Abdullah di kelilingi pembantu kurang jujur... Betulkah? PDF Cetak
Thu | Mar 09, 06 | 02:00:29 PM
Oleh Mazlan Jusoh
KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - Tiada karismatik itulah ungkapan mudah terpancul dari setiap bibir pemimpin dan rakyat apabila ditanya mengenai kepemimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas lebih dua tahun berada di bawah terajunya.
Abdullah mengambil alih kepemimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 31 Oktober 2003. Sebelum berada di puncak kegemilangan, beliau pernah dilanda kesuraman politik antara 1987 dan 1990.
Imejnya dijulang setelah bergelar PM apabila memberi laluan bagi membolehkan tindakan mahkamah diambil terhadap Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia menjelang pilihan raya umum April 2004.
Dua tahun pertama pentadbirannya, beliau merintis penubuhan Institut Etika Awam dan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan pelancaran Institut Sosial Malaysia. Media juga sering menjaja kata-kata hikmatnya ‘bekerja bersama saya’. Semuanya itu sedikit sebanyak berupaya membuat rakyat terkeliru. Hasilnya BN mencapai kemenangan hampir 91 peratus pada pilihan raya umum ke-11 lalu.
Namun, rupa-rupanya semua itu tidak mampu bertahan lama. Selepas rombakan yang ditunggu dengan penuh debar, akhirnya karismatik Abdullah benar-benar terserlah pada 14 Febuari lalu.  
Maka hasil percaturan tersebut dapat disimpulkan, kemampuan yang dimilikinya tidak seperti dianggap penyokongnya sebelum ini. Abdullah tidak boleh pergi jauh lagi, kerana beliau dalam erti kata sebenar, keseorangan mentadbir negara.  
Popularitinya tambah merudum lagi selepas keputusannya menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen, dua minggu selepas perubahan portfolio kabinet dibuat. Kesan kecelaruan Abdullah dapat dilihat apabila beliau terpaksa menganjurkan beberapa program khas bagi menjelaskan rasional kenaikan harga bahan api.
Rakyat tidak faham
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob berkata, tidak pernah berlaku dalam sejarah minyak dinaikkan sehingga 30 sen seperti dilakukan Perdana Menteri pada 28 Febuari lalu.
“Rakyat tidak boleh faham rasional kenaikan harga minyak itu, biar pun cuba dijelaskan kepada anggota Barisan Nasional di PWTC 5 Mac lalu. Buat penjelasan panjang lebar sekali pun, menambah lagi kekeliruan rakyat.
“Mereka yang menanggung beban kenaikan harga itu adalah rakyat dan bukannya pemimpin, lebih-lebih lagi bagi penduduk berpendapatan rendah yang tinggal di bandar-bandar besar,” katanya di sini.
Lagi pun tambahnya, kegemaran kerajaan membanding kenaikan harga minyak dengan negara Asean lain, tidak boleh diterima kerana rakyat di negara ini sudah dibebani banyak cukai dan tol.
Rakyat sudah lali dengan janji-janji tol dan harga minyak tidak dinaikkan. Mereka muak dengan menteri yang cakap tak serupa bikin. Namun, mereka tidak mampu luahkan perasaan terpendam kepada media harian, kerana itu bukan agenda akhbar arus perdana.
Lembaran baru
 
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud berkata, isu kenaikan minyak membuka lembaran baru bagi rakyat menilai kemampuan sebenar Perdana Menteri yang ada sekarang.
“Ketidakmampuan Perdana Menteri menyebabkan rakyat terpaksa menanggung bebanannya. Dan sekarang adalah masa terbaik bagi rakyat membuat penilaian semula. Jangan biarkan pemimpin bermasalah terus membebankan rakyat,” ujarnya.
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, sudah sampai masanya kerajaan BN diganti dengan kerajaan lain kerana ketidakmampuan mentadbir begitu terserlah sekarang.
“Kita hairan ke mana perginya hasil negara yang diperolehi sebelum ini sehingga terpaksa kerajaan menggunakan semula subsidi minyak sebanyak RM4.4 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan,” katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri dan timbalannya sudah benar-benar cemas sehingga melontarkan cadangan kepada rakyat supaya menunggang basikal dan menaiki pengangkutan awam ke pejabat.
Kata beliau kadar kenaikan minyak baru-baru ini adalah sebanyak 18.5 peratus dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.
Bekas anggota jawatankuasa Umno Kubang Kerian, Ibrahim Mamat berkata, Tun Dr Mahathir adalah di antara orang yang paling kecewa kerana penggantinya tidak memenuhi kehendaknya seperti diharapkan.
“Sebelum ini ramai orang menyangka bekas cucu ulama terkenal mampu mentadbir negara dengan lebih berkesan, selepas berada di bawah sistem autokrasi Dr Mahathir selama 22 tahun. Namun, selepas hampir tiga tahun di bawah Abdullah, lain pula jadinya,” kata beliau.
Ketua Angkatan Muda PKR Kelantan, Zamankhari Ibrahim berkata, isu kenaikan harga minyak menyebabkan pengaruh Presiden Umno terus merudum. Kegusaran Perdana Menteri ekoran kenaikan harga minyak memaksa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad membuat kenyataan bagi menggambarkan rakyat menerima kenaikan minyak.
Betulkah begitu? Kalau benar bagai di kata, mengapa ribuan rakyat hadir membantah kenaikan harga minyak di KLCC Jumaat minggu lalu. Dan sepanduk membantah kenaikan harga minyak boleh dilihat di mana-mana. Benarlah seperti kata banyak pihak, Abdullah sebenarnya keseorangan kerana mempunyai ramai pembantu yang kurang jujur.   


Yahoo! Photos – NEW, now offering a quality print service from just 8p a photo.

--------------------------------------------------------------------------

All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise.

If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest".




SPONSORED LINKS
Divine inspiration Islam


YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke