Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Ada sekali (sebenarnya beberapa kali) saya terlewat ke masjid untuk berjamaah Maghrib. Saya masbuk pada rakaat kedua dan berada di saf yang terakhir sekali iaitu saf ketiga. Seperti biasa, selepas imam memberi salam, saya bangun untuk menyelesaikan baki satu rakaat yang saya tertinggal. Di sebelah saya seorang yang boleh dipanggil ‘pakcik’ dengan saiz tubuh yang ‘bolah tahan’. Selesai saya memberi salam, saya teruskan dengan berzikir seperti biasa. Satu dari tabiat buruk yang amat sukat untuk saya buang adalah perbuatan ‘mematahkan jari’ (cracking knuckles) terutama selepas solat, iaitu ketika berzikir. Jadi, seperti kebiasaan saya, sewaktu mulut terkumat kamit menyebut kalimah² suci, tangan saya begitu aktif ‘mematahkan’ jari² pada tangan satu lagi. Secara tiba² tangan saya ditepuk perlahan. Saya membuka mata dan melihat pakcik di sebelah saya sedang merenung saya sambil tangannya digoyang²kan sebagaiseolah² berkata ‘jangan buat begitu’. Saya dapat rasakan ada perubahan pada riak muka saya tetapi saya cuba tersenyum sambil mengangguk. Kemudian saya ‘pisahkan’ tangan kanan dan tangan kiri supaya saya tidak berbuat begitu lagi. Saya kira ianya habis begitu saja. Tetapi kemudian pakcik tersebut mencuit saya “Ha… Tu makruh tu buat macam tu. Kat luar tu dah ada tampal dah. Makruh…” katanya sambil tangannya ditudingkan ke dinding masjid memberitahu nota tentang hukum ‘mematahkan jari’ ada tertampal di situ. Saya tersenyum lagi. Sebolehnya saya tidak mahu bercakap ketika berzikir. Saya mahu tumpukan sepenuh perhatian sepenuhnya kepada bacaan saya. Tetapi teguran pakcik tersebut sedikit sebanyak mengganggu fikiran saya. Tentang hukum mematahkan jari, sememangnya ianya bukan perbuatan yang baik. Tetapi saya seolahnya ketagihan. Kebetulan saya belum lagi berjumpa mana² nas yang melarangnya (sesiapa yang ada harap dapat berikan kepada saya). Tetapi sering orang memberitahu ianya makruh dan saya yakin ianya begitu memandangkan keburukan yang ada pada perbuatan tersebut. Pun begitu, walaupun saya tahu pakcik itu berbuat sesuatu yang betul manakala saya sememangnya layak ditegur, saya rasakan sedikit sebanyak ego saya tercalar. Walaupun saya mampu menepis ego tersebut, namun ia akan datang semula. Terkadang lahir juga dari hati ‘siapa pakcik ni nak ajar aku?’. Syukurlah saya cepat tersedar dan kemudian berdoa kepada Allah agar pakcik tersebut dikurniakan kebaikan kerana berani menegur kesalahan saya. Sebagai seorang yang biasa menegur orang yang berbuat silap, teguran pakcik tersebut membuatkan saya terfikir. Mungkin beginilah agaknya perasaan orang yang saya tegur. Meskipun pakcik tersebut menegur secara lembut, tetapi nafsu dalam jiwa saya memberontak untuk menolak teguran tersebut. Dan tidak mustahil selama ini orang lain juga berasakan seperti mana yang saya rasakan ketika itu. Seperti tadi, selesai solat witr, saya melihat ke jamaah di belakang saya dan dapati pembantu saya tidak ada dalam barisan. Kemudian saya hampiri teman sebiliknya dan bertanya di manakah pembantu saya. “Mungkin dalam bilik,” katanya. “Kenapa kau tak tarik dia sekali?” tanya saya lagi. “Susah… Benda macam ni (solat tarawih) bukan boleh dipaksa…” katanya lagi membuatkan saya menjawab, “Mana boleh macam tu…” tanda tidak berpuas hati. Saya menuju ke biliknya dan melihat pembantu saya sedang leka bermain konsol permainan PS2. “Ooo… Kat sini engkau eh? Orang tarawih kat surau, kau tarawih berjamaah dengan PS2?” tegur saya dalam nada