Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas 
Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, penghulu segala 
Nabi dan pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa, juga ke atas keluarga dan 
sahabat-sahabat baginda. 
Kaum Muslimin yang dimuliakan! Kali ini genaplah siri ke-100 nasyrah Sautun 
Nahdhah (Suara Kebangkitan) keluaran Hizbut Tahrir Malaysia. Kami bersyukur ke 
hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah izinNya, kami masih 
dapat meneruskan usaha dakwah ini. Kami sentiasa berdoa kepada Zat Yang Maha 
Kuasa agar kami sentiasa istiqamah di dalam perjuangan menegakkan agamaNya ini 
dan jika ada halangan-halangan yang melanda, maka kepadaNya jualah kami memohon 
agar dihapuskan segala halangan tersebut. Tiada apa yang kami harapkan dengan 
penulisan dan usaha dakwah ini kecuali untuk meraih redha dan syurgaNya. 
Bersempena keluaran ke-100 SN kali ini, kami ingin memaparkan sedikit 
penjelasan tentang dakwah Hizbut Tahrir agar bergembiralah golongan yang 
inginkan kebaikan, lembutlah hati orang-orang yang keras memfitnah sesama Islam 
dan gentarlah jantung orang-orang yang memusuhi Islam. Jika pun selepas ini 
keluaran Sautun Nahdhah akan terhenti atas apa sebab sekalipun, kami
 akan teruskan doa kepada Allah agar sentiasa ada di luar sana hamba-hambaNya 
yang benar-benar ikhlas, yang akan meneruskan perjuangan ini, yang tidak takut 
kecuali kepada Allah semata, yang akan berusaha siang dan malam untuk 
memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini. 
Latar Belakang Berdirinya Hizbut Tahrir
Di sini kami hanya akan menjelaskan serba sedikit sahaja tentang Hizbut Tahrir 
kerana bukanlah niat kami untuk mempromosikan HT. Para pembaca boleh membacanya 
dengan lebih terperinci di dalam laman web rasmi kami (www.mykhilafah.com) 
ataupun lain-lain laman web rasmi HT di seluruh dunia. Selain penerangan di 
laman web, Hizbut Tahrir Pusat ada mengeluarkan sebuah buku khusus yang 
bertajuk "Hizbut Tahrir" (telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia) yang 
boleh didapati di mana-mana kedai buku, khususnya di Lembah Kelang. Bagi yang 
masih inginkan penjelasan, bolehlah berjumpa terus dengan anggota-anggota kami 
yang boleh ditemui dengan mudah di seluruh Malaysia dan juga lain-lain negara 
di mana Hizbut Tahrir bergerak di dalamnya. 
Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik yang berideologi Islam. Politik 
merupakan kegiatannya, dan Islam adalah ideologinya. Hizbut Tahrir bergerak di 
tengah-tengah umat, dan bersama-sama mereka berjuang untuk menjadikan Islam 
sebagai permasalahan utamanya, serta membimbing mereka untuk mendirikan kembali 
Daulah Khilafah dan menegakkan hukum yang diturunkan Allah di dalam realiti 
kehidupan. Hizbut Tahrir didirikan di dalam rangka memenuhi seruan Allah 
Subhanahu wa Ta’ala: 
"(Dan) hendaklah ada di antara kalian segolongan umat (jamaah) yang menyeru 
kepada kebaikan (Islam), memerintahkan kepada yang ma'ruf dan melarang dari 
yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung." [TMQ Ali Imran (3):104]. 
Hizbut Tahrir berjuang untuk membangkitkan kembali umat Islam dari kemerosotan 
yang amat parah, membebaskan umat dari idea-idea, undang-undang dan hukum-hukum 
kufur, serta membebaskan mereka dari cengkaman dominasi dan pengaruh 
negara-negara kafir. Hizbut Tahrir juga berjuang untuk membangun kembali Daulah 
Khilafah Islamiyyah di muka bumi, sehingga hukum yang diturunkan Allah 
Subhanahu wa Ta’ala dapat dilaksanakan kembali. 
