkin) melakukan kekacauan lagi, dan tidak ada jaminan baginya selamat di akhirat ? Yang perlu kita catat, hukum Islam hanya layak untuk manusia yang berfikir (Qs. al-Baqarah [2]: 179).

 

Pembuktian Zina

 

Zina adalah perbuatan jimak (persetubuhan) antara lelaki dan perempuan diluar pernikahan. Suatu perlakuan zina itu disabit kesalahannya disisi Islam setelah terbukti melalui 3 cara berikut,

 

  1. Pengakuan yang jelas walaupun sekali sahaja. Namun jika ia menarik balik pengakuannya atau lari dari menerima hukuman, ia dibiarkan sahaja. Berdasarkan dari hadis Sahal Bin Sa’ad bahawa seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan berkata;

 

“Bahawa ia telah berzina dengan seorang perempuan tertentu. Mendengar hal itu Rasulullah SAW mengirimkan utusan kepada wanita untuk memanggilnya. Kemudian beliau SAW menanyai wanita itu dan ternyata wanita itu menyangkalnya. Beliau SAW kemudian berkata “Wanita itu telah mengengkari, maka jatuhkanlah had kepada lelaki itu dan biarkanlah wanita itu”

 

  1. Saksi lelaki seramai empat orang. Berdasarkan ayat 15 surah An-Nisa’;

 

“Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu)

 

  1. Kehamilan disertai pengakuan. Ini berdasarkan kata-kata ‘Umar ra “Rejam adalah wajib ditegakkan bagi semua orang yang berzina baik lelaki mahupun wanita yang telah muhshan (berkahwin), dan jika ada bukti atau terjadi kehamilan dan pengakuan”

 

Selain daripada ketiga pembuktian diatas adalah tertolak walaupun sains boleh membuktikannya. Ini bersesuaian dengan kisah yang menimpa seorang sahabat bernama Hilal Bin Umayyah ra terhadap kecurangan isterinya, berzina dengan Syarik Bin Samha’, dimana akhirnya Rasulullah SAW tidak menjatuhkan had ke atas isteri Hilal biarpun terbukti penzinaannya melalui kelahiran anak luar nikah hasil penzinaan itu menepati ciri yang disebut baginda SAW,

 

“Berkulit gelap seperti celak, tulang ekornya panjang dan padat isi pahanya”

 

Kisah Teladan Ma’iz Bin Malik dan Wanita Al-Ghamidi

 

Dari Buraidah r.a. katanya :

 

"Bahawasanya Ma'iz bin Malik al-Aslami datang kepada Rasulullah SAW lalu ia berkata : Ya Rasulullah, aku telah menzalimi diriku dan aku telah berzina, dan sesungguhnya saya hendak supaya anda menyucikan saya. Rasulullah SAW menolaknya. Pada hari esoknya ia datang seraya berkata : Ya Rasulullah, sesungguhnya saya telah berzina. Maka Rasulullah SAW menolaknya buat kali kedua. Rasulullah SAW mengutuskan orang kepada kaumnya dan berkata: Apakah kamu mengetahui akalnya bagus? Adakah kamu mengingkari sesuatu darinya? Mereka menjawab: Kami tidak mengetahuinya melainkan akalnya sempuma, dan dia di antara orang-orang baik kami menurut pandangan kami. Pada kali yang ketiga Ma'iz datang menemui Nabi SAW, Rasulullah SAW mengutuskan pada orang kepada kaumnya untuk bertanya mengenainya. Mereka memberitahunya bahawa Ma'iz tidak apa-apa dan akalnya sejahtera. Manakala kali yang keempat Rasulullah SAW menggali untuknya sebuah lubang, kemudian beliau menyuruh supaya Ma'iz direjam, maka iapun direjam.

 

