Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Beberapa hari ini, orang sibuk membicarakan tentang kedudukan Malaysia dalam ‘Carta Rasuah’ yang dipanggil Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International di mana kedudukan negara dikatakan merudum dari anak tangga ke 39 ke anak tangga 44. Pentingnya kedudukan ini bukan untuk menilai popular atau tidaknya negara kita dalam dunia tetapi ‘popular atau tidaknya rasuah’ dalam negara kita. Kalau bercakap tentang rasuah, tentu banyak tempat yang jari ini boleh ditudingkan. Sama ada kepada kerajaan, yang akan dikatakan lemah dalam menangani gejala ini, mahupun BPR yang dikatakan gagal dalam menjalankan tugas. Tudinglah jari ini ke mana sahaja dan kepada siapa juapun. Tanpa melakukan apa², hakikatnya tetap sama. Sama ada suka atau tidak, rasuah telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita. Saya teringat semalam, ketika berbual dengan isteri saya di telefon, dia ada menyebut tentang seorang ibu kepada anak muridnya yang menduduki tempat tercorot di dalam kelas. Sebaik mengetahui bahawa anaknya akan diturunkan ke kelas yang lebih bawah, maka si ibu beriya² memujuk supaya isteri saya membantu untuk membolehkan anaknya kekal di dalam kelas sekarang. Biarpun diberi seribu satu alasan, si ibu tetap memujuk dan merayu. Akhirnya isteri saya yang ingin menamatkan perbualan telefon tersebut, memberikan alasan bahawa dia terpaksa bersiap untuk acara ‘Malam Majlis Amal’ anjuran sekolahnya. Mendengarkan itu, segera si ibu berkata bahawa dia sebenarnya berniat untuuk membelikan tiket untuk kesemua ahli keluarga kami (yang bernilai RM70 setiap satu). Tetapi kemudian isteri saya menjawab bahawa mereka telahpun memperolehi tiket percuma. “Rasuah!” ucap saya sebaik selesai mendengar cerita isteri saya. “Tak sangka…,” sambut isteri saya, “kerja macam ni pun ada orang nak rasuah.” sambungnya lagi membuatkan kami sama² tergelak. Mungkin bagi si ibu (tidak silap saya, seorang doktor) pemberian sebegitu bukan sebuah rasuah. Mungkin baginya sebuah pemberian ikhlas. Mengapa? Kerana rasuah telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita! Ada orang mengaitkan ‘budaya’ memberikan anak upah jika membantu kita ke kedai sebagai satu ‘usaha menyemai benih menerima rasuah’. Manakala bagi saya pula tidak sebegitu. Ianya sebuah insentif. Ianya lebih kepada satu usaha menggalakkan. Sama seperti majikan yang memberikan bonus kepada pekerjanya jika mereka bekerja bersungguh² sehingga membuahkan keuntung kepada pihak syarikat. Lagipun, ianya tidak berkaitan dengan hak orang lain. Lainlah jika, kerana kita memberikan anak kita upah, maka ada orang lain yang akan kehilangan haknya. Itu barulah boleh dikatakan rasuah. Seperti dalam kes isteri saya. Jika kerana hendakkan tiket percuma, maka isteri saya membenarkan anak si ibu kekal di dalam kelasnya sehingga ada pelajar yang layak kekal diturunkan kelas, maka jelaslah ianya satu jenis rasuah yang nyata. Kemudian saya teringat lagi. Satu kejadian yang berlaku kepada anak saudara saya. Ketika itu, anak saudara saya berada di dalam darjah 5 atau 6. Seorang dari gurunya ada mengadakan kelas tuisyen pada sebelah malam. Yuran bagi kelas tersebut adalah sebanyak RM8 bagi setiap malam dan diadakan 3 kali setiap minggu. Oleh kerana ibu bapanya kurang berkemampuan, maka anak saudara saya tidak dapat mengikuti kelas tersebut. Apa yang berlaku memang di luar dugaan. Menurut anak saudara saya, gurunya ‘mengugut’ akan memberi tips & hints kepada mereka yang mengikuti kelas tuisyennya sahaja. Jadi, orang seperti anak saudara saya, tidak akan mendapatnya dan perlu berusaha lebih untuk lulus dalam matapelajaran yang diajar oleh guru tersebut. Dalam erti kata lain, si guru hanya akan memberikannya kepada anak muridnya yang ‘merasuahnya’ sahaja. Tetapi, saya katakan kepada anak saudara saya, pedulikan saja ‘ugutan’ guru tersebut. Kerana, ketika UPSR nanti, bukan guru itu yang membuat soalan. Lagipun, tidak rugi berusaha lebih kerana hasilnya dia juga yang perolehi. Dan keputusannya, anak saudara saya lulus UPSR dengan mendapat 5A dan kini sedang menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah sains di Kota Tinggi. Apa yang paling menarik adalah, komentar dari kakak saya yang terluka dengan tindakan guru tersebut. Kata kakak saya, sepatutnya seorang guru ikhlas mengajar. Tidak perlu meemikirkan duit. Walaupun saya tidak bersetuju dengan tindakan guru terbabit, tetapi saya tidak boleh menerima ungkapan kakak saya sebulat²nya. Bukan kerana isteri saya seorang guru tetapi kerana mengenangkan guru juga seorang manusia. Bukankah sifat manusia normal hari ini suka kepada kemewahan? Apakah seorang guru perlu menjadi ‘luar biasa’ dengan mengunci semua pintu nafsunya kepada kemewahan dunia? Jawapannya memang ya, tetapi adalah tidak adil kepada mereka untuk mengharapkan mereka bersikap sedemikian. Sedangkan kita sibuk berbangga dengan kemewahan kita, apakah kita mahu manusia berjasa ini hanya melihat sambil menelan air liur sahaja? Maka itu saya katakan, gejala rasuah ini sebenarnya berpunca dari sikap diri kita sendiri juga sebenarnya. Kerana kita telah menetapkan ciri² manusia yang berjaya itu pada kemewahan dan kebendaan. Hari ini, berapa ramai orang yang berminat bersuamikan atau beristerikan atau bermenantukan orang yang banyak berjasa berbanding dengan orang yang banyak berharta? Saya rasa, semua orang tahu jawapannya. Kita menetapkan bahawa, individu yang dikatakan berjaya adalah mereka yang mempunyai satu kerjaya yang memberikan pulangan yang besar. Tidak kiralah bekerja sendiri atau makan gaji. Juga mereka yang memiliki rumah bak istana atau kereta yang penjang menjalar. Maka atas sebab ini, masyarakat kita hari ini hidup dengan bermatlamatkan harta kebendaan untuk menggolongkan diri sebagai orang yang berjaya. Apabila konsep begini diterima pakai oleh segenap lapisan masyarakat, maka terjadilah perbuatan ‘matlamat menghalalkan cara’. Gara² mahukan hasil yang cepat, ada yang sanggup mengggadaikan maruah diri dan iman dengan mengamalkan rasuah dan penyalah gunaan kuasa. Cuba lihat. Mereka yang melakukannya memanglah bersalah. Tetapi kita yang terlibat dalam membentuk konsep masyarakat yang sebegini, tidak merasa bersalah jugakah? Saya teringat pula kepada seorang teman lama. Sudah terlalu lama saya tidak berjumpanya. Yang saya tahu dia sudah berhenti dari tempat lama dan memasuki sebuah badan kerajaan. Asalnya saya begitu terkejut mengapa memilih sebuah kerjaya yang lebih kecil pendapatannya. Tetapi setelah diberitahu, rupanya teman saya ini berniat hendak mengambil rasuah apabila menjawat jawatan tersebut. Dan yang terakhir saya dengar tentangnya, dia sudah menjawat jawatan itu dan memang betul² mengamalkan rasuah. Kini sudah memiliki kereta mewah dan sudahpun membeli sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Tidak tahulah betul atau tidak cerita yang disampaikan ini tetapi jika benar, alangkah malunya! Bukan sahaja teman saya tetapi seluruh masyarakat dan stuktur pentadbiran negara sendiri. Lebih 1400 tahun dahulu, tatkala Nabi saw dan para sahabatnya yang mulis masih belum wafat, tidak ada kejadian rasuah sebegini di kalangan umat Islam. Mengapa? Kerana ketika itu, masyarakat yang wujud hidup di dalam suasana yang zuhud. Masing² membesarkan akhirat lebih dari dunia. Masing² memandang syurga itu lebih tinggi dari mahligai di puncak gunung emas. Oleh kerana itu, tidak ada apa yang perlu dikejarkan di dunia ini oleh mereka. Mereka tidak terkejar² longgokan harta. Jika sudah begitu, untuk apakah mereka memberi dan mengambil rasuah? Di sinilah contohnya bagaimana fahaman sebuah masyarakat mampu membentuk suasana yang lebih baik. Jika iman masyarakat itu sendiri sudah korup, maka sudah tentu tidak ada kebaikan buat mereka secara keseluruhannya. Maka sebenarnya, untuk menangani gejala rasuah ini, pengamalan Islam secara kaffah itu penting. Islam mesti diamalkan seperti mana yang diajar oleh Allah swt di dalam al-Quran dan diteladankan oleh Nabi Muhammad saw melalui sunnahnya. Bukan dengan menambahkan nama baru pada penghujung Islam itu. Baru dengan ini sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang boleh dibentuk. Penekanan pendidikan terhadap aspek teknologi tidak akan membawa apa² kebaikan jika tidak disertakan dengan pendidikan Islam dan pembentukan iman yang sempurna. Jika kesemua kita mampu berhenti bermegah dengan kejayaan dunia dan menjadikan ianya matlamat kehidupan sebaliknya meletakkan akhirat mengatasi segalanya, insyaAllah apa jua jenis gejala bukan setakat dibendung, malah dihapuskan buat selamanya. InsyaAllah… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/