Kembali Kepada Islam Dengan Jalan Menegakkan Khilafah
Ada segelintir yang masih keliru dengan perjuangan Hizbut Tahrir beranggapan 
bahawa tujuan (ghayah) Hizbut Tahrir adalah untuk menegakkan Khilafah. Di sini 
kami ingin menjelaskan bahawa tujuan Hizbut Tahrir adalah untuk mengembalikan 
semula kehidupan Islam (isti’naf al-hayah al-Islamiyyah), memikul dakwah Islam 
ke seluruh penjuru dunia dan memimpin serta mengawal pemikiran dan perasaan 
masyarakat. Kita semua maklum bahawa hukum Islam telah ditinggalkan oleh umat 
Islam, samada secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Oleh itu, di 
dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir menyeru agar umat Islam (termasuk pemimpin 
mereka) agar kembali menerapkan Islam di dalam kehidupan. Tujuan ini bererti 
mengajak kaum Muslimin kembali hidup secara Islami di dalam semua aspek. 
Seluruh kegiatan kehidupan hendaklah diatur sesuai dengan hukum-hukum syara' 
dan pandangan hidup yang wajib dijadikan pegangan adalah halal dan haram. 
Di samping itu, ghayah Hizbut Tahrir juga adalah untuk membangkitkan kembali 
umat Islam dengan kebangkitan yang benar, melalui cara berfikir yang cemerlang. 
Hizbut Tahrir berusaha untuk mengembalikan posisi umat ke masa kejayaan dan 
keemasannya seperti dahulu, di mana umat Islam merupakan umat yang sangat maju, 
dengan pemikiran yang sangat tinggi. Hizbut Tahrir juga berusaha untuk 
mengembalikan umat Islam sehingga dapat mengambil alih kendali negara-negara 
dan bangsa-bangsa di dunia ini, dan Negara Khilafah akan kembali menjadi negara 
superpower di dunia (sebagaimana pada masa silam) serta memimpin dunia sesuai 
dengan hukum-hukum Islam sehingga Islam dapat menyelimuti bumi. 
Adapun thariqah (metod) Hizbut Tahrir dalam rangka merealisasikan tujuan 
(ghayah) di atas adalah dengan menegakkan Daulah Khilafah dan melantik seorang 
Khalifah yang akan dibai’ah oleh umat Islam untuk memerintah dengan Kitabullah 
dan Sunnah RasulNya. Hizbut Tahrir yakin bahawa hanya dengan tertegaknya Daulah 
Khilafah, barulah keseluruhan hukum Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya. 
Khalifahlah nanti yang akan menyelamatkan umat ini dari segala penderitaan dan 
kesengsaraan, menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia, mengisytiharkan jihad 
ke atas musuh-musuh Islam dan menghancurkan segala kezaliman. Khalifah jualah 
yang seterusnya akan menzahirkan Deen Allah ini di atas segala deen yang lain, 
sekaligus membawa rahmat ke seluruh alam. 
Perjuangan Hizbut Tahrir Di seluruh Dunia
Hizbut Tahrir (HT) merupakan sebuah parti politik yang bergerak di seluruh 
dunia untuk membangkitkan umat Islam melalui perubahan pemikiran. HT ada di 
lebih kurang 40 buah negara di dunia, termasuk di negara kaum kafir sekalipun. 
Seluruh dunia mengenali HT dan mengetahui bahawa dakwah HT adalah secara 
fikriyyah (pemikiran), bukan kekerasan/fizikal. HT mengambil thariqah dakwah 
Rasulullah semasa di Makkah yang tidak pernah menggunakan kekerasan sehingga 
tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Secara ringkasnya, perjuangan dakwah 
Rasulullah semasa di Makkah ialah melalui sira’ul fikri (pergolakan pemikiran – 
pemikiran kufur vs pemikiran Islam), kifahu siyasi (perjuangan politik) dan 
juga thalabun nusrah (mendapatkan perlindungan). Bagi yang mempunyai kemudahan 
internet, bolehlah mengakses laman web rasmi HT di pelbagai negara dan melihat 
sendiri dakwah HT di seluruh dunia. HT selalu muncul di kaca TV di Indonesia, 
Britain, Australia dan lain-lain negara. Wakil HT juga sering
 diwawancara di BBC [sila ke www.youtube.com dan taip perkaaan " Hizbut 
Tahrir"]. Di Malaysia, dari masa ke semasa, TV3 dan NTV7 turut membuat liputan 
tentang aksi-aksi HT yang berlaku di luar negara. Berita Harian dan Utusan 
Malaysia juga telah beberapa kali menyiarkan gambar dan berita tentang aktiviti 
dakwah HT di seluruh dunia.
HT bergerak aktif di banyak bahagian di dunia ini, dari Timur Tengah, Eropah, 
Asia Tengah hinggalah ke Asia Tenggara. HT berjuang di Palestin, Mesir, Iraq, 
Jordan, Syria, Lebanon, Kuwait, UAE, Yemen, Oman, Maghribi, Turki, Perancis, 
Jerman, Denmark, Belgium, Azerbaijan, Tajikistan, Uzbekistan, Kazakhstan, 
Turkmenistan, Algeria, Kenya, Sudan, China, Amerika, Rusia, India, dan banyak 
lagi negara. HT merupakan antara gerakan Islam yang terbesar dan menonjol di 
Britain, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Palestin dan beberapa negara lain 
lagi. Di Palestin sebagai contoh, HT mengadakan kuliah setiap minggu di 
Masjidil Aqsa selepas Solat Jumaat yang dihadiri oleh ribuan umat Islam. Di 
Indonesia, kuliah dan ceramah HT diadakan di masjid-masjid di seluruh 
Indonesia. Begitu juga di beberapa negara lain, termasuk Malaysia.
Di sebalik perjuangan mulia HT untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia, 
sememangnya HT tidak dapat lari dari tohmahan dan fitnah. Segala halangan dan 
fitnah yang dilontarkan ini sebenarnya muncul dari beberapa hal:
1. Halangan dan fitnah dari Barat. Fitnah dari Barat sememangnya wajar berlaku 
kerana mereka adalah musuh Islam. Barat benar-benar takut dengan perjuangan 
menegakkan Khilafah kerana Negara Khilafah nanti bakal menghancurkan segala 
ideologi kufur dan dominasi mereka ke atas umat Islam, seterusnya menamatkan 
segala hegemoni mereka ke atas kaum Muslimin. Negara Khilafah nanti juga akan 
mengisytiharkan jihad untuk melawan segala kejahatan dan kekejaman yang telah 
mereka lakukan ke atas umat Islam. Jadi tidak hairanlah jika Barat menggunakan 
segala cara yang ada untuk menakut-nakutkan dan menghapuskan HT dan lain-lain 
gerakan Islam yang tidak sehaluan dengan mereka. Kembalinya Daulah Khilafah ke 
arena politik antarabangsa merupakan mimpi ngeri dan ketakutan Barat dan 
InsyaAllah, hal ini sesungguhnya akan pasti berlaku, sesuai dengan janji Allah 
dan RasulNya. 
2. Halangan dan fitnah dari penguasa kaum Muslimin. Di seluruh dunia, HT sering 
difitnah dan dilabel dengan pelbagai label negatif oleh pemerintah yang ada. 
Hal ini berlaku biasanya bagi negara yang pemerintahnya adalah agen atau 
talibarut Barat. HT juga sering mendapat tentangan dari pemerintah yang 
berpemikiran sekular yang berusaha menghapuskan HT kerana ingin mengekalkan 
status quo mereka di bawah sistem sekular ciptaan penjajah. Hal ini amat 
menyedihkan kerana mereka (pemerintah) sepatutnya menerapkan hukum Islam, 
menjaga rakyatnya, menunaikan amanah Allah ke atas mereka, menerima muhasabah 
dari rakyat dan menjadi pemerintah yang bertakwa. Malangnya mereka menjadi 
golongan yang sekadar mementingkan diri sendiri dan ingin kekal berkuasa. 
Tambah menyedihkan lagi, pemerintah ini mempergunakan ulama yang digaji oleh 
mereka untuk memfitnah dan memburuk-burukkan HT dan juga gerakan-gerakan Islam 
lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Secara sedar atau tidak, ulama murahan
 yang diberi sedikit jawatan ini bersekongkol dengan pemerintah zalim ini untuk 
menghambur fitnah terhadap HT. Tentang mereka ini (pemerintah dan ulama), 
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita, 
"Dua macam golongan manusia yang apabila keduanya baik maka akan baiklah 
masyarakat. Tetapi, apabila keduanya rosak maka akan rusaklah masyarakat itu. 
Kedua golongan manusia itu adalah ulama dan penguasa." [HR Abu Na’im]
"Akan datang penguasa-penguasa fasik dan zhalim. Barangsiapa percaya kepada 
kebohongannya dan membantu kezalimannya maka dia bukan dari golonganku dan aku 
bukan dari golongannya, dan dia tidak akan masuk syurga." [HR Tirmizi]
Dalam hadis di atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menerangkan bahawa 
penguasa itu ada yang baik dan ada pula yang buruk. Begitu pula ulama itu ada 
yang baik dan ada yang buruk (ulama su‘). Lebih tegas lagi Nabi Sallallahu 
‘alaihi wa Sallam menyatakan dan mengingatkan kita bahawa ulama su’ ini adalah 
seburuk-buruk manusia, 
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 
‘alaihi wa Sallam.; "Akan tiba suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada 
Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu 
kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia 
kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di 
bawah naungan langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini 
akan kembali". [HR al-Baihaqi]
3. Dari gerakan-gerakan Islam yang lain. HT turut ditohmah dan dilempar dengan 
pelbagai fitnah oleh gerakan-gerakan Islam yang tidak sehaluan dengannya. Hal 
ini berlaku kerana mereka menganggap bahawa kewujudan HT akan menggugat 
pengaruh dan kedudukan mereka. Juga, kerana ada di kalangan mereka yang 
mendapat informasi yang salah tentang HT sehingga mereka menganggap HT sebagai 
saingan atau musuh. Walaubagaimanapun, sebahagian dari mereka telah pun 
bersama-sama dengan HT setelah menyedari kesilapan dan kesalahfahaman mereka 
selama ini terhadap HT. Bagi yang masih termakan fitnah terhadap HT, kami 
berdoa kepada Allah agar menghilangkan segala prasangka buruk yang ada pada 
mereka. Kami juga berdoa semoga Allah melapangkan dada-dada mereka agar 
memandang HT dan juga gerakan-gerakan Islam yang lain dengan pandangan ukhwah, 
sebagaimana HT memandang mereka. 
4. Dari umat Islam. Keadaan umat Islam yang tidak memahami dakwah HT serta 
tidak jelas dengan perjuangan HT menyebabkan segelintir masyarakat memandang 
negatif pada HT. Walaubagaimanapun, ini hanya berlaku pada sebahagian kecil 
masyarakat sahaja. Bagi golongan yang lebih ikhlas, mereka telah mendekati HT 
dan mendapat gambaran yang sebenar dari sumber yang sebenar. Sebilangan besar 
ingin bergabung dengan HT setelah menghadiri dan mendengar sendiri tentang HT 
melalui seminar, forum dan juga dialog-dialog yang dianjurkan oleh HT. Banyak 
juga permohonan yang kami terima samada secara individu, melalui e-mail atau 
sms dari mereka yang menyatakan sokongan padu dan ingin berjuang bersama-sama 
HT. Semoga Allah memberkati mereka dan memasukkan mereka sebagai para pejuang 
di jalan kebenaran.
Wahai kaum Muslimin! HT berusaha di seluruh dunia untuk menyatukan semula umat 
Islam dengan aqidah Islam. HT cuma ingin melihat umat Islam di satukan atas 
dasar aqidah ini, bukannya bersatu atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah. HT 
ingin menghapuskan segala ikatan kebangsaan dan negara bangsa demi untuk 
menyatukan umat Islam di seluruh dunia (sebagaimana dahulunya) di bawah payung 
pemerintahan Khilafah. Oleh itu, dakwah HT di mana-mana bahagian dunia ini 
adalah sama. HT berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan 
menegakkan Daulah Khilafah yang akan menyatukan seluruh negeri kaum Muslimin di 
bawah satu pemerintahan sahaja. HT yakin bahawa hanya dengan Khilafah, barulah 
Deen Allah ini akan zahir di atas segala deen yang lain dan dengannya rahmat 
Allah tersebar ke seluruh alam. Tanpa Khilafah, siapakah yang akan menjadikan 
Islam ini superpower? Siapakah yang akan membawa rahmat ke seluruh penjuru alam?
Umat Islam Wajib Bersatu Di Bawah Khilafah
Wahai kaum Muslimin! Kami selalu menegaskan bahawa menegakkan Khilafah adalah 
suatu kewajiban yang dibebankan ke atas setiap individu Muslim. Mengembalikan 
semula hukum Allah ini bukannya tanggungjawsab HT semata-mata tetapi merupakan 
taklif yang Allah telah tetapkan ke atas seluruh kaum Muslimin. Hukum tentang 
wajibnya kaum Muslimin memiliki hanya seorang Khalifah bukanlah di-istinbathkan 
oleh HT sahaja, malah ia merupakan pandangan imam-imam dan ulama muktabar. 
Syeikh Abdurrahman Al Jaziri menegaskan hal ini dalam kitabnya Al Fiqh ‘Ala Al 
Madzahib Al Arba’ah, jilid V, hal. 416: "Seluruh imam madzhab dan para mujtahid 
besar tanpa kecuali telah bersepakat bulat akan wajibnya Khilafah (atau Imamah) 
ini.... Para imam madzhab (Abu Hanifah, Malik, Syafi’i, dan Ahmad) 
--rahimahumullah-- telah sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu wajib adanya, dan 
bahawa umat Islam wajib mempunyai seorang imam (Khalifah,) yang akan 
meninggikan syiar-syiar agama serta menolong orang-orang
 yang tertindas dari yang menindasnya...."
Imam Asy Syaukani dalam Nailul Authar jilid 8 hal. 265 menyatakan, "Menurut 
golongan Syiah, minoriti dari Mu’tazilah, dan Asya’riyah, (Khilafah) adalah 
wajib menurut syara’. Ibnu Hazm dalam Al Fashl fil Milal Wal Ahwa’ Wan Nihal 
juz 4 hal. 87 mengatakan: "Telah sepakat seluruh Ahlus Sunnah, seluruh 
Murji`ah, seluruh Syi’ah, dan seluruh Khawarij, mengenai wajibnya Imamah 
(Khilafah). Bahawa Khilafah adalah sebuah ketentuan hukum Islam yang WAJIB 
(bukan haram, radikal atau ekstrem, apalagi bid’ah) dapat kita temukan dalam 
khazanah tsaqafah Islam yang sangat kaya seperti Imam Al Mawardi (Al-Ahkam 
al-Shulthaniyah, hal. 5), Abu Ya’la Al Farraa’ (Al-Ahkam al-Shulthaniyah, 
hal.19), Ibnu Taimiyah (As-Siyasah Asy Syar’iyah, hal. 161), Ibnu Taimiyah 
(Majmu’ul Fatawa, jilid 28 hal. 62), Imam Al Ghazali (Al-Iqtishaad fil I’tiqad, 
hal. 97), Ibnu Khaldun (Al-Muqaddimah, hal. 167), Imam Al-Qurthubi (Tafsir 
Al-Qurthubi, juz 1 hal. 264), Ibnu Hajar A1-Asqallany (Fathul
 Bari, juz 13 hal. 176), Imam An-Nawawi (Syarah Muslim, juz 12 hal. 205), Abdul 
Qadir Audah (Al-Islam Wa Audla’una As Siyasiyah, hal. 124) dan banyak lagi. 
Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa Khilafah bukan hak 
Hizbut Tahrir, tetapi ia adalah hak umat Islam. Hizbut Tahrir hanya berjuang 
untuk menegakkannya, sesuai dengan perintah Allah, yang mana kalian juga wajib 
memperjuangkannya. Sistem pemerintahan Khilafah adalah sistem pemerintahan 
Islam, bukan sistem pemerintahan Hizbut Tahrir. Khalifah tidak semestinya 
datang dari anggota Hizbut Tahrir. Kami akan berbai’ah kepada sesiapa sahaja 
yang dilantik secara sah oleh umat sebagai Khalifah, tidak kira samada dia 
berasal dari Hizbut Tahrir atau tidak, selama mana Khalifah tersebut memerintah 
berdasarkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Justeru itulah, Hizbut Tahrir 
senantiasa menyeru kepada seluruh kaum Muslimin agar bersama-sama dengan Hizbut 
Tahrir untuk menegakkan Khilafah. Ia adalah tannggungjawab dan hak kita semua. 
Kami sentiasa berdoa kepada Allah agar seluruh kaum Muslimin sedar dan bangkit 
serta bersegera kepada tugas yang mulia ini.
Inilah tugas Hizbut Tahrir. Hizbut Tahrir akan menyeru dan terus menyeru kaum 
Muslimin dan pemimpin mereka agar kembali kepada hukum Islam, agar kita 
sama-sama berusaha untuk mendirikan Daulah Khilafah, satu-satunya entiti yang 
akan mengembalikan kemuliaan dan kekuatan kita serta menyatukan kita di dunia 
ini. Hizbut Tahrir akan terus berusaha dan berusaha, tanpa mengira penat dan 
lelah, siang atau malam, senang atau sukar demi untuk menegakkan Deen ini. 
Hizbut Tahrir telah berjanji kepada Allah dan RasulNya bahawa ia akan menjadi 
penjaga agama Allah yang amanah. Kami akan berjuang dan terus berjuang 
sehinggalah Allah memanggil kami pulang. Kami hidup hanya untuk Islam dan kami 
mati hanya untuk Islam. Semoga Allah membuka hati kalian untuk kita 
bersama-sama memikul kemuliaan ini, wahai saudaraku.....
Khatimah
Memandangkan taklif utama adalah terhadap para pemerintah yang sepatutnya 
menggabungkan seluruh negeri kaum Muslimin di bawah satu pemerintahan, kami 
akhiri penulisan ini untuk bertanya kepada mereka yang berkuasa, sebelum 
tibanya hari di mana hanya milik Allahlah kekuasaan itu. Demi Allah wahai para 
pemimpin kaum Muslimin! Kenapakah kalian sekarang berpecah-pecah dan tidak 
bergabung mewujudkan Daulah Khilafah? Apakah kalian tidak pernah terfikir 
sedetik pun bahawa kalian sekarang memerintah dengan undang-undang kufur 
bukannya undang-undang Allah? Apakah tidak pernah terlintas di hati kalian 
bahawa kalian sekarang menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan 
perkara-perkara yang dimurkai Allah? Kalian menerapkan hukum ciptaan sendiri 
bukan hukum ciptaan Allah! Apakah kalian fikir bahawa segala alasan yang kalian 
nyatakan untuk tidak menerapkan hukum Allah akan diterima oleh Allah? Pernahkah 
Rasulullah yang sepatutnya kalian ikuti itu, memberikan alasan kepada Allah
 sebagaimana alasan kalian? Atau apakah Rasulullah berusaha bermati-matian 
untuk menegakkan hukum Allah tanpa sebarang alasan? Bagaimana dengan kalian? 
Tidak takutkah kalian kepada murka dan azab Allah? Tidak adakah di kalangan 
kalian walau seorang yang benar-benar ikhlas di dalam menjaga agama Allah ini? 
Tidak adakah di kalangan kalian walau seorang pun yang sedar akan amanah yang 
Allah letakkan di atas bahu kalian? Apakah kalian tidak sedar bahawa Allah 
berkuasa untuk mencabut pemerintahan kalian dengan sekelip mata? Apakah di 
benak kalian tidak pernah terlintas bahawa Allah berkuasa untuk menyentap nyawa 
kalian dalam sesaat sahaja? Apakah kalian tidak berfikir tentang semua itu? 
Takutlah kalian kepada Allah wahai mereka yang memegang kekuasaan!! Satukanlah 
kami di bawah Khilafah..... amin

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 

Kirim email ke