WAHAI SUAMI! LAYANANILAH ISTERI MU DENGAN BAIK Oleh : Abu Iqbal Mohd Yaakub Mohd Yunus
Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmonis. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah isteri yang solehah. (Hadis Riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 1467) Namun begitu apa yang seringkali diwar-warkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmonis, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang durhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali- sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina keluarga yang penuh dengan rasa cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah). Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Ruum (30) : 21) Suami sememangnya telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan. FirmanNya Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. (al-Nisaa' (4) : 19) Melalui risalah yang ringkas ini marilah kita menelusuri sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tentang peranan suami di dalam membentuk hubungan yang penuh dengan mawaddah wa rahmah bersama isteri. Melayani Isteri Dengan Baik Merupakan Tuntutan Syarak Seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak. Terdapat begitu banyak nas yang menunjukkan kewajipan ini. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik terhadap isterinya, dan saya adalah orang yang terbaik di antara kalian (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku. (Hadis riwayat Imam al-Thahawi dalam al-Musykil dan al-Hakim di dalam al-Mustadrak) Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya di antara mereka. Dan yang paling baik adalah yang paling murah hatinya terhadap isteri-isterinya. (Hadis riwayat Imam Tirmidzi dalam Sunannya, no: 1082) Para suami juga dituntut untuk berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya di dalam semua perkara yang selari dengan syarak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. (al-Nahl (16) : 90) Bagi suami yang berlaku adil terhadap isterinya maka ganjaran Allah Subhanahu wa Ta'ala di hari akhirat nanti begitu besar sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Orang-orang yang berlaku adil di hari kiamat nanti akan ditempatkan di mimbar-mimbar yang diperbuat dari cahaya, di sebelah kanan al- Rahman (yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala) lalu kedua tangan Rasulullah di rangkaikan- Orang-orang yang duduk ke dalam golongan itu adalah orang yang menegakkan keadilan dalam penerintahannya, kepada isterinya dan tidak menyimpang. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 1827) Lelaki adalah pemimpin bagi wanita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan (al-Nisaa' (4) : 34) Walaupun Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menetapkan bahawa suami adalah pemimpin bagi keluarganya namun ianya bukan menjadi lesen bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri- isteri mereka. Kekuasaan yang diberi oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala tersebut sebenarnya menuntut sikap bertanggungjawab, kebijaksanaan, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk melayan kaum wanita atau isteri dengan baik melalui firmannya Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. (al-Nisaa' (4) : 19) Memberi Nafkah Zahir Yang Sempurna Mengikut Kemampuan Adalah kewajipan bagi seorang suami untuk memberi nafkah untuk ahli keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan isteri yang tidak bercanggah dengan syarak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang- orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (al-Nisaa' (4) : 34) Kadar pemeberian nafkah ini adalah mengikut kemampuan seseorang suami dan suami tidak sepatutnya membebankan dirinya melebihi kemampuan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (al-Talaaq (65) : 7) Seorang sahabat bernama Mu'awiyyah bin Hidah radhiallahu 'anh pernah bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami?" Rasulullah bersabda: "Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian " (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, no: 1830) Memberi nafkah kepada isteri serta keluarga mempunyai keutamaan yang besar di sisi Allah 'Azza wa Jalla. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu. (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 995) Adalah suatu kezaliman yang besar bagi seorang suami yang memiliki kemampuan dari segi ekonominya tetapi bersifat bakhil terhadap isteri dan keluarganya apatah lagi sifat bakhil merupakan sifat yang dicela oleh Allah 'Azza wa Jalla dan RasulNya. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: "Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunanya, no: 2150) Bagi isteri yang mempunyai suami yang bersikap bakhil, maka dibenarkan baginya untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuannya sekadar memenuhi keperluan kehidupan ahli keluarga. Hindun bin `Utbah bin Rabi'ah pernah datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang suami yang kedekut. Bolehkah apabila aku mengambil sebahagian hartanya untuk keperluan keluarga kami?" Rasulullah bersabda: "Tidak mengapa apabila engkau mengambil sesuai keperluanmu dengan cara yang makruf." (Hadis riwayat Imam Bukhari dalam Shahihnya, no: 2460) Dengan cara yang makruf bermaksud pengambilan harta tersebut tidak dengan berlebih-lebihan dan tidak merosakkan harta suaminya. Oleh itu hendaklah para suami benar-benar memerhatikan kewajipan memberi nafkah kepada ahli keluarganya apatah lagi Allah Subhanahu wa Ta'ala telah melebihkan kaum lelaki berbanding dengan kaum wanita dengan beberapa keistimewaan kerana kewajipan ini. Adakah layak bagi seorang suami untuk mendapat keistimewaan ini sekiranya dia tidak menjalankan kewajipan mencari nafkah dan bergantung kepada harta isteri walaupun mereka mampu untuk bekerja? Sesungguhnya lelaki yang merdeka dan mulia adalah mereka yang membina keluarga mereka daripada hasil keringatnya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada harta isterinya. Suami yang bergantung kepada harta isteri bukan sekadar telah lari daripada tanggungjawabnya tetapi juga mencerminkan kepimpinannya yang lemah. Malaikat juga akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: Tidaklah para hamba berada dalam waktu pagi, melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: "Ya Allah, berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik," sedangkan malaikat yang lain berdoa: "Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya)." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 1442) Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda: Cukuplah sebagai dosa bagi suami yang menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, no: 1442) Melayani Keperluan Seks Isteri Sebagaimana pentingnya suami memenuhi keperluan material isterinya, adalah juga menjadi tanggunjawabnya untuk melayani keperluan batin isteri. Kebiasaannya wanita memiliki sifat yang pemalu terutamanya untuk berbincang tentang kehendak seksualnya, namun sebenarnya mereka juga berkehendakkan kepada nikmat kepuasan ketika melakukan persetubuhan (berjimak) sebagaimana suami. Oleh itu para suami hendaklah menjaga perasaan isteri mereka ketika berjimak dan melakukannya dengan niat untuk mencapai kenikmatan bagi kedua-dua belah-pihak. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai kepuasan. Hal ini adalah penting kerana jika seorang suami tidak prihatin terhadap permasalahan ini ianya boleh menimbulkan akibat-akibat yang negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetujupun ianya tidak dilakukan dengan kerelaan hati. Mungkin ada yang merasakan ini suatu perkara yang tabu untuk diperbincangkan, tetapi di dalam Islam berjimak adalah termasuk di dalam perkara yang boleh mendatangkan pahala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Dan pada hubungan kelamin kalian (dengan isteri) terdapat sedekah. Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah bila seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?" Rasulullah menjawab: "Bagaimana menurut pendapat kalian jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, dia mendapat pahala." (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no:1006) Oleh itu pastikan para suami dan isteri berkomunikasi sesama sendiri untuk sama-sama mendapat kenikmatan dari hubungan kelamin tersebut. Hendaklah Suami Bersikap Romantis Terhadap Isterinya. Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini memang agak asing bagi masyarakat di nusantara. Namun begitu adalah sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. `Aishah radhiallahu 'anha berkata: Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk. (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, no: 153) Oleh itu apa yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak- tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami sehinggakan tidak memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumilah isteri kamu wahai para suami, ikutlah sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya sehinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya. `Aisyah radhiallahu 'anha meneceritakan: Aku biasa mandi berdua bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dari satu bejana. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 250) Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil `Aisyah radhiallahu 'anha dengan gelaran Humaira' yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan untuk memuji kecantikannya. Nabi juga memanggil `Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu `Aisy. `Aisyah menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah berkata kepadanya: Wahai `Aisy, Malaikat Jibril tadi menyampaikan salam buatmu. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 3217) `Aisyah radhiallahu 'anha juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda shallallahu 'alaihi wasallam, sebagaimana riwayat di bawah ini: Suatu ketika aku minum, ketika itu aku sedang haidh, lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari mulut gelas bekas aku minum. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 300) Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ianya amat membahagiakan `Aisyah sehingga dia sentiasa mengenangkan sikap-sikap romantis baginda shallallahu 'alaihi wasallam ini. Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terahadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ianya amat besar menurut pandangan isteri. Masih banyak lagi sifat-sifat romantis yang terdapat dalam hadis-hadis baginda, oleh itu marilah kita berusaha untuk menjadi seorang suami yang romantis dalam rangka mencontohi sifat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Hendaklah Suami Bergurau Senda Dengan Isteri Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan namun begitu ianya hendaklah dilakukan sesuai dengan suasana serta tuntutan syarak dan tidak berlebih-lebihan. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Segala sesuatu yang di dalamnya tidak terdapat sebutan nama Allah Subhanahu wa Ta'ala maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda- gurau, serta main-main kecuali empat perkara, suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang. (Hadis riwayat Imam al-Suyuthi dalam Jami' al-Saghir, no: 2312) Ternayata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga sering bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh `Aisyah radhiallahu 'anha telah berkata: Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu, aku belum gemuk- kemudian setelah gemuk, aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: "Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu." (Hadis riwayat Abu Dawud dalam Sunannya, no: 2214) Juga telah diriwayatkan dari `Aishah radhiallahu 'anha bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah membawanya menyaksikan permainan orang-orang yang berasal dari Sudan: Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku (`Aishah radhiallahu 'anha) tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya ataukah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berkata: "Apakah kamu ingin melihatnya." Aku pun menjawab: "Ya." Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: "Biar yang lain, wahai Bani Arfidah!" Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: "Sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya." Bagindapun bersabda: "Pergilah." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 950) Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan di rumah `Aishah radhiallahu 'anha. Dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumahku (pada Hari Raya), dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu'ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 949) Oleh itu wahai suami bercandalah dengan isteri anda. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram. Hendaklah Suami Meluangkan Masa Untuk Bersama Isteri Walau sesibuk mana sekalipun suami mengurus tugasan hariannya tetap dia perlu berusaha untuk meluangkan waktu bagi bersama isterinya. Kadangkala kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya. Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. (al-Nisaa' (4) : 19) Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah menasihati para sahabat radhiallahu 'anhum untuk jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab untuk melayani isteri dengan baik. Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: Wahai `Abdullah (bin `Amr bin al-Ash radhiallahu 'anh), bukankah telah diberitahukan kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang (setiap) hari dan solat di malam hari (sepanjang malam)? Aku (`Abdullah bin `Amr) berkata: "Benar wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan, berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa), solat dan tidurlah, kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu, dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan, dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika demikian, ia adalah seperti puasa sepanjang masa " (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no 1975)) Oleh itu walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri tetap berhak untuk mendapat perhatian serta belaian manja dari para suami. Membina Sebuah Rumahtangga Yang Dihiasi Dengan Ibadah Suasana yang harmonis hanya dapat dibentuk dengan bimbingan taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Oleh itu salah satu faktor utama dalam pembinaan keluarga bahagia adalah menbentuk sebuah rumahtangga yang senantiasa dihiasi dengan amal ibadah yang soleh dan penuh dengan keimanan serta ketakwaan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (al-Nahl (16) : 97) Oleh itu para suami hendaklah senantiasa menganjurkan para isteri untuk beribadah bersama seperti mengerjakan solat tahajjud, berpuasa sunat, bertadarus (membaca) serta mentadabbur (memahami) al-Qur'an dan belajar tentang hal-hal keagamaan yang boleh meningkatkan keimanan dan ketakwaan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam senantiasa menganjurkan para isterinya agar mengerjakan ibadah sesuai dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Taha (20) : 132) Telah diriwayatkan dari `Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: Rasulullah biasa mengerjakan solat malam (tahajjud), sementara aku tidur melintang di hadapan baginda. Bila hendak mengerjakan solat witir, baginda akan membangunkanku. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no: 512) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga telah bersabda: Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan isterinya untuk solat bersama. Bila si isteri enggan (tidak mampu untuk bangun), baginda memercikkan air ke wajah isterinya (supaya bangun). Semoga Allah merahmati seorang isterinya yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam, lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Bila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, hadis no: 1113) Oleh itu sewajarnya para suami menghidupkan rumah mereka dengan pelbagai amal ibadah yang sesuai dengan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Disamping itu hendaklah para suami isteri berusaha untuk saling memperingatkan di antara satu sama lain untuk bersama-sama melaksanakan segala perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana yang termaktub di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah dan meninggalkan segala laranganNya. Hendaklah mereka berganding bahu dalam menegakkan kebenaran di dalam rumahtangga mereka, berusaha membentuk suasana yang islamik yang di dalamnya penuh dengan kasih sayang dan kecintaan dan suasana yang tenteram. Saranan ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (al-Tahriim (66) : 6) Hendaklah Suami Sentiasa Menunjukkan Wajah Yang Ceria. Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ianya boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatahlagi telah sabit perintah dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya: Sedikitpun janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik, meskipun ketika berjumpa dengan saudaramu engkau menampakkan wajah ceria. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 2626) Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali yang paling utama bagi suami adalah untuk menunjukkan wajah cerianya kepada isteri tercinta. Hendaklah Suami Menjaga Penampilan Diri Disamping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi untuk menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak) (al-Baqarah (2) 228) Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku." Tambahan pula Allah 'Azza wa Jalla menyukai keindahan termasuklah penampilan diri yang menarik serta sesuai dengan lunas-lunas syarak sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 91) Rentetan dari ini maka hendaklah para suami berusaha untuk kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang. Hendaklah Suami Sabar Melayani Kerenah Isteri Perempuan memang terkenal dengan sikap mereka yang emosional dan suka ikut perasaan. Namun begitu para suami harus sabar ketika berhadapan dengan kerenah sedemikian rupa. Hendaklah para suami berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu luruskan maka berarti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus sahaja bengkok. Untuk itu nasihatilah wanita dengan baik. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 5186) Hadis ini menganjurkan para suami untuk menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ianya bukan sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu para suami haruslah bijak mencari masa yang paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap maka sebaiknya ditangguh dahulu penjelasan atau menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram. Sekiranya wujud di dalam isteri masing-masing sifat-sifat yang kurang kita senangi maka handaklah kita mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan mengelakkan timbul perasaan benci terhadap isteri. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain. (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, no: 1469) Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka hendaklah ianya dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. (al-Nisaa' (4) : 34) Jika suami telah melihat tanda-tanda kedurhakaan pada isterinya, hendaklah dia menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman Allah terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya dan dia masih tidak berubah maka suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr). Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri atas kesilapannya maka hendaklah suami memberi pelajaran kepada isteri dengan memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk menangani sikap-sikap yang negatif yang mungkin wujud pada para isteri. Kewajipan Suami Untuk Menyediakan Rumah Untuk Isteri Menyediakan tempat perlindungan untuk isteri dan anak-anak merupakan kewajipan seorang suami. Ianya amat penting dalam membentuk sebuah keluarga yang harmonis kerana rumah adalah tempat sepasang suami isteri memainkan peranan masing-masing dan membesarkan serta mendidik anak-anak. Dalil kewajipan menyediakan rumah adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu (al-Talaaq (65) : 6) Walaupun ayat di atas merujuk kepada isteri yang telah dicerai dalam tempoh idah namun ini hanya menguatkan lagi pandangan bahawa isteri yang masih dalam status pernikahan lebih berhak untuk mendapatkan tempat tinggal. Tentang saiz serta reka bentuk rumah maka ianya menurut kemampuan para suami. Firman Allah 'Azza wa Jalla: Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. (al- Baqarah (2) : 233) Bagi suami yang memiliki sedikit harta maka dapatkanlah rumah bersaiz kecil yang sesuai dengan kemampuannya itu dan sekiranya di masa hadapan harta semakin bertambah banyak, ketika itu usahakan untuk mendapatkan rumah yang lebih besar. Seorang isteri juga berhak untuk mendapatkan rumah yang khusus bagi dirinya tanpa berkongsi dengan madu-madunya mahupun ahli keluarga yang lain. Isteri berhak untuk menolak permintaan suami untuk tinggal bersama madu-madunya ataupun ahli keluarga yang lain dan suami wajib memenuhi tuntutan tersebut. Penolakan isteri itu menunjukkan kemungkinan dia merasa tidak selesa dengan situasi tersebut ataupun mungkin ada perkara-perkara yang boleh menyebabkan suasana yang tegang dalam rumahtangga sekiranya duduk bersama dengan pihak lain. Kesimpulan Inilah beberapa peranan suami menurut al-Qur'an serta sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang dapat membantu membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi sekalian pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri. Contohilah sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik. Firman Alah Subhanahu wa Ta'ala: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzaab (33) : 21) Imam Sufyan bin `Uyainah rahimahullah berkata: "Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka itu bererti batil." -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". -------------------------------------------------------------------------- Recommended sites: Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my Jamaah Islah Malaysia : http://www.jim.org.my Radio Islam Kuliyyah : http://www.kuliyyah.com Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/ The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/ <*> Your email settings: Individual Email | Traditional <*> To change settings online go to: http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join (Yahoo! ID required) <*> To change settings via email: mailto:[EMAIL PROTECTED] mailto:[EMAIL PROTECTED] <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
