Mencari jihad yang relevan
Oleh: WAN MOHD HAFIZ WAN HAMZAH

HARI ini, berita dunia diwarnai oleh tompok darah dan cebisan daging 
manusia yang tidak berdosa, akibat siri letupan bom yang semakin 
rancak berlaku di beberapa buah negara. Seperti biasa, siri 
pengeboman yang berlaku akan dikaitkan dengan umat Islam, biarpun 
bukan semua yang bersetuju dengan tindakan seperti itu.

Peristiwa pengeboman keretapi bawah tanah di London, kemudiannya di 
Bali, dan terbaru dalam satu majlis perkahwinan di Jordan, 
menyemarakkan lagi syak wasangka bukan Islam terhadap umat Islam.

Bagi Muslim yang berfikiran waras, rasional dan didasari al-Quran 
dalam membentuk corak pemikirannya, pasti tidak bersetuju dengan 
siri-siri pengeboman yang melibatkan orang awam. Sama ada dalam apa 
juga bentuk, apa jua niat atau matlamat, keganasan terhadap mereka 
yang tidak berdosa seperti yang berlaku hari ini, adalah sesuatu 
yang dilarang dalam Islam. 

Dan malang sekali, Barat telah dan sedang mengambil kesempatan ini, 
untuk memomokkan masyarakat dunia, bahawa perilaku keganasan yang 
ada pada hari ini sebagai salah satu ajaran Islam yang berkonsepkan 
jihad. Ini menyebabkan timbul istilah Islamphobia di kalangan mereka 
yang bukan Islam.

Bahkan ia menjadi satu fitnah terbesar bagi Islam dalam sejarah 
dunia moden hari ini, dan menyebabkan umat Islam di seluruh dunia 
hidup dalam keadaan tertekan, terutama mereka yang tinggal di barat 
dan Eropah.

Episod duka umat Islam dalam menanggung beban fitnah ini, sebenarnya 
tercetus daripada tindakan segelintir umat Islam itu sendiri. Sama 
ada mereka sedar atau tidak, perjalanan 'jihad' mereka itu, kini 
menjadi bumerang terhadap Islam dan menimbulkan kesan serangan 
psikologi yang lebih besar impaknya. Sebenarnya, perbuatan 
meletupkan bom-bom di tempat awam, telah menimbulkan fitnah terhadap 
Islam dengan kesan yang lebih teruk.

Menjadi satu persoalan, mengapa pula perlu diletupkan tempat orang 
awam berkumpul, sebagai contoh pusat hiburan di Bali, landasan atau 
gerabak keretapi seperti yang terjadi di Sepanyol dan lain-lain 
lagi. Kenapa harus menjadikan orang awam sebagai mangsa?

Bukankah Islam melarang umatnya membunuh orang-orang yang tidak 
berdosa. Bahkan Rasulullah s.a.w. tidak bersetuju dengan tindakan 
Zaid bin Harisah yang membunuh seseorang kafir yang sudah mengucap 
syahadah di dalam peperangan. Inikan pula manusia awam yang mungkin 
tidak tahu apa-apa.Tidakkah itu menjadi fitnah besar kepada Islam, 
sedangkan nikmat Islam itu turun untuk semua umat manusia? 

Jika kelompok Muslim ekstremis ini ingin mengkucar-kacirkan Amerika 
Syarikat (AS), kenapa tidak saja diletakkan dua tiga biji bom jangka 
di tengah bandaraya New York yang mempunyai kapasiti hampir 8 juta 
penduduk itu. Pastinya ia akan meragut beribu-ribu nyawa, dan secara 
tidak langsung memuaskan hati para pejuang Muslim yang memilih jalan 
radikal ini.

Jika ini berlaku, AS akan menanggung kerugian yang besar dan tidak 
lagi menumpukan dana terhadap Israel untuk siri-siri penindasan 
Palestin pada hari-hari yang akan datang. Bukankah itu matlamat 
sesetengah golongan Muslim ekstremis ini?

Bukankah golongan ini berjaya meletupkan subway di London baru-baru 
ini? Bukankah ia satu kejayaan besar. Jika mereka berjaya 
melakukannya pada kali ini, pasti lain kali mereka boleh 
melakukannya lagi. 

Namun ini semua tidak berlaku. Letupan hanya berlaku di tempat yang 
sebenarnya tidak ada kena mengena dan menyebabkan ramai orang awam 
termasuk orang Islam sendiri, boleh menjadi mangsa. Apakah darah 
orang Islam ini halal demi membalas dendam terhadap kekejaman Barat 
kepada negara Islam terutamanya seperti di Palestin?

Lantaran itu, hari ini apabila disebut perkataan jihad di dalam 
Islam, maka yang difahami oleh kebanyakan Muslim pada hari ini, 
ialah jihad melalui peperangan. Apakah definasi dan skop jihad itu 
terlalu sempit, ia hanya digunakan untuk peperangan. 

Dalam keadaan yang serba kalut melanda umat Islam hari ini, 
sebenarnya umat Islam dituntut keseluruhannya untuk berjihad. Tetapi 
jihad yang bagaimana? Adakah dengan jihad mengangkat senjata? Atau 
jihad meletupkan diri menghancurkan pub-pub atau bar, mahupun hotel-
hotel di mana tempat orang-orang kafir berpeleseran?

Apakah matlamat jihad dalam Islam? Seperti yang ada pada hari ini, 
istilah jihad telah disalah ertikan dan dimanipulasi tujuannya oleh 
segolongan Muslim. Ini menyebabkan timbulnya siri pengeboman dan 
pembunuhan yang membuta tuli, sama ada dari segi perbuatan dan 
tujuannya.

Menurut Dr. Tariq Ramadhan, cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, 
dalam satu wawancara bersama akhbar Tempo, dilaporkan berkata, 
bahawa konsep jihad itu bukanlah diterjemahkan kepada unsur-unsur 
keganasan atau peperangan. Sebaliknya konsep jihad itu ialah jalan 
untuk membawa kepada perdamaian. 

Beliau yang pernah mengejutkan dunia Islam apabila menyeru negara 
Islam tidak melaksanakan hukum hudud buat masa ini menambah, jihad 
itu bukanlah peperangan seperti yang difahami umum pada hari ini. 
Jihad juga bukanlah peperangan suci seperti yang difahami oleh 
kebanyakan komuniti Muslim pada hari ini. Kata beliau, terminologi 
perang suci itu sebenarnya berpunca daripada peristiwa Perang Salib 
Kristian.

"Dalam keadaan hari ini, jihad bererti melawan. Sekiranya berlaku 
penindasan terhadap umat Islam secara tidak adil seperti yang 
berlaku di Palestin, kita mempunyai hak untuk melawan."

Bagaimanapun kata beliau, konsep perlawanan jihad yang ada pada hari 
ini adalah salah sama sekali. Hari ini kata beliau, ramai Muslim 
yang menggunakan konsep jihad secara salah, dan menggunakan istilah 
perang suci untuk memperjelaskan tentang jihad. Menurut beliau, 
jihad adalah perlawanan dengan cara yang damai.

Manakala menurut Syeikh Muhammad al Ghazali, umat Islam hari ini 
tidak boleh diamuk oleh perasaan dendam kesumat akibat sering 
terkenang-kenangkan tragedi dan kezaliman yang pernah menimpa 
saudara-saudara mereka.

Apa yang perlu menurutnya, ialah arahkan semangat dan pemikiran 
semata-mata untuk membangunkan Islam dengan niat kerana Allah s.w.t. 
Pesan beliau kepada umat Islam, usahlah dikenang-kenangkan derita 
lama. Hari ini, sibukkanlah diri masing-masing dengan usaha untuk 
membangunkan kembali ummah.

Menurut beliau lagi, hal ini adalah lebih baik daripada membalas 
dendam. Perbaiki diri dan tambahkan ilmu dari sudut duniawi dan 
ukhrawi. Beliau turut menyentuh tentang kaum Khawarij, yang menurut 
beliau dahulunya mempunyai segolongan pemuda-pemuda yang melakukan 
penyimpangan dalam agama. Akhirnya kumpulan pemuda ini terkubur 
lenyap begitu saja.

Menurut beliau, adalah satu kezaliman sekiranya mengulang-ngulang 
derita lama kepada generasi baru zaman ini. Kesalahan-kesalahan yang 
berlaku dalam lipatan sejarah Islam itu merupakan suatu 'era 
kegelapan' dari sudut sosio politik yang telah lama terjadi. Jadi, 
kata beliau, bagaimana untuk melenyapkannya dengan langkah tergesa-
gesa dan konsep jihad yang relatif dan singkat?

Beliau memberikan contoh ketika berkumandangnya kalimah tauhid 
daripada lisan Rasulullah s.a.w di Mekah. Bukankah ketika itu 
ratusan berhala berada di sekeliling Kaabah. Di dalam sejarah, 
berhala-berhala itu bertahan sehinggalah pada tahun ke 21 dari 23 
tahun perjalanan dakwah Baginda!

Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. membina kekuatan tauhid dan iman, 
untuk mewujudkan kasih sayang serta bersatu padu antara mukmin, dan 
seterusnya menjana kekuatan sehinggakan berhala-berhala itu 
dimusnahkan tanpa sebarang konflik yang besar dan tumpah darah. 
Bukankah itu adalah pengajaran bagi umat Islam pada hari ini!

Apa yang berlaku pada hari ini, ialah pergerakan pemuda Muslim hari 
ini menanamkan tauhid pada pagi hari dan ingin menghancurkan berhala 
itu pada sebelah petangnya. Lantaran itu, timbullah konflik yang 
panjang, kesulitan demi kesulitan dan mengambil jalan pintas tanpa 
sebarang pemikiran yang rasional atas nama Islam.

Apa yang jelas pada hari ini ialah para pemuda Muslim, perlu 
menyalurkan semangat jihad itu ke arah yang lebih tepat dan relevan 
pada masa ini. Jihad untuk menyatupadukan ummah oleh para da'i, 
jihad meningkatkan ilmu dalam sains dan teknologi terkini, serta 
berjemaah untuk melaksanakan jihad ekonomi rasanya adalah lebih 
tepat dan dapat mengubah sistem dan pemikiran umat Islam hari ini. 
Bukan untuk kita merasai hasilnya, tetapi untuk pewaris generasi 
Islam yang akan datang.

Hasil daripada perjuangan yang singkat dan berlandaskan keganasan, 
sebenarnya tidak akan membawa sebarang penyelesaian. Umat Islam 
dibolehkan berperang, sekiranya negara mereka dijajah atau ditakluk, 
seperti yang berlaku di Iraq, 

Afghanistan, Chechnya, Kashmir dan beberapa tempat lagi. 

Mengangkat senjata adalah jalan terakhir sekiranya keadaan sudah 
memaksa. Bagaimanapun, dalam situasi dan suasana politik umat Islam 
hari ini yang hidup di kebanyakan negara yang aman dan damai, 
bukanlah caranya berjihad membangunkan ummah dengan kekerasan atau 
keganasan.









------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Get fast access to your favorite Yahoo! Groups. Make Yahoo! your home page
http://us.click.yahoo.com/dpRU5A/wUILAA/yQLSAA/TXWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in 
any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved 
otherwise. 

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily 
digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your 
mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the 
title "change to daily digest".  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke