BAHAYA HASAD DAN CARA MENGUBATINYA
 
Ustaz Dr. Abdullah Yasin
 
 عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّـهُ قَالَ: لاَ 
تَبَاغَضُوا وَلاَ تَقَاطَعُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَدَابَرُوا ، كُوْنُوا 
عِبَـادَ اللهِ إِخْوَانًـا
 
. (رَوَا هُ الْبُخَـارِى وَمُسْلِمٌ) 
 
Dari Nabi SAW, sabdanya: Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu 
saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), 
dan janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai 
hamba-hamba Allah yang bersaudara. (H.R Bukhari dan Muslim) SYARAH AL HADIS: 
Salah satu larangan keras baginda Rasul SAW dalam hadis diatas ialah agar kita 
jangan saling berdengkian (hasad). 
 
Hasad adalah dosa pertama diatas muka bumi kerana sifat buruk inilah yang 
mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Dan sifat tercela ini jugalah 
yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama diatas muka bumi antara Qabil dan 
Habil, dan yang mendorong Abu Jahal enggan mengakui kerasulan Nabi Muhammad 
SAW. 
 
MAKNA HASAD: Jika seseorang mendapat nikmat, maka kita yang melihat dan 
mengetahui keadaan itu akan berada diantara dua keadaan: Jika kita benci dengan 
nikmat yang diperolehinya. Lalu kita menginginkan agar nikmat tersebut luput 
(hilang) daripadanya, sama ada agar nikmat itu berpindah kepada kita ataupun 
tidak. Inilah yang dinamakan dengan hasad. Jika kita tidak benci terhadap 
nikmat yang diperolehinya dan tidak pula mengharapkan agar ia hilang 
daripadanya. Tetapi sebagai manusia biasa kita menginginkan agar kita juga 
memiliki nikmat seumpama itu. Inilah yang disebut dengan ghibtah yakni iri 
hati. 
 
HUKUM HASAD: Hukum hasad adalah haram yakni dosa, sedangkan ghibtah pula adalah 
dibolehkan dan terpuji. Dan barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW.: 
لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ : رَجُلٍ آتَاهُ اللهُ مَـالاً فَسَلَّطَهُ 
عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ، (وَرَجُلٍ آتَـاهُ اللهُ عِلْمًا فَهُوَ يَعْمَلُ 
بِهِ وَيُعَلِّمُهُ النَّـاسَ ( مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ Ertinya: Tiada hasad (yang 
dibolehkan) kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang Allah 
anugerahkan harta, lalu ia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran, dan 
terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut serta 
diajarkannya kepada manusia lain. (H.R Bukhari dan Muslim). 
 
SEBAB-SEBAB HASAD: Sungguh banyak faktor yang menyebabkan seseorang bersifat 
hasad (dengki), antaranya yang terpenting: 'Adaawah (permusuhan). Takabbur 
(sombong). Ta'azzuz (benci jika ada orang lain yang dapat mengatasinya) Bakhil 
(lokek). Khubthun Nafsi (busuk hati). Hubbul Jaah (gila kuasa). 
 
BAHAYA HASAD: Sifat hasad termasuk kedalam salah satu penyakit hati yang 
terbesar. Hasad bukan saja dapat membinasakan dunia seseorang, tetapi juga 
akhiratnya. Dan diantara bahayanya: Hasad adalah sifat Iblis. Sedangkan sifat 
para Rasul dan Wali Allah adalah sebaliknya. Mereka akan memberi tahniah (ucap 
selamat) kepada orang-orang mendapat nikmat sambil mengucapkan : بَـارَكَ اللهُ 
فِيْكَ Semoga Allah memberkati engkau Hasad merosak amalannya. Sabda Nabi SAW.: 
إِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَـأْكُلُ النَّـارُ الْحَطَبَ 
Sesungguhnya hasad memakan amal baik sebagaimana api makan kayu api. (H.R Ibnu 
Majah). Hasad dapat merosak akidahnya, kerana setiap nikmat yang Allah swt 
kurniakan kepada seseorang adalah berdasarkan ketentuan taqdir yang termaktub 
di dalam Luh Mahfuz sejak azali. Oleh itu jika kita benci terhadap nikmat yang 
Allah anugerahkan kepada seseorang, itu bererti
 secara tidak langsung kita benci dan tidak redha dengan Takdir Allah. 
 
HASAD, GHIBTHAH, MUNAAFASAH. Tiga istilah diatas hampir bersamaan maknanya. 
Tetapi sebenarnya masing masing mempunyai makna tersendiri: 
 
HASAD (DENGKI): Engkau suka jika hilang nikmat dari saudaramu seagama tanpa 
sebab yang dibenarkan oleh syarat (agama). Hukumnya adalah haram. 
 
GHIBTHAH (IRI HATI ): Engkau menginginkan suatu nikmat seperti nikmat yang 
diperolehi oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar 
nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sikap ini adalah terpuji 
(mahmudah). 
 