Kata Buraidah : Seorang wanita al-Ghamidi datang kepada Nabi SAW seraya berkata : Ya Rasulullah ! Sesungguhnya saya telah berzina, maka sucikanlah saya ! Rasulullah SAW menolaknya. Manakala esoknya ia berkata: Ya Rasulullah ! Mengapakah anda menolak saya? Boleh jadi Rasulullah SAW akan menolak saya sebagaimana anda telah menolak Ma'iz. Demi Allah ! Sesungguhnya saya telah mengandung. Rasulullah SAW bersabda : Adapun sekarang ti­dak. Sekarang pergilah sampai engkau bersalin. Setelah ia bersalin ia datang menemui Nabi SAW dengan membawa bayi dalam secarik kain seraya berkata : Ini dia, saya telah melahirkannya. Rasulullah SAW bersabda : Pergilah dan susuilah dia sampai ia berhenti menyusu. Maka manakala ia telah memberhentikan penyusuan bayinya lalu ia datang kepada Nabi SAW dengan membawa bayinya yang di tangannya sepotong roti seraya berkata : Inilah dia wahai Rasulullah  Saya telah memberhentikan penyusuannya dan sesungguhnya ia telah memakan makanan. Rasulullah SAW menyerahkan bayi itu kepada seorang lelaki dari kaum muslimin. Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan supaya ia direjam lalu digali untuknya lubang sampai ke dadanya dan Rasulullah SAW menyuruh orang ramai merejamnya. Khalid bin al-Walib datang membawa seketul batu lalu melontar kepala wanita itu. Darah wanita itu mercik ke muka Khalid lalu ia memakinya. Nabi SAW mendengar cacian Khalid kepada wanita itu lalu ber­sabda : Perlahan-lahan wahai Khalid ! Demi Allah yang jiwaku ditangannya; sesungguhnya ia telah bertaubat dengan satu taubat yang jika pemungut cukai bertaubat dengannya nescaya ia diberi keampunan. Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan supaya disempumakan jenazahnya dan Rasulullah SAW bersolat ke atas jenazahnya dan kemudian ia dikebumikan. (Mukhtashar Shahih Muslim 1039)

 

Khatimah

 

Begitulah contoh teladan yang sepatutnya diamalkan oleh umat Islam yang telah melakukan kesalahan, zina. Pengakuan yang jelas dan bertanggungjawab itu adalah sebagai jalan menuju keredhaan Allah SWT didunia mahupun diakhirat. Namun tidak pula terlepas (dari kedosaan)  jika pengakuan tersebut dipandang sepi oleh umat lain, tanpa disusuli dengan perlaksanaan hukuman (‘uqubat) terhadap pesalahlaku terbabit. Kerana fungsi ‘uqubat itu (seperti yang dijelaskan) bukan sekadar pelepas tuntutan syari’at, bahkan mengandungi hikmah yang tak dapat dihuraikan secara rinci.

 

Bila direnungkan antara realiti dan tuntutan sebenar syari’at Allah, maka dapatkah kita secara dasarnya mencari punca sebenar peningkatan kadar jenayah seks dan jenayah-jenayah lain ? Cukupkah kita sekadar mengetahui teori-teori yang terbit dari nas syarak (wahyu) tetapi tidak merealisasikannya ? Kelalaian atau ketidakpedulian inilah yang mengundang 1001 malapetaka buat umat hari ini. Bahkan ada pula sebahagian besar dari umat ini yang menghalang-halangi usaha mengembalikan kemuliaan hukum syari’at Allah samada secara terang-terangan mahupun secara sembunyi-sembunyi (tanpa melakukan apa-apa tindakan). Dan ancaman untuk mereka yang menghalangi usaha ini termaktub dalam matan sabda Baginda SAW yang bermaksud;

 

Dari Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda :

 

“Barangsiapa yang syafaatnya (pertolongannya) menghalang satu hukum had dari hukum hudud Allah, maka dia adalah musuh Allah dalam urusan-Nya.” (HR Ahmad, Abu Daud, Ibnu Asakir) Al-Irwa’ 7/2318/349, Ahmad 2/70, Abu Daud 3597, Ibnu Asakir Tarikh Damsyiq 2/37/18

 

Juga firman Allah SWT;

 

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas [Qs. As-Sajdah [32]: 22]

 

Dan jika ditenung secara mendalam, maka akan kita dapati penerapan prinsip-prinsip kebebasan berperaturan itulah yang sebenarnya mengundang kemungkaran disisi umat manusia itu bahkan menjadi pelindungnya melalui pembalasan sanksi yang sangat ringan.

 

Sejarah membuktikan sistem ‘uqubat Islam yang berjalan dimukabumi daulah Khilafah selama 13 kurun menyaksikan kadar jenayah yang sangat rendah berbanding populasi masa itu. Dan ini juga membuktikan pada kita, Islam itu secara historik mahupun empiriknya, mampu mencegah jenayah sekaligus membawa martabat dan kemuliaan umat ke tahap paling tinggi, disegani pada kacamata bangsa lain dimuka dunia.

 

Wabillahil taufiq wal hidayah.

Wassalamu’alaikum

 


Yahoo! FareChase - Search multiple travel sites in one click.

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke