Assalamualaikum dan Selamat Siang,
Agihkanlah usaha ini kiranya sudi... dari... 
http://usftamalaysia.blogspot.com/2007/01/usfta-malaysia-malayan-union-abad-ke-21.html
Sekian, wassalam...

Ikhlas,
http://usftamalaysia.blogspot.com/
USFTA Malaysia = Malayan Union Abad Ke-21? 
Suatu cabaran yang diterima oleh Gabungan Rakyat Pemantau USFTA-Malaysia dari 
para pemimpin pelajar Malaysia di UK adalah untuk menjelaskan kenapakah USFTA 
atau Perjanjian Perdagangan Bebas dengan US ini dikatakan seakan-akan ancaman 
Malayan Union yang ditentang oleh nenek-moyang kita dahulu. Izinkan kami 
menjelaskan sedikit hujah di sebalik pendapat ini.

Pada zaman kemenangan sistem kapitalis Barat ini, sistem kapitalis ini sendiri 
menjadi senjata utama dalam usaha membelenggu negara-bangsa lain di dunia. 
Amalan ini mungkin tidak didukung oleh semua negara Barat, tetapi Amerika 
Syarikat, sebagai kuasa besar utama di dunia sekarang dari segi ketenteraan, 
mahupun saiz ekonominya, tetap mengamalkan penjajahan kapitalisma, atau 
Colonial Capitalism.

Namun, penggunaan kekuatan ekonomi dan perdagangan sebagai senjata bukanlah 
amalan baru. Seawal kurun ke 16 sekalipun, para penjajah Portugis telah 
menjelajah ke India dan Asia Tenggara dengan laungan God, Gold and Glory, atau 
Tuhan, Emas dan Keagungan. Usaha mereka berdasarkan kehendak untuk menggoncang 
kekuatan ekonomi para saudagar Islam di laut Mediteranian pada masa itu yang 
berupaya menyekat usaha penjajahan negara-negara Islam oleh kuasa-kuasa Eropah. 
Mereka diikuti kelak oleh penjajah Belanda, Sepanyol, Perancis dan Inggeris.

Pada zaman Rasulullah S.A.W. sendiri, sektor ekonomi merupakan tumpuan baginda 
sejurus selepas membangunkan Masjid di Madinah. Baginda berusaha membuka jalan 
aktiviti perniagaan oleh pengikut-pengikutnya, dan membebaskan masyarakat dari 
belenggu riba para pemiutang yang lazimnya dari golongan Yahudi. Malah, 
kemajuan Madinah sebagai pusat perniagaan yang kian bersaing dengan Mekahlah 
antara sebab tercetusnya perang Badar di antara masyarakat Islam Madinah dengan 
Kaum Quraish Mekah.

Merujuk kepada buku The Principles Of Islamic Economic System oleh Yusuf Kamal, 
jelas dalam Islam bahawa aktiviti ekonomi tidaklah dilakukan secara 'bebas', 
tetapi haruslah menurut garis-panduan agama. Menurut prinsip Islam, sistem 
ekonomi haruslah memberikan manfaat kepada seluruh pelusuk masyarakat dan 
melindungi dari ketidak-seimbangan ekonomi. Ini kerana kemakmuran sejagatlah 
jalan cara memastikan seluruh masyarakat berupaya menunaikan tanggungjawab 
agama tanpa dibelenggu oleh kesempitan hidup.

Maka, Islam tidak membolehkan sistem ekonomi yang menyebabkan kepapaan sesuatu 
golongan masyarakat. Antara lain, ini kerana:

Golongan yang tersepit di jurang kemiskinan mungkin tiada masa dan tenaga untuk 
menunaikan ibadah asas sekalipun, seperti sembahyang, kerana hidup kais 
pagi-malam yang tidak berkesudahan. 
Golongan tersebut juga mungkin terpaksa melakukan perkara yang berdosa seperti 
pencurian, pelacuran, mahupun pembunuhan, sekiranya dibiar tersepit, dan ini 
mungkin juga akan menghindar masyarakat secara amnya dari melakukan ibadah 
sebanyak yang mungkin.
Berdasarkan prinsip mudah dan indah ini sahaja, konsep USFTA-Malaysia, yakni 
perjanjian perdagangan bebas tidaklah sesuai menurut lunas-lunas Islam dari 
segi prakatanya sekalipun. Dari segi intipati, ia juga menimbulkan kebimbangan, 
kerana beberapa fakta sejarah dan perundangan tentang kesan USFTA ini. Antara 
lain:
Ia memberi kebebasan bagi syarikat US untuk melakukan aktiviti ekonomi dan 
perdagangan di Malaysia secara bebas seakan-akan syarikat tempatan. Ini memberi 
kelebihan besar kepada syarikat US, kerana syarikat-syarikat gergasi mereka 
lazimnya berupaya menindih-lumatkan syarikat-syarikat tempatan, baik yang 
kerdil mahupun yang besar oleh kerana kekuatan kewangan dan sokongan syarikat 
induk mereka yang berpaut kepada pasaran besar di US. 
Walaupun syarikat-syarikat US mungkin kemudian perupaya mengambil tempat 
syarikat tempatan yang sudah ditewaskan, bagi meraih keuntungan, pastinya 
syarikat-syarikat US tersebut akan bertindak mengurangkan kos dari segi jumlah 
pekerja, mengurangkan gaji, pemindahan aktiviti seperti pembuatan, akaun dan 
sebagainya ke negara yang kosnya lebih rendah dan kemungkinan sekali menaikkan 
harga barangan sesudah kesemua saingan tempatan berjaya ditewaskan. 
Hasil dari penguasaan ekonomi oleh syarikat US ini mungkin termasuk penurunan 
harga barang. Tetapi, pada masa yang sama, kadar pengangguran juga akan 
meningkat hasil pengurangan jumlah pekerja dari sektor yang diambil alih oleh 
syarikat US tersebut. Ini mungkin memberi keuntungan kepada majoriti rakyat, 
tetapi ia tidak memastikan atau mengesyorkan akan berlaku keadilan ekonomi 
sejagat seperti dituntut Islam. Di negara-negar Amerika Selatan, terlihat 
jurang miskin-kaya mendadak meluas selepas USFTA. 
Pada peringkat yang paling ekstrim sekali, syarikat US juga berupaya 
meninggalkan Malaysia dan menarik balik segala pelaburannya dengan lebih bebas 
pada bila-bila masa menurut prinsip perdagangan bebas. Ini mungkin tidak berapa 
berkesan pada peringkat awal, tetapi lambat-laun, sekiranya USFTA membenarkan 
syarikat US menguasai sektor-sektor penting ekonomi sehingga tiada syarikat 
tempatan yang kekal dalam sektor-sektor tersebut, apakah akan berlaku sekiranya 
syarikat US mengambil keputusan untuk 'gulung tikar' di Malaysia dengan 
sewenang-wenangnya? Siapakah akan mengisi lubang di sektor tersebut bukan 
sahaja dari segi pembuatan keperluan tersebut, tetapi juga dari segi memberi 
pekerjaan dan sumber pusingan wang dan pembangunan ekonomi negara?
Turutan kejadian yang digambarkan di atas mungkin kelihatan sebagai usaha 
menakut-nakutkan masyarakat, tetapi, yang lebih menakutkan adalah bagaimana apa 
yang digambarkan diatas pernah dan masih terjadi di negara-negara lain yang 
sudah pun memetrai USFTA mereka! Ini bukan sahaja berlaku di negara membangun 
seperti di Mexico dan negara-negara Amerika Selatan, tetapi teman intim Amerika 
Syarikat, Australia juga tertindas! Dialih-bahasa dari 
http://www.bilaterals.org/IMG/pdf/Overview.pdf:
"USFTA memaksa Australia memberi monopoli hakcipta yang lebih kuat kepada 
syarikat perubatan Amerika Syarikat, secara langsung menjejaskan Skim 
Keruntukan Perubatan Australia (PBS).... Setahun selepas FTA berjalan, 
perdebatan hebat berlaku di Australia kerana kesannya. Statistik menunjukkan 
barangan impot US ke Australia sudah melambung naik, akan tetapi barangan 
ekspot Australia ke US turun menjunam. Tambahan pula, walaupun satu pertiga 
syarikat pembuatan ubat "generic" (lupus hakcipta) Australia sudah ditutup 
selepas USFTA, syarikat perubatan US masih tidak senang dengan undang-undang 
yang masih melindungi Skim Keruntukan Perubatan (PBS) dan bergerak untuk 
menghapuskannya sama sekali!"
Jika Amerika Syarikat berupaya berlaku secara kejam terhadap rakyat teman 
intimnya, Australia, dengan dasar USFTA yang kian mengurangkan kemudahan untuk 
masyarakat termiskin, apakah mungkin mereka akan was-was untuk bertindak 
sedemikian terhadap masyarakat Malaysia selesai USFTA dimulakan?
Dokumen yang sama juga memberi penjelasan bagaimana Amerika Syarikat secara 
terbuka mengejar USFTA dengan niat mengunci dasar luar dan politik 
negara-negara tertentu di arena antarabangsa. Contohnya, usaha USFTA di Timur 
Tengah dengan jelas bertujuan:
Menambahkan pengaruh Amerika Syarikat dalam peperangan mereka "menentang 
ekstrimis" 
Menghalang usaha "Arab League" penentang perbuatan rejim Israel
Maka, USFTA bukan sahaja membuka jalan terhadap penindasan ekonomi, tetapi 
jelas membuka jalan ke arah penjajahan dasar luar dan politik Malaysia oleh 
Amerika Syarikat, yang dalam sejarah FTA-nya jelas menyelit niat tersirat di 
sebalik perjanjian-perjanjian dua-halanya. Memandangkan sistem ekonomi adalah 
antara penentu masa-depan bangsa, USFTA sebagai pembolos perlindungan ekonomi 
negara dari pengaruh langsung ekonomi US dengan sendiri membawa kebimbangan. 
Tetapi, dua fakta seperti digambarkan diatas jelas menambah kebimbangan:
Amerika Syarikat dan syarikat-syarikatnya tiada rasa tanggungjawab terhadap 
masyarakat Malaysia dalam percaturan ekonomi mereka. Pada mereka, kita akan 
dilayan semata-mata sebagai pengilang atau pembeli, bukan rakan-kongsi, dan 
boleh dilumatkan sesuka hati. 
Amerika Syarikat lazimnya ada maksud tersirat untuk mempengaruhi dasar politik 
dan luar negara di sebalik USFTA-nya.
Bukankah seakan-akan Malayan Union kelihatannya USFTA ini, sebagai agen 
penjajahan ekonomi Malaysia oleh Amerika Syarikat? Cukupkah ini sebagai huraian 
untuk mengesyorkan pembaca yang USFTA harus dipantau, malah ditentang dari 
dilaksanakan?
Setidak-tidaknya, bukankah USFTA ini bertentangan dengan lunas-lunas dan 
prinsip ekonomi Islam kerana kebebasannya yang tidak menjamin keadilan ekonomi 
sejagat di dalam masyarakat?


                
___________________________________________________________ 
To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo! 
Security Centre. http://uk.security.yahoo.com

Kirim email ke