berjenaka. “Aku nak makan pisang…” jawabnya merujuk kepada perbualan kami sebelum ini tentang pengalaman ketika bertarawih di kampung di mana katanya, anak muda yang membantu akan ‘dihadiahkan’ dengan buah pisang. Saya tergelak mendengar jawapannya. Kemudian saya rapatkan muka saya ke mukanya. “Tengok sikit muka anak Aji Ajis (bukan nama sebenar)? Woi! Bapa engkau sikit punya alim, anak nak pergi tarawih pun malas!” kutuk saya lagi membuatkan dia tersengih. Tetapi kemudian saya teringat kepada peristiwa saya ditegur di masjid dahulu. Secara tiba² saya terfikir apa yang dirasakan oleh pembantu saya itu tadi. Sungguhpun teguran saya secara lawak jenaka, namun rasanya agak keras. Ah… dia faham tu… Pujuk hati saya. Saya tidak terus pergi. Saya duduk di sebelahnya. Berharap agar dia tidak berkecil hati. “Amacam? Bola la kalau berani…” pembantu saya menghulurkan gamepad kedua kepada saya mencabar saya untuk bermain permainan bola dengannya. Saya menggeleng. Ketika ini barulah saya berpuas hati yang dia tidak berkecil hati. Susah juga hendak menegur kesilapan orang. Jika kita menegur dengan lembut, mungkin orang memandang remeh kepada teguran kita. Tetapi jika kita menegur dengan kasar, kemungkinan besar orang akan menjadi benci dan bertindak menjauhkan diri dari kita. Patutlah Nabi saw begitu menitik beratkan amr-bil-ma’ruf, nahi-‘anil’mungkar dan dijanjikan dengan pahala yang bukan kepalang. Kerana ianya tugas yang penuh cabaran. Tetapi yang paling sukar sebenarnya bukanlah menegur orang sebaliknya ditegur. Cuba berlaku jujur kepada diri. Jawablah, apakah kita sedia menerima sebarang kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka? Orang lain saya tidak berani kata tetapi jika saya, biarpun saya sedia menerima namun sedikit sebanyak akan wujud perasaan tidak senang di dalam hati. Sedikit sebanyak kita akan rasa tercabar untuk membuktikan kebenaran kita. Dan di sinilah letaknya bahaya sifat tidak boleh ditegur ini. Sekiranya kita tidak mampu menerima teguran, perkara pertama yang akan kita lakukan adalah dengan mencari hujjah untuk membenarkan apa yang kita lakukan. Paling tidak, kita akan mencari kelemahan orang yang menegur. Yang menjadikan ianya bahaya ialah apabila ia sampai ke tahap ‘menegakkan benang yang basah’ hingga sanggup berhujjah pada asas yang palsu atau kosong. Dan inilah yang saya lihat sering berlaku dalam kebanyakan mailgroups yang saya sertai. Apabila ada seseorang yang menyuarakan isi hati mereka berkenaan satu² isu, maka akan ada orang yang akan mengkritik huraiannya. Tambah masalah jika kritikan itu dalam bentuk yang sinikal. Apa yang akan terjadi seterusnya ialah, perang email yang akhirnya menyemakkan kotak masuk akaun email kita dan akhirnya menerbitkan permusuhan. Sebenarnya, konsep tegur menegur ini begitu mudah. Apabila kita telah siap untuk menegur orang lain, maka sebenarnya kita sepatutnya sudah mempersiapkan diri untuk ditegur. Itu sahaja syaratnya. Sungguhpun hanya satu syarat, itulah yang paling sukar untuk dilakukan. Bagimana agaknya kita boleh menyediakan diri untuk ditegur? Apakah yang harus kita lakukan agar diri ini tidak ‘melenting’ apabila diperbetulkan? Terus terang, saya tidak tahu. Cuma yang boleh saya katakan, sifat enggan ditegur ini berasal dari rasa ego dan tinggi diri seseorang. Tidak kiralah rasa ego itu terbit disebabkan ilmu yang kita miliki, atau keturunan kita yang kita jangkakan begitu mulia, kedudukan kita dalam hirarki masyarakat sebagai seorang yang dihormati atau apa sekalipun. Yang penting, asalkan kita ego, kita tidak akan sedia untuk ditegur. Membuang sifat ego bukanlah perkara yang mudah. Perlu banyak latihan. Sebab itu, jika mahu biasa ditegur, kita perlu selalu menegur kesilapan orang. Kerana seperti yang saya katakan tadi, apabila kita menegur orang lain, dia mungkin akan mencari kelemahan pada diri kita. Maka sediakanlah diri untuk diperbetulkan. Setiap kali kita ditegur, berastaghfarlah. Semoga dengan cara itu, kita dapat mengawal nafsu kita. Sebenarnya tegur menegur ini adalah konsep asas dalam pengislahan masyarakat. Apabila masyarakat kita semakin hari semakin rela diperbetulkan dengan teguran oleh orang sekeliling, saya percaya matlamat kita menuju pembentukan umat yang lebih sempurna semakin hampir. Tetapi ini bukanlah kerja yang memakan masa setakat sehari dua dan bukan dengan sekali atau dua kali usaha. Ia memakan masa yang lama dan memerlukan istiqamah. Apa yang penting, sebelum mula menegur orang, bukalah hati kita dulu untuk ditegur dan diperbetulkan. Bukalah pula minda untuk mendengar dan menilai asas teguran orang lain sebelum kita membangkang. Buangkan sifat hendak menang di dalam hati kerana ianya boleh membawa kepada kesesatan. Apa yang penting, sentiasa percaya bahawa kita hanyalah manusia memang sentiasa terdedah untuk melakukan kesilapan. Tidak lama dahulu saya telah melakukan banyak kesilapan akibat sifat buruk ini. Kerja yang kononnya saya panggil pengislahan akhirnya menghasilkan saya koleksi musuh yang banyak. Kerana itu lama saya mendiamkan diri untuk mendidik hati supaya berfikiran lebih terbuka. Saya tidak mahu lagi gagal dalam ‘pertarungan’ ini. Saya tidak mahu lagi membanggkang teguran ke atas saya sehingga menerbitkan permusuhan. Mengaku kalah bukan bererti kita salah. Dan mengaku salah bukan bererti kita kalah. Menegur bukan bererti kita pandai dan ditegur bukan bererti kita bodoh. Angaplah teguran itu datangnya sebenarnya untuk menyelamatkan kita… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/ -------------------------------------------------------------------------- All views expressed herein belong to the individuals concerned and do not in any way reflect the official views of Hidayahnet unless sanctioned or approved otherwise. If your mailbox clogged with mails from Hidayahnet, you may wish to get a daily digest of emails by logging-on to http://www.yahoogroups.com to change your mail delivery settings or email the moderators at [EMAIL PROTECTED] with the title "change to daily digest". -------------------------------------------------------------------------- Affiliates: Islamic_Board - Malaysia - Islamic Events and Notices http://groups.yahoo.com/group/islamic_board/ Tamadun - eGroup untuk Saintis dan Jurutera Muslim http://groups.yahoo.com/group/tamadun/ Recommended sites: Angkatan Belia Islam Malaysia : http://www.abim.org.my Jamaah Islah Malaysia : http://www.jim.org.my Radio Islam Kuliyyah : http://www.kuliyyah.com Palestinkini Info : http://www.palestinkini.info Partai Keadilan Sejahtera : http://pk-sejahtera.org Fiqh Siber : http://al-ahkam.net/ The Muslim Brotherhood : http://ikhwanweb.com Hidayahnet website : http://hidayahnet.multiply.com/ Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/ <*> Your email settings: Individual Email | Traditional <*> To change settings online go to: http://groups.yahoo.com/group/hidayahnet/join (Yahoo! ID required) <*> To change settings via email: mailto:[EMAIL PROTECTED] mailto:[EMAIL PROTECTED] <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
