Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Tempohari, sebaik melangkahkan kaki ke Lapangan Terbang Kerteh, saya terpandangkan wajah seorang yang telah lama tidak saya temui. Segera saya menuju ke arahnya dan bersalam dengannya. Kemudian saya memeluknya sambil menyatakan syukur kerana masih berpeluang untuk bertemu dengannya. Ya. Memang saya sangat bersyukur masih dapat bertemu dengannya kerana ada suatu kejadian yang menimpa dirinya baru-baru ini. Saya telah dikhabarkan bahawa teman saya itu telah terkena serangan angin ahmar. Dan saya dapat melihat kesan itu pada raut wajahnya. Namun, bukan itu yang menyebabkan kegembiraan saya apabila bertemu dengannya. Sebenarnya, teman saya itu adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas berdekatan pelantar Tapis B pada 5 November yang lepas. “Abang dah Subuh bang?” Tanya saya. “Dah… Baru lepas.” “Kalau macam tu, biar saya ke surau dulu eh?” saya meminta izin untuk berdar ke surau. Sebenarnya, hari itu saya tiba lewat di lapangan terbang. Maka saya harus bergegas agar tidak terlepas peluang untuk berjamaah. Harapan saya, selepas solat nanti dapat saya duduk berbual dengannya dan bertanya tentang keadaan sebenar pada tarikh kejadian tersebut. Selesai solat, ketika melangkah menuju ke kantin, saya tersua teman saya itu sekali lagi. “Jom sarapan bang,” pelawa saya. “Dah… baru lepas. Ni nak ke tandas pula ni” jawabnya sambil tersenyum. Saya mengangguk sambil berjalan menuju ke kantin. Harapan untuk berbual dengannya masih menebal. Malang sekali, sebaik selesai bersarapan, kelibat teman saya tidak lagi kelihatan. Maka hilanglah peluang untuk mendapatkan cerita yang sebenar… Sudah lebih sebulan lamanya kemalangan itu berlaku. Sudah lebih sebulan juga lamanya Allahyarham Capt. Salleh meninggalkan kami dan rakan-rakannya di MHS (Malaysia Helicopter Services). Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Begitulah Capt. Salleh. Allahyarham meninggal dunia dengan meninggalkan kisah pengorbanannya bagi mengelak kemalangan yang lebih besar. Namun, sebelum laporan rasmi dikeluarkan, terdapat juga suara-suara sumbang yang berkata perkara yang tidak elok berkenaan Allahyarham. Paling menyedihkan, apabila ada yang mengatakan kemalangan tersebut berpunca dari kesilapan juruterbang yang merujuk kepada Allahyarham. Saya sememangnya sakit hati mendengarnya tetapi disebabkan saya juga tidak mengetahui kisah sebenar, terpaksalah saya mendiamkan diri. Mujur, pada 23 November lalu pihak pengurusan syarikat tempat saya bekerja telah memanggil kami dari pihak kesatuan untuk mendengar hasil siasatan yang mereka dan pihak MHS lakukan berserta dengan langkah yang mereka ambil selepas kejadian (sebenarnya, kami dari pihak kesatuan yang meminta acara penerangan itu diadakan). Sekurang-kurangnya, dapatlah juga kami dengar berita yang lebih sohih. Majlis diadakan serentak dengan makan tengahari. Ianya dibuat secara tidak formal agar lebih santai dan lebih mudah untuk bertukar-tukar fikiran. Ketika itu, hati saya tidak berapa tenteram. Saya risau jika siasatan juga akan meletakkan kesalahan kepada Allahyarham Capt. Salleh. Al-maklumlah, orang yang sudah tiada tentu tidak dapat membela diri. Dan ini sememangnya biasa terjadi dalam kebanyakan syarikat… “Apa yang juruterbang lakukan adalah bersesuaian dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh DCA (Jabatan Penerbangan Awam).” Tutur sang pengurus yang membuatkan saya menarik nafas lega. Alhamdulillah… Menurutnya lagi, tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan. Bukan juruterbang, dan bukan juga pesawat Super Puma itu sendiri. Jika ada yang hendak