Mangsa banjir diabaikan, sikap JKM dikesali                            
                         
                        
                                       Salman Hussin      
         Fri | Feb 02, 07 | 06:50:57 AM                               KOTA 
TINGGI, 2 Feb (Hrkh) – Seorang ibu tunggal Khadijah Taib, 54,  dari  Jalan 
Abdullah, dekat sini, terkilan dengan layanan acuh tak acuh  kakitangan  
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi, ketika beliau datang ke  
pejabat berkenaan bagi mendapatkan kupon bekalan makanan, baru-baru  ini.

  
 Beliau yang sudah empat hari turun naik pejabat JKM bagi mendapatkan  bekalan  
makanan serta wang ihsan yang dijanjikan kerajaan merasa sangat kecewa  dengan 
sikap  kakitangan jabatan berkenaan yang sentiasa berdolak dalik  serta cuba  
menolak daripada berurusan dengan beliau atas alasan  terlalu  sibuk, katanya 
semasa ditemui di sini.

 
 Kata lagi,“makcik datang ke pejabat JKM bagi mendapatkan kupon  bantuan  
makanan untuk tempoh sebulan dan wang ihsan RM200 yang dijanjikan  kerajaan  
kepada mangsa-mangsa banjir tetapi kakitangan JKM langsung tak layan  makcik  
sedangkan makcik pun mangsa banjir yang  layak menerima bantuan ini.

 
 “Setelah makcik merayu-rayu mereka menyuruh pula makcik pergi ke pusat  
pengagihan bekalan makanan di Kampung Makam, malangnya bila sampai di  sana  
makcik diberitahu kalau tiada kupon tidak akan diberi bantuan makanan,  sekali 
lagi makcik pulang dengan perasaan sedih dan hampa."

 
 “Makcik amat mengharapkan bantuan ini kerana tiada sumber pendapatan  lain  
setelah kedai kain makcik dua kali ditenggelami air, semua kain reput  dan  tak 
boleh dijual lagi."

 
 Menurutnya lagi, semasa banjir pertama 19 Disember lalu kedai kain yang  
diusahakannya sejak lapan tahun lalu di Bandar Kota Tinggi telah  ditenggelami 
air dan semuanya musnah, dengan sedikit wang simpanan yang  ada  beliau cuba 
memulakan semula perniagaan tetapi malang sekali lagi  menimpa  apabila 
kain-kain yang masih dalam bungkusan plastik musnah setelah  dilanda  banjir 
kali kedua pada 12 Januari lalu, beliau kerugian lebih RM80,000.

 
 “Sekarang ini makcik langsung tiada modal untuk berniaga semula, malah  untuk  
makan pun begitu susah sekali sebab itu makcik amat mengharapkan  bantuan  ini."

 
 YDP PAS Kota Tinggi, Haji Kamaldin Haji Tahir, ketika ditemui  melahirkan  
kekesalannya terhadap sikap tidak profesional kakitangan JKM menangani   
masalah mangsa banjir ini.

 
 “Kita merasa sangat kecewa dengan sikap kakitangan JKM yang tidak peka  dengan 
masalah mangsa banjir ini, kita semua sedia maklum sebahagian  mangsa  banjir 
ini selain kehilangan harta benda mereka juga kehilangan sumber  pendapatan 
maka JKM perlu membantu mereka bagi meringankan sedikit  penderitaan yang 
mereka alami."

 
 Menurutnya lagi, “sebenarnya banyak aduan kita terima daripada  mangsa-mangsa  
banjir ini, selain tidak mendapat bekalan makanan yang dijanjikan,  pengagihan 
wang ihsan RM200 juga menimbulkan kekeliruan apabila ada  antara  mangsa yang 
sudah dapat dan ada pula yang belum." 


 Menurut sumber JKM jelasnya lagi, proses pemberian bantuan makanan dan  wang  
ihsan yang menimbulkan berbagai kontroversi  ini adalah untuk mangsa  yang  
terlibat dengan banjir besar yang melanda Johor 19 Disember lalu   manakala  
peruntukan tambahan sebanyak RM500 yang diumumkan Perdana Menteri,  Dato’  Seri 
Abdullah Ahmad Badawi, tempohari, masih belum diproses lagi,  bahkan  sumber 
JKM turut memberitahu bahawa mereka masih belum menerima  sebarang  maklumat 
berhubung  pemberian dana tambahan ini.

 
 “Kita juga difahamkan JKM hanya mampu memproses sekitar 200 borang  permohonan 
mangsa banjir dalam masa sehari sedangkan di Kota Tinggi  sahaja  dianggarkan 
terdapat lebih 10,000 mangsa yang terlibat dengan banjir,  inilah  yang 
menyebabkan penyaluran bantuan kepada mangsa begitu lambat."

 
 Selain itu katanya lagi, sikap sesetengah mangsa banjir yang mencari  
kesempatan juga turut menyumbang kepada kelewatan ini, terdapat  segelintir  
mangsa banjir yang mendaftar di dua pusat pendaftaran dengan  menggunakan  
nombor kad pengenalan lama dan baru, bagaimanapun semakan yang  dilakukan  
pihak JKM telah berjaya mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.

 
 Bagaimanapun jelasnya lagi, mangsa banjir ini amat memerlukan bantuan  makanan 
mahupun wang ihsan ini, justeru kerana itu kita meminta JKM  segera  memberikan 
bantuan ini supaya  mangsa banjir ini tidak terus tertekan.

 
 Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir yang ditemui, Osman Isnin,  
memberitahu, setiap hari mangsa banjir di pusat penempatan dihidangkan  dengan 
air teh ‘o’ atau nescaffe ‘o’ sahaja, tanpa susu, sedangkan  setiap  kali 
bekalan dihantar kita melihat berkotak-kotak susu pekat  diturunkan  dari lori, 
ke mana perginya susu ini.

 
 Selain itu dedahnya lagi, pengagihan kain batek dan telekung juga  dibuat  
secara tidak adil, ada yang dapat dan ada yang tak dapat, bila perkara  ini  
diajukan kepada kakitangan yang bertugas di pusat penempatan ini,  jawapan  
mereka mudah ‘sudah habis’.

 
 Beliau juga turut keliru dengan cara pengagihan bantuan makanan untuk  sebulan 
yang diberi kepada mangsa banjir, menurutnya, bantuan makanan  yang  dibuat 
secara ‘lumpsump’ tanpa mengira jumlah isi keluarga adalah tidak  praktikal 
kerana ini akan menimbulkan ketidakadilan.

 
 Menurutnya lagi,  setiap keluarga diberi empat kampit beras (20 kg),  ikan  
sardin (25 tin), minyak masak (5 kg), gula (4 kg), kicap 1 botol (2  kg),  susu 
pekat (4 tin), baldi dan mob serta rempah masakan.

 
 “Mungkin untuk keluarga seramai tiga orang jumlah ini dikira memadai  tetapi  
bagaimana pula jika sekiranya jumlah isi keluarga yang lebih ramai,  sudah  
tentu tidak cukup sedangkan bekalan ini untuk sebulan,"katanya. - mks.   

                
---------------------------------
 New Yahoo! Mail is the ultimate force in competitive emailing. Find out more 
at the Yahoo! Mail Championships. Plus: play games and win prizes.

Kirim email ke