Jangan berpecah kerana perbezaan fahaman Sunni        
      ZAKARIA STAPA.   
---------------------------------
  
  Firman Allah: Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki 
dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, 
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain)…. 
(al-Hujuraat: 13). 
   
  Ayat ini menggalakkan umat Islam bergaul dengan baik dalam hablum minannas. 
   
  Kepelbagaian bangsa dan adat resam tidak sepatutnya menjadi penghalang 
kesatuan umat Islam khususnya di negara kita yang mengamalkan aliran Ahli Sunah 
Wal Jamaah. 
   
  Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor 
Zakaria Stapa memperincikan soal pergaulan sesama manusia khususnya sesama 
Muslim dalam temubual dengan wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. 
SHAHARANI SAIBI.
   
  UTUSAN MALAYSIA: Apakah maksud aliran akidah Ahli Sunah Wal Jamaah yang 
diterima pakai secara meluas di negara kita? 
   
  ZAKARIA: Akidah itu adalah kepercayaan yang sungguh-sungguh dan diyakini 
secara tepat di dalam hati, serta diterjemahkan keyakinan tersebut dengan laku 
perbuatan yang boleh dilihat dengan mata kasar. Ia bersandarkan kepada rukun 
iman yang enam perkara, didahului dengan kepercayaan kepada Allah. Kita juga 
hendaklah yakin bahawa Allah itu maha sempurna dalam segala-galanya. 
   
  Di rantau Asia Tenggara ini, kita berpegang kepada aliran Ahli Sunah Wal 
Jamaah. Pegangan rantau ini terhadap aliran ini bermaksud bahawa dari segi 
tauhid atau teologi (usuluddinnya) kita berpegang kepada akidah yang diasaskan 
oleh Imam Abu Hasan Al-Ashaari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi.
   
  Dalam segi fikahnya, pegangan utama kita ialah kepada apa yang diutarakan 
oleh Imam As-Syafie dan aliran al-Syafiiyah. Selain itu, kita juga berpegang 
kepada tiga lagi imam mazhab Sunni, iaitu Hanafi, Hanbali dan Maliki dalam 
sesetengah keadaan seperti sistem kewangan Islam dan bayaran zakat fitrah.
   
  Dalam hal akhlak dan tasawuf pula, kita banyak berpandukan kepada Imam 
al-Ghazali berdasarkan kitab-kitab seperti Manhajul ‘Abidin dan juga Ihya’ 
Ulumiddin.
   
  Satu hal yang perlu diberi perhatian ialah bahawa perihal akidah ini adalah 
satu perkara maha penting dan perlu selesai dalam keyakinan dan pegangan setiap 
individu Muslim. Keraguan mengenainya boleh menyebabkan pegangan kita tidak 
menentu dan boleh menyebabkan amalan seseorang tidak diterima oleh Allah. 
   
  Apa pula maksud fahaman Wahabi yang menjadi pegangan sebilangan umat Islam di 
Malaysia? 
   
  Masyarakat perlulah memahami bahawa fahaman Wahabi ini bukanlah ajaran sesat 
kerana ia juga termasuk dalam kumpulan aliran Ahli Sunah Wal Jamaah. 
  Ia adalah gerakan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul Wahab at-Tamimi 
(1703-1791M) yang lahir di Uyaynah, utara Riyadh, Arab Saudi. 
   
  Imam Muhammad Abdul Wahab adalah ulama yang berpegang kepada aliran Hanabilah 
(Hanbali) yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Pegangan tauhidnya pula 
berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali. 
Dalam aspek akhlak dan tasawuf pula aliran Hanabilah banyak berpegang kepada 
pandangan Imam al-Harawi al-Ansari dan Sheikh ‘Abd al-Qadir al-Jaylani. 
   
  Secara umumnya, Imam Muhammad Abdul Wahab muncul ketika pengaruh mazhab 
Hanbali merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah 
dan penyelewengan amalan keislaman seperti percaya kepada khurafat dan 
melakukan amalan bidaah. 
   
  Sehubungan itu, beliau melancarkan gerakan reformasi dan pembaharuan di 
semenanjung Arab untuk membersih dan mengembalikan umat Islam kepada ajaran 
sebenar al-Quran dan hadis. Jadi, dari aspek sejarahnya mereka ini terpaksa 
mengambil pendekatan yang agak keras dalam usaha mencapai matlamat pembersihan 
akidah dan amalan keislaman tersebut.
   
  Jika demikian, mengapa fahaman Wahabi ini menolak dan mendakwa sebahagian 
amalan umat Islam negara kita adalah bidaah (melakukan perkara baru dalam agama 
yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w, para sahabat dan juga para 
tabiin)? 
   
  Apabila terbawa pengaruh fahaman Wahabi ke rantau kita ini, mereka mahu 
mendekati amalan yang mereka anggap sebagai bidaah dengan pendekatan yang agak 
keras. Iaitu mewarisi pendekatan yang terjadi dalam sejarah perkembangan aliran 
tersebut. 
   
  Di samping itu, perlulah juga difahami bahawa pada mereka, amalan bidaah 
semuanya dalalah (sesat) atau sayyi’ah (buruk). Sedangkan dalam aliran Ahli 
Sunnah pegangan rantau kita ini, terdapat istilah bidaah hasanah (baik), selain 
daripada kedua-dua yang disebutkan tadi.
   
  Seorang ulama Indonesia. K. H. Sirajudin Abbas menyenaraikan konsep moden 
fahaman Wahabi dalam bukunya 40 Soal-Jawab Agama. Antaranya, dalam mempelajari 
usuluddin (ilmu tauhid) hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh 
Ibnu Taimiyyah. 
   
  Dalam amalan fikah tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh 
menampal antara satu sama lain. Fahaman ini juga melarang umat Islam mengadakan 
sambutan hari kebesaran seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan sebagainya serta 
melarang mengadakan majlis zikir secara berjemaah.
   
  Larangan-larangan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan keharmonian umat 
Islam yang selama ini turun-temurun mengadakan sambutan-sambutan hari kebesaran 
Islam. Apakah hujah membolehkan sambutan sedemikian mengikut Ahli Sunah? 
   
  Bagi kalangan umat Islam di rantau ini yang berpegang kepada Ahli Sunah, apa 
yang lebih diberi perhatian ialah pengisian dalam majlis sambutan tersebut. 
Memanglah Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengadakan majlis sambutan hari lahir 
Baginda. 
   
  Namun, pengisian majlis dengan bacaan al-Quran, selawat ke atas Nabi dan 
mengajak umat Islam memperingati sirah Nabi menyebabkan ulama mengkategorikan 
ia sebagai bidaah hasanah. 
   
  Selain itu, sambutan seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim 
sesama Muslim yang sama-sama meraikan majlis tersebut. 
  Demikian juga dengan mengadakan tahlil arwah dan bacaan talkin. 
   
  Dalam tahlil kita menyebut ayat-ayat Allah selain ada unsur mewujudkan rasa 
persaudaraan yang utuh. Bab talkin pula, jika ia tidak memberi manfaat kepada 
si mati ia tetap memberi peringatan kepada sahabat handai yang mengiringi 
jenazah di tanah perkuburan. 
   
  Apa yang penting dalam hal ini, janganlah disebabkan kita tidak melakukan 
sesuatu amalan menyebabkan kita mengharamkan ia dilakukan oleh orang lain, 
kerana ini boleh mengundang perpecahan sesama kita umat Islam. 
   
  Musuh-musuh umat Islam akan bertepuk tangan gembira seandainya perpecahan 
dalam umat Islam terjadi. 
   
  Jika demikian, nampaknya ada keperluan bagi pihak berkuasa agama membendung 
pengembangan fahaman Wahabi ini bagi mengelak perpecahan? 
   
  Perkara-perkara begini timbul disebabkan masyarakat umum kurang memahami 
aliran Ahli Sunah pegangan rantau kita ini, dan juga apa yang dikatakan dengan 
fahaman Wahabi. 
   
  Pertikaian-pertikaian dan tafsiran berbeza dalam hal-hal cabang begini adalah 
perkara biasa dalam agama dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Seandainya ia 
diperbesarkan tentu sekali boleh menimbulkan perselisihan dan perpecahan dan 
boleh membantut usaha kerajaan membangunkan umat Islam di negara kita..
   
  Sememangnya pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan 
Jabatan Agama Islam di negeri-negeri mengambil langkah sewajarnya untuk 
menangani hal ini. Ia supaya tidak menjadi asas perpecahan umat Islam di negara 
kita, sedangkan kita mahu membangunkan kapasiti ummah dalam pelbagai aspek 
kehidupan seperti dalam bidang ekonomi, sosial dan politik selaras dengan 
agenda Islam Hadhari yang ditaja oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk 
Seri Abdullah Ahmad Badawi.
   
  Agenda besar Islam Hadhari tersebut memerlukan komitmen padu ummah bagi 
menjayakannya. Umat Islam negara kita sememangnya tidak ada masa untuk 
bertelagah sesama sendiri sekiranya mereka benar-benar mahu terus maju ke 
hadapan menjadi peneraju pacuan pembentukan tamadun ummah yang berkualiti. Hal 
ini sewajibnya difahami oleh setiap individu umat Islam di negara kita. 
   
  Tidakkah boleh kedua-dua pihak ini mencari jalan tengah dan mencari titik 
persamaan demi pembangunan dan kemaslahatan umat? 
   
  Memang sewajarnya kita mencari titik persamaan kerana kedua-dua pihak adalah 
berlandas dan bernaung di bawah payung besar aliran Ahli Sunah. Cuma dalam 
sesetengah perkara amalan harian mazhab Shafie atau al-Syafiiyah misalnya 
membuat istinbat hukum berdasarkan pendapat dan pendekatan khusus, sedangkan 
mazhab yang lain tidak begitu. Maka itu, timbullah perbezaan dalam 
perkara-perkara cabang amalan harian kita, yang sepatutnya tidak perlu kita 
perbesarkan.
   
  Dalam perspektif lain, sewajarnya kita sama-sama sedar hakikat betapa rantau 
Asia Tenggara ini dilihat berpotensi menjadi peneraju kegemilangan Islam masa 
depan. Kita kelihatannya tidak boleh lagi berharap kepada dunia Arab yang 
berpecah sesama mereka untuk menjadi peneraju. 
   
  Umat Islam di rantau ini mencecah angka kira-kira 250 juta orang. Angka ini 
cukup besar dan mempunyai potensi mengembalikan semula zaman kegemilangan 
Islam. Sebab itu kita harus berwaspada dan mengelakkan perpecahan. Mungkin 
perpecahan itu dirancang oleh pihak-pihak yang tidak mahu melihat umat Islam 
bersatu. 
   
  Mereka menjalankan dakyah secara amat halus termasuk berselindung di sebalik 
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang antara lain-lain misalnya berusaha 
menyamakan semua agama. 
   
  Kita harus menyedari hal ini, kerana kedudukan Islam dijelaskan menerusi 
hadis Rasulullah, adalah agama yang tinggi dan tidak ada agama lain yang lebih 
tinggi daripadanya. 
   
  Sesungguhnya perihal potensi besar umat Islam rantau kita ini perlu disedari 
dan diberikan perhatian utama oleh kalangan umat Islam. Namun, jika kita 
mengabaikan potensi ini dan asyik serta tenggelam dalam kancah perkelahian 
sesama sendiri, ia tentunya akan merugikan umat Islam sendiri. 
   
  Kebelakangan ini banyak yang melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan 
umat Islam menonton drama bersiri Bawang Putih, Bawang Merah yang didakwa 
mengandungi elemen mengkhayalkan dan karut. Demikian juga ada seorang wanita 
yang mendakwa sebagai Nabi. Apakah nasihat Prof. dalam hal ini? 
   
  Masyarakat Melayu-Muslim kelihatannya memang suka perkara-perkara yang pelik. 
Cerita-cerita pelik ini pula berkaitan dengan makhluk halus atau makhluk ghaib. 
   
  Dalam Islam perkara-perkara ghaib ini memang ada. Ini dijelaskan dalam firman 
Allah, iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib. 
(Al-Baqarah: 3). Apa yang utama di sini ialah kita melihat cerita pada batas 
yang dibenarkan oleh akidah. 
   
  Sememangnya hantu dan jin ini mempunyai kudrat tersendiri seperti mana juga 
kita manusia ada kudrat dalam batas kemanusiaan kita, kerana kita dan 
makhluk-makhluk berkenaan juga tergolong dalam kalangan makhluk yang diciptakan 
Allah yang diberikan oleh Allah kudrat dan upaya dalam batas-batas tertentu. 
   
  Cuma pegangan akidah kena jelas, walau apa pun bentuk perkara ghaib sama ada 
pari-pari, jin atau sebagainya, ia hanya berupaya dalam batasnya yang 
tersendiri dan ia tidak memberi kesan kepada makhluk lain tanpa izin Allah. 
  Jadi, kalau digambarkan dalam filem, hal ini perlu jelas di mana akhirnya 
unsur-unsur jahat sedemikian mestilah akan tewas supaya ia dibenci dan tidak 
menjadi pegangan masyarakat.
   
  Mengenai dakwaan orang yang mengaku sebagai nabi, ini jelas karut dan 
pembohongan besar. Allah menjelaskan melalui firman-Nya,Nabi Muhammad itu 
adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Rasul. (Al-Ahzaab: 40). Perkara 
sebegini bukan baru kerana pada zaman selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. pun 
sudah ada orang yang mengaku sebagai nabi.
   
  Apa yang jelas, tidak ada lagi nabi selepas Rasulullah s.a.w., sebab itulah 
kalangan para ulama disebut dalam hadis Baginda s.a.w. sebagai pewaris nabi, 
yang akan terus melanjutkan tradisi kenabian.
   
  Dalam kata lain, selepas Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan ada lagi nabi lain, 
apa yang ada hanyalah kalangan para ulama yang akan meneruskan ajaran-ajaran 
Nabi Muhammad s.a.w. Dengan itu masyarakat mestilah memahami secara jelas 
bahawa sesiapa yang menggelarkan dirinya nabi, maka itu merupakan satu jenayah 
dan pembohongan yang amat besar terhadap agama Islam yang maha suci.

                
---------------------------------
 
 Real people. Real questions. Real answers. Share what you know.

Kirim email ke