Kecoh tuntut mayat pendaki Everest

Oleh Umavathi Ramayah dan Md. Zan Saari

M. Moorthy.


KUALA LUMPUR 20 Dis. - Berita kematian pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, pagi ini, telah menimbulkan kekecohan apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Ini kerana, Jawi mendakwa Moorthy telah memeluk agama Islam sejak 8 Mac lalu dengan menggunakan nama Mohammad Bin Abdullah.
Pada masa sama, keluarganya tetap mengatakan Moorthy masih beragama asal iaitu Hindu.
Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.
Beliau kemudian lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Moorthy kemudian terjatuh dari kerusi roda sebulan yang lalu, menyebabkan dia koma.
Ekoran kematiannya kira-kira pukul 11 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berlaku kekecohan dalam urusan menuntut mayat.
Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Jawi dan keluarga Moorthy bersetuju supaya perkara itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, esok.
Sebelum itu, suasana menjadi kecoh apabila lebih banyak pihak cuba menuntut mayat Moorthy untuk dikebumikan.
Ini termasuk tujuh pegawai Jawi yang mahu supaya mayat Moorthy dikebumikan mengikut hukum dan peraturan Islam.
Kekecohan itu turut menyebabkan pihak keluarga Moorthy, terutama ibunya, Saraswathy Rajoo, 62, tidak dapat menerima kenyataan tersebut.
``Saya memberi nama Moorthy kepadanya,'' jerit Saraswathy.
Sementara itu, peguam keluarga Moorthy, A. Sivanesan dari Firma Tetuan Sivanesan & Co. ketika ditemui di HKL berkata, pihaknya mendapat maklumat dan dokumen rasmi mengenai pengislaman Moorthy dari Jawi, menunjukkan anggota tentera itu memeluk Islam pada 8 Mac tahun ini dengan kerelaan sendiri.
Menurutnya, perkara tersebut telah dirahsiakan daripada pihak keluarga termasuklah isterinya, Kaliamal Sinasamy, 30, sehingga 1 Disember lalu.
``Apabila Moorthy dimasukkan ke HKL pada 11 November lalu, Jawi telah memaklumkan kepada Kaliamal mengenai pengislaman suaminya itu.
``Menurut Jawi, jika berlaku kematian, jenazah suaminya akan diuruskan mengikut cara Islam, `' katanya.
Difahamkan, Kaliamal bagaimanapun tidak memberitahu pengislaman suaminya kepada sesiapa.
Ketika ditemui, Kaliamal mengesahkan ada menerima panggilan telefon dari Jawi tetapi enggan mengulas lanjut.
Sivanesan menambah, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
``Keputusan mungkin akan hanya diketahui dalam masa 48 jam.
``Seorang jurucakap Jawi yang hanya dikenali sebagai Azniza, juga tidak membantah mengenai perkara tersebut (dibawa ke mahkamah),'' kata Sivanesan.
Beliau menambah, sementara menunggu kes tersebut selesai, Ketua Jabatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood bersetuju mayat Moorthy disimpan di bilik mayat hospital tersebut.
Dalam pada itu, menurut salah seorang saudara terdekat Moorthy yang enggan namanya disiarkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Hindu Sanggam, Datuk A. Vaithilingam untuk meminta bantuan beliau.
Difahamkan, Vaithilingam akan membawa perkara itu ke pengetahuan Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang kini berada di Bosnia atas urusan rasmi kerajaan.
Sementara itu, seorang jurucakap Jawi berkata, pihaknya akan menyerahkan kes tersebut untuk keputusan mahkamah.
Katanya, Jawi akan mengemukakan dokumen yang ada sebagai bukti bahawa Moorthy telah memeluk agama Islam.
Dalam pada itu, pegawai atasan Moorthy, Kolonel Effendi Ab. Karim ketika ditemui di bilik mayat HKL berkata, pihaknya juga akan akur dengan keputusan mahkamah.
Menurutnya, kehadiran beliau di HKL bagi membantu urusan pengkebumian mayat Moorthy.
``Kita serahkan kepada mahkamah perkara ini,'' katanya.


Do you Yahoo!?
New and Improved Yahoo! Mail - 1GB free storage!

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke