|
Sengsara Kem Kamunting (2)
2006-03-21 Sengsara Kem Kamunting (2)Oleh Saari Sungib[EMAIL PROTECTED] Pagi pertama kami di Kem Kamunting, saya dan Ezam masih dipisahkan daripada Tian dan Isham Rais dalam dua blok tahanan yang berasingan. Hari itu hari Ahad. Komandan Kem tidak berada di Kamunting. Beliau ada tugas di Kuala Lumpur. Apabila Komandan tiada di Kem Kamunting, maka tiada siapa pun yang berani melakukan apa-apa terhadap kami. Katanya, tahanan Reformasi high profile. Warder yang mengawal sejak awal pagi lagi bercakap sesama mereka bahawa kami adalah tahanan politik. Walaupun berada di blok yang berasingan, kedua blok tersebut masih dalam kawasan yang sama. Blok berkembar itu dipanggil Blok 4B. Oleh itu, melalui jaring-jaring besi kami dapat melihat Tian dan Isham dan mereka juga dapat melihat kami. Terjerit-jeritlah kami antara satu sama lain. Kami memekik-mekik bertanya khabar dan maklumat. Kami juga terpekik-pekik meminta pengawal membuka pintu blok agar kami dapat bertemu. Tiba-tiba, entah dari lapisan langit mana gamaknya, arahan pun diturunkan. Tian dan Isham dibenarkan keluar blok mereka untuk bertemu kami di dalam blok kami. Kami dibenarkan bertemu sekitar dua jam. Peluang tersebut kami rebut sebaik-baiknya untuk menyelaras sikap dan pendirian terhadap penahanan kami di bawah ISA. Kami merumuskan empat keputusan yang sangat penting dalam pertemuan selama dua jam itu. Bila saya kenangkan hal itu ke hari ini, rupa-rupanya keputusan tersebut amat besar sekali ertinya buat kami. Pertama; kami mesti tidak menerima penahanan ISA yang dilakukan oleh pemerintah ke atas kami. Kami bersetuju bahawa penahanan kami adalah tidak sah. Kami tidak dibicarakan. Bahkan tiada sebarang pendakwaan yang sah dilakukan terhadap kami. Kami tidak sepatutnya berada di Kem Kamunting. Sepatutnya kami berada di luar. Dengan itu kami tidak mahu terima dilayan dan diperlakukan sebagai banduan atau tahanan. Kami sepakat untuk terus lawan. Lawan tetap lawan!! Kedua; kami mesti mencari jalan segera untuk memberitahu isteri dan anggota keluarga bahawa kami telah dihantar menjalani perintah tahanan di Kem Kamunting. Kami yakin dengan cara kami yang begitu tergesa-gesa dihantar ke Kem Kamunting, sudah pasti tidak ada seorang pun anggota keluarga kami mengetahui tentang nasib kami. Ketiga; kami bersetuju untuk menumpukan perhatian kami kepada musuh utama. Kami ditahan kerana keyakinan dan komitmen politik kami. Kami adalah tahanan politik. Kami adalah musuh politik kepada pemerintah. Dengan itu musuh kami adalah orang yang membuat keputusan dan mengeluarkan arahan untuk memenjarakan kami tanpa bicara. Musuh kami adalah Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi. Komandan Kem, pegawai-pegawai serta pengawal-pengawal Kem Kamunting bukannya musuh kami. Keempat; kami bersetuju apa pun yang terjadi kepada kami, kami mesti terus berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Jangan sampai terputus hubungan. Jika pihak Kem Kamunting memisahkan kami dengan apa cara sekali pun, kami mesti mencari jalan untuk berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Apa pun tindakan yang hendak diambil, hendaklah dibincang dan diputuskan bersama. Kami bersetuju untuk tetap bersatu dalam pendirian dan tindakan selama mana kami berada di Kem Kamunting. Hujan masih turun renyai-renyai di luar. Warder datang untuk membawa Tian dan Isham kembali semula ke blok mereka. Tinggallah saya dan Ezam dalam blok kami. Kesan hujan lebat semalam menyebabkan siling blok kami bocor. Air menitis laju membasahi lantai. Tidak lama selepas itu beberapa orang pegawai Kem Kamunting masuk ke blok kami bersama-sama dengan dua orang lain yang membawa tangga dan beberapa peralatan. Mereka datang untuk memeriksa kebocoran siling dan mungkin untuk membaikinya. Kami diarahkan mengemaskan barang-barang kami, pintu blok dibuka dan kami dibawa ke blok bersebelahan kami. Blok itulah di mana ditempatkan kira-kira 20 orang tahanan berseluar pendek dan berlenggeng yang saya lihat di sebelah paginya. Mereka telah dipindahkan. Kini kami pula mengambil tempat mereka. Pegawai yang membawa kami mengatakan kami dipindahkan buat sementara sahaja. Katanya kerana blok asal kami perlu dibaiki silingnya. Saya dan Ezam tidak syak sedikit pun tentang langkah yang diambil oleh pihak Kem untuk memindahkan kami. Mati-mati kami percaya bahawa kami dipindahkan kerana siling blok asal kami mahu dibaiki. Malam itu kami tidur di blok baru. Tidak dapatlah kami melihat Tian dan Isham dari celah-celah jaring besi lagi. Tiadalah terikan dan pekikan yang boleh kami lakukan antara satu sama lain. Sedarlah kami bahawa, kebocoran siling hanya sebagai alasan. Motif utamanya adalah untuk memutuskan sama sekali komunikasi antara kami berdua dengan Tian dan Isham. Licik sungguh politik di Kem Kamunting! Pagi esoknya masuk seorang pegawai ke dalam blok baru kami. Bukan main sopan lagi orangnya. Beliau masuk membuka sepatu berkilatnya. Sedangkan kami sudah pun diberikan selipar untuk memakainya di dalam blok kami. Kami mengatakan tidak apa masuk ke blok kami memakai kasut. Beliau bertegas mahu membuka kasut. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Zawawi, Komandan Kem Kamunting. Katanya beliau tidak diberitahu kami dihantar ke Kem Kamunting. Semasa kami dihantar masuk Kem Kamunting, beliau berada di Kuala Lumpur dengan tugas tertentu. Semasa di Kuala Lumpur beliau mendapat panggilan mengatakan kami sudah dihantar ke Kem Kamunting. Dengan itu, baru hari itu beliau dapat datang bertemu kami. Beliau menjelaskan bahawa kami boleh bertemu isteri dan keluarga kami. Kami juga boleh bertemu peguam. Katanya di Kem Kamunting kami perlu ikuti beberapa program. Semua keperluan kami hendaklah ditulis terlebih dahulu dalam Request Book. Berulang kali beliau mengatakan ada program tertentu sepanjang kami berada di Kem Kamunting. Katanya beliau akan memberitahu kami maklumat terperinci program yang dimaksudkannya itu kemudian. Komandan Zawawi juga meminta kami membuat persedian yang perlu, katanya penahanan kami selama dua tahun adalah satu tempoh yang panjang..... Saya dan Ezam terus ingat perbincangan kami sebelum ini dengan Tian dan Isham. Kami tidak sepatutnya buat keputusan tanpa mendapatkan pandangan mereka. Kami minta Komandan Zawawi membenarkan kami bertemu dengan dua orang rakan kami itu. Permohonan kami diizinkan. Beberapa minit selepas itu Tian dan Isham pun dibawa masuk ke blok kami. Kami membuat keputusan untuk menghubungi anggota keluarga kami agar datang segera ke Kem Kamunting. Kami juga bersetuju untuk menghubungi peguam pilihan masing-masing. Kami bersetuju untuk melantik Sivarasa Rasiah, Sulaiman Abdullah, Christopher Leong, Malik Imtiaz, Jonson Chong dan saya sendiri menambah nama Saiful Izham Ramli, seorang peguam muda yang turut menjadi anggota dalam pasukan peguambela Anwar Ibrahim. Selepas itu kami minta bertemu dengan Komandan Zawawi. Segera beliau datang ke blok kami diiringi oleh beberapa orang pegawai. Sekali lagi beliau memasuki blok kami dengan membuka kasut. Pegawai-pegawai yang mengiringi beliau menunggu di luar kerana tidak membuka kasut. Orang Nombor Dua di Kem Kamunting turut menunggu di luar, namanya Fateh Singh. Fateh Singh sudah berkhidmat lebih 30 tahun di Jabatan Penjara. Macam-macam cerita tentang Fateh Singh ini. Kami beritahu beliau bahawa kami mahu menghubungi isteri dan anggota keluarga kami dengan segera. Beliau terus meminta nombor telefon untuk menghubungi isteri dan anggota keluarga kami. Kami juga menyatakan bahawa kami mahu melantik peguam untuk datang bertemu kami. Komandan Zawawi minta kami menulis surat bagi menyenaraikan nama peguam-peguam yang kami lantik. Kami beritahu Komandan Zawawi untuk mendapatkan nombor telefon peguam-peguam tersebut daripada isteri dan anggota keluarga kami. Komandan Zawawi berjanji akan menghubungi keluarga kami. Kami minta kepastian yang beliau akan benar-benar menghubungi isteri dan keluarga kami. Saya dan Ezam mengungkit peristiwa kami dipindahkan daripada blok asal. Kami mengatakan bahawa kami telah diperdaya. Pihak Kem Kamunting tidak bersikap jujur terhadap kami. Tujuan sebenar Kem adalah hendak memutuskan komunikasi antara kami dengan Tian dan Isham, tetapi tidak dinyatakan secara terus terang. Main politik! Komandan Zawawi minta kami lupakan saja peristiwa tersebut. Sebelum pergi kami sempat memberitahu Komandan Zawawi bahawa musuh kami adalah Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi. Komandan, pegawai dan pengawal-pengawal Kem Kamunting bukan musuh kami. Komandan Kem Kamunting bukan lawan dan saingan kami. Namun sekiranya mana-mana pihak Kem Kamunting turut bersekongkol dengan kezaliman Mahathir dan Badawi, kami akan lawan dan memusuhi mereka sebagaimana kami memusuhi Mahathir dan Badawi. Mesej kami ringkas dan jelas. Mudah difahami dan tidak mungkin disalah tafsir. Kami beritahu bahawa kami adalah tahanan politik. Kami dihumban merengkok secara paksa di Kem Kamunting. Tempat kami bukan di sini. Sepatutnya kami berada di luar berjuang bersama rakan-rakan menentang penindasan dan kezaliman Mahathir. Sebelum Tian dan Isham dihantar semula ke blok tahanan mereka, kami sempat membuat keputusan bersama. Kali ini kami bersetuju untuk bersama-sama mencari jalan untuk mendapat maklumat serta memahami perkembangan di luar. Kami juga mesti menyalurkan maklumat keluar dari Kem Kamunting serta memahamkan rakan-rakan di luar tentang langkah dan tindakan yang bakal kami ambil dalam menentang kekejaman ISA serta kezaliman Mahathir dan Badawi. Beberapa jam kemudian, masuk beberapa orang pegawai tinggi Kem Kamunting menyampaikan pesanan daripada Komandan Kem bahawa isteri dan anggota keluarga kami sudah pun dihubungi dan diberitahu bahawa kami kini sudah pun ditahan di Kem Kamunting. Katanya peguam-peguam yang kami senaraikan namanya juga telah dihubungi dan mereka akan membuat permohonan kepada Kem Kamunting untuk datang bertemu dengan kami. Pegawai tersebut juga memberitahu bahawa isteri dan anggota keluarga kami bila-bila masa saja lagi akan datang bertemu kami di Kem Kamunting. Sebagai insan biasa, kata-kata tersebut amat menenangkan perasaan saya. Saya amat sangsi dengan sebarang tindakan yang dilakukan oleh Kem Kamunting setelah diperdayakan buat kali pertama dalam kes pemindahan saya dan Ezam dari blok asal kami. Tiada jaminan terhadap janji di Kem Kamunting. Di Kem Kamunting, janji tidak perlu dikotakan. Moderator
Hidayahnet
Subscribe: [EMAIL PROTECTED]
Group Information
hidayahnet ยท eGroup For The Muslim Ummah
(Malay)
Assalamualaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh Hidayahnet is for Muslims to share their knowledge and discuss issues pertaining Muslim ummah. Postings either in Malay or English. We encourage participation from Malay-based communities such as from Malaysia, Indonesia, Singapore, Brunei and whoever can read Malay. {Invite (mankind,O Muhammad) to the Way of your Lord (i.e. Islam) with wisdom (i.e. with the Divine Inspiration and the Qur'an) and fair preaching, and argue with them in a way that is better. Truly, your Lord knows best who has gone astray from His Path, and He is the Best Aware of those who are guided.}(Holy Quran-16:125) -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". -------------------------------------------------------------------------- Recommended sites: Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my Jamaah Islah Malaysia : http://www.jim.org.my Radio Islam Kuliyyah : http://www.kuliyyah.com Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com YAHOO! GROUPS LINKS
|
