Benarkah Mu’awiyyah Seorang Pemberontak?
   
  Termasuk sejarah versi Syi`ah adalah Perang Siffin merupakan pemberontakan 
yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan ke atas Ali bin Abi Thalib. Sekali 
lagi hal ini perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan 
radhiallahu 'anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi 
Thalib radhiallahu 'anh?
   
  Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan 
Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita 
mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi 
sifat yang negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga 
jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya "Muawiyah" berbanding 
dengan nama para sahabat yang lain.
   
  Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan
   
  Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 
'alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa 
hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas 
Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri 
Yusoff – Sayyidina Mu'awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka 
Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10].
   
  Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah: "Ya Allah! 
Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada 
beliau hidayah." [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 
1995), hadis no: 1969]
   
  Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 
bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Pasukan pertama 
daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka 
(tempat di syurga)." Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama 
bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin 
Usman ibn Affan radhiallahu 'anh.
   
  Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis 
baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi 
jurutulis al-Qur'an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang 
dipercayai di sisi baginda.
   
  Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang 
lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul 
Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang 
mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu 'anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat 
witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: "(Biarkan), sesungguhnya 
dia seorang yang faqih (faham agama)." [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]
   
  Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan 
ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan 
salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia.
   
  Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali
   
  Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu 'anh dibunuh, Ali bin Abi 
Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai`ah oleh sebahagian umat Islam. 
Wujud sebahagian lain yang tidak membai`ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. 
Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, 
akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman 
hudud ke atas para pembunuh Usman.
   
  Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini:
   
  "Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak 
beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu 
didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para 
pembunuh Usman radhiallahu 'anh daripada urusan bai`ah. Dan beliau juga 
berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman." [al-Fishal, jld. 
3, ms. 85]
   
  Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan 
para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa 
mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta 
berpura-pura membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih 
berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. 
Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke 
atas para pembunuh Usman.
   
  Berlakunya Perang Siffin
   
  Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar 
utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah 
menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil 
tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan 
mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali 
menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan 
Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. 
Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan 
bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.
   
  Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan 
pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang 
mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada 
ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan 
ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda 
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang 
Siffin:
   
  "Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling 
berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan 
kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya)." 
[Shahih Muslim – hadis no: 157]
   
  Muawiyah memberontak kepada Ali?
   
  Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin 
pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika 
dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak 
itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau 
tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah 
Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan 
ketenteraan.
   
  Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:
   
  "……lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang 
menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap 
tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada 
Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk 
memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar 
dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka 
orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju 
bersama pasukannya menuju Siffin juga.
   
  ……Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya 
Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam)." [catitan notakaki kepada al-`Awashim 
min al-Qawashim, ms. 166 & 168 ]
   
  Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel 
Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim 
di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu 
'alaihi wasallam bersabda kepada `Ammar bin Yasir radhiallahu 'anh:
   
  "Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak."
   
  Di dalam Perang Siffin, `Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali 
dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai 
pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan 
`Ammar terbunuh.
   
  Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah 
sebagai pemberontak. Sebabnya:
   
    
   Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada di dalam 
pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, 
nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan 
bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika 
mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak 
akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap 
mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan 
Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang 
meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis 
mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf 
al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi 
(911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]
   
    
   Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada dalam 
pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang 
disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai 
pemberontak, nescaya beliau tidak akan melakukan apa-apa usaha perdamaian 
dengannya.
   
    
   Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada 
anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu 'anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan 
menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui 
bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan 
memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan 
jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan 
beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.
   
  Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya 
dimaksudkan sebagai "kelompok pemberontak"? Kelompok pemberontak tersebut 
bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi 
adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara 
Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak 
kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. 
Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di 
antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang 
asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.
   
  Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:
   
  "Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin 
setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh 
Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan 
apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian 
yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh 
setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti `Ammar dan orang 
yang lebih utama daripada `Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah 
berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.
   
  ……Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah 
orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka 
itulah "kelompok pembangkang" yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan 
dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas 
kedua-dua perang tersebut." [catitan notakaki kepada al-`Awashim min 
al-Qawashim, ms. 173]
   
  Kebenaran tetap bersama pemimpin
   
  Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti 
Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan 
pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama 
pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan 
berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa 
yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. 
Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk 
membai`ah Ali, sebaliknya terus membai`ah beliau dan kemudian berbincang dengan 
beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh 
Amirul Mukminin Usman.
   
  Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:
   
  "Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan 
perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak 
berlaku perang…… yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan 
peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan 
tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih 
mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana 
fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang 
adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. 
Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan 
kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat 
dan tabi'in yang selalu mendapat kebaikan." [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 
447-448]
   
   

 
---------------------------------
Access over 1 million songs - Yahoo! Music Unlimited.

Kirim email ke