dipersalahkan, hanyalah cuaca pada hari tersebut. Sebenarnya, ketika pesawat itu meninggalkan landasan, cuaca agak buruk. Juruterbang telah mengambil keputusan untuk menerbangkan pesawat secara automatik dengan berpandukan bearing yang telah disetkan. DCA membenarkan perbuatan ini di dalam garis panduannya. Dengan syarat, pada jarak yang ditetapkan (maaf, saya terlupa berapa meter), juruterbang perlu mengambil alih dan mengawalnya secara manual. Dan inilah yang dilakukan oleh Allahyarham. Hanya, pada ketika dia mengambil alih pemanduan secara manual, cuaca masih buruk dan kadar penglihatan begitu rendah. Namun Allahyarham mengambil keputusan untuk meneruskan penerbangan setelah bertanya kepada rakan juruterbang yang lain yang telah mendarat di pelantar yang berdekatan berkenaan cuaca yang mereka hadapi. Malang sekali, saat Allahyarham mampu melihat sekitaran, pelantar Tapis B sudah berada betul-betul di hadapan mata mereka. Dengan kecekapan dan pengalaman, Allahyarham berkeupayaan mengelak dari melanggar pelantar tersebut tetapi kemudiannya dipukul angin yang menyebabkan pesawat terjunam ke dalam laut. Dan di situlah berakhirnya riwayat seorang juruterbang yang profesional dan cekap bernama Capt. Salleh… Di dalam majlis itu juga kami diterangkan bahawa khabar yang menyebut kebanyakan penumpang menyelamatkan diri melalui ekor pesawat yang terputus adalah salah sama sekali. Hanya seorang atau dua orang yang melalui jalan itu. Kebanyakan yang lain telah keluar sama ada melalui tingkap atau melalui pintu yang ada. Entahlah. Berita sekecil inipun ada orang yang mahu menyelewengkannya… Pihak pengurusan MHS dan juga ExxonMobil juga telah bertindak dengan segera apabila telah mengupah pakar psikologi bagi memberikan kaunseling kepada mangsa dan juga kepada pekerja yang lain yang bakal menaiki pesawat. Alhamdulillah… Sebagai pekerja, saya amat menghargai usaha yang telah mereka lakukan. Mungkin bukan yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya telah menunjukkan keprihatinan mereka. Dan yang paling penting, mereka telah membuktikan tidak ada apa silapnya kepada pesawat Super Puma AS332L yang biasa kami naiki. Maka para penumpang dan keluarga mereka tidak perlu risau tentang keselamatan mereka. Sungguhpun begitu, kemungkinan untuk kemalangan sentiasa ada. Apa yang boleh kita lakukan hanya berusaha dan bertawakkal agar Allah memelihara keselamatan kita. Dan jika hendak dikira, jumlah mereka yang terbabit dalam kemalangan yang membabitkan kereta dan motorsikal ketika hendak ke tempat kerja adalah jauh lebih besar berbanding dengan kemalangan helikopter terhempas seperti ini. Hanya mungkin kerana kemalangan sebegini jarang terjadi dan kedengarannya pelik maka ia selalu dijadikan berita utama di dalam akhbar dan televisyen. Kisah sebenar sudahpun kini diketahui (walaupun masih belum rasmi kerana kotak hitam yang telah diambil dari pesawat oleh DCA dan telah dihantar ke Australia untuk penterjemahan masih belum diumumkan penemuannya). Semoga selepas ini suara-suara sumbang yang hanya tahu menyalahkan orang lain, sama ada juruterbang, pesawat mahupun syarikat, akan faham mengenainya dan berhenti bercerita tentang cerita yang paslu. Semoga roh Allahyarham Capt. Salleh tenang dan sentosa di alam sana. Hanya Allah yang mengetahui apa yang berlaku sebenarnya dan sebesar mana pengorbanan Allahyarham. Kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah selalu. Allahyarham telah pergi dengan meninggalkan nama yang baik. InsyaAllah, iktibar dari peristiwa ini akan kami ambil dan nama Allahyarham akan tetap dikenang… Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/
