Antara Jacque
dan MAWI...siapakah pilihanku?
Maszlee Malik
Sewaktu mengisi minyak di
salah sebuah stesen minyak Pe tronas di ibu negara, saya terdengar perbualan
para pekerja stesen tersebut. Antara lain bunyinya, "Memang patut
Jacqueline Victor tu menang, suara dia sedap!". Kenyataannya itu kemudian
dibidas, "Taklah, harap suara sahaja, tapi mana dia ada ramai peminat,
tengok MAWI, dia menang sokongan peminat, itulah baru penghibur!". Muncul
pula celahan dari ahli forum yang lain, "MAWI harap peminat sahaja, Victor
baru best!". Saya hanya tersenyum melihat mereka. Kemudian, salah seorang
dari mereka bertanyakan kepada saya: "Abang sokong siapa? Jacque ke
MAWI?". Saya terus menjawab "Muhammad SAW"!!!
Mengapa tidak, di kala umat Islam
satu dunia sedang bangkit menunjukkan kemarahan terhadap akhbar-akhbar Eropah yang memaparkan karikatur
yang menghina Rasulullah SAW. Umat Islam di Malaysia sibuk bertengkar tentang
AJL, lebih spesifik lagi, tentang MAWI dan Jacqueline Victor. Ke manakah arah
rakyat Malaysia?, mungkin kerana terlalu "Hadhari" keIslaman mereka.
Menarik, apabila
ditanyakan kepada PM tentang kemarahan umat Islam sedunia, dia mengatakan
rakyat Malaysia perlu bertindak rasional. Apakah agaknya rasional rakyat
Malaysia?, mungkin bersikap tidak sensitif kepada Nabi SAW dan menyibukkan diri
dengan AJL. Atau juga rasional itu dengan tidak ambil kisah langsung terhadap
Rasulullah SAW. Atau mungkin juga penghinaan terhadap Rasulullah SAW itu sudah
terlalu biasa bagi rakyat Malaysia. Mungkin juga ada betulnya. Lihatlah mantan
PM kita yang pernah menghina janggut Rasulullah SAW. Lihatlah penulis kita ada
yang menghina Rasulullah SAW, tetapi masih berpeluang meneruskan penghinaan
terhadap institusi agama pula. Lihatlah juga kepada penghinaan-penghinaan lain
yang selalu berlaku di tanah air kita. Maka apabila akhbar-akhbar Eropah
menghina Rasulullah SAW juga, tiada apa-apa kesan bagi diri kita.
Bukanlah kita
mengharapkan rakyat kita bertindak liar dengan membakar kedutaan Denmark dan
sebagainya. Sekurang-kurangnya, jika mereka dapat membuat bantahan, itu pun
sudah cukup. Demo, memorandum, boikot dan juga beberapa inisiatif yang bersifat
madani boleh diusahakan. Sayangnya, kesepian rakyat Malaysia seolah-olah
mentafsirkan kepasifan mereka di dalam menyikapi hal ini. Tidaklah mahu
dinafikan usaha NGO-NGO dan juga PAS di dalam hal ini, tetapi di mana
kerajaan?, di manakah pengerusi OIC?, di manakah Islam Hadhari?
Di dalam mencari jawapan
ini semua, akhirnya mata penulis terpegun kepada kilang arak terbesar di Asia
Tenggara milik syarikat Denmark di Shah Alam. Mungkin kilang ini boleh menjawab
kesepian Malaysia "Islam Hadhari" berhubung isu penghinaan Rasulullah
SAW. Bagi para marhain pula, dibuailah mereka dengan dodoian AJL, dan juga
perdebatan tidak pernah surut: "Jacque atau MAWI"....Malaysia
Boleh!!!