MUNAAFASAH (KOMPETISI): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu 
sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu seagama, atau engkau bekerja keras 
kerana ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Hanya saja sikap ini hanya 
diperbolehkan dalam batas batas kemampuan manusia. Oleh sebab itu kadang kadang 
kompetisi ini hukumnya wajib, iaitu jika berkompetisi (berlumba-lumba) menjauhi 
perkara maksiat dan berlumba-lumba melakukan perkara-perkara wajib. 
Kadang-kadang hukumnya hanya sunat, seperti berlumba-lumba meninggalkan 
perkara-perkara makruh atau melakukan amalan sunat. Dan kadang kadang hukumnya 
hanya mubah (boleh) iaitu seperti berlumba-lumba dalam perkara mubah seperti 
dalam bidang pertanian, perindustrian, penemuan-penemuan baru dan lain 
sebagainya. 
 
CARA MENGUBATI HASAD: Hasad adalah penyakit hati yang amat berbahaya. 
Penyakit-penyakit hati tidak mungkin diubati melainkan dengan dua cara iaitu 
ilmu dan amal. 
 
(l) ILMU: Ilmu yang berguna untuk mengubati penyakit hasad ialah kesedaran atau 
pengetahuan kita tentang hakikat dibawah ini, bahawa: Hasad, dapat merosak 
agama dan dunia kita. Orang yang kita hasadkan sedikitpun tidak rosak agama dan 
dunianya. Orang yang dihasadkan akan mendapat manfaat dari kita kelak di 
akhirat kerana dia telah di zalimi. Hasad tidak dapat melenyapkan nikmat dari 
seseorang. Hasad dapat merosak akidah dan amal orang berkenaan. Orang yang 
hasad sebenarnya adalah musuh bagi dirinya sendiri, dan sebaliknya menjadi 
kawan bagi musuhnya. 
(2) AMAL: Adapun amal yang berguna untuk mengubati sifat hasad ialah memaksa 
dirinya melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak hatinya yang hasad 
itu. Oleh itu sekiranya timbul rasa benci dan dendam kepada orang yang 
didengkinya, maka ketika itu hendaklah ia memuji dan ucapkan tahniah kepadanya. 
Dan sekiranya timbul perasaan takabbur atau sombong atau ego kepada orang yang 
didengkinya, maka ketika itu hendaklah ia bersikap tawaadhu' (rendah diri). 
Dan sekiranya timbul perasaan ingin menahan suatu pemberian kepadanya, maka 
ketika itu tambahlah pemberian kepadanya melebihi daripada biasa. Diriwayatkan 
bahawa Salafus Salih jika mereka mengetahui ada orang yang dengki, mengumpat 
atau memfitnah mereka, maka mereka segera kirimkan hadiah kepada orang tersebut 
sebagai tanda terima kasih diatas jasa baik mereka itu. أَكْـَثَر اللهُ 
حُسَّـادَكَ Semoga Allah memperbanyak orang hasad kepadamu Ini adalah pepatah 
atau bidalan orang-orang Arab. 
 
Ungkapan ini sepintas lalu seperti tidak baik kedengarannya kerana kandungannya 
seolah-olah kita berdoa agar Allah menambah bilangan orang yang hasad 
kepadanya. Tetapi sebenarnya kandungan ungkapan ini adalah baik kerana kita 
berdoa kepada Allah agar ia menjadi orang yang baik. Mengapa demikian? Kerana 
hasad biasanya tidak akan menimpa seseorang melainkan jika orang dihasadkan 
tersebut mendapat ni’mat. Hasad biasanya menimpa seseorang kerana ketinggian 
pangkatnya dan biasanya bukan kerana kerendahan pangkatnya atau kerana 
kekayaannya dan bukan kerana kefakirannya atau kerana kepintarannya dan bukan 
kerana kebodohannya atau kerana banyak pengikutnya bukan kerana sedikit 
pengikutnya atau kerana kemajuannya dan bukan kerana kemerosotannya atau kerana 
keberaniannya bukan kerana ketakutannya atau kerana kefasihannya dan bukan 
kerana kebebalannya atau kerana kemuliaannya dan bukan kerana kerendahannya dan 
lain lain. 
 
Dan ditinjau dari sudut lain pula, kelak orang yang didengki di dunia ini akan 
mendapat banyak pulangan pahala di akhirat dari orang-orang yang mendengkinya. 
Dan semakin banyak orang yang dengki kepadanya adalah justeru lebih baik. Yang 
mustahak, marilah kita berusaha menegakkan kebenaran diatas muka bumi ini. Kita 
mesti menentang segala bentuk kesyirikan, khurafat dan bid'ah. Kita mesti tabah 
menghadapi kedengkian pihak pihak tertentu yang barangkali merasakan dirugikan 
kerana ajaran yang kita bawa. Sebenarnya kalaulah atas dasar kebenaran dari 
Allah dan Rasul-Nya yang kita sebarkan akhirnya menimbulkan kedengkian orang, 
maka kita sepatutnya alu-alukan kedengkian itu. Malahan semakin banyak 
jumlahnya adalah semakin baik supaya besar pula pulangannya di akhirat nanti. 
 
Dipetik dari: pertubuhan kebajikan al-nidaa' malaysia

Kirim